Follow us

Diplomasi Tenang atau Tanpa Tindakan: Iktibar Daripada Tindakan Kapal Peninjau

Drake Long
Washington
2020-05-29
E-mel
Komen
Share
Kapal USS Gabrielle Giffords berlayar pada 12 Mei berhampiran kapal penggerudi West Capella, 12 Mei 2020.
Kapal USS Gabrielle Giffords berlayar pada 12 Mei berhampiran kapal penggerudi West Capella, 12 Mei 2020.
[Tentera Laut AS]

Semasa sebuah kapal peninjau China dikerahkan berlayar berhampiran dengan kapal eksplorasi minyak yang dikontrak oleh Malaysia di perairan negara itu pada pertengahan April lalu, ketegangan terus meningkat di Laut China Selatan. Amerika Syarikat dan Australia menghantar kapal perang masing-masing ke kawasan itu bagi menghantar mesej kepada China - bahawa negara-negara Asia Tenggara perlu bebas melakukan penerokaan sumber-sumber di kawasan pesisir mereka sendiri.

Namun, Malaysia tampak berhati-hati, kerajaannya tidak mengeluarkan sebarang nota bantahan terhadap tindakan China. Kemudian, sebulan selepas kapal China tiba di kawasan itu, kapal penggerudi itu yang dikontrak oleh Malaysia, West Capella, kembali ke pelabuhan manakala kapal Hai Yang Di Zhi 8 China meneruskan pelayarannya.

Para pakar berpendapat cara Malaysia menghadapi pertembungan dua kapal berkenaan menunjukkan negara itu memilih untuk menangani pertikaian tersebut secara tidak ketara dan mengelak melakukan sebarang perkara yang boleh menjejaskan hubungannya dengan China - walaupun ia mencabar tuntutan besar Beijing terhadap Laut China Selatan di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Tetapi, masih ada persoalan mengenai bagaimana diplomasi senyap Malaysia yang berpanjangan itu dapat dihadapi oleh China, negara yang menampakkan hasratnya untuk menekan negara-negara Asia Tenggara yang mahu meneroka sumber-sumber di kawasan yang berada di luar pesisir masing-masing. Ia merupakan kawasan-kawasan yang turut dituntut oleh China, walaupun bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.

"Pendekatan Malaysia adalah mengelak daripada mencetuskan perbalahan dengan harapan China dapat mengabaikan operasi yang dijalankan oleh Malaysia di Laut China Selatan," kata Murray Hiebert, pakar mengenai Asia Tenggara di Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa di Washington. "Tidak, China sedang meraih kejayaan di [Laut China Selatan] dan saya rasa ia tidak akan membiarkan operasi minyak dan gas Malaysia begitu sahaja."

Kapal Peninjau China Teruskan Pelayaran


China telah mengerahkan kapal Hai Yang Di Zhi 8 dalam beberapa keadaan yang mencetuskan kontroversi sebelum ini dengan tahun lalu, ia menjadi tumpuan perbalahan selama sebulan dengan Vietnam di Vanguard Bank yang turut menjadi kawasan pertikaian.

Kali ini, ia berlayar melepasi Vietnam dan memasuki perairan Malaysia pada 15 April bersama-sama kapal pengiring Pengawal Pantai China (CCG) dan kapal militia maritim, kemudian ia memulakan tinjauan berhampiran dengan kapal West Capella yang sedang meneroka sumber minyak dan gas sejak Disember lalu.

Perisian pengesanan kapal menunjukkan laluan kapal Hai Yang Di Zhi 8 yang didapati bergerak berulang-alik pada laluan mendatar dan menegak yang menunjukkan peninjauannya dengan kapal-kapal CCG dan militia maritim China didapati berlayar bersebelahan West Capella serta kapal-kapal bekalannya.

Felo program di Wilson Center Asia, Prashanth Parameswaran, berkata kapal Hai Yang mungkin dikerahkan sebagai tindak balas terhadap peningkatan penegasan Malaysia berhubung hak-haknya terhadap sumber-sumber di pentas benua negara itu. Malaysia telah mengemukakan tuntutan bagi kawasan pentas benua yang lebih luas kepada PBB pada Disember lalu.

Tuntutan itu telah mendorong China membuat bantahan dengan menegaskan bahawa ia masih memegang "hak-hak bersejarah" bagi keseluruhan Laut China Selatan - termasuk wilayah-wilayah yang berada di dalam batasan pentas benua Malaysia, Vietnam, serta Filipina dan ini menyebabkan kesemua negara tersebut membantah.

Pada Selasa, Indonesia turut berbuat demikian dan dengan jelas menyatakan tentang keputusan Mahkamah Timbang Tara Tetap pada 2016 berhubung kes yang dikemukakan oleh Filipina yang memperkecilkan asas tuntutan China di Laut China Selatan.

Malaysia memantau aktiviti peninjauan China dengan sekurang-kurangnya mengerahkan sebuah kapal perang dan kapal pengawal pantai di kawasan berdekatan sepanjang bulan tersebut, menurut perisian pengesanan kapal itu.

Namun, Malaysia ada membuat beberapa kenyataan rasmi dan enggan mengakui tindakannya itu semasa ia menamatkan pemantauan itu dengan para pegawai pada awalnya menyatakan bahawa pemantauan itu "tidak melanggar sebarang undang-undang."

