Rancangan Thailand Hantar Pulang Nur Sajat ke Malaysia Dibantah

Malaysia akan menghukum Nur Sajat kerana menjadi sebahagian daripada komuniti LGBTQ, kata pegawai Human Rights Watch.
Hadi Azmi, Nisha David, Wilawan Watcharasakwet & Nontarat Phaicharoen
2021.09.21
Kuala Lumpur & Bangkok
Rancangan Thailand Hantar Pulang Nur Sajat ke Malaysia Dibantah Gambar Nur Sajat, individu trangender yang dikehendaki di Malaysia atas dakwaan menghina Islam, di laman media sosialnya.
[Ihsan @nursajat23 di Twitter]

Pihak berkuasa Thailand bersedia menghantar pulang usahawan kosmetik Nur Sajat ke Malaysia yang merupakan individu dikehendaki di negara itu selepas didakwa ‘menghina Islam’ dalam kes lelaki berpakaian menyerupai wanita oleh sebuah mahkamah syariah, kata seorang pegawai Imigresen pada Selasa.

Malaysia kini menjalin kerjasama dengan pihak berkuasa Thailand dalam proses untuk mengekstradisi Nur Sajat, yang menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan warganet susulan dakwaan aktivis hak asasi bahawa berlaku peningkatan gangguan terhadap komuniti lesbian, gay, biseksual, transgender dan queer (LGBTQ) seiring dengan kebangkitan fahaman Islam konservatif.

Timbalan Jurucakap bagi Polis Diraja Thailand Kolonel Krissana Pattanacharoen memaklumkan pemberita bahawa Nur Sajat telah ditahan pada 8 September oleh pasukan anti-jenayah rentas sempadan dan pendatang tanpa izin Biro Imigresen di sebuah kondominium kerana memasuki serta tinggal di negara itu secara haram.

Nur Sajat telah dibebaskan dengan jaminan, kata Timbalan Pesuruhjaya Biro Imigresen Thailand Mejar Jeneral Archayon Kraithong.

“Dia dibebaskan dengan jaminan selama 30 hari dan selepas itu, kami akan menghantarnya pulang ke Malaysia,” kata Archayon.

Nur Sajat adalah seorang usahawan kosmetik dan pempengaruh di media sosial. Beliau menerima ancaman bunuh pada Mac selepas sebuah videl yang memaparkan seorang individu tidak dikenali mengumumkan bahawa dia keluar dari Islam atau murtad muncul di laman media sosial.

Pada Selasa, dalam perkembangan lain, seorang Ahli Parlimen Malaysia daripada Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang dianggap konservatif berkata semasa sidang Dewan Rakyat bahawa negara itu perlu memperkukuh badan agama bagi menentang kemunculan golongan transgender di media sosial.

“Kini muncul kumpulan individu berpakaian songsang yang semakin menjadi-jadi di media sosial tanpa sebarang rasa bersalah kerana berpakaian menyerupai wanita. Apakah undang-undang kita terlalu longgar untuk mengekang aktiviti sedemikian?” soal Nik Abduh Nik Aziz.

Timbalan Pengarah Asia Human Right Watch Phil Robertson berkata Nur Sajat tidak harus dihantar pulang ke Malaysia dalam keadaan apa pun sambil menambah bahawa usahawan kosmetik itu telah diiktiraf sebagai pelarian oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Dia sebaliknya perlu dihantar ke negara yang menawarkan perlindungan hak, tidak dihukum kerana menjadi LGBT, dan itu yang akan terjadi jika dia dihantar pulang ke Malaysia,” ciap Robertson di laman Twitter selepas polis Malaysia pada Isnin mengesahkan penahanan Nur Sajat di Thailand.

Tanpa menamakan sumber, sesetengah media Malaysia melaporkan bahawa Nur Sajat telah memperoleh kad pelarian UNHCR di Bangkok dan sedang menunggu kebenaran untuk memohon suaka di Australia.

Bagaimanapun, pegawai imigresen Thailand Archayon berkata meskipun Nur Sajat memiliki kad itu, ia tidak sah di negara tersebut.

“Berhubung status pelarian, kami melayannya mengikut undang-undang Thailand. Kad UNHCR tidak diiktiraf oleh sistem kehakiman Thailand,” katanya.

