Follow us

Migran Rantau Asia Tenggara Berdepan Kehilangan Pekerjaan, Kelaparan Akibat COVID-19

Staf BeritaBenar
Jakarta, Kuala Lumpur, Bangkok, Dhaka & Manila
2020-04-15
E-mel
Komen
Share
Anak-anak pekerja migran bermain di luar rumah mereka di tapak pembinaan di utara Bangkok, 12 April 2020.
Anak-anak pekerja migran bermain di luar rumah mereka di tapak pembinaan di utara Bangkok, 12 April 2020.
[Nontarat Phaicharoen/BeritaBenar]

KEMASKINI pada 11.30 pagi waktu tempatan ETS - 2020-04-17

Pekerja-pekerja migran di Asia menanggung beban besar akibat penularan wabak koronavirus di rantau ini dengan mereka kehilangan pekerjaan, kehabisan bekalan makanan atau malah menderita penyakit berjangkit itu.

Kerajaan negara mereka bekerja nampaknya prihatin dengan keadaan itu kerana kebanyakan pekerja berkenaan adalah penyumbang pendapatan tunggal bagi keluarga mereka yang berada di Indonesia, Bangladesh serta negara-negara pengeksport buruh yang lain.

Semasa pertemuan dalam talian khas dengan rakan-rakan pemimpin Asia Tenggara untuk membincangkan menngenai usaha serantau bagi memerangi COVID-19, Presiden Indonesia Joko "Jokowi" Widodo membangkitkan tentang pekerja migran yang terjejas akibat wabak tersebut.

Pemimpin Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) pada Selasa bersetuju untuk memastikan adanya jaringan keselamatan sosial bagi mereka yang paling terjejas di negara masing-masing. Tetapi, mereka tetapi tidak menyatakan tentang pekerja migran dalam pernyataan bersama yang dikeluarkan selepas pertemuan dalam talian itu, yang turut diadakan dengan pemimpin Jepun, Korea Selatan dan China.

“Saya menghargai kerjasama yang baik antara Indonesia, Malaysia dan Singapura untuk melindungi pekerja migran," kata Jokowi pada mesyuarat itu.

Menteri Luar Negeri Indonesia Retno Marsudi menarik perhatian tentang hampir 7 juta pekerja berhijrah ke negara-negara ASEAN, dengan menganggap mereka sebagai pusat "dalam proses pembangunan komuniti kita."

"Memandangkan setiap negara ASEAN mengguna pakai langkah-langkah nasional sendiri untuk mengekang COVID-19, kita tidak boleh melupakan komitmen untuk membantu dan melindungi rakyat kita, terutama yang mudah terjejas, yang berada di negara-negara ASEAN lain," kata Retno dalam artikel pendapat yang ditulisnya yang disiarkan oleh Jakarta Post pada Selasa.

"Dengan lebih daripada 1 juta rakyat Indonesia bekerja di Singapura dan Malaysia, saya berhubung rapat dengan rakan sejawatan saya untuk memastikan adanya perlindungan buat pekerja migran kami di negara berkenaan," tulisnya.

Di seluruh rantau Asia Tenggara, para migran berdepan waktu sukar dalam usaha menghadapi wabak COVID-19, kata pekerja dan NGO yang membantu mereka.

Di Thailand, Nich Wan yang merupakan rakyat Kemboja dari Battambang yang pernah bekerja di sebuah tapak pembinaan dan menjalankan perniagaan runcit kecil di utara Bangkok, memberitahu bahawa dia terkandas di tempat itu yang hanya memberikannya pendapatan sedikit daripada perniagaannya dan tiada kerja binaan.

"Saya tidak meraih pendapatan yang mencukupi daripada jualan yang sedikit kerana COVID terus merebak dan saya harus tinggal di sini. Saya fikir saya boleh pulang ke kampung halaman semasa perayaan Songkran [Tahun Baru Thailand] tetapi sempadan ditutup,” kata Nich kepada BeritaBenar.

Rakyat Bangladesh Abdul Salam, 47, yang bekerja di Malaysia selama lima tahun, baru-baru ini diambil bekerja di sebuah kedai menjual perkakasan di mana dia dibayar RM25 ($5.75) sehari. Seminggu kemudian, kerajaan melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP), yang turut menyekat sebahagian industri dan perkhidmatan daripada beroperasi kecuali yang disenaraikan sebagai penting.

PKP yang dilanjutkan sehingga 28 April ternyata membimbangkannya kerana dia tidak mempunyai wang mencukupi untuk membeli makanan. Dia berbelanja sesedikit mungkin dan, seperti 15 rakan serumahnya, hanya makan sekali sehari.

