Follow us

AS Kerah 2 Kapal Perang Ketika China Teruskan Tinjauan Berhampiran Malaysia

Drake Long
Washington
2020-04-21
E-mel
Komen
Share
Kapal serang amfibia USS America dilihat berada di Laut China Selatan, 18 April 2020.
Kapal serang amfibia USS America dilihat berada di Laut China Selatan, 18 April 2020.
[Ihsan Pelaut Jonathan Berlier]

KEMASKINI pada 5.10 petang waktu tempatan ETS - 2020-04-22

Amerika Syarikat mengerah sebuah kapal serang amfibia dan sebuah kapal pemusnah peluru berpandu ke lokasi tinjauan berterusan oleh sebuah kapal China yang beroperasi di perairan Malaysia, kata pihak Tentera AS pada Selasa, dengan langkah itu dilihat sebagai sokongan Washington kepada negara-negara lain di rantau itu ketika China menonjolkan kelebihannya di tengah-tengah wabak COVID-19.

Lt. Komander Nicole Schwegman, jurucakap Perintah Indo-Pasifik Amerika Syarikat mengesahkan kapal USS America dan kapal USS Bunker Hill telah dikerahkan ke Laut China Selatan.

"Menerusi kehadiran operasi berterusan di Laut China Selatan, kami bekerjasama dengan sekutu dan rakan untuk menggalakkan kebebasan navigasi dan lintas udara, serta prinsip-prinsip antarabangsa yang menyokong keselamatan dan kemakmuran di Indo-Pasifik," katanya dalam e-mel.

"AS menyokong usaha sekutu dan rakan kami bagi menentukan kepentingan ekonomi mereka sendiri."

Schwegman tidak menyatakan lokasi sebenar kapal perang itu tetapi gambar satelit sejak Selasa yang disediakan Kesatuan Eropah melalui perkhidmatan EO Browser mengesahkan bahawa kapal USS America berada hampir 60 batu nautika dari West Capella iaitu kapal eksplorasi minyak yang dikontrak oleh Malaysia.

Turut berada dalam jarak kedekatan itu ialah kapal peninjau, kapal pengawal pantai dan kapal militia maritime China, menurut perisian pengesanan kapal.

Kapal peninjau China Hai Yang Di Zhi 8 tiba di perairan Malaysia pada 16 April dan sedang meninjau kawasan dalam zon ekonomi eksklusif Malaysia iaitu antara West Capella dan pesisir Malaysia.

Pada pagi Selasa, kapal Hai Yang Di Zhi 8 berada kira-kira 180 batu nautika dari pantai Malaysia - tetapi berada hanya 100 batu nautika dari Luconia Shoals, kawasan yang dituntut oleh China dan Malaysia di bahagian paling selatan Laut China Selatan. Pada 17 April, kapal Hai Yang Di Zhi 8 juga berada dalam jarak 200 batu nautika dari Pulau Natuna di Indonesia.

Perisian pengesanan kapal menunjukkan bahawa operasi peninjauan China itu dilakukan secara berulang-ulang di kawasan seluas kira-kira 150 batu nautika dan berhampiran negeri Sarawak di Malaysia.

Pengawal pantai Malaysia pada minggu lalu mengesahkan bahawa kapal peninjau China berada di perairan Malaysia.

Zack Cooper, felo penyelidik di institut pemikir yang berpusat di Washington, American Enterprise Institute, memberitahu bahawa terdapat banyak kemungkinan mengapa AS mengerah kapal perangnya ke kawasan kapal peninjau China itu berada dan tidak mungkin Malaysia meminta AS untuk campur tangan.

"Saya rasa Amerika Syarikat tidak berhasrat untuk terlibat secara langsung bagi pihak Malaysia, terutamanya kerana Malaysia mungkin tidak meminta bantuan dan ia bukanlah sekutu perjanjian AS," jelas Cooper. "Tetapi, ia memberi manfaat kerana kehadiran pasukan AS di sana dapat membantu memantau kegiatan China dan menunjukkan kepada negara penuntut lain bahawa China bukanlah satu-satunya tentera luar yang mampu beroperasi di Laut China Selatan."

