Scorpene: Peguam Perancis Jumpa Peguam Negara, Pegawai Kanan Kerajaan

Muzliza Mustafa & Ali Nufael
2019.02.12
Kuala Lumpur, Malaysia
scorpene.jpg Salah sebuah daripada dua kapal selam Scorpene yang ditempah oleh Malaysia menunggu untuk dilancarkan di Cherbourg, Normandy, barat laut Perancis, 23 Oktober 2007.
[MYCHELE DANIAU/AFP]

Dua peguam Perancis yang terlibat dalam siasatan pembelian kapal selam Scorpene yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri Malaysia Najib Razak pada Selasa mengadakan pertemuan dengan Peguam Negara dan pegawai kanan kerajaan di Putrajaya.

Keduanya William Bourdon dan rakan sekerjanya Apoline Cagnat berada di Malaysia sejak Ahad lepas juga bertemu dengan Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong, pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia [SPRM], selain Peguam Negara Tommy Thomas.

Pejabat Tommy bagaimanapun tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung pertemuan yang diadakan itu.

Sehari sebelum itu, kedua mereka mengadakan pertemuan dengan Ambrin Buang, iaitu Pengerusi Jawatankuasa Tadbir Urus, Perolehan, Kewangan juga di Putrajaya.

Pengarah eksekutif Suara Rakyat Malaysia [SUARAM] Sevan Doraisamy yang juga hadir berkata, siri pertemuaan yang diadakan untuk memberi penerangan tentang siasatan kes pembelian kapal selam itu mungkin mempunyai elemen rasuah.

"Kita mendapat reaksi yang positif dari peguam negara dan Ambrin juga berkata beliau akan mengikuti perkembangan kes tersebut,” katanya.

Kedua-dua peguam itu mewakili SUARAM bagi memfailkan tindakan undang-undang mengenai pembelian dua kapal selam Scorpene di Perancis pada 2012.

Kapal selam itu telah dibeli oleh kerajaan Malaysia pada 2002 dengan harga AS$1.18 bilion, ketika Najib menjadi menteri pertahanan, dengan urus niaga yang penuh dengan kontroversi dan meragukan.

Pada Julai 2017, agensi berita AFP melaporkan penyiasat Perancis mendakwa 2 pegawai syarikat yang terlibat dalam penjualan 2 kapal selam Scorpene bernilai bilion dollar itu.

Philippe Japiot, bekas pengerusi syarikat pertahanan milik kerajaan DCNI, dan Jean-Paul Perrier, bekas ketua pegawai eksekutif syarikat pertahanan gergasi Thales yang telah disoal siasat dua bulan sebelumnya atas tuduhan rasuah dan menerima komisen berjuta-juta euro telah didakwa di mahkamah di negara berkenaan.

Menurut Sevan lagi, sehingga kini mahkamah Perancis sudah memanggil empat suspek berkaitan kes tersebut dan salah seorang daripadanya adalah Abdul Razak.

William semasa sidang media pada Selasa berharap kerajaan baru di bawah pimpinan Mahathir Mohamad terus komited memerangi rasuah dan membantu Perancis dengan berkongsi maklumat berkenaan kes tersebut.

“Saya berharap dengan kerajaan baru, lebih banyak kebenaran akan timbul hasil daripada kerjasama antara kedua-dua negara,” kata William.

Mengenai siasatan yang dijalankan oleh mereka, William berkata “Hong Kong tidak pernah menolak permohonan kami untuk mendapatkan akses kepada akaun bank syarikat tersebut secara formal tetapi mereka kerap meminta pelbagai perkara,”

“Ini lebih kepada permainan muslihat. Tidak mustahil sekiranya ini taktik mereka untuk melengahkan masa,” sambil menambah yang akaun bank milik syarikat Terasasi (Hong Kong) Ltd milik Abdul Razak Baginda, bekas penasihat Najib, boleh membantu memahami aliran wang yang masuk ke akaun berjumlah AS$128 juta yang disalurkan oleh pembuat kapal selam Perancis DCNS sebagai imbuhan dan individu yang menerima manfaat daripada wang berkenaan.

