Isteri Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Didakwa Bunuh Suami
2019.03.04
Kuala Lumpur, Malaysia
Isteri kepada Ketua Pegawai Eksekutif syarikat pelaburan milik kerajaan Malaysia, Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan bersama dua anaknya pada Isnin didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas dakwaan membunuh suaminya Jun tahun lepas.
Samirah Muzaffar, 43, dituduh membunuh suaminya itu bersama-sama dengan dua anaknya daripada perkahwinan pertama beliau bersama pembantu rumah warga Indonesia, Eka Wahayu Lestari, yang kini masih bebas.
Menurut kertas pertuduhan, Samirah bersama-sama dua anak lelaki yang ketika itu berusia 13 dan 16 tahun dan wanita Indonesia itu didakwa dengan niat bersama membunuh Nazrin antara 11.30 malam pada 13 Jun dan 4 pagi 14 Jun tahun lepas di sebuah rumah di Mutiara Homes, Petaling Jaya, Selangor.
Kesemua mereka dituduh melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun tertuduh di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati di bawah Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001, namun boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 menyatakan bahawa hukuman mati tidak boleh dijatuhkan ke atas pesalah kanak-kanak bawah umur 18 tahun namun mahkamah boleh menjatuhkan hukuman penjara selama mana diperkenankan Yang di-Pertuan Agong dan mengikut Seksyen 94 akta sama juga mempunyai kuasa untuk memerintahkan supaya ibu bapa dikenakan denda atau membayar pampasan.
Tiada pengakuan direkodkan daripada Samirah, yang merupakan anak kepada aktivitis terkemuka Malaysia, Dr Chandra Muzaffar dan dua anaknya itu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jamil Aripin dan Mohd Zain Ibrahim manakala semua tertuduh diwakili peguam LS Leonard dan Mahinderjit Singh.
Majistret Tuan Muhammad Ikhwan Mohd Nasir kemudian membenarkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Perintah larangan
Majistret Tuan Muhammad juga membenarkan permohonan Jamil supaya notis larangan dikenakan terhadap media supaya tidak mendedahkan nama, alamat, tempat tinggal atau mengambil dan menyiarkan gambar dua tertuduh yang masih di bawah umur dalam mana-mana platform media cetak dan elektronik.
Samirah, yang bertudung hijau dan berbaju belang, serta dua anak lelakinya yang berpakaian seragam sekolah mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka secara berasingan.
Samirah kemudian diperintahkan dihantar ke Penjara Kajang manakala kedua-dua anaknya ditempatkan di fasiliti juvana.
Chandra Muzaffar, yang juga ahli akademik dan penganalisis politik terkenal di Malaysia, merupakan rakan rapat kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Anwar Ibrahim sebelum masing-masing membawa haluan sendiri berikutan perbalahan dalam parti beberapa tahun lepas. Chandra adalah antara ahli terawal PKR selepas parti itu ditubuhkan pada 2003.
Chandra, yang pernah menghasilkan pelbagai buku berkaitan hak asasi manusia, adalah presiden International Movement for a Just World (JUST) iaitu organisasi bukan kerajaan yang memberi tumpuan kepada menggalakkan kesedaran awam terhadap moral dan asas intelektual terhadap keadilan global.
Sementara itu, Ketua Siasatan Jenayah Selangor Fadzil Ahmat berkata bahawa tiga beranak itu ditahan di rumah mereka di Petaling Jaya pada kira-kira 6.45 pagi Isnin.
Tangkapan dilakukan selepas patologis dari Pusat Perubatan Universiti Malaya dalam laporan bedah siasat kedua ke atas mayat Nazrin merumuskan bahawa mangsa meninggal dunia akibat kecederaan di bahagian kepala, katanya dalam kenyataan.
Keluarga Nazrin meminta supaya bedah siasat kedua dilakukan selepas kes kematian lelaki itu diklasfisikasikan sebagai bunuh.
Nazrin ditemui mati di rumahnya di Mutiara Homes pada 14 Jun, 2018 sehari sebelum sambutan Aidilfitri.
Sebelum ini, laporan media menyatakan Nazrin dipercayai mati setelah telefon bimbitnya yang sedang dicas meletup dan menyebabkan kebakaran di bahagian atas rumah dua tingkat yang didiami bersama keluarganya.
Dalam bedah siasat awal di Hospital Kuala Lumpur, pakar patologis berkata punca kematian adalah disebabkan oleh letupan telefon bimbit.
Bagaimanapun, siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat menemui sisa gasolin di dalam bilik tidur mangsa.
Polis kemudian mengklasifikasi semula kes itu daripada kematian mengejut kepada bunuh berikutan laporan yang dikeluarkan oleh pihak bomba.
Pada 4 Sept tahun lepas, polis menahan reman Samirah dan bekas suaminya selama tujuh hari bagi membantu siasatan.
Polis turut menahan dua anak lelaki Samirah daripada perkahwinan pertamanya, dua hari kemudian.
Bekas suami dan dua anak lelakinya dibebaskan dengan jaminan polis selepas berakhirnya tempoh tahanan reman tetapi penahanan Sarimah disambung tiga hari lagi bagi membantu siasatan polis.
Menurut laman web Cradle Fund, syarikat itu merupakan syarikat pelaburan di bawah Kementerian Kewangan Malaysia yang ditubuhkan pada 2003 bagi membantu syarikat-syarikat baru dalam industri teknologi dan berpotensi dibangunkan dengan dana melalui Program Pelaburan Cradle.
Setakat ini, Cradle Fund, telah membantu 700 syarikat teknologi milik Malaysia.
Aiman Abd Razak di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.