Hiebert berkata ini menunjukkan kecenderungan Malaysia untuk menyelesaikan pertikaian secara senyap. "Tidak banyak memperkatakan tentang perbuatan membuli China terhadap kapal tentera laut atau kapal eksplorasi minyak Malaysia nampaknya merupakan prosedur operasi standard Malaysia," katanya.

"Secara peribadi, pegawai-pegawai Malaysia sering menyatakan 'Apa yang anda mahu kami buat? Pergi berperang dengan China dengan tentera laut kami yang kecil ini? Kami tidak mahu menjejaskan hubungan ekonomi yang penting ini. " tambah beliau.

Tetapi, tindak balas tidak ketara Malaysia itu disambut dengan beberapa pandangan negatif di tanah airnya, dan menurut Parameswaran "ia membuka ruang kepada spekulasi dan kritikan serta membuatnya seolah-olah berada dalam keadaan bertahan."

200423-MY-ship-620.jpg

Imej satelit menunjukkan kapal gerudi kendalian Malaysia, West Capella, di Laut China Selatan, 22 April 2020. [Planet Labs Inc]

AS Kerah Kapal, Malaysia Pilih Diplomasi Tenang

Usaha intimidasi China telah menarik perhatian antarabangsa. Tentera Laut A.S. mengerah kapal-kapalnya ke wilayah itu dalam empat waktu berbeza - yang pertama pada 18 April ketika A.S. dan Australia mengadakan latihan tentera laut bersama berdekatan lokasi peninjauan China.

Armada Ke-7 A.S. turut mengerah kapal tempur kecilnya sebanyak tiga kali dengan menyatakan bahawa, "Parti Komunis China mesti menamatkan perbuatan membuli negara-negara Asia Tenggara supaya beredar dari kawasan luas pesisir minyak, gas, dan perikanan."

Namun, adalah tidak jelas sama ada Malaysia mengalu-alukan atau menjemput kehadiran A.S. ke kawasan itu apabila Menteri Luar Hishammuddin Hussein mengeluarkan kenyataan pada 23 April bagi mengingatkan kedua-dua pihak serta menggesa mereka supaya mengelakkan sebarang insiden: "Walaupun undang-undang antarabangsa menjamin kebebasan pelayaran, kehadiran kapal-kapal perang di Laut China Selatan berpotensi meningkatkan ketegangan yang akan menggugat keamanan, keselamatan dan kestabilan di rantau ini. " Kenyataan itu juga menyatakan bahawa Malaysia ada berhubung dengan kedua-dua pihak berkenaan.

Profesor Madya di Pusat Pengajian Keselamatan Asia-Pasifik Daniel K. Inouye, Elina Noor, berkata langkah itu selaras dengan pendirian Malaysia mengenai sebarang pertikaian di Laut China Selatan.

"Hakikatnya, keutamaan Malaysia adalah menangani perselisihan di Laut China Selatan tanpa menarik  tumpuan umum dan politik," kata  Elina.

Ketegangan Kendur, Tetapi Untuk Berapa Lama?

West Capella kembali ke pelabuhan di Teluk Brunei pada 12 Mei, lapan hari sebelum kontraknya tamat, dan pada hari sama rondaan tentera laut A.S. berakhir di kawasan itu.

Tiga hari kemudian – pada hari sama menteri pertahanan Malaysia dan China berhubung menerusi panggilan telefon – kapal Hai Yang Di Zhi 8 turut beredar, yang meninggalkan tanggapan bahawa Malaysia yang mengambil langkah pertama untuk berundur dari kawasan itu.

Walaupun kawasan yang menjadi persoalan itu kini lengang, China tetap berada di tempat lain dalam zon ekonomi eksklusif Malaysia. Perisian pengesanan kapal pada Jumaat menunjukkan sebuah kapal CCG bernombor 5204 berada di Luconia Shoals iaitu di bahagian paling selatan dalam rantaian Pulau Spratly.

"Saya rasa cara Malaysia menangani insiden West Capella tidak mengubah pemikiran China untuk terus melakukan operasi di luar pesisir Malaysia," kata Hiebert. "Kapal-kapal China terus meninjau James Shoal dan Luconia Shoals di luar pesisir Malaysia sejak beberapa tahun lalu."

Elina pula berkata Malaysia telah menegaskan bahawa ia memilih untuk  terus bekerjasama melalui Persatuan Negara-negara Asia Tenggara dalam mengadakan rundingan dengan China bagi melaksanakan Tata Cara (CoC) mengawal selia tingkah laku di Laut China Selatan. Rundingan tersebut dimulakan pada 2017 dan dijangka selesai pada 2021.

Namun, “CoC dilihat mungkin tidak bertaring atau tidak akan dipatuhi,” walaupun ia dimeterai secara sah, kata Elina.

Parameswaran berkata kemungkinan akan ada lebih banyak "kesinambungan berbanding perubahan" dalam pendekatan Malaysia berhubung Laut China Selatan tetapi tanpa ketegasan terhadap China, "dengan risikonya adalah krisis berikutnya mungkin kian menghampiri."

Lihat Laman Penuh