1MDB: Firma Audit KPMG Bayar RM333 Juta Selesai Saman Kecuaian

Penyelesaian itu adalah yang terbesar oleh sebuah firma audit di Asia Tenggara, kata Kementerian Kewangan.
Noah Lee
2021-09-16
Share
1MDB: Firma Audit KPMG Bayar RM333 Juta Selesai Saman Kecuaian Kotak-kotak dokumen 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dibawa ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di Kuala Lumpur, 28 Ogos 2019.
[AFP]

Malaysia pada Khamis mengumumkan bahawa firma audit antarabangsa KPMG telah bersetuju untuk membayar sejumlah RM333 juta (AS$80 juta) sebagai penyelesaian bagi mengakhiri tuntutan saman oleh kerajaan berkaitan kerja pengauditan yang dijalankan olehnya ke atas dana negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kira-kira sepuluh tahun lalu.

Penyelesaian tersebut adalah kemenangan strategi bagi kerajaan Malaysia yang telah memfailkan saman ke atas firma-firma pelaburan bagi mendapatkan semula berbilion dolar wang milik 1MDB yang hilang melalui penyelesaian.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan pada Khamis berkata penyelesaian oleh KPMG itu mengakhiri tuntutan saman sivil berjumlah AS$8 bilion ke atas firma audit tersebut, yang difailkan pada Julai lepas.

"Kementerian Kewangan dengan sukacitanya mengumumkan bahawa KPMG telah bersetuju dengan penyelesaian bernilai RM333 juta (USD80 juta) bagi memenuhi semua tuntutan berkaitan dengan tanggungjawab fidusiari mereka dalam pengauditan akaun 1MDB untuk tempoh 2010 hingga 2012.

"Penyelesaian ini akan mengakhiri tuntutan sivil yang difailkan pada 6 Julai 2021 terhadap KPMG. Ini akan mempercepat penyelesaian tersebut yang akan digunakan untuk memenuhi obligasi 1MDB yang tertunggak, dan menjimatkan sumber awam dari segi kewangan dan tempoh masa pengadilan," kata kenyataan media yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan pada Khamis.

Menurut kementerian itu, nilai penyelesaian yang dipersetujui KPMG itu adalah 800 kali ganda lebih banyak daripada bayaran diterima firma berkenaan untuk kerja pengauditannya ke atas 1MDB.

"Ia merupakan salah satu penyelesaian berkaitan 1MDB yang terbesar oleh sebuah firma audit di Asia Tenggara," kata kenyataan itu lagi.

Pada Julai lalu, kerajaan Malaysia telah memfailkan saman sivil bagi menuntut AS$5.6 bilion daripada KPMG yang didakwa telah gagal mengenalpasti penyelewengan dari syarikat dana negara 1MDB ketika melaksanakan audit dengan penyelewengan didakwa telah dilakukan oleh Perdana Menteri ketika itu, Najib Razak untuk kepentingan peribadi beliau.

Dokumen Pernyataan Tuntutan oleh Kementerian Kewangan menunjukkan bahawa saman tersebut difailkan oleh kerajaan, Menteri Kewangan (Diperbadankan), 1MDB dan empat anak syarikatnya terhadap KPMG bersama 44 rakan kongsi firma itu.

KPMG dalam respon balas mereka pada ketika itu bagaimanapun menafikan semua dakwaan seperti dinyatakan dalam tuntutan saman kerajaan, dan menyatakan bahawa mereka akan melawan segala dakwaan tersebut di mahkamah.

"Semua tuduhan seperti dilaporkan dalam berita adalah dinafikan, dan tuntutan tersebut akan ditentang dengan bersungguh-sungguh oleh semua rakan kongsi (KPMG).

"KPMG berasa kecewa dengan perkembangan ini. Firma ini akan terus komited dalam membina kepercayaan orang ramai, memberikan servis profesional berkualiti tinggi kepada para pelanggan, memegang nilai-nilai kami, dan menyediakan suasana kerja terbaik untuk pekerja kami," syarikat itu dilaporkan berkata kepada BenarNews pada Julai.

Bukti tekad kerajaan

Sementara itu, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz dalam komen beliau terhadap kejayaan tersebut menyatakan bahawa ia membuktikan tekad kerajaan dalam usaha pemulihan 1MDB dan memastikan semua yang terlibat diambil tindakan sewajarnya.

