Myanmar Tidak Sertai Sidang Kemuncak Setelah ASEAN Larang Kehadiran Ketua Rampasan Kuasa

Badan serantau itu terpaksa mengambil keputusan sukar untuk tidak menjemput ketua junta Myanmar, kata Presiden Indonesia.
Staf BenarNews
2021.10.26
Manila, Jakarta, Kuala Lumpur & Washington
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Myanmar Tidak Sertai Sidang Kemuncak Setelah ASEAN Larang Kehadiran Ketua Rampasan Kuasa Sultan Brunei Hassanal Bolkiah (tengah) yang juga pengerusi Persatuan Negara-negara Asia Tenggara 2021 berucap pada Sidang Kemuncak ASEAN yang diadakan secara maya tanpa kehadiran Myanmar di Bandar Seri Begawan, 26 Okt. 2021.
[Edaran melalui Reuters]

Pemimpin ASEAN memulakan sidang kemuncak blok Asia Tenggara itu pada Selasa tanpa kehadiran Myanmar, yang menjauhkan diri sebagai tanda membantah tindakan menghalang penyertaan ketua juntanya pada mesyuarat itu.

Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat Joe Biden berkata beliau menyokong usaha Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara itu untuk mempertanggungjawabkan rejim tentera Myanmar dengan rancangan lima perkara badan serantau itu, yang bertujuan memulihkan keamanan dan demokrasi di Myanmar selepas rampasan kuasa.

“Myanmar telah dijemput di peringkat bukan politik. Bagaimanapun, selepas bermulanya sidang kemuncak ini, tiada wakil Myanmar yang hadir di peringkat bukan politik,” kata Menteri Luar Negeri Indonesia Retno Marsudi pada taklimat media.

Diplomat tertinggi Indonesia itu juga melaporkan semula kenyataan ketuanya, Presiden Joko “Jokowi” Widodo, dalam sidang kemuncak ASEAN itu pada Selasa.

Jokowi, katanya kepada pemberita, "kesal dengan keengganan Myanmar untuk menyambut baik tawaran ASEAN sebagai sebuah keluarga bagi membantu Myanmar keluar daripada krisis politiknya."

Awal bulan ini, dalam langkah yang tidak pernah dibuat sebelum ini, menteri-menteri luar negeri ASEAN memutuskan untuk menghalang ketua junta Myanmar Min Aung Hlaing daripada menghadiri sidang kemuncak itu, dengan berkata beliau tidak mematuhi konsensus lima perkara yang telah dipersetujuinya semasa mesyuarat tergempar para pemimpin ASEAN di Jakarta pada April.

“Keputusan ASEAN untuk menjemput wakil Myanmar di peringkat bukan politik ke sidang kemuncak ini adalah satu keputusan yang sukar, tetapi ia perlu dilakukan,” kata Jokowi semasa sidang kemuncak itu pada Selasa, menurut Retno yang memetik beliau sebagai berkata demikian.

Presiden Biden mengingatkan rakan-rakan pemimpin ASEAN “bahawa adalah penting bagi kita untuk mengekalkan rasa hormat terhadap prinsip tidak campur tangan tetapi pada masa yang sama, kita juga perlu mendukung prinsip-prinsip lain dalam Piagam ASEAN seperti demokrasi, tadbir urus yang baik, menghormati hak asasi manusia dan kerajaan berperlembagaan,” kata Retno.

Beliau merujuk kepada dasar tidak campur tangan hal ehwal dalaman negara anggota ASEAN.

Bagi menggantikan kehadiran ketua junta yang melakukan rampasan kuasa tentera pada 1 Februari di Myanmar, ASEAN menjemput seorang diplomat kanan dari Kementerian Luar Negeri yang dilantik junta sebagai "wakil bukan politik" ke sidang kemuncak itu yang dipengerusikan Brunei.

Dihalang menghadiri sidang kemuncak itu adalah "satu tamparan serius dan kegagalan antarabangsa bagi junta," kata pengarah eksekutif Kumpulan Kajian Politik Tagaung di Myanmar, Ye Myo Hein, kepada Radio Free Asia (RFA) iaitu rakan sekutu BenarNews.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh pengerusi ASEAN pada lewat Selasa tidak menyatakan mengenai ketiadaan Myanmar.

Ia menggesa junta Myanmar supaya melaksanakan konsensus lima perkara itu termasuk membenarkan utusan khas ke Myanmar menemui semua parti politik. Namun, tentera Myanmar enggan berbuat demikian.