"Saya meminta wang pendahuluan RM500 ($115) dari majikan saya pada awal PKP kerana saya perlu menghantar wang kepada keluarga. Saya menghantar kebanyakan wang itu kepada keluarga saya di Bangladesh, dan menyimpan sedikit untuk perbelanjaan saya,” katanya kepada BeritaBenar sambil memberitahu bahawa dia dan rakan-rakan serumahnya saling menyumbang RM3 hingga RM6 (69 sen hingga $1.16) untuk membeli bekalan makanan.

NGO hulur bantuan

Sementara itu, Siti Nursuraya Ali pengasas NGO Anak Kami yang berpejabat di Malaysia dan bekerjasama dengan Kedutaan Besar Indonesia di Kuala Lumpur untuk memberikan bantuan kepada para migran, dan berharap dapat melakukan yang sama di Bangladesh.

"Kami berusaha untuk berhubung dengan Kedutaan Bangladesh tetapi mereka tidak begitu bekerjasama dengan kami," katanya kepada BeritaBenar. "Mereka mahukan pangkalan data daripada kami tetapi tidak mahu memberi kami dokumen secukupnya untuk membolehkan kami membantu."

Rakyat Indonesia di Mindanao, yang terletak di selatan Filipina, telah meminta bantuan makanan daripada kerajaan di Jakarta, kata Kementerian Luar Negeri.

"Ada 3,000 warganegara Indonesia di selatan Filipina. Konsul Jeneral Indonesia di Bandar Davao berusaha untuk menghubungi mereka yang paling terjejas,”kata Judha Nugraha, pengarah perlindungan rakyat Indonesia di luar negara di Kementerian Luar Negeri. "Masjid di kawasan konsulat jeneral di Davao telah memberikan wang tunai dan barangan asas kepada rakyat Indonesia di sembilan kawasan di selatan Filipina."

Sementara itu, pegawai Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menyatakan bahawa mereka telah meminta kerajaan membantu pelarian dan pencari suaka yang terjejas akibat PKP.

Suhakam merujuk kepada janji kerajaan bahawa tiada seorang pun akan terpinggir dalam pakej rangsangan ekonomi yang dilaksanakan susulan wabak tersebut.

Pada 27 Mac, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan peruntukan sebanyak $29.6 bilion untuk kesejahteraan awam, $23.1 bilion untuk menyokong perniagaan dan $460 juta untuk meningkatkan ekonomi dalam apa yang disebut sebagai “Pakej Rangsangan Ekonomi Menumpukan Rakyat". Selepas itu, kerajaan  memperuntukkan $2.3 bilion lagi untuk membantu perniagaan kecil.

“Peruntukan harus disediakan untuk membantu dan memenuhi keperluan asas masyarakat pelarian dan pencari suaka. Ini termasuk dana untuk tempat tinggal sementara bagi mereka yang berdepan pengusiran oleh pemilik kediaman,” kata kenyataan itu.

Di Thailand, majoriti hampir 3 juta pendatang dari Kemboja, Laos dan Myanmar bekerja di kilang, tapak pembinaan, kedai makan, gedung serbaneka dan perikanan di Bangkok serta wilayah berdekatan, menurut kumpulan hak asasi.

Ramai yang kehilangan pekerjaan setelah pentadbiran dan wilayah metropolitan Bangkok memerintahkan perniagaan yang tidak penting ditutup pada 22 Mac. Lebih ramai kehilangan pekerjaan apabila Perdana Menteri Prayuth Chan-o-cha mengeluarkan perintah darurat dan perintah berkurung pada waktu malam untuk mengekang penyebaran virus itu.

Kerajaan baru-baru ini melancarkan pakej rangsangan $58 bilion (1.9 trilion baht) tetapi ia tidak termasuk bantuan untuk pekerja migran.

Untuk memburukkan lagi keadaan, beberapa migran yang diberhentikan tidak menerima pampasan yang sepatutnya dibayar kepada mereka berdasarkan undang-undang, kata pekerja hak asasi kepada BeritaBenar.

"Kami tidak tahu dengan tepat berapa ramai pekerja migran  meninggalkan negara ini dan berapa ramai lagi yang tinggal di sini," kata Patima Tungpuchayakul, pengarah Jaringan Penggalakan Hak Buruh (LPN) kepada BeritaBenar. "Kerajaan juga tidak bertanya tentang jumlahnya juga."

Pegawai keselamatan sosial kerajaan tidak melayani permintaan BeritaBenar untuk mendapatkan komen.

Bantuan untuk mereka yang pulang

Menurut pegawai NGO di Indonesia, rakyatnya yang kembali dari luar negara juga memerlukan keperluan serupa di tengah-tengah wabak tersebut.

Hampir 33,000 pekerja Indonesia telah kembali dari Malaysia, Hong Kong dan Taiwan pada akhir Mac, menurut Badan Perlindungan Pekerja Migran Indonesia (BP2MI).

