Malaysia Akan Bertindak Terhadap Syarikat Kelapa Sawit Langgar Undang-undang Buruh

Ray Sherman & Hadi Azmi
2020.10.01
Kuala Lumpur, Malaysia
201001-MY-FGV.jpeg Seorang pegawai penyelidik mengendalikan kajian terhadap spesimen pokok kelapa sawit di makmal Lembaga Minyak Sawit Malaysia di Bangi, yang terletak berhampiran Kuala Lumpur, 18 Dis 2018.
[AFP]

KEMASKINI pada 2.30 petang waktu tempatan ETS - 2020-10-02

Malaysia pada Khamis berkata ia akan mengambil tindakan terhadap syarikat yang melanggar undang-undang buruh dan menghantar kajian komprehensif mengenai situasi dalam sektor kelapa sawit negara itu kepada Amerika Syarikat bagi mengelak sekatan lanjut ke atas komoditi itu.

Kerajaan Malaysia berkata demikian dalam maklum balasnya terhadap larangan yang diumumkan Washington sehari sebelum itu ke atas minyak sawit dan produk berkaitan yang dihasilkan oleh syarikat Malaysia, FGV Holdings Berhad, yang didakwa para pegawai Amerika Syarikat telah menggunakan buruh paksa di ladangnya.

Menteri Sumber Manusia M. Saravanan berkata beliau akan meminta para pegawainya untuk memantau situasi di FGV Holdings yang menyebabkan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP) mengenakan sekatan ke atas produk minyak sawit keluaran syarikat berkenaan.

"Ini (tindakan) sepatutnya sudah lama dilakukan, dan tindakan akan diambil," kata Saravanan sambil menambah bahawa larangan ke atas produk FGV amat membimbangkan pihak kerajaan.

"Pada masa ini, negara sangat bergantung kepada eksport (barangan), terutama minyak sawit, sebagai pendapatan dan ini (larangan) bukan satu petanda yang baik untuk negara."

Kerajaan juga sedang menjalankan ‘kajian komprehensif’ mengenai situasi buruh dalam sektor perladangan kelapa sawit Malaysia, kata Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (KPKK) Mohd Khairuddin Aman Razali dalam satu kenyataan kepada media pada Khamis, ketika mengulas mengenai tindakan sekatan ke atas FGV Holdings itu.

Kajian itu dijalankan dengan kerjasama Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), sebuah agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang bertindak sebagai perunding teknikal dalam kajian tersebut, katanya.

“Pada 2009, Jabatan Buruh Amerika Syarikat (DOL) telah memasukkan Malaysia ke dalam ‘Senarai Barangan yang Dihasilkan oleh Buruh Kanak-Kanak dan Buruh Paksa’ jabatan itu, selaras dengan peruntukan undang-undang negara tersebut menerusi Senarai Akta Perlindungan Mangsa Pemerdagangan (TVPRA),” menurut kenyataan Khairuddin.

"Laporan akhir mengenai kajian menyeluruh itu akan dikemukakan kepada DOL dan ILO, sebagai satu inisiatif untuk mengeluarkan sektor perladangan kelapa sawit Malaysia daripada senarai TVPRA. Langkah ini diharap dapat mengelakkan sekatan lanjut ke atas produk agrikomoditi negara pada masa hadapan,”

ILO memberitahu BeritaBenar bahawa kerajaan Malaysia telah meminta nasihat teknikal berkenaan dengan kajian yang ingin dilakukan.

“Kerajaan Malaysia adalah penulis dan pemilik laporan tersebut,” menurut Steve Needham jurucakap pejabat ILO bagi Asia dan Pasifik yang berpusat di Bangkok, Thailand kepada BeritaBenar.

Menurut Khairuddin, isu buruh kanak-kanak dan buruh paksa, terutama yang melibatkan pekerja asing, adalah satu masalah kompleks "kerana melibatkan faktor penentu yang unik serta berbeza bagi setiap negara" selain berkait rapat dengan latar belakang ekonomi, perbezaan struktur sosiobudaya, peraturan dan undang-undang tempatan.

“Susulan beberapa insiden baru-baru ini yang melibatkan penahanan eksport produk agrikomoditi Malaysia ke Amerika Syarikat oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat kebelakangan ini, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) ingin memberi penjelasan mengenai situasi buruh paksa dalam sektor perladangan sawit yang dilihat mempunyai hubungan dengan sekatan tersebut,” katanya.

