China Terus Dikecam Laksana Undang-undang Pengawal Pantai Kontroversi

Kapal China berlayar berhampiran Luconia Shoals iaitu kawasan yang menjadi tuntutan Malaysia.
Zachary Haver
Washington
2021-02-23
Share
China Terus Dikecam Laksana Undang-undang Pengawal Pantai Kontroversi Sebuah kapal Pengawal Pantai China berada berdekatan kapal Tentera Laut Indonesia semasa ia melakukan rondaan di utara Pulau Natuna, Indonesia, 11 Januari 2020.
[Reuters]

Pelaksanaan undang-undang baru yang memberi kuasa kepada Pengawal Pantai China (CCG) untuk menggunakan kekerasan di Laut China Selatan terus menerima kecaman antarabangsa selain bantahan beberapa negara yang turut mempunyai tuntutan di kawasan perairan itu.

Data pengesanan kapal menunjukkan bahawa pada bulan ini, tentera laut dan pengawal pantai Malaysia telah dua kali berlayar berdekatan dengan kapal CCG yang dikesan berada di Luconia Shoals (Beting Patinggi Ali), kawasan yang menjadi tuntutan Malaysia, sejak pertengahan Januari.

Ini menunjukkan bahawa walaupun dengan kehadiran berterusan CCG, yang mempunyai kelengkapan lebih baik berbanding kebanyakan kapal tentera laut di Asia Tenggara, negara-negara yang membuat tuntutan di Laut China Selatan tidak bersedia untuk memberi laluan kepada China, yang tetap menuntut hampir keseluruhan kawasan perairan yang menjadi pertikaian itu.

Dr. Collin Koh, seorang felo penyelidik di Pusat Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, berkata pasukan keselamatan Malaysia mengekalkan kehadiran konsistennya di Luconia Shoals sejak beberapa tahun lalu. “Rakyat Malaysia pasti tidak akan membiarkan perkara ini. Sekurang-kurangnya, mereka berusaha untuk sentiasa berada di kawasan itu sebagai langkah berdepan dengan kehadiran China di kawasan pertikaian berkenaan walaupun menyedari adanya kekurangan dari segi kapasiti dan kemampuan sendiri," kata Koh.

"Dan, sudah tentu, dengan Undang-Undang Pengawal Pantai yang baru diumumkan Beijing, kita mengharapkan rakyat Malaysia dapat terus berusaha mempertahankan kawasan itu sebagai langkah menangani cabaran kehadiran CCG," kata Koh kepada Radio Free Asia (RFA) entiti BeritaBenar.

Jabatan Negara Amerika Syarikat pada Jumaat mengecam keras undang-undang itu, yang dilaksanakan China pada Januari, yang memberikan CCG lebih banyak kebebasan untuk menampilkan tuntutan China - tindakan yang telah mengejutkan negara-negara di Asia Tenggara dan kawasan berdekatan dengannya.

"Amerika Syarikat menyertai Filipina, Vietnam, Indonesia, Jepun dan negara-negara lain dalam menyuarakan kebimbangan berhubung undang-undang Pengawal Pantai yang dilaksanakan China baru-baru ini, kerana ia boleh meningkatkan lagi tekanan pertikaian berhubung kawasan wilayah dan maritim yang sudahpun berlarutan," kata jurucakap jabatan itu, Ned Price.

"Bahasa dalam undang-undang itu, termasuk teks yang membenarkan pengawal pantai untuk memusnahkan struktur negara lain dan menggunakan kekerasan dalam mempertahankan tuntutan maritim China di wilayah yang menjadi pertikaian, dengan jelas menunjukkan bahawa undang-undang ini akan digunakan untuk menakut-nakutkan maritim negara-negara jiran RRC," katanya, yang merujuk kepada Republik Rakyat China.

Susulan daripada kenyataan Price, jurucakap Angkatan Tentera Filipina (AFP) Jeneral Marinir Jeneral Edgard Arevalo berkata kepada BeritaBenar bahawa "kami akan, seperti mana biasa, tegas dalam melindungi domain maritim kami - tanpa mengira undang-undang apa yang mungkin diluluskan oleh negara lain. "

"Melindungi wilayah kami dan mendukung kepentingan rakyat kami menjadi keutamaan bagi kami," kata Arevalo.

Pada awal Februari, komander AFP berkata bahawa Filipina merancang untuk mengerahkan lebih banyak asetnya di Laut China Selatan sebagai tindak balas terhadap Undang-Undang Pengawal Pantai China yang baru, lapor BeritaBenar.

Sejak beberapa tahun lalu, CCG menegaskan tuntutan maritim China yang meluas di Laut China Selatan di mana China terlibat dalam pertikaian maritim dan wilayah bertindih dengan Vietnam, Filipina, Malaysia, Brunei dan Taiwan.

