Kemboja Tangguh Mesyuarat Pertama ASEAN Susulan Perbezaan Pendapat Negara Anggota

Jurucakap Kementerian Luar rujuk alasan ‘kesulitan’ diplomat negara anggota dalam menghadiri pemukiman secara fizikal di Siem Reap minggu depan.
Shailaja Neelakantan & Sovannarith Keo
2022.01.12
Washington
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Kemboja Tangguh Mesyuarat Pertama ASEAN Susulan Perbezaan Pendapat Negara Anggota Penunjuk perasaan membantah lawatan Perdana Menteri Kemboja Hun Sen ke Myanmar di Yangon, 7 Jan 2022.
[Syot layar video pihak ketiga melalui Reuters]

Kemboja pada Rabu menangguhkan mesyuarat pertama ASEAN selepas ia menjadi pengerusi blok itu pada 2022, menurut kerajaan, susulan perbezaan pendapat dalam kalangan negara anggota berhubung lawatan Perdana Menteri Hun Sen ke Myanmar minggu lepas yang turut menyaksikan beliau gagal bertemu pemimpin demokrasi.

Satu pemukiman Menteri-Menteri Luar secara fizikal yang dijadualkan minggu depan di Siem Reap telah ditangguhkan bagi tempoh masa yang tidak pasti kerana beberapa diplomat tinggi anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara itu memberi alasan bahawa mereka berdepan kesulitan untuk melakukan perjalanan, kata Khieu Kanharith, Menteri Penerangan negara tuan rumah.

“Pemukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM Retreat) yang asalnya dijadualkan pada 18 hingga 19 Jan 2022 di wilayah Siem Reap telah ditangguhkan,” menurutnya dalam kenyataan di laman Facebook tanpa mengumumkan tarikh baharu bagi mesyuarat itu.

Alasan penangguhan itu ialah “ramai Menteri Luar ASEAN berdepan kesulitan untuk melakukan perjalanan bagi menghadiri mesyuarat itu,” katanya.

Penangguhan itu telah melewatkan lagi pengendorsan rasmi Menteri Luar Prak Sokhonn sebagai duta khas ASEAN yang baharu ke Myanmar.

Radio Free Asia (RFA), yang merupakan sekutu BenarNews, cuba menghubungi jurucakap kerajaan Kemboja Phay Siphan dan jurucakap Kementerian Luar Koy Koung namun belum menerima maklum balas daripada mereka pada Rabu.

Perpecahan yang berlaku dalam ASEAN berhubung lawatan Hun Sen ke Naypyidaw dan potensi jemputan kepada Menteri Luar Myanmar pimpinan junta bagi menghadiri pemukiman itu mungkin menjadi sebab beberapa negara anggota memilih untuk tidak menghadiri mesyuarat itu, kata penganalisis.

Negara anggota ASEAN yang memberi alasan kesulitan melakukan perjalanan untuk tidak hadir mungkin melakukannya atas dasar ingin menjaga kesantunan berbanding bersikap terus terang bahawa mereka sebenarnya tidak mahu ke Siem Reap, kata Sophal Ear, seorang pakar mengenai Kemboja dari Arizona State University di Amerika Syarikat.

“Ini bukanlah tindakan boikot secara rasmi namun cara [sesetengah Menteri Luar negara anggota] memberi alasan mengapa mereka tidak boleh menghadiri mesyuarat itu. … Bagai ayam pulang ke reban, ia adalah karma bagi Diplomasi Koboi Kemboja,” kata Ear, seorang Profesor Madya dan Dekan di Fakulti Pengurusan Thunderbird universiti itu di Phoenix, kepada RFA.

“Apabila anda melakukan perkara yang tidak disukai orang lain, sudah tentu mereka tidak ingin datang ke majlis anda dan oleh itu, memberikan seribu alasan … Bersedialah untuk berdepan senarai panjang alasan mengapa mereka tidak boleh hadir,” katanya.

Seorang lagi penganalisis, Hunter Marston, berkata kepengerusian Kemboja “bermula dengan keadaan agak sukar.”

“Kelihatannya seperti perpecahan dalaman berhubung jemputan Pengerusi ASEAN kepada Menteri Luar Myanmar yang dilantik oleh kerajaan junta Wunna Maung Lwin telah mewujudkan kebuntuan,” kata Marston, seorang penuntut ijazah doktor falsafah di Kolej Asia dan Pasifik Australian National University, di laman Twitter.

‘Perwakilan bukan politik’

Hun Sen, pemimpin Kemboja, yang mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN tahun ini susulan sistem penggiliran secara tahunan, sebelum ke Myanmar minggu lepas telah menyatakan bahawa beliau mahu junta Burma diwakili pada mesyuarat blok itu.