Berbincang sejak Ogos 2019


Sementara itu, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis sebagai maklum balas kepada larangan AS itu, FGV Holdings Berhad mendedahkan bahawa syarikat tersebut telah berhubung dengan para pegawai kastam AS sejak 13 bulan lepas.

"Sejak Ogos 2019, FGV telah berkomunikasi dengan CBP melalui penasihat undang-undang kami dan telah mengemukakan bukti pematuhan terhadap piawaian buruh seperti yang dilakukan oleh FGV," menurut kenyataan itu.

"Ia akan terus berhubung dengan CBP untuk membersihkan nama FGV dan bertekad untuk melihat, melalui komitmennya, untuk menghormati hak asasi manusia serta menjunjung tinggi piawaian pekerja."

CBP pada lewat Khamis telah mengesahkan kepada BeritaBenar bahawa FGV Holdings ada berhubung dengan agensi itu.

“"Oleh kerana dakwaan itu bersifat umum, FGV sebelum ini pernah menghubungi CBP melalui pihak ketiga untuk menangani dakwaan berkaitan buruh paksa,” menurut jurucakap agensi tersebut Nate Peeters dan satu emel balas kepada BeritaBenar.

FGV meluahkan ‘kekecewaannya’ terhadap CBP yang telah memutuskan untuk mengenakan larangan ke atas minyak sawit dan produk yang berkaitan "ketika FGV sedang mengambil langkah-langkah konkrit sejak beberapa tahun kebelakangan ini untuk membuktikan komitmennya dalam menghormati hak asasi manusia serta menegakkan piawaian pekerja."

CBP yang mengulas komen FGV Holdings berkata, agensi berkenaan memerlukan bukti cukup yang mengatakan bahawa buruh paksa tidak digunakan di ladang syarikat tersebut sebelum membolehkannya menarik balik sekatan yang dibuat terhadap minyak kelapa sawit dan produk sawit yang dikeluarkan syarikat tersebut.

"CBP tidak akan mengubah atau menarik balik Perintah Menahan Pelepasan sehingga semua pentunjuk buruh paksa yang dikenal pasti oleh agensi ditangani dengan sewajarnya dan ditunjukkan bahawa penjara dan/atau buruh paksa tidak lagi digunakan untuk menghasilkan barangan yang disasarkan oleh perintah," kata Peeters, sambil menambah bahawa sebarang perubahan, jika dibuat, akan diumumkan di laman sesawang agensi berkenaan.

Ketika mengumumkan larangan itu pada Rabu, CBP berkata siasatannya ke atas FGV Holdings, antara syarikat pengeluar minyak sawit terbesar di dunia, telah menemui petunjuk bahawa terdapat penggunaan buruh paksa termasuk melakukan keganasan fizikal dan seksual, intimidasi dan ancaman, menyimpan dokumen pengenalan diri, menahan gaji, ikatan hutang, melanggar syarat persekitaran tempat kerja dan tempat tinggal serta kerja lebih masa yang melampau selain buruh paksa kanak-kanak

FGV pada Khamis menafikan dakwaan CBP bahawa syarikat itu menyimpan pasport pekerja dan berkata ia telah memasang lebih 30,000 peti simpanan keselamatan untuk pekerja menyimpan dokumen mereka dengan selamat.

FGV Holdings tidak memberikan kenyataan secara langsung mengenai dakwaan menahan gaji pekerja. Syarikat itu berkata ia sudah melaksanakan sistem pembayaran tanpa tunai dompet elektronik "yang membolehkan pekerja menguruskan kewangan mereka dengan lebih mudah serta efisien."

Mengulas kenyataan CBP bahawa agensi telah menemui bukti bahawa pekerja berada dalam ‘persekitaran kerja dan hidup yang teruk,’ FGV Holdings berkata ia telah melabur kira-kira RM350 juta (AS$84.3 juta) sejak tiga tahun lepas untuk menaik taraf kemudahan perumahan dan membina kediaman baharu di ladang-ladangnya di seluruh negara.

Pengeluar kelapa sawit itu juga secara tegas menafikan bahawa syarikat itu telah merekrut atau mengambil pekerja dalam kalangan pelarian.

Laporan penyiasatan Associated Press (AP) minggu lepas menyatakan bahawa wartawan mendapati etnik Rohingya tanpa status telah diperdagangkan ke ladang-ladang kelapa sawit Malaysia di mana mereka dipaksa bekerja.

Beratus-ratus pelarian Rohingya telah meninggalkan Myanmar tiga tahun lepas setelah berdekad-dekad berdepan penindasan dan kekerasan susulan serangan maut yang dilakukan pemberontak Rohingya ke atas balai polis serta pondok kawalan tentera.

Saham FGV dan Sime Darby Plantation merudum

Saravanan pada Rabu berkata larangan ke atas produk FGV Holdings adalah berpunca daripada isu buruh di ladang-ladang syarikat itu di Sabah dan Sarawak. Beliau berkata maklumat itu diperoleh daripada Duta AS ke Malaysia Kamala Shirin Lakhdhir.

“Pekerja di sana (Sabah dan Sarawak), mereka tinggal bersama keluarga mereka dan anak-anak mereka mungkin telah membantu mereka di ladang tersebut,” kata Saravanan.

BeritaBenar telah menghubungi pejabat Lakhdir untuk mendapatkan komen namun belum menerima maklum balas.

Dalam pengumumannya pada Rabu, para pegawai kastam AS tidak menyatakan secara khusus si mana lokasi ladang FGV Holdings yang didapati melanggar akta buruh.

Pelanggaran akta buruh di ladang-ladang kelapa sawit di negara ini telah berlaku sejak sekian lama dan bukan perkara baharu, kata menteri tersebut yang mengulangi penemuan pelbagai kumpulan hak asasi manusia sejak sedekad lepas.

Saham FGV Holdings dan sebuah lagi syarikat pengeluar minyak sawit Malaysia, Sime Darby, merudum pada Khamis susulan berita mengenai larangan produk tersebut oleh AS.

Saham FGV Holdings merosot 8.7 peratus manakala saham Sime Darby Plantation jatuh  5.2 peratus, menurut Reuters.

‘Sebuah lagi syarikat besar akan dikenakan sekatan’


Sementara itu, menteri sumber manusia berkenaan juga berkata pada Khamis bahawa beliau menjangkakan sebuah lagi syarikat pengeluar minyak sawit Malaysia ‘yang besar’ akan turut dikenakan larangan oleh AS kerana didakwa menggunakan buruh paksa.

“Saya telah dimaklumkan bahawa selepas FGV, ada sebuah lagi syarikat besar yang bakal dikenakan larangan oleh AS,” kata Saravanan tanpa menyebut pihak yang memberikan maklumat itu kepada beliau.

Ketika ditanya syarikat mana yang bakal berdepan larangan itu, beliau enggan memberikan butiran lanjut.

“Saya tahu syarikat mana. Ia antara syarikat perladangan terbesar,” katanya.

CBP enggan mengulas kenyataan yang dikeluarkan oleh Saravanan.

“Atas sebab-sebab polisi, CBP tidak boleh memberikan kenyataan jika ada syarikat tertentu disiasat atas dakwaan buruh paksa," kata agensi tersebut kepada BeritaBenar.

 

Artikel ini telah dikemaskini dengan kenyataan lanjut dari Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat dan Pertubuhan Buruh Antarabangsa.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Komen

Anonim
Mar 18, 2022 09:53 PM

Di Sabah masih banyak pelangaran2 yang dilakukan componi/serikat ladang sawit... khususx pasilitas dan gaji yg tdk sesui/tdk layak...
Selain itu mereka juga mempekerjakan anak2/budak2 dibawa 18 tahun.
Mereka juga membuat kesepskatan/MOU tanpa dijelaskan atau diberikan untuk di baca terlebi dahulu sebelum ditandatangani kontrak kerja...

Anonim
Mar 18, 2022 09:56 PM

Di Sabah masih banyak pelangaran2 yang dilakukan componi/serikat ladang sawit... khususx pasilitas dan gaji yg tdk sesui/tdk layak...
Selain itu mereka juga mempekerjakan anak2/budak2 dibawa 18 tahun.
Mereka juga membuat kesepskatan/MOU tanpa dijelaskan atau diberikan untuk di baca terlebi dahulu sebelum ditandatangani kontrak kerja...