Tetapi undang-undang itu, yang diluluskan pada akhir Januari oleh Kongres Rakyat Nasional, membangkitkan kebimbangan mendalam bahawa CCG akan memperluaskan kuasanya. Undang-undang tersebut menjelaskan dengan terperinci bahawa pengawal pantai China dan agensi penguatkuasaan undang-undang maritim lain negara itu boleh menggunakan senjata kecil seperti senapang atau senjata dalam kapal seperti senjata atas geladak semasa menguruskan kapal-kapal asing yang mencerobohi perairan yang dituntut China sebagai miliknya.

Dalam insiden terbaru semasa CCG melakukan rondaan di pesisir pantai negara yang terlibat dalam pertikaian tuntutan itu, kapal-kapal China itu telah bertembung dengan bot-bot Vietnam di dua lokasi di Laut China Selatan dalam masa beberapa hari lalu.

Pada Sabtu, CCG 5304 berlayar dari pulau buatan China yang dibina di Terumbu Subi di Kepulauan Spratly dan tiba di kawasan minyak dan gas Vietnam yang terletak kira-kira 170 batu nautika berdekatan Vung Tau, Vietnam pada hari berikutnya, menurut data pengesanan kapal.

CCG 5304 kelihatan menghampiri dalam jarak satu batu nautika dari PTSC Bien Dong 1 iaitu unit penyimpanan dan pemunggahan terapung (FSO) Vietnam – berkemungkinan untuk memberi isyarat bahawa China membantah sebarang kegiatan menerokai sumber-sumber di wilayah pertikaian di Laut China Selatan yang turut dituntut oleh China.

Pada Isnin, dua kapal CCG bertembung pula dengan bot yang mengibar bendera Vietnam di perairan antara Quang Ngai di Vietnam dan Kepulauan Paracel, yang diduduki oleh China walaupun turut dituntut oleh Vietnam dan Taiwan.

Bot yang mengibarkan bendera Vietnam itu - dikenal pasti oleh pengesan kapal MarineTraffic sebagai "Benhai08629" – beredar dari pelabuhan di Da Nang pada 15 Februari dan mengemudi ke kawasan sekitar 110 batu nautika dari Quang Ngai. Data pengesanan kapal menunjukkan CCG 4203 dan CCG 4201 menghampiri Benhai 08629 pada Isnin dalam jarak beberapa batu nautika daripada bot tersebut. CCG 4203 kelihatan mengiringi bot Benhai 08629 keluar dari kawasan itu.

RFA tidak dapat mengesahkan maklumat tambahan mengenai Benhai 08629 seperti siapa pemilik bot itu atau jenis bot berkenaan.

Konfrontasi terbaru antara CCG dan Malaysia dikatakan bermula pada minggu lalu di South Luconia Shoals, yang terletak kira-kira 100 batu nautika dari pesisir Malaysia, dan hampir 1,000 batu nautika dari pesisir selatan Tanah Besar China.

Menurut data pengesanan kapal itu, Keris KD - yang tertera dalam platform pengesanan kapal MarineTraffic sebagai "RMN WARSHIP 111" - berlayar dari Kota Kinabalu, Sabah di Malaysia pada 18 Februari dan tiba di South Luconia Shoals pada hari yang sama. Sehingga Isnin, Keris KD masih berada di kawasan itu.

Dua sumber pihak tentera Malaysia mengesahkan kepada BeritaBenar, yang merupakan entiti perkhidmatan berita RFA, bahawa WARSHIP TLDM 111 adalah Keris KD. Sumber-sumber berkenaan tidak dibenarkan bercakap kepada wartawan dan meminta nama mereka tidak dinyatakan.

210223-SCS-MY-Inside.jpeg

Data pengesanan kapal menunjukkan kapal tentera laut Malaysia KD Keris berlayar dari Kota Kinabalu ke South Luconia Shoals. Kredit: MarineTraffic.

Sebuah kapal CCG, HJ5202, beroperasi di sekitar South Luconia Shoals sejak 17 Januari. Pada awal Februari, RFA melaporkan bahawa sebuah kapal pengawal pantai Malaysia berlayar ke South Luconia Shoals dalam cubaan untuk berdepan dengan HJ5202.

Sumber tentera Malaysia memberitahu BeritaBenar bahawa Luconia Shoals adalah sebahagian daripada zon ekonomi eksklusif Malaysia dan kawasan Luconia Shoals merupakan sebahagian daripada kawasan rondaan KD Keris.

“Kapal tentera laut Malaysia atau kapal pengawal pantai Malaysia sering dikerah ke Beting Patinggi Ali [Luconia Shoals] untuk memantau aktiviti di kawasan itu. Mana-mana kapal tempatan atau antarabangsa boleh melalui kawasan berkenaan tetapi tidak boleh melakukan sebarang aktiviti ekonomi di zon ekonomi eksklusif tersebut seperti aktiviti penggerudian atau perikanan tanpa kebenaran,” kata sumber itu.

Dizhwar Bukhari di Kuala Lumpur dan Jason Gutierrez di Manila turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh