Pengeluar Minyak Sawit Malaysia Perlu Cari Pasaran Baharu, kata Menteri

Noah Lee
2020.10.22
Kuala Lumpur, Malaysia
201022-MY-Khairuddin620.jpg Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Mohd Khairuddin Aman Razali semasa ditemubual oleh sebuah stesen televisyen tempatan Malaysia di Kuala Lumpur, 22 Oktober, 2020.
[Ihsan Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi]

Malaysia mahu pemain industri minyak sawit di negara itu meneroka pasaran baharu terutamanya di benua Afrika dan Asia Tengah, susulan tindakan Amerika Syarikat mengenakan sekatan import terhadap produk tersebut yang didakwa terlibat dalam aktiviti buruh paksa.

Menteri Perusahaan, Perladangan Dan Komoditi Mohd Khairuddin Aman Razali pada Khamis telah mengadakan pertemuan dengan pengurusan FGV Holding, pengeluar minyak dan produk sawit terbesar Malaysia mengakui bahawa pasaran AS adalah penting kepada industri minyak sawit Malaysia itu tetapi sejak kebelakangan ini insiden sekatan oleh negara tersebut semakin kerap berlaku.

Sehubungan itu, pemain industri berkenaan perlu bersedia untuk mempertimbangkan penerokaan pasaran baharu dan mengambil langkah sewajarnya dalam menyelesaikan masalah sekatan bagi membolehkan pengeluar terus dapat memasarkan hasil produk mereka.

"AS merupakan pasaran penting bagi produk agrikomoditi Malaysia dan juga antara penyumbang terbesar kepada pendapatan eksport negara dengan jumlah eksport agrikomoditi ke negara itu bernilai RM14.10 bilion bagi tempoh lapan bulan sejak Januari.

“Tetapi insiden sekatan ini semakin kerap berlaku, jadi Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (KPPK) bersedia untuk mempertimbang tindakan sewajarnya dalam usaha menangani isu ini," kata Khairuddin dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan di Putrajaya selepas pertemuaan dengan Ketua Pegawai Komunikasi Strategik Kumpulan FGV Holding Berhad, Najmuddin Abdullah berhubung sekatan dan dakwaan terkini AS terhadap syarikat tersebut.

“Kementerian menyarankan agar pihak industri sawit termasuk FGV untuk terus meneroka pasaran baharu mengambil kira situasi pandemik COVID-19 masa kini dengan memfokuskan eksport sawit ke negara-negara lain yang berpotensi di benua Afrika seperti Nigeria, Asia Tengah dan sebagainya,"  tambah Menteri itu.

Pada 30 September lepas, Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP) telah mengeluarkan arahan untuk menahan kemasukan produk sawit dan minyak sawit FGV Holding Berhad di pelabuhan mengikut undang-undang persekutuan yang melarang import barangan dihasilkan oleh buruh paksa.

"Kami mengeluarkan Perintah Menahan Pelepasan terhadap kesemua  minyak sawit dan produk minyak sawit yang dikeluarkan oleh FGV Holdings Berhad," kata Brenda Smith, Penolong Pesuruhjaya Eksekutif Pejabat Perdagangan CBP dalam taklimat media secara maya pada masa itu, yang merujuk kepada satu daripada syarikat minyak sawit terbesar di dunia dengan kerajaan Malaysia mempunyai 12.4 peratus pemilikan saham.

KPPK memandang serius permasalahan yang dihadapi industri minyak sawit susulan insiden yang menyaksikan penahanan eksport produk agrikomoditi Malaysia oleh pihak berkuasa Amerika itu.

"KPPK berpandangan perlunya satu platform yang lebih adil bagi Malaysia dan AS berunding bagi menangani dakwaan serta tuduhan yang boleh menjejaskan aktiviti perdagangan antara kedua-dua negara," kata Menteri itu.