"Ini membuktikan tekad Kerajaan Malaysia untuk meneruskan segala usaha pemulihan terhadap semua pihak yang terlibat dalam 1MDB dan entiti yang berkaitan dengannya. Kerajaan Malaysia akan memastikan tindakan sewajarnya diambil terhadap semua individu atau entiti yang terlibat, secara langsung atau tidak langsung, di dalam skim global 1MDB ini," kata beliau.

Kementerian Kewangan turut menegaskan bahawa persetujuan penyelesaian dengan KPMG itu bagaimanapun tidak akan memberikan sebarang kesan atau menjejaskan tuntutan Malaysia terhadap pihak lain, termasuk individu seperti ahli perniagaan Jho Low yang dikehendaki dan masih diburu pihak berkuasa atas peranannya dalam skandal 1MDB.

Pada Mac tahun ini, sebuah lagi firma audit antarabangsa Deloitte PLT turut mencapai persetujuan penyelesaian dengan kerajaan Malaysia, setelah ia bersetuju membayar sejumlah AS$80 juta (RM324 juta) bagi menyelesaikan kesemua tuntutan Malaysia berkaitan pengauditan yang dijalankannya ke atas akaun 1MDB.

Pada Julai tahun lalu, Putrajaya telah berjaya berunding dengan satu lagi firma audit terkenal Goldman Sachs untuk penyelesaian berjumlah AS$3.9 billion (RM15.8 bilion).

Selepas itu pada 26 Feb, kerajaan sekali lagi berjaya mendapatkan persetujuan penyelesaian dari sebuah kumpulan bank dalam negara - AMMB Holdings Bhd (AmBank) dimana bank berkenaan bersetuju untuk membayar sebanyak AS$700 juta (RM2.83 bilion) dalam penyelesaian dengan kerajaan Malaysia atas keterlibatannya dalam skandal 1MDB.

Ketua Pengarah Eksekutif Kumpulan Ambank pada 1 Mac lalu turut mengesahkan perjanjian penyelesaian dengan Kementerian Kewangan berkaitan skandal 1MDB, selepas kenyataan memaklumkan mengenainya dikeluarkan oleh Kementerian berkenaan.

Malaysia telah berusaha secara aktif untuk mendapatkan semula dana negara yang hilang dalam skandal 1MDB sejak Najib Razak dan parti pimpinannya dikalahkan pada Pilihan Raya Umum Malaysia 2018.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan media pada 2 Julai lalu berkata Akaun Pemulihan Aset 1MDB, yang ditubuhkan untuk mengumpul semula wang yang diselewengkan telah berjaya diperolehi sebanyak RM18.176 bilion (AS$4.34 bilion) dengan kesemuanya akan digunakan membayar hutang-hutang 1MDB.

"Bagaimanapun, baki semasa akaun amanah ini hanya cukup untuk membayar prinsipal dan faedah hutang 1MDB bagi 2021 dan 2022," demikian kata Tengku Zafrul dalam kenyataannya itu.

Beliau berkata, Putrajaya setakat ini telah membayar semula sejumlah RM12.54 bilion (AS$3 bilion) hutang 1MDB, dan RM3.8 bilion (AS$910 juta) hutang syarikat SRC International.

"Setakat 30 Jun, 2021, jumlah hutang yang masih belum diselesaikan adalah sebanyak RM39.66 bilion (AS$9.47 bilion) bagi 1MDB dan RM1.85 bilion (AS$440 juta) pula melibatkan akuan SRC," kata menteri berkenaan.

Pada 10 Mei lalu, Malaysia telah mengambil tidakan yang sama dengan memfailkan saman terhadap bank J.P. Morgan, Deutsche Bank dan Coutts & Co. sebagai sebahagian daripada usaha mendapatkan semula dana 1MDB.

Tindakan tersebut, berjumlah 22 keseluruhannya, telah difailkan oleh 1MDB dan bekas anak syarikatnya SRC, bagi mendapatkan semula AS$23 bilion yang dibuat selepas kerajaan mendapat semula sekurang-kurangnya AS$5 bilion dari penyelesaian bersama Goldman Sachs dan syarikat-syarikat lain.

Pada Julai 2020, Najib telah disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tujuh pertuduhan jenayah berkait dengan SRC International, di mana beliau kini sedang dalam proses rayuan terhadap sabitan tersebut, dan pada masa sama menghadapi 25 pertuduhan lain termasuk penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram yang berkait dengan skandal 1MDB.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh