Penculikan di perairan Malaysia yang bersempadan dengan Indonesia dan Filipina terus berlaku walaupun rondaan udara dan laut bersama oleh tiga negara itu dilancarkan pada 2017, kata seorang pegawai Tentera Filipina pada Rabu sambil menegaskan bahawa ia kekal menjadi cabaran besar untuk menjamin keselamatan laut tempatan berikutan saiz keluasannya.
Walaupun Rondaan Maritim Tiga Negara (TMP) memberi kesan dalam memerangi ancaman itu, wilayah berkenaan tidak dipagari undang-undang kerana lanun dan militan memerintah tanpa hukuman, kata Mejar Arvin Encinas, jurucakap Pemerintah Tentera Mindanao Barat.
"Kami mengadakan operasi secara berterusan sekarang. Kami tidak boleh melakukannya sendirian - ia diselaraskan dengan rakan-rakan kami," kata Encinas kepada BeritaBenar. "Ia berkesan, tetapi masih belum mencukupi kerana kawasan yang kami ronda adalah terlalu besar."
Rakan sejawatannya di Indonesia dan Malaysia juga memberi ulasan yang sama.
Mereka memperkatakan tentang keperluan memperkukuhkan rondaan untuk melindungi orang awam, kurang seminggu selepas suspek bersenjata Abu Sayyaf menculik lima nelayan Indonesia dari bot nelayan itu di perairan Malaysia di negeri timur Sabah berdekatan dengan wilayah Tawi-Tawi di selatan Filipina.
Seorang jurucakap Tentera Nasional Indonesia (TNI) berkata negara-negara itu dihalangi oleh sempadan.
"Penculikan berlaku di Malaysia, jadi kami tidak dapat berbuat apa-apa. Malaysia yang bertanggungjawab di sana, "kata jurucakap TNI Mejar Jeneral Sisriadi kepada BeritaBenar.
"Kami tidak boleh ke sana kerana ia adalah wilayah Malaysia. Kami mesti menghormati kedaulatan setiap negara," kata Sisriadi yang dikenali dengan satu nama sahaja.
Menteri Keselamatan Indonesia Mahfud MD berkata beliau bercadang untuk membincangkan mengenai kebimbangan keselamatan maritim itu dengan Menteri Luar Negeri Retno Marsudi, sambil memberitahu terdapat sebab mengapa penculikan masih berlaku.
"Ia kerana Abu Sayyaf masih belum kecundang," katanya kepada pemberita.
Beliau juga bercadang untuk berbincang dengan pegawai-pegawai Malaysia mengenai rakyat Indonesia yang ditawan di perairan Malaysia.
"Banyak yang kami fikirkan. Kami berjaya membebaskan tiga tebusan dan, tiba-tiba, mereka menahan lima orang lagi. Sejak bila kami tewas kepada lanun?," soal beliau.
Pada 15 Jan, tentera Filipina dapat menyelamatkan tiga rakyat Indonesia yang yang diculik oleh militan Abu Sayyaf pada September lalu, kira-kira sebulan selepas dua rakan senegara mereka diselamatkan. Sehari kemudian, lima nelayan itu pula yang dijadikan tebusan.
Hazani Ghazali, Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) yang menyelia perairan di mana lima nelayan itu diculik, tidak mengulas lanjut namun mengesahkan bahawa rondaan bersama itu beroperasi di bawah perjanjian tiga negara yang ditandatangani pada 2017. Rondaan maritim itu bermula pada Jun tahun berkenaan manakala rondaan udara bermula empat bulan kemudian.
"Setakat ini, Angkatan Bersenjata Filipina memberi sokongan dan kerjasama yang penuh kepada kami," kata Hazani kepada BeritaBenar sebelum menamatkan perbualan.
Selepas rondaan udara dilancarkan pada Oktober 2017, keadaan reda dengan penculikan maritim tidak banyak berlaku di perairan Sabah tetapi lima insiden penculikan di bot dan kapal layar di kawasan perairan itu dilaporkan sejak September 2018.
Penglibatan awam
Selain rondaan bersama, para pegawai Filipina menyasarkan usaha untuk mendapatkan sokongan dan penglibatan orang awam di sekitar kawasan tempat tinggal yang berdekatan dengan kem militan Abu Sayyaf.