Komandan USS America Expeditionary Strike Group menyatakan bahawa pasukannya telah berinteraksi dengan pasukan tentera laut China di Laut China Selatan minggu ini.

"Semua interaksi kami adalah selamat dan dilakukan secara profesional dengan mereka," kata Laksamana Muda Fred Kacher kepada Reuters melalui telefon dari kapal USS America.

200421-MY-ship-inside.jpg
Paparan grafik mengenai laluan kapal peninjau China Hai Yang Di Zhi 8 sejak ia tiba di luar pesisir Malaysia pada 16 April. (MarineTraffic dengan penerangan oleh BeritaBenar)

China telah berkata bahawa kapal Hai Yang Di Zhi 8 sedang melakukan aktiviti biasa dan menuduh pegawai AS memburuk-burukkan Beijing. Ini disusuli kenyataan jabatan-jabatan Negara dan Pertahanan Amerika Syarikat yang mengkritik kegiatan China di Laut China Selatan baru-baru, terutama yang berkaitan insiden tenggelamnya kapal nelayan Vietnam pada 2 April semasa satu konfrontasi dengan kapal Pengawal Pantai China.

Jabatan Negara menuduh China mengeksploitasi mengambil peluang daripada keadaan negara-negara lain yang sedang menangani COVID-19 untuk memperluaskan "tuntutan tidak sah" negara itu di Laut China Selatan.

Kapal Hai Yang Di Zhi 8 diiringi oleh kapal-kapal Pengawal Pantai China (CCG) dan Militia Angkatan Bersenjata Rakyat negara itu. Dua kapal CCG iaitu Zhongguohaijing 4203 dan 1105 berlayar mengiringi kapal Hai Yang dan menyusuli kapal bekalan yang menyokong West Capella, menurut perisian pengesanan kapal. Satu lagi kapal CCG, Haijing 5203, telah berlayar ke dan sekitar Luconia Shoals sejak 1 April.

Keberadaan kapal-kapal berkenaan berdekatan West Capella itu adalah ketika Beijing menerima tekanan diplomatik dari beberapa negara jirannya di Asia Tenggara berhubung penegasan tuntutan kedaulatannya ke atas kawasan yang kaya dengan sumber laut di Laut China Selatan.

Pada hujung minggu lalu, China meningkatkan lagi tuntutannya apabila mengumumkan dua daerah pentadbiran baru untuk Laut China Selatan dan mengeluarkan peta baru yang menamakan semua pulau dan terumbu yang dituntutnya di wilayah yang menjadi pertikaian itu - walaupun Brunei, Malaysia, Filipina, Taiwan dan Vietnam juga mempunyai tuntutan kedaulatan bertindih dengan China.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, AS telah menarik balik asset-aset penting dari Pasifik. Kapal pengangkut pesawat USS Theodore Roosevelt terpaksa dikeluarkan daripada penugasan aktif pada 26 Mac kerana kadar jangkitan koronavirus yang berbahaya dalam kalangan anak kapalnya. Tentera Udara AS mengumumkan pada Jumaat  lalu bahawa ia tidak akan  meneruskan pengerahan pengebom strategik di pangkalannya di pulau Pasifik di Guam, sebaliknya memilih untuk melakukan apa yang digambarkannya sebagai operasi  kurang diramalkan di rantau ini "mengikut waktu dan rentak kami ‘

Tetapi, Cooper berkata ketibaan kapal USS America dan kapal Bunker Hill "berfungsi sebagai peringatan bahawa Angkatan Laut A.S. adalah besar dan tidak bergantung kepada satu kapal untuk menunjukkan kehadiran serantau."

Beliau berkata AS menggunakan arahan pengerahan itu untuk mengingatkan China dan pihak lain yang membuat tuntutan di Laut China Selatan bahawa China tidak mempunyai asas undang-undang terhadap hak ekonomi di kawasan di mana kapal Hai Yang Di Zhi 8 sedang beroperasi.


Lihat Laman Penuh