Malaysia Mahu Tingkatkan Eksport Minyak Sawit ke Pakistan
2020.02.11
Kuala Lumpur, Malaysia

Eksport minyak sawit ke India pada Januari adalah yang terendah dalam tempoh empat tahun berdasarkan data kerajaan susulan dari sekatan perdagangan yang dikenakan kerajaan India selepas Perdana Menteri Mahathir Mohamad mengkritik New Delhi berhubung polisi keatas Kashmir.
Pada masa yang sama bagi mengurangkan kesan itu, Malaysia mensasarkan untuk meningkatkan import ke Pakistan sebanyak 60 peratus, selepas lawatan Perdana Menteri Pakistan Imran Khan ke Malaysia minggu lalu.
Semasa lawatan itu Imran pada sidang media bersama Mahathir bersetuju dengan kenyatan Perdana Menteri Malaysia yang memaklumkan bahawa Pakistan berhasrat membeli lebih banyak minyak sawit Malaysia, dengan perkara berkenaan telah dibincangkan dalam pertemuan kedua-dua pemimpin tersebut.
“Kami berbincang mengenai jual beli minyak sawit dan Pakistan bersedia untuk mengimport lebih banyak dari Malaysia,” kata Mahathir pada sidang media bersama rakan sejawatannya dari Pakistan itu.
Imran yang bersetuju dengan kenyataan Mahathir menambah dengan berkata, “Betul sebab kami dapati India mengugut mahu mengurangkan import minyak sawit Malaysia kerana menyokong perjuangan di Kashmir.
“Pakistan akan berusaha sebaik mungkin untuk mengimbangi (pengurangan oleh India),” kata Imran.
Data kerajaan menunjukkan Pakistan mengimport kira-kira 1.08 juta tan metrik atau kira-kira 22 peratus keseluruhan import minyak sawit dari Malaysia dengan negara itu membeli sebahagian besar daripada negara jiran Indonesia.
India pula mengimport 4.4 juta tan minyak kelapa sawit dari Malaysia pada 2019 menjadikannya pengimport minyak sawit terbesar di samping China, yang mengimport 2.49 juta tan.
Eksport ke India telah menurun dengan ketara iaitu 46,876 tan metrik pada Januari lalu berbanding dengan 318,342 tan metrik pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Tawar-menawar
Menteri Industri Utama Malaysia Teresa Kok mengalu-alukan kenyataan Perdana Menteri Pakistan yang mahu menambah jumlah dagangan minyak sawit dari Malaysia yang disifatkannya sebagai sesuatu yang sangat baik tetapi banyak perkara perlu dibincangkan berhubungan jual-beli itu termasuk permintaan harga yang lebih rendah.
"Apabila saya berada ke Karachi [Pakistan], saya melawat kilang penapisan dan diberitahu pasaran untuk minyak sawit dari Malaysia hanya 22 peratus dan sememangnya terdapat ruang untuk penambah-baikan tetapi mereka juga meminta minyak kelapa sawit mentah (CPO) dijual dengan harga yang lebih rendah dan semua itu perlu dibincangkan.
"Saya harap daripada 22 peratus yang beli oleh Pakistan sekarang, jika kita boleh tingkatkan ke 50 hingga 60 peratus, ia akan menjadi peningkatan yang besar," kata Kok kepada media pada Jumaat lalu.
India pada 8 Januari lepas melalui Kementerian Perdagangan dan Industrinya telah meminda dasar import melibatkan minyak sawit ditapis dan minyak kelapa sawit, daripada bebas kepada terhad.
Walaupun Malaysia tidak dinamakan secara khususnya, langkah itu dijangka dapat memberi kesan kepada eksportnya itu kerana India adalah pengimport minyak kelapa sawit terbesar Malaysia.
Disember lepas, Mahathir mengkritik India mengenai undang-undang kewarganegaraan yang dipinda yang dikatakan mempunyai diskriminasi terhadap umat Islam di negara itu.
Parlimen India telah meluluskan pindaan rang undang-undang kontroversi yang memberi kerakyatan kepada ahli-ahli kumpulan minoriti agama dari Bangladesh, Pakistan dan Afghanistan yang mencari perlindungan suaka di India dan yang memasuki negara itu sebelum September 2014.
Sebaliknya negara itu mengecualikan umat Islam dari negara-negara tersebut yang memohon kewarganegaraan dari India.
Pada Januari juga, Mahathir pada satu sidang akhbar di Kuala Lumpur berkata sesebuah negara tidak boleh membenarkan pertimbangan ekonomi mengatasi bantahan untuk bersuara terhadap perkara “salah”.
Mahathir memberi komen umum itu semasa menjustifikasikan kritikannya terhadap India mengenai konflik negara itu dengan Pakistan berhubung insurgensi di Kashmir, serta pindaan baru undang-undang kewarganegaraan negara berkenaan.
“Kita bimbang kerana kita jual banyak minyak sawit kepada India. Tetapi dalam erti kata lain, kita perlu bercakap jujur dan apabila sesuatu yang salah, kita perlu bersuara,” Perdana Menteri itu memberitahu pemberita di Kuala Lumpur.
“Jika kita terus membiarkan kesalahan berlaku dan hanya memikirkan mengenai jumlah wang yang terlibat sahaja, maka saya fikir banyak perkara salah akan terus dilakukan oleh kita dan orang lain,” katanya.
Import Pakistan tidak mencukupi
Sementara itu penganalisis ekonomi, Barjoyai Bardai berkata, meskipun Pakistan meningkatkan import minyak sawit sebanyak 60 peratus, ia masih terlalu kecil berbanding import ke India.
"Jumlahnya masih kecil. Kita tidak boleh hanya bergantung kepada Pakistan. Kita perlu mencari kegunaan baru untuk minyak sawit terutamanya dalam pasaran tempatan.
Selain digunakan sebagai minyak masak, pengkaji minyak sawit perlu cuba gunakannya untuk menghasilkan makanan seperti susu, keju, minyak sapi dan daging berasaskan sayuran seperti ayam," kata profesor di Universiti Tun Abdul Razak itu, kepada BeritaBenar pada Selasa.
Menurut seorang lagi penganalisis Rajah Rasiah, Profesor Ekonomi daripada Institut Asia Europe, University Malaya yang turut bersetuju bahawa peningkatan import dari Pakistan masih belum dapat mampu menampung kerugian yang dialami Malaysia.
“Lagipun Pakistan cuma boleh melakukan pembayaran lewat kerana dana dari Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) telah memaksa negara itu untuk menaikkan kadar faedah dan mengurangkan import negara. Pakistan sekarang ini sedang berhadapan dengan inflasi yang tinggi dan masalah pengangguran,” kata Rajah.
Beliau turut berkata wabak koronavirus yang melanda China dan merebak ke beberapa negara lain dunia termasuk Malaysia turut memperlahankan pembangunan di China dan ini turut menyumbangkan kepada pengurangan import dari republik itu terutamanya minyak sawit dan durian.
Malaysia dan Indonesia membekalkan kira-kira 60 juta metrik tan minyak sawit setiap tahun atau kira-kira 85 peratus daripada pengeluaran dunia, menurut data kerajaan.