Follow us

Malaysia, Vietnam Suarakan ‘Kebimbangan Serius’ Mengenai Laut China Selatan

Pertikaian perlu diselesaikan secara aman, kata Perdana Menteri Mahathir Mohamad dan rakan sejawatannya Nguyen Xuan Phuc.
Muzliza Mustafa & Hadi Azmi
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-08-28
E-mel
Komen
Share
Perdana Menteri Vietnam Nguyen Xuan Phuc (kiri) dan Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad berjalan bersama untuk menghadiri mesyuarat di Hanoi, 27 Ogos, 2019.
Perdana Menteri Vietnam Nguyen Xuan Phuc (kiri) dan Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad berjalan bersama untuk menghadiri mesyuarat di Hanoi, 27 Ogos, 2019.
[AP]

Malaysia dan Vietnam pada Rabu menyuarakan ‘kebimbangan serius’ mengenai perkembangan terbaru di Laut China Selatan yang menjadi pertikaian, berikutan laporan mengenai kapal-kapal peninjau China dilihat berada di perairan wilayah masing-masing sejak beberapa minggu lalu.

Kuala Lumpur dan Hanoi mengeluarkan kenyataan bersama itu semasa Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad mengakhiri lawatan tiga hari ke Vietnam, hampir seminggu selepas kerajaan Vietnam menuntut China mengarahkan kapal-kapal peninjaunya supaya keluar daripada perairan wilayahnya di Laut China Selatan.

"Kedua-dua pihak menekankan pentingnya untuk mengekalkan keamanan, kestabilan, keselamatan dan kedaulatan undang-undang di rantau ini ... dan menyuarakan kebimbangan serius mengenai perkembangan terbaru di Laut China Selatan," kata kenyataan itu, yang dikeluarkan selepas Mahathir mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Vietnam, Nguyen Xuan Phuc.

Dalam kenyataan bersama itu, kedua-dua negara Asia Tenggara juga menekankan kepentingan menghormati prinsip tanpa ketenteraan dan ‘mengelakkan aktiviti yang boleh meningkatkan ketegangan.’

Pada 22 Ogos lepas, Vietnam mengesahkan bahawa Haiyang Dizhi 8, sebuah kapal yang dikendalikan oleh China Geological Survey, telah kembali selepas menjalankan kajian 12 hari berhampiran perairan Kepulauan Spratly pada Julai, dengan kapal pengawal pantai China mengekorinya untuk memberi sokongan. Hanoi menyifatkan pencerobohan kapal China sebagai ‘pencabulan serius’ terhadap kedaulatan Vietnam.

Pada satu ketika, kapal penyelidik China mencerobohi kawasan minyak luar pesisir di zon ekonomi eksklusif Vietnam (EEZ) yang terletak di luar terumbu barat Spratlys dikenali sebagai Tebing Vanguard, yang membawa kepada kebuntuan berhampiran kawasan itu.

China menuntut hampir kesemua kawasan di Laut China Selatan. Filipina, Taiwan, Brunei, Malaysia dan Vietnam juga membuat tuntutan bertindih terhadap wilayah di perairan itu, yang penting untuk pelayaran dan perdagangan antarabangsa.

Kapal-kapal China di perairan Malaysia

Sementara itu, kapal peninjau China ‘Shiyan 2’ dilihat beroperasi di EEZ Malaysia berhampiran Luconia Breakers, menurut maklumat yang disiarkan di Twitter pada 4 Ogos oleh Ryan Martinson, seorang profesor di Kolej Tentera Laut Amerika Syarikat di Washington. Pada 9 Ogos, beliau melaporkan bahawa kapal yang sama pula berada di EEZ, berhampiran Sarawak di Kepulauan Borneo Malaysia.

Pada 14 Ogos, Martinson mencatatkan lebih banyak maklumat yang menyatakan bahawa satu lagi kapal peninjau China ‘Haiyang 4’ sedang menuju ke zon eksklusif Malaysia.

Para pegawai Malaysia tidak mengesahkan laporan mengenai dakwaan pencerobohan itu tetapi memberitahu BeritaBenar bahawa mereka akan menyiasat mengenainya.

Selepas mengetuai gabungan parti Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum pada Mei tahun lepas, Perdana Menteri Mahathir berkata kapal perang harus dikeluarkan dari Laut China Selatan.

“Saya fikir tidak patut ada terlalu banyak kapal perang. Kapal perang menyebabkan ketegangan,” kata pemimpin berusia 93 tahun itu semasa diwawancara oleh South China Morning Post yang berpejabat di Hong Kong pada Jun 2018.

Menteri Luar Malaysia, Saifuddin Abdullah, dalam reaksinya kepada kenyataan Mahathir mengenai kapal perang itu, memberitahu Parlimen Malaysia pada Julai tahun lepas bahawa kerajaan akan mengamalkan pendirian tegas dalam menangani pertikaian wilayah berkenaan, yang berlaku sejak beberapa abad lepas.

Saifuddin berkata bahawa Deklarasi Kod Tata Laku Pihak Berkepentingan 2002, yang tidak menetapkan garis panduan tata laku yang ketat ke atas negara-negara yang membuat tuntutan di wilayah perairan itu, ‘tidak mempunyai taring’ dan ketenteraan Beijing berpotensi meningkatkan ketegangan serantau.

Dalam kenyataan bersama kedua-dua pemimpin itu pada Rabu, Kuala Lumpur dan Hanoi menyatakan sokongan bagi pelaksanaan kod tata laku itu secara meluas dan berkesan di perairan rantau itu.

"Kedua-dua pihak bersetuju bahawa pertikaian akan diselesaikan melalui cara yang aman termasuk menghormati sepenuhnya proses undang-undang dan diplomatik tanpa menggunakan ancaman atau kekerasan," kata kenyataan itu.

China telah membina pelbagai pemasangan ketenteraan dengan keupayaan peluru berpandu balistik yang canggih di pulau-pulau yang menjadi tuntutan di bawah kawalannya. Beijing juga sering membantah Washington dan sekutunya dalam melaksanakan operasi tentera laut di rantau maritim itu.

Lihat Laman Penuh