Nur Sajat menjadi individu buruan yang dikehendaki di Malaysia pada 23 Feb selepas Mahkamah Syariah di negara itu mengeluarkan waran tangkap terhadapnya kerana gagal hadir pada prosiding perbicaraan bagi kes menghina Islam.

Beliau telah didakwa pada Januari lepas dan mengaku tidak bersalah dan insiden itu berlaku pada Februari 2018.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Malaysia Abdul Jalil Hassan memberitahu BenarNews bahawa Nur Sajat sepatutnya pulang secara sukarela.

‘Pertuduhan yang berdiskriminasi’

Kebanyakan rakyat Malaysia di media sosial berang dengan tindakan pihak berkuasa yang menghabiskan banyak masa dan usaha untuk membawa pulang individu yang disifatkan mereka sebagai tidak melakukan sebarang kesalahan jenayah.

Nur Sajat berdepan “pelbagai pertuduhan yang berdiskriminasi,” ciap aktivis hak asasi Michelle Yesudas.

“Pihak berkuasa dihantar untuk memburunya secara besar-besaran. Orang lain di SEA yang mungkin lebih layak digelar sebagai penjenayah perang sebenar tidak pula diburu seperti Nur Sajat,” katanya merujuk kepada rantau Asia Tenggara.

Nur Athira, seorang transgender yang merupakan aktivis dan pembikin filem di Malaysia, pula berkata komuniti itu tidak akan menyokong Nur Sajat jika dia telah melakukan kesalahan jenayah.

“…bagaimanapun, apabila dia diserang secara lisan dan didakwa menghina Islam apabila berpakaian menutup aurat dengan sempurna semasa majlis keagamaan turut memberi kesan terhadap saya dan mak nyah berbangsa Melayu yang lain,” ciapnya di laman Twitter.

Pada Februari lepas, Justice for Sisters, sebuah kumpulan hak asasi transgender, berkata meskipun sesetengan warganet mungkin mengkritik Nur Sajat kerana tidak hadir ke mahkamah pada tarikh yang ditetapkan, isu sebenar yang perlu ditangani ialah menafikan martabat komuniti LGBTQ.

“Ia seolah-olah negara ini hanya membenarkan individu LGBTQ wujud jika mereka tergolong dalam definisi sebagai seorang penganut Islam dan mengkehendaki golongan yang tidak diketahui jantina untuk ‘berubah,’‘menahan diri’ atau ‘memulihkan’ diri mereka,” menurut kumpulan itu dalam kenyataan seperti dilaporkan media tempatan.

Pemulihan seperti ini telah “ditolak oleh badan perubatan dan hak asasi manusia di peringkat antarabangsa kerana kesan buruknya terhadap kesejahteraan komuniti LGBTQ.”

Malaysia pada tahun ini iaitu sehingga akhir Jun, telah menghantar 1,733 ahli komuniti LGBT ke ‘kem pemulihan’ yang dikendalikan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob semasa sidang Parlimen pada Rabu lepas.

“Kerajaan serius dalam isu membabitkan golongan LGBT di negara ini kerana Malaysia adalah sebuah negara yang mematuhi ajaran agama Islam,” katanya dalam jawapan bertulis kepada satu soalan.

“Mana-Mana individu yang melanggar undang-undang perlu berdepan tindakan. ...mereka perlu dibimbing dan disedarkan bagi membolehkan mereka pulang ke pangkal jalan.”

Ramai rakyat Malaysia yang menyindir pihak berkuasa kerana tidak mengambil pendekatan sama ketika mencari ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low yang didakwa merupakan watak utama dalam skandal penyelewengan dana negara 1MDB membabitkan berjuta-juta dolar.

“Kalaulah mereka menggunakan pendekatan yang sama ketika menjejaki Nur Sajat untuk mencari Jho Low,” kata seorang pengguna Twitter dikenali sebagai John Van Huizen.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Komen

BoleyJalan
Oct 03, 2021 10:47 PM

Komen Ana satu je, kan dia dah istihar keluar dr Islam? Makamah syariah ade kuasa ke nak bicara kes ni? Yg Parti Politik Pas sibuk apesai? Hudud dah bentang ke? Judi dah diharamkan ke? Arak dah boleh niage ke?