Brunei, yang merupakan pengerusi ASEAN pada 2021, akan menyerahkan jawatan penggiliran itu bagi tahun depan kepada Kemboja.

Pada Selasa, pemimpin Kemboja Hun Sen memberi amaran kepada junta Myanmar, lapor agensi berita Reuters.

“Hari ini, ASEAN tidak memecat Myanmar daripada rangka kerja ASEAN. Myanmar yang mengabaikan haknya,” kata Hun Sen.

“Kini kita berada dalam situasi ASEAN tanpa satu. Ia bukan kerana ASEAN, tetapi kerana Myanmar."

'Amat memalukan dari segi politik'

Sementara itu di Myanmar, akhbar Myawaddy milik junta melaporkan bahawa perhimpunan pro-tentera diadakan di 47 bandar - termasuk Naypyidaw - di seluruh negara, menjelang sidang kemuncak ASEAN.

Penganalisis politik, Than Soe Naing, berkata perhimpunan itu diadakan untuk menunjukkan sokongan domestik terhadap kerajaan tentera dalam berdepan tindakan ASEAN yang memalukan junta.

"Seluruh negara telah menentang junta di luar bandar, dan keputusan ASEAN untuk menghalang mereka daripada menghadiri mesyuarat itu adalah sangat memalukan dari segi politik,” kata penganalisis itu kepada RFA.

“Dalam keadaan sedemikian, perhimpunan ini diadakan untuk menunjukkan bahawa mereka mendapat sokongan rakyat. Dan bilangan orang yang menghadirinya adalah lebih sedikit daripada kehadiran untuk menonton sabung ayam."

Seorang penduduk Mandalay, yang enggan menyatakan namanya, berkata pihak tentera turut mengadakan kawalan keselamatan pada perhimpunan itu di bandar Aung Myay Tharzan, walaupun tentera sering melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan pro-demokrasi pada perhimpunan lain.

“Kami tidak pernah melihat mereka di bandar kami. Mereka adalah orang asing. Saya melihat mereka sebagai oportunis yang bergabung tenaga dengan mereka yang melakukan rampasan kuasa. Para penyokong mereka dibenarkan mengadakan perhimpunan," kata penduduk Mandalay itu.

211026-SEA-Inside-Asean.jpg
Para penunjuk perasaan menggesa dikembalikan demokrasi di Myanmar semasa mereka menyertai perhimpunan di luar bangunan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) di Jakarta, 24 April 2021. [AFP]

Kementerian Luar Negeri yang dilantik junta Myanmar pula mengeluarkan kenyataan pada Selasa mengenai ketidakhadiran Myanmar pada sidang kemuncak itu. Myanmar tidak memboikot sidang kemuncak tersebut tetapi hanya tidak menghadirinya kerana ASEAN telah menafikan perwakilan kerajaan tentera, kata junta.

Jurucakap junta, Zaw Min Tun memberitahu RFA bahawa pihak pentadbiran mendapati "adanya diskriminasi antara satu sama lain dan... tekanan satu sama lain dalam hal ehwal dalaman kami" adalah tidak boleh diterima.

Myanmar ialah sebuah negara yang berdaulat dan mempunyai persahabatan antarabangsa yang kukuh, katanya.

Rakan-rakan yang diperkatakannya itu tidaklah termasuk AS, seperti yang dinyatakan oleh Presiden Joe Biden pada sidang kemuncak ASEAN-AS yang diadakan kemudian pada Selasa, menurut kenyataan White House.

“Beliau menyuarakan kebimbangan mendalam mengenai rampasan kuasa tentera dan keganasan menggerunkan di Myanmar dan menyeru rejim tentera negara itu supaya segera menamatkan keganasan, membebaskan mereka yang ditahan secara tidak adil dan memulihkan laluan demokrasi Myanmar,” menurut White House.

"Beliau menyatakan sokongannya terhadap usaha ASEAN untuk mempertanggungjawabkan rejim tentera Myanmar supaya mematuhi konsensus lima perkara."

Presiden Biden mengadakan pertemuan dengan pemimpin ASEAN selepas Penasihat Keselamatan Negara Jake Sullivan mengadakan perbincangan secara maya sehari sebelumnya dengan wakil Kerajaan Perpaduan Nasional(NUG) iaitu kerajaan awam bayangan di Myanmar bagi menyuarakan sokongan Washington terhadap NUG, kata White House.

Sebagai presiden, Biden buat pertama kalinya menghadiri pertemuan dengan para pemimpin ASEAN