"Kami ingin memberikan jaminan kepada pekerja migran kerana mereka adalah wira pertukaran asing," kata Benny Ramdhani selepas mengangkat sumpah sebagai ketua BP2MI di hadapan Widodo pada  Rabu.

Bangladesh, yang bukan anggota ASEAN, telah menangani kebanjiran rakyatnya sendiri yang dihantar pulang dari negara-negara asing - termasuk ramai yang dipenjarakan kerana tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.

Agensi berita Bangladesh, BSS, melaporkan bahawa 366 warga Bangladesh, yang kebanyakannya pekerja migran dan beberapa pelancong yang terkandas, kembali dari Arab Saudi dengan penerbangan sewa khas pada malam Rabu.

"Mereka menaiki penerbangan itu selepas menjalani pemeriksaan kesihatan dan tidak ada yang positif COVID-19," kata Golam Moshi, duta besar Bangladesh di Arab Saudi kepada BeritaBenar.

Beliau memberitahu seramai 15 rakyat Bangladesh yang dijangkiti coronavirus telah meninggal dunia di Arab Saudi.

Emiriah Arab Bersatu telah memberi senarai lebih 200 pekerja Bangladesh yang berada di penjara mereka, kata Menteri Luar A.K. Abdul Momen kepada BeritaBenar.

"Kami sedang memeriksa sama ada mereka benar-benar warganegara Bangladesh."

Syed Saiful Haque yang merupakan Ketua Yayasan Pembangunan WARBE iaitu NGO yang membantu kebajikan pekerja ekspatriat, menyatakan sekurang-kurangnya 250,000 warganegara Bangladesh dari pelbagai negara telah pulang sendiri atau  dihantar pulang kerana wabak di negara-negara mereka berkerja di Timur Tengah serta di Malaysia dan Itali.

"Sudah tentu coronavirus menyebabkan krisis di negara-negara berkenaan tetapi menghantar pekerja asing pulang ke negara mereka adalah tidak adil kerana pekerja migran ini memberi sumbangan besar kepada ekonomi negara berkenaan," kata Abdul Momen.

Tahun lalu, pekerja migran Bangladesh menghantar pulang $15.5 bilion (1.3 trilion taka) kepada keluarga mereka, menurut anggaran kerajaan.

Mereka yang kembali ke negara itu menerima bayaran gaji dan layak mendapat pinjaman kerajaan, kata Menteri Kebajikan Ekspatriat Imran Ahmad kepada BeritaBenar.

“Setiap orang yang pulang akan mendapat 5,000 taka ($59) semasa tiba di lapangan terbang. Anggota keluarga pekerja ekspatriat yang meninggal dunia akibat coronavirus akan menerima 300,000 taka ($3,541),” katanya.

"Kami akan memberikan setiap pekerja pinjaman antara 500,000 taka ($5,902) hingga 700,000 taka ($8,263) jika mereka melabur dalam kegiatan ekonomi terutama sektor pertanian," kata Ahmad.

Kumpulan besar pekerja

Syed Saiful Haque dari WARBE berkata jumlah migran Bangladesh yang bekerja di luar negara termasuk pekerja tanpa dokumen adalah hampir 10 juta di seluruh dunia.

Angka itu hampir sama dengan jumlah pekerja luar negara dari Filipina, sektor yang juga terjejas teruk akibat virus itu. Sebilangan besar rakyat Filipina itu bekerja di luar negara sebagai pembantu rumah tangga, pekerja sektor perkhidmatan dan pelaut.

Joanna Concepcion, ketua Migrante International yang menjaga kebajikan pekerja Filipina di luar negara, berkata lebih ramai pekerja kehilangan pekerjaan kerana COVID-19 dan kepulangan mereka dijangka memberi kesan kepada ekonomi.

"Lebih 400,000 OFW [Pekerja Asing Luar Negara] dijangka pulang pada bulan-bulan mendatang kerana COVID-19," katanya.

Statistik terbaru dari pejabat luar negeri Filipina menunjukkan bahawa pada masa ini terdapat 736 rakyat Filipina di luar negara telah dijangkiti virus itu, dan seramai 88 orang meninggal dunia setakat ini. Mereka berada di 41 negara dan wilayah di seluruh dunia.

Manila, pada masa yang sama, tidak menghalang pekerjanya untuk ke luar negara terutamanya yang mempunyai kontrak pekerjaan. Malah, pejabat luar negara menyatakan bahawa pihaknya tidak akan menghentikan jururawat dan pekerja kesihatan Filipina untuk ke luar negara bagi membantu negara lain memerangi wabak tersebut.

Ronna Nirmala di Jakarta, Nisha David di Kuala Lumpur, Nontarat Phaicharoen di Bangkok, Kamran Reza Chowdhury dan Jesmin Papri di Dhaka, dan Jason Gutierrez di Manila turut menyumbang kepada laporan ini.

Lihat Laman Penuh