Malaysia Rancang Tingkatkan Eksport Minyak Sawit Susulan Pengumuman Indonesia

Pekerja asing sudah mula dibawa masuk untuk pertingkat pengeluaran sawit Malaysia.
Iskandar Zulkarnain & Nisha David
2022.05.10
Kuala Lumpur
Malaysia Rancang Tingkatkan Eksport Minyak Sawit Susulan Pengumuman Indonesia Seorang pekerja memetik buah kelapa sawit di sebuah ladang di Johor, Malaysia pada 3 Mei, 2021.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Malaysia merancang untuk mempertingkat eksport minyak sawitnya sebanyak 30 peratus tahun ini bagi memenuhi permintaan di seluruh dunia yang semakin meningkat selepas Indonesia membuat keputusan untuk tidak lagi menghantar produk berkenaan ke luar negara, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Zuraida Kamaruddin pada Selasa.

Beliau berkata Malaysia kini dalam proses membawa masuk lebih ramai pekerja asing untuk sektor perladangan bagi memenuhi permintaan itu, tambahan kepada 30,000 orang yang sudah diambil pada Februari lepas.

"Peladang kelapa sawit dalam industri huluan dan pengeluar minyak sawit di hiliran perlu bekerjasama untuk mendapatkan faedah daripada kelompongan yang ditinggalkan oleh Indonesia susulan keputusan negara itu untuk menghentikan eksport minyak sawit," katanya.

Pada September lepas, kerajaan Malaysia telah meluluskan rancangan pengambilan sejumlah 32,000 pekerja asing khusus untuk ladang kelapa sawit yang menyaksikan kemasukan beramai-ramai pekerja asing pada pertengahan Februari. Satu lagi siri kemasukan pekerja asing dijangka berlaku pada Jun bagi memenuhi keperluan tenaga kerja untuk memetik buah dan mengeluarkan minyak sawit.

"Dalam jangka panjang, kementerian mengunjurkan bahawa pengeluaran minyak sawit dan eksport meningkat sebanyak 30 peratus pada akhir 2022 dengan mengambil kira keputusan Malaysia membuka semula sempadan antarabangsa," kata Zuraida dalam satu kenyataan.

Zuraida membuat kenyataan itu selepas kerajaan Indonesia mengumumkan bahawa republik tersebut akan menghentikan eksport minyak sawit mulai 28 April bagi mengawal harga dan menyelesaikan isu kekurangan produk itu untuk kegunaan tempatan.

"Ini adalah masa terbaik untuk pemain industri minyak sawit Malaysia mempertingkat kebolehan inovasi mereka serta meneroka strategi terbaik bagi memenuhi permintaan melambung minyak sawit oleh negara pengimport produk itu," katanya.

Malaysia adalah negara pengeluar minyak sawit yang kedua terbesar di dunia selepas Indonesia. Pada 2021, Malaysia mengeksport sejumlah 17.2 juta tan produk itu dan ia dijangka meningkat kepada lebih 22 juta tan pada akhir 2022.

Cadang beri insentif potongan cukai

Zuraida berkata kementeriannya juga telah mencadangkan supaya cukai eksport minyak sawit diberikan potongan buat sementara waktu berbanding 8 peratus ketika ini kepada antara 4 dan 6 peratus, menurut laporan agensi berita Reuters.

"Pada waktu krisis sebegini, kita mungkin boleh memberikan sedikit kelonggaran supaya lebih banyak minyak sawit boleh dieksport," katanya kepada agensi berita itu sambil menambah bahawa permintaan tersebut dibuat oleh negara yang mengimport minyak sawit.

Bagaimanapun, di sebalik unjuran tinggi yang dibuat oleh pihak kementerian, pemain industri tempatan menyuarakan kegusaran mereka mengenai isu tenaga kerja.

"Secara realitinya, kami memang boleh meningkatkan pengeluaran akan tetapi ia tidak mencukupi untuk menampung permintaan dunia disebabkan saiz pasaran besar yang ditinggalkan oleh Indonesia," kata Mohd Nageeb Abdul Wahab, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Minyak Sawit Malaysia.

Beliau berkata negara perlu menyelesaikan isu kekurangan tenaga buruh dalam sektor itu susulan tindakan Indonesia menghentikan eksport minyak sawit.

"Sekiranya kerajaan tidak mempercepat proses membawa masuk pekerja asing, Malaysia mungkin tidak akan mampu untuk mengisi kelompongan dalam pasaran minyak sawit dunia," katanya kepada BenarNews.

Gantikan beras dan jet pejuang dengan minyak sawit?

Menurut Zuraida, tindakan Indonesia juga telah menyebabkan kekosongan besar dalam pasaran India.

"India adalah pelanggan terbesar minyak sawit dari Indonesia - ia mengimport sekitar 13 juta ke 13.5 juta tan metrik minyak makanan - dengan minyak sawit adalah sebahagian besar daripadanya iaitu di antara 8 juta ke 8.5 juta tan metrik," katanya. "Hampir 45 peratus daripada kuantiti tersebut diambil dari Indonesia manakala selebihnya dari Malaysia."

BN Reddy, Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia berkata negaranya sedang berbincang dengan kerajaan Malaysia untuk meningkatkan jumlah import tahunan mereka sebanyak 2 juta tan.

Beliau memberitahu media tempatan bahawa India telah memberikan cadangan untuk membayar kuantiti minyak sawit tambahan itu dengan komoditi lain seperti beras dan gula selain teknologi ketenteraan, pembuatan serta perkhidmatan.

Syarikat Hindustan Aeronautics Ltd milik India telah cuba menjual 18 pesawat pejuang Tejas mereka yang dianggarkan bernilai RM4 bilion (AS$912 juta) kepada Tentera Udara Diraja Malaysia yang mengumumkan perancangannya untuk mendapatkan pesawat tempur ringan dan pesawat latihan pada pertengahan 2021.

Jurucakap Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkata satu jawatankuasa kerja telah ditubuhkan bagi mempertimbang cadangan India.

"Tiada keputusan lagi," katanya.

Sementara itu, penganalisis Jabatan Strategi Perniagaan dan Polisi Universiti Malaya Mohd Nazari Ismail berkata cadangan India untuk menukar komoditi Malaysia dengan peralatan ketenteraan adalah sesuatu yang sudah dijangka.

"Ini sesuatu yang normal. Kita juga pernah mendapatkan peralatan ketenteraan dari Rusia sebagai pertukaran dengan minyak sawit. Negara yang mahu menjaga rizab tukaran matawang mereka biasanya akan meminta pertukaran barangan," katanya kepada BenarNews.

"Saya rasa Malaysia patut menerima tawaran itu, bergantung kepada kualiti peralatan ketenteraan yang ditawarkan, tetapi itu adalah sesuatu yang patut diputuskan oleh pakar tentera kita."

Selain India yang merupakan pelanggan terbesarnya, Malaysia turut menerima permintaan bagi mendapatkan minyak sawit dari Eropah dan China susulan pengumuman Indonesia itu.

Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.