Malaysia Tidak Bercadang Kenakan Sekatan Terhadap Rusia

Bagaimanapun minggu lepas, Kuala Lumpur telah mengundi menyokong resolusi PBB menuntut Moscow segera berundur dari wilayah jirannya, Ukraine.
Suganya Lingan
2022.03.08
Kuala Lumpur
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Malaysia Tidak Bercadang Kenakan Sekatan Terhadap Rusia Seorang lelaki meninggalkan sebuah pangsapuri yang sehari sebelum itu telah dibedil di bandar kedua terbesar di Ukraine, Kharkiv, 8 Mac, 2022.
[AFP]

Menteri Luar Malaysia pada Selasa berkata Kuala Lumpur tidak akan mengenakan sekatan terhadap Rusia kerana pencerobohannya ke atas Ukraine, walaupun pada minggu lalu negara berkenaan telah mengundi menyokong resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mengecam tindakan Moscow itu.

Sekatan perlu melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, kata Menteri Luar Saifuddin Abdullah semasa menjawab soalan di sidang Parlimen sama ada kerajaan akan mengenakan sekatan terhadap Rusia yang dilaporkan telah mensasar orang awam dalam pencerobohannya.

“Prinsip kita adalah kita tidak percaya kepada sekatan unilateral,” kata Saifuddin.

“Sebagai ahli Majlis Hak Asasi Manusia, kita telah mencadangkan bahawa pertama kita meminta gencatan senjata, kedua rundingan diteruskan. Dan sekiranya perlu, sekatan boleh dilaksanakan. Tetapi belum sampai ke tahap itu dan jika perlu, ia harus dibuat melalui PBB,” tambah Menteri Luar itu lagi.

Beliau berkata, negara berkenaan perlu berhati-hati sekiranya mahu mengenakan sekatan kerana ia boleh menjejaskan orang awam.

Sekatan oleh Malaysia sebahagian besarnya adalah simbolik, berdasarkan data daripada institusi kewangan pembangunan industri negara, MIDF (Malaysian Industrial Development Finance Berhad), dan dipetik agensi berita negara Bernama.

MIDF dalam nota penyelidikan pada akhir Februari berkata krisis di Ukraine akan mempunyai kesan langsung yang minimum, kerana "saiz gabungan perdagangan dengan Ukraine dan Rusia meliputi hanya 0.5 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia," menurut Bernama dalam laporannya.

220308-MY-Sanction-inside.jpg

Syed Mohamad Hasrin Aidid, wakil tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu semasa bercakap pada sesi tergempar ke-11 Perhimpunan Agung PBB yang dianggotai 193 negara berhubung pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, di ibu pejabat PBB di New York, 1 Mac 2022. [Reuters]

'Kritik Kezaliman Ini'

Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Antarabangsa Parlimen Malaysia percaya bahawa negara itu perlu membuat pendirian mengenai apa yang berlaku di Ukraine, bermula dengan mengkritik serangan dibuat Rusia.

"Kami menyeru Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah, yang mewakili suara rakyat Malaysia yang khuatir (mengenai situasi di Ukraine), serta sebagai ahli Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu, supaya membuat pendirian dan mengkritik perbuatan zalim dan menindas oleh Rusia terhadap Ukraine tanpa berlengah lagi bagi menunjukkan sokongan kepada rakyat Ukraine," kata jawatankuasa itu dalam satu surat terbuka.

Ahli politik pembangkang Ong Kian Ming dari Parti Tindakan Demokratik (DAP), menyuarakan kekecewaan beliau terhadap kenyataan Malaysia sebelum ia mengundi menyokong resolusi Mesyuarat Agung PBB yang menggesa Rusia supaya segera keluar dari Ukraine.

"Malaysia mengundi menyokong resolusi Mesyuarat Agung PBB adalah perkara yang baik. Tetapi teks kenyataan Wakil Tetap kita ke PBB masih enggan mengkritik pencerobohan Rusia ke atas Ukraine," kata beliau melalui Twitter pada 3 Mac, sehari selepas undian itu dibuat.

"Gesaan supaya kedua belah pihak terus menggunakan jalan damai adalah tidak berkesan apabila salah satu pihak jelas merupakan pihak yang melakukan kekerasan. Ia seperti memberitahu pembuli dan mangsa buli supaya berdamai dan menjadi kawan ketika pembuli itu masih menendang dan menumbuk mangsanya yang sedang terbaring di atas tanah."

Ahli ASEAN yang lain, seperti pengerusi persatuan itu Kemboja, dan Thailand, juga tidak mengkritik Rusia walaupun mereka mengundi menyokong resolusi PBB tersebut.

Lapan daripada keseluruhan 10 negara anggota blok berkenaan telah memberikan undi menyokong resolusi PBB, sesuatu yang dilihat bercanggah dengan dua kenyataan dikeluarkan mereka mengenai Ukraine. ASEAN adalah satu blok yang berfungsi melalui konsensus, di mana kenyataan rasmi mereka mesti dipersetujui oleh semua negara anggota, atau tidak dimasukkan sama sekali.

Kenyataan pertama dikeluarkan ASEAN mengenai isu Ukraine telah menyuarakan kebimbangan mereka mengenai situasi yang berlaku, sementara kenyataan kedua pula menggesa supaya gencatan senjata dibuat. Kedua-dua kenyataan itu tidak langsung menyebut perkataan "Rusia" atau "pencerobohan".

Sementara itu, Singapura dalam satu sikap yang berlainan dengan ASEAN serta negara anggota lain, telah mengenakan sekatan terhadap Rusia dan mengutuk negara itu dengan perkataan yang keras, satu tindakan yang pertama kali dibuat olehnya.

Singapura menyatakan bahawa ia akan menyekat eksport barangan yang mungkin digunakan sebagai senjata di Ukraine, serta menghalang sebilangan transaksi perbankan dan kewangan yang berkait dengan Rusia.

"Kita sedang menyaksikan tindakan pencerobohan tentera ke atas sebuah negara berdaulat, yang dibuat tanpa sebarang provokasi," kata Menteri Luar Singapura Vivian Balakrishnan kepada parlimen negara itu pada Isnin lalu.

"Pencerobohan Rusia ke atas Ukraine adalah sesuatu yang jelas melanggar norma antarabangsa dan dahuluan yang tidak dapat diterima sama sekali."

Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh