Polis Pantau Sekolah Tahfiz, Pastikan Fahaman Jihad Salafi Tidak Tersebar, KPN

Ali Nufael
2018.10.09
Kuala Lumpur, Malaysia
181009-MY-Salafi1000.jpg Seorang lelaki Islam Malaysia yang mengamalkan ajaran Syiah sedang berdoa di sebuah masjid di pinggiran Kuala Lumpur, 4 Januari 2011.
AP

Pihak berkuasa akan terus memantau semua sekolah tahfiz di dalam negara bagi mengelakkan tersebarnya fahaman Jihad Salafi dan Negara Islam [IS], demikian kata Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun pada Selasa.

"Kami khuatir mereka yang berfahaman Salafi akan menggunakan kesempatan seperti yang berlaku di Perlis bagi menyebarkan fahaman mereka di dalam negara ini," kata Fuzi kepada media di ibu negara.

Beliau turut berkata bahawa atas usaha proaktif pihak polis, tahap keselamatan negara terhadap ancaman serangan keganasan berada ditahap yang terkawal.

"Oleh kerana langkah proaktif pihak berkuasa, dan dari siasatan kita, mendapati setakat ini ancaman fahaman ideologi bagi negara berada dalam keadaan terkawal, “kata Ketua Polis Negara itu sambil menambah yang  hanya sebuah sekolah tahfiz di Perlis yang dikesan terdedah kepada fahaman Jihad Salafi.

Beliau menambah, “Bagaimanapun, pusat pembelajaran terbabit sudah kita serbu semalam, dua daripada warga asing yang ditahan oleh Bahagian Anti-Keganasan Cawangan Khas Bukit Aman pada 24 September lalu adalah tenaga pengajar di situ,”

Fuzi membuat kenyataan itu selepas diminta mengulas mengenai penangkapan lapan individu di tiga buah negeri di Semenanjung Malaysia bulan lalu.

Tangkapan oleh unit anti-pengganas itu dibuat susulan maklumat risikan yang diperolehi pihak polis berhubung usaha sebuah kumpulan pengganas yang berpegang kepada ideologi Jihad Salafi di Yaman yang bertujuan untuk menubuhkan pusat pengajian Islam di Asia Tenggara bagi menyebarkan fahaman itu," kata Fuzi Ahad lalu.

Lima daripada suspek dipercayai berasal dari beberapa negara Eropah dengan suspek keenam merupakan warganegara dari sebuah negara di benua Amerika.

Beliau tidak mengulas lanjut tetapi berkata, lapan suspek itu berusia antara 24 hingga 38 tahun dan sebahagian besar daripada mereka, berdasarkan maklumat yang dikongsi oleh risikan asing, dikaitkan dengan IS atau kumpulan ekstremis lain yang bergerak di negara asal mereka.

Seorang bekas pelajar dan seorang bekas tenaga pengajar pusat pengajian itu adalah antara mereka yang ditangkap polis, kata Fuzi.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan nama sekolah tersebut.
Bekas tenaga pengajar itu yang berusia 33 tahun dan berasal dari Timur Tengah ditangkap di Kuala Lumpur dan diketahui menganjurkan kelas agama tanpa tauliah di Kuala Lumpur bagi menyebarkan ideologi Jihad Salafi, kata ketua polis itu.

Kesemua lapan suspek itu dikaitkan dengan sebuah madrasah atau pusat pengajian Islam di Yaman, yang diasaskan oleh tokoh pergerakan Jihad Salafi, allahyarham Muqbil bin Hadi al-Wadi'i, kata Fuzi.

"Madrasah di Yaman itu berpegang kuat kepada ideologi Jihad Salafi yang menghalalkan pembunuhan orang bukan Islam dan orang Islam yang tidak sealiran dengan mereka," kata Fuzi sambil menambah mereka melabelkan sistem demokrasi sebagai toghut (tidak mengikut hukum Allah).”

Kesemua lapan lelaki itu ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan yang berkaitan dengan keganasan dan sedang disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA), kata Fuzi. Mereka belum dihadapkan ke mahkamah.

Enam puluh tiga orang ditahan

Dalam pada itu, Fuzi mendedahkan pengetua pusat tahfiz di Perlis yang dikaitkan dengan lapan individu yang ditangkap itu tidak ditahan dan siasatan mendapati sekolah berkenaan tidak ditubuhkan dengan matlamat menyebar ajaran ekstremisme.

"Sekolah sudah ditubuhkan awal. Mereka sertai sekolah itu kemudian menjadi tenaga pengajar untuk sebarkan (ideologi ekstremisme),” kata beliau.

BeritaBenar difahamkan bahawa sekolah itu telah ditubuhkan sejak tahun 2011.

Walaubagaimanapun, ketika diminta untuk memberi komen tambahan mengenai siasatan kes itu, Fuzi berkata beliau tidak boleh memberikan keterangan lebih lanjut kerana kes itu sedang disiasat.

"Siasatan sedang berlangsung sekarang dan kami sedang mengenalpasti kumpulan pelajar yang terpengaruh dengan ajaran tersebut," tambah beliau.

Fuzi turut memberitahu pemberita seramai 63 saspek telah ditangkap sejak awal tahun ini kerana disyaki terlibat dengan aktiviti keganasan.

"Kesemua 63 individu itu terdiri daripada rakyat tempatan dan asing, dan mereka telah ditahan dan siasatan sedang dijalankan terhadap mereka semua," kata Fuzi baru-baru ini.

BeritaBenar turut difahamkan antara yang ditahan, 23 terdiri daripada rakyat Malaysia manakala selebihnya daripada Eropah, Timur Tengah dan negara Asia yang lain.

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh pegawai bahagian memerangi keganasan pada Oktober tahun lalu, pihak berkuasa Malaysia menahan seramai 105 orang yang disyaki militan dan ditahan dari Januari hingga Oktober, berbanding 119 orang pada tahun 2016.

Statistik itu sekaligus menunjukkan penurunan dalam bilangan pendakwaan yang difailkan: 41 pada 2017 berbanding dengan 70 pada 2016.

Pihak berkuasa Malaysia pada bulan yang sama juga mengeluarkan senarai 45 warga asing yang ditahan sejak Januari kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas termasuk IS.

"Antara suspek yang ditahan itu terdiri daripada rakyat Iraq, Turki, Albania, Yaman, Maldives, China, Bangladesh, Indonesia dan Filipina," kata Fuzi dalam satu kenyataan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.