Terdapat "kempen advokasi tanpa henti mengenai ancaman pengganas diadakan untuk penduduk di kawasan-kawasan terpencil," kata Left. Jen Cirilito Sobejana kepada BeritaBenar.
Sobejana, komander Pemerintah Tentera Mindanao Barat Tentera Filipina, berkata beliau telah memerintahkan para pegawainya untuk menghapuskan Abu Sayyaf.
"Mereka agak popular sebelum ini dengan gaya ala Robin Hood di mana mereka berkongsi hasil daripada wang tebusan yang dibayar. Mereka mendapat sokongan penduduk tempatan, "kata Sobejana mengenai kumpulan Abu Sayyaf. "Sekarang, mereka tidak mempunyai mangsa penculikan kecuali bagi kes terbaru ini."
Mengenai lima nelayan yang ditahan kumpulan itu minggu lalu, Charles Honoris, ahli parlimen Parti Demokratik Perjuangan Indonesia yang memerintah Indonesia, menyeru kerajaan supaya terus berusaha membebaskan mereka.
"Indonesia, Malaysia dan Filipina telah menandatangani perjanjian tiga negara yang berkaitan dengan menjamin keselamatan perairan wilayah di rantau ini," katanya, sambil memberitahu nasib nelayan dan pihak lain masih tidak terjamin kerana perjanjian itu belum dilaksanakan sepenuhnya.
"Kerajaan mesti menggesa Malaysia dan Filipina untuk melaksanakan kerjasama keselamatan yang telah dipersetujui. Kerjasama juga boleh merangkumi penempatan marsyal laut atau anggota bersenjata untuk memantau perjalanan kapal-kapal yang melalui laluan-laluan yang rentan," kata Honoris.
Kebimbangan penganalisis
Ramli Dollah, penganalisis keselamatan di Universiti Malaysia Sabah, berkata penculikan itu membawa keuntungan kepada militan dan akan berterusan selagi isu-isu di rantau ini tidak dapat diselesaikan terutamanya di selatan Filipina di mana Abu Sayyaf berakar umbi.
Isu-isu itu menyebabkan negara-negara berkenaan mengambil langkah untuk memeterai perjanjian tiga pihak tersebut, katanya.
"Bagaimanapun, kerjasama seperti itu bukanlah jaminan dalam menangani ancaman sedemikian," kata Ramli kepada BeritaBenar.
"Keadaan menjadi semakin sukar kerana faktor geografi terutamanya kedudukan Filipina dan Malaysia yang berdekatan memudahkan kegiatan itu dan menyukarkan pihak berkuasa untuk menangani isu tersebut," katanya sambil memberitahu kerjasama tiga negara itu dapat mengurangkan ancaman tetapi tidak dapat menghapuskannya.
Oleh itu, adalah tidak adil untuk menyalahkan kelemahan yang terdapat di negara terbabit dalam menangani ancaman keselamatan rentas sempadan, katanya.
Deka Anwar, seorang penyelidik di Institut Analisis Dasar Konflik (IPAC) di Jakarta, berkata rondaan tiga pihak itu mampu memberi kesan dalam memintas kemasukan pejuang-pejuang pro Negara Islam yang mahu kembali ke Asia Tenggara dari Timur Tengah.
Bagaimanapun, beliau berkata rondaan bersama itu tidak memberi kesan terhadap para penculik yang mempunyai kaitan dengan Abu Sayyaf dan kumpulan lain.
"Adalah amat penting untuk mencuba dan memahami mengapa penculikan di laut ini bermula, berhenti dan disambung semula. Ia hampir pasti tiada banyak kaitan dengan TMP," katanya kepada BeritaBenar, dengan merujuk kepada perjanjian rondaan bersama tiga negara itu.
"Sesiapa yang melihat keadaan di Filipina perlu memahami bahawa apabila komander dibunuh, anak-anak mereka, abang dan adik serta anak saudara lelaki mereka lambat laun akan mengambil alih kedudukan itu, dengan didorong oleh perasaan dendam selain mahu meraih keuntungan," katanya.
Jeoffrey Maitem dan Mark Navales di Cotabato City, Filipina, Tia Asmara di Jakarta, dan Nisha David di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.