Tambah beliau, kementerian juga telah dimaklumkan bahawa FGV Holdings telah menunjukkan komitmen yang tinggi serta telah mengambil langkah yang perlu dalam usaha membatalkan perintah sekatan yang dikenakan AS, termasuk memperbaiki sistem pengambilan buruh asing serta menetapkan piawaian pekerja yang bersesuaian "dalam memastikan kebajikan pekerja terpelihara selaras dengan hak asasi manusia".

Langkah CBP menyekat eksport minyak sawit ke AS itu bukan tindakan kali pertama diambil pihak berkuasa berkenaan keatas syarikat pengeluar Malaysia dengan sebelum ini, syarikat Sime Darby Plantation (SDP) juga pernah dikenakan sekatan atas alasan sama susulan dakwaan oleh Liberty Shared, sebuah badan bukan kerajaan anti-pemerdagangan manusia berpusat di Hong Kong, pada April lalu.

Menteri itu berkata KPPK akan mengemukakan satu kajian menyeluruh mengenai situasi buruh sektor perladangan sawit di Malaysia kepada Jabatan Buruh AS dalam usaha menyelesai masalah yang dihadapi industri sawit untuk mengeksport produk mereka ke negara berkenaan.

Kajian itu telah dilaksanakan pada 2018 dengan kerjasama Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) sebagai perunding teknikal kajian, menurut menteri.

"Kajian ini telah dibentangkan dan diterima oleh Kabinet dan akan dikemukakan kepada Jabatan Buruh AS sebagai salah satu inisiatif untuk mengeluarkan sektor perladangan sawit Malaysia daripada senarai Trafficking Victims Protection Reauthorization Act (TVPRA) yang menjadi rujukan kepada CBP AS dalam membuat keputusan.

"Langkah ini diharap dapat mengelakkan sekatan ke atas produk agrikomoditi negara pada masa hadapan."

Teroka pasaran lain

Sementara itu, seorang pakar ekonomi yang dihubungi BeritaBenar untuk mengulas mengenai saranan KPPK itu berkata AS bukanlah satu pasaran yang begitu besar bagi eksport minyak sawit Malaysia.

Sebaliknya, kata Hoo Ke Ping, penasihat ekonomi di Institut Strategik Asia Pasifik, menteri itu patut memberikan lebih fokus kepada pasaran sedia ada yang besar seperti India, Pakistan, China dan juga Eropah dan pada masa yang sama mencari jalan penyelesaian dengan AS dan menjelaskan keadaan sebenar serta langkah yang telah diambil.

"Sebelum mencari pasaran baru, perlu diselesaikan dahulu dengan AS. Dan keduanya, Malaysia mesti menumpukan kepada pasaran yang sedia ada, pasaran yang besar iaitu India, Pakistan, China dan Eropah. Eropah kini telah membuat sekatan terhadap minyak sawit Malaysia, kenapa tidak dipertahankan dengan betul. Selain itu, India adalah pengimport terbesar. Jadi hubungan dengan India perlu dijaga," kata Hoo.

Tambah beliau, China adalah pasaran yang berpotensi bagi Malaysia untuk memperkembangkan eksport minyak sawitnya kerana ia adalah pengimport keempat terbesar di dunia dan mampu menyelesaikan isu yang dihadapi Malaysia dengan sekatan oleh AS itu.

“KPPK juga tidak perlu khuatir untuk mencari pasaran baru kerana dunia juga sedang menghadapi kekurangan produk minyak boleh dimakan (edible oil),” katanya.

Menteri Luar Negeri China Wang Yi semasa sesi lawatan satu harinya ke Malaysia pada 13 Oktober lalu telahpun menyatakan komitment negara itu untuk membeli 17 juta tan minyak sawit dari Malaysia sehingga tahun 2023.

Pada tahun 2017, Malaysia mengeksport 2.87 juta tan minyak sawit dan barangan berasaskan minyak sawit bernilai RM9.42 bilion (AS$2.27 bilion).

Menurut Majlis Minyak Sawit Malaysia, pengeksportan minyak sawit ke China meningkat sebanyak 438,747 tan metrik atau 31.1 peratus kepada 1,848,433 tan metrik dari Januari sehingga Ogos 2020.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.