Malaysia Sekat The Sarawak Report

Oleh staf BeritaBenar
2015.07.20
150720-MY-RAZAK620 Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semasa pertemuan dengan pelatih-pelatih baru kerajaan di pejabat Perdana Menteri di Putrajaya. 8 Julai 2015.
AFP

Malaysia telah menyekat laman web yang berpangkalan di United Kingdom, ‘The Sarawak Report’, sejak malam Ahad lalu, kerana dikatakan mampu mengganggu-gugat kestabilan negara.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia SKMM dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad berkata, tindakan itu diambil berikutan aduan daripada orang ramai yang laman web itu telah memaparkan kandungan yang belum disahkan dan masih di dalam siasatan.

The Sarawak Report, portal berita kendalian Clare Rewcastle Brown, bekas wartawan BBC dan kakak ipar kepada bekas Perdana Menteri Britain, Gordon Brown, itu dalam beberapa siri sebelum ini telah menerbitkan laporan yang mendakwa terdapat salah urus kewangan melibatkan Perdana Menteri Najib Razak, ditambah pula dengan masalah hutang yang menimpa syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

"Sekatan terhadap laman web The Sarawak Report itu dibuat mengikut peruntukan di dalam Seksyen 211 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan tempoh sekatan terhadap laman berkenaan berkuatkuasa untuk sementara waktu sehingga tamatnya siasatan yang dilakukan oleh Pasukan Petugas Khas," kata kenyataan SKMM pada Ahad.

Bagaimanapun, SKMM tidak menyatakan secara terperinci laporan yang mana dari portal berita itu yang menggugat keselamatan Malaysia.

Sebelum ini, satu laporan polis telah dibuat yang mendakwa portal The Sarawak Report telah memalsukan fakta berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Susulan itu, polis telah menubuhkan sebuah pasukan khas untuk menyiasat laporan berkenaan.

Dalam kenyataan yang sama, SKMM turut mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati apabila berkongsi maklumat di laman sosial, terutamanya kandungan yang tidak dapat dipastikan kesahihannya.

"Kandungan sedemikian dikhuatiri boleh mewujudkan keadaan tidak tenteram dan seterusnya menganggu-gugat kestabilan negara, ketenteraman awam dan kestabilan ekonomi," menurut kenyataan itu.

Cubaan mengaburkan pendedahan

Sementara itu, laman Facebook milik Sarawak Report berkata, "Ini adalah satu cubaan untuk mengaburkan pendedahan kami mengenai rasuah yang melibatkan dana pembangunan 1MDB,"

Tindakan ini tidak akan menghalang The Sarawak Report untuk mengeluarkan sebarang maklumat di masa depan apabila siasatan dapat mendedahkan bukti selanjutnya, menurut Sarawak Report. Portal berita itu masih boleh diakses oleh pembaca di luar negara.

Laporan terbaru laman portal berita itu mendakwa wujudnya gangguan meluas oleh orang yang dipercayai anggota parti UMNO di Malaysia dan telah memfailkan laporan polis di Balai Polis Metropolitan di London.

The Sarawak Report telah beberapa kali menyiarkan pendedahan berani di dalam laporan beritanya.

Antara pendedahkan yang pernah dibuat oleh portal berita itu ialah mengenai hartanah bernilai berbillion ringgit milik bekas Ketua Menteri Sarawak, Abdul Taib Mahmud,  di luar negara termasuk di Kanada, Amerika Syarikat dan England.

Sementara itu, Agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) melaporkan Menteri Komunikasi dan Multimedia Ahmad Shabery Cheek sebagai berkata,  tindakan menyekat laman web itu adalah tindakan proaktif SKMM terhadap laman web yang dianggap boleh mengancam ketenteraman negara kerana menyebarkan maklumat yang tidak disahkan.

“SKMM sepatutnya menggunakan kaedah preventif yang sama dalam menangani perkara-perkara lain yang boleh menimbulkan keresahan rakyat melalui maklumat-maklumat yang tidak disahkan. Maklumat tidak sah sama seperti virus yang boleh membunuh. SKMM sepatutnya lebih tegas dalam menanganinya," katanya

Portal berita Free Malaysia Today melaporkan Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man, menganggap langkah SKMM dan kerajaan Malaysia menyekat laman web The Sarawak Report itu sebagai satu kesilapan besar dan bakal memakan diri.

“Tindakan ini akan menyebabkan rakyat memberikan kepercayaan lebih kepada Sarawak Report berbanding kepada kerajaan Malaysia. Sepatutnya, pihak yang merasakan Sarawak Report sedang menyebarkan fitnah perlu memfail saman fitnah terhadapnya,” katanya.

Menurut Tuan Ibrahim, alasan yang digunakan oleh SKMM yang mengatakan laman web tersebut mengganggu ‘kestabilan negara’ adalah tidak betul. Apa yang mengganggu ‘kestabilan negara’ pada masa ini ialah masalah 1MDB dan cara 1MDB melangsaikan hutangnya.

The Wall Street Journal (WSJ) yang beribu pejabat di New York, Amerika Syarikat (AS), pada awal Julai mendakwa penyiasatan terhadap hal ehwal 1MDB menunjukkan hampir AS$700 juta (RM2.64 bilion) telah disalurkan ke dalam akaun peribadi Najib.

Najib, juga pengerusi lembaga penasihat 1MDB, pantas menafikan dakwaan itu pada lewat Jumaat lepas, dan menyifatkan laporan tersebut sebagai "tuduhan palsu," dan "sebahagian daripada kempen bersepadu sabotaj politik untuk menjatuhkan seorang Perdana Menteri yang dipilih secara demokratik."

1MDB yang dilancarkan oleh Najib pada 2009 mengeluarkan kenyataan menafikan yang ia pernah menyalurkan dana ke dalam akaun milik Najib.

Najib juga telah menyatakan bahawa dokumen yang telah dibocorkan sebelum itu telah diubah suai, dan dokumen-dokumen yang disebut oleh WSJ tidak disahkan.

Isu 1MDB yang dipercayai berhutang berbilion ringgit turut memberi kesan negatif terhadap nilai mata wang ringgit di tengah-tengah dakwaan salah urus dan urus niaga luar negara yang kabur.

Agence France-Presse melaporkan, Pusat Kewartawanan Bebas Malaysia (CIJ) pada Isnin menggesa pengawal penyelia internet di negara itu supaya "menghormati hak kebebasan bersuara dan menarik balik sekatan terhadap The Sarawak Report".

CIJ menggesa supaya tumpuan diberikan kepada siasatan terhadap isu-isu yang benar wujud, dan menolak penapisan internet sebagai cara untuk menangani isu ini, kata badan kewartawanan tersebut.

H. Aleeya menyumbang untuk laporan ini

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.