“Inilah bahagian yang hilang, lorong gelap dalam siasatan dan Najib, mungkin, saya katakan mungkin, antara individu yang menerima hasil dari wang tersebut dan ianya hanya boleh dibuktikan dengan kerjasama antara Perancis dan Malaysia,” tambah William.

SPRM pada November tahun lepas berkata ia sudah membuka kembali siasatan ke atas skandal pembelian kapal selam Scorpene itu dan Najib sudah dipanggil untuk memberikan keterangan berkait kes tersebut.

Kapal selam itu yang dinamakan KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Razak itu, masing-masing tiba di Malaysia pada September 2009 dan Julai 2010.

Nama jurualih bahasa Mongolia

Pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006 turut didakwa ada kaitan dengan skandal pembelian kapal selam berkenaan.

Menurut Apoline, nama beliau kerap muncul dalam kontrak khidmat selepas jualan dalam urusan jual beli kapal selam berkenaan yang sekaligus membuktikan bahawa Altantuya mungkin terlibat dalam urusan pembelian itu.

“Nama beliau ada timbul. Kita tahu dia datang (ke Perancis) dan kita juga dimaklumkan bahawa beliau ada peranan dalam mengalih bahasa dalam beberapa perkara semasa perbincangan, tetapi kami perlu melihat semula peranan beliau dan bagaimana boleh terlibat dalam urusan jual beli tersebut,” kata Apoline.

Tambah beliau siasatan lanjut perlu dilakukan dalam mengenalpasti peranan Altantuya dalam perbincangan itu kerana wanita tersebut cuma muncul pada 2004 dan 2005 manakala pembelian Scorpene dibuat pada 2002.

Siasatan ke atas pembelian kapal selam Scorpene itu adalah antara kes berprofil tinggi selain dari skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad adalah antara janji-janji Pilihanraya yang dibuat oleh Pakatan Harapan sebelum memenangi PRU ke -14 pada Mei lalu.

Penganalisis politik Awang Azman Awang Pawi memberitahu BeritaBenar bahawa jika Najib didapati terlibat dalam kes Scorpene ia merupakan satu tamparan buat imej beliau.

“Sekarang pun persepsi rakyat sedang menyoal diri beliau tetapi beliau berjaya menaikkan sedikit imej dengan aktiviti sosial media ditambah pula dengan kerajaan baru yang gagal mengawal beberapa perkara. Jadi Najib guna peluang ini.

“Tapi andai kata nama terpalit, imej beliau akan tercalar dengan teruk kerana kes ini bukan sahaja di Malaysia tetapi juga luar negara,” kata Awang Azman kepada BeritaBenar.

Altantuya dibunuh dan tubuhnya diletupkan menggunakan bahan letupan gred tinggi C4 di sebuah hutan luar Kuala Lumpur.

Abdul Razak yang dikatakan bersekongkol untuk membunuh Altantuya dibebaskan selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes tanpa keraguan manakala dua anggota polis elit Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri dijatuhkan hukuman sampai mati selepas didapati bersalah membunuh Altantuya.

Ketika proses permohonan rayuan, Sirul berjaya melarikan diri ke Australia manakala Azilah sekarang ini merengkok di Penjara Sungai Buloh.

Altantuya dikatakan datang ke Malaysia pada Oktober 2006 untuk berjumpa Abdul Razak bagi meminta pembayaran atas khidmat yang beliau berikan.

Maklumat ini diberikan oleh sepupu Altantuya semasa perbicaraan kes saman sivil keluarga Altantuya terhadap kerajaan Malaysia dan tiga lagi penama iaitu Abdul Razak, Sirul dan Azilah pada Januari.

Najib sehingga kini tetap dengan pendiriannya bahawa dia tidak pernah berjumpa atau mengenali wanita yang bernama Altantuya yang sering dikaitkan dengan beliau.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.