Presiden Indonesia Joko “Jokowi” Widodo dengan tegas telah menyatakan bahawa jika pemimpin kudeta Burma Min Aung Hlaing tidak melaksanakan hala tuju lima perkara ke arah demokrasi yang telah dipersetujui sebelum ini maka Myanmar hanya boleh diwakili perwakilan bukan politik pada mesyuarat ASEAN.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Malaysia memberitahu BenarNews pada Isnin bahawa Menteri Luar Saifuddin Abdullah hanya akan menghadiri mesyuarat di Siem Reap secara maya.

Pengkritik berkata Kemboja telah mengambil ringan pendapat blok serantau itu menerusi pertemuan Hun Sun dengan pemimpin junta Burma Min Aung Hlaing apabila jemputan untuk beliau menghadiri sidang kemuncak ASEAN pada akhir 2021 ditarik balik selepas negara itu gagal mengotakan janjinya untuk melaksanakan konsensus lima perkara yang disepakati dengan blok itu. Ketika itu, Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina dan Singapura telah menyokong usaha menghalang pemimpin kudeta Myanmar daripada menghadiri sidang kemuncak blok serantau itu.

Melalui kunjungan ke Myanmar dan pertemuan dengan Min Aung Hlaing, Hun Sen seolah-olah telah mengesahkan kedudukan Jeneral Kanan Min Aung Hlaing, kata seorang aktivis pro demokrasi di Myanmar.

Pemimpin tentera itu, yang telah menggulingkan kerajaan Burma yang dipilih secara demokratik pada Februari tahun lepas, antara lain berjanji untuk mengakhiri keganasan dan memberikan akses kepada duta khas ASEAN bertemu semua pihak yang terlibat dalam krisis politik di Myanmar. Bagaimanapun, beliau gagal mengotakan janji itu.

Min Aung Hlaing enggan memberikan akses kepada duta khas ASEAN untuk bertemu pemimpin demokrasi di Myanmar tahun lepas.

Sementara itu, lebih 1,400 penunjuk perasaan pro demokrasi telah dibunuh oleh pasukan keselamatan sejak kudeta yang berlaku pada 1 Feb 2021. Sehari selepas Hun Sen meninggalkan Myanmar, Pemimpin Liga Nasional untuk Demokrasi Aung San Suu Kyi telah dihukum penjara lebih empat tahun bagi pertuduhan yang disifatkan oleh banyak pihak sebagai remeh.

Hun Sen telah memecahbelahkan blok serantau itu (ASEAN) melalui tindakan yang disifatkan oleh banyak pihak sebagai diplomasi koboi beliau dengan Myanmar, menyebabkan lebih banyak negara anggota yang bersikap authoritarian bercanggah pendapat dengan negara yang lebih demokratik, kata penganalisis.

‘China hargai kesediaan Myanmar’

Dalam perkembangan lain, Jepun pada Selasa “menyambut baik penglibatan aktif Kemboja sebagai Pengerusi ASEAN berhubung situasi di Myanmar dan kedua-dua Menteri Luarnya turut berkongsi pandangan dalam menjalin kerjasama lebih erat,” demikian menurut kenyataan Kementerian Luar Jepun.

Selain itu, Menteri Luar Kemboja Prak Sokhonn berkata seorang diplomat tinggi Thailand telah menghantar “mesej tahniah” yang menyebut “beliau menyokong kuat hasil yang dicapai seperti dalam kenyataan bersama Kemboja-Myanmar,” lapor media tempatan.

Pada Isnin, China, sekutu rapat Myanmar, mengeluarkan kenyataan yang memihak kepada Hun Sen dan Kemboja serta Myanmar.

“China menghargai kesediaan Myanmar untuk mewujudkan keadaan yang selesa kepada duta khas ASEAN bagi memenuhi tanggungjawabnya dan berusaha ke arah menjalin kerjasama yang berkesan antara hala tuju lima perkara Myanmar dan konsensus lima perkara ASEAN,” kata jurucakap Kementerian Luar China Wang Wenbin kepada pemberita.

Kedua-dua hala tuju langsung tidak mempunyai persamaan.

“China akan memberikan sokongan penuh kepada Kemboja, Pengerusi ASEAN, dalam memainkan peranan yang aktif dan melakukan sumbangan penting ke arah menguruskan perbezaan dalam kalangan pihak-pihak di Myanmar dengan sewajarnya.”

Perkhidmatan berita Khmer Radio Free Asia turut menyumbang kepada laporan ini. BenarNews adalah sebuah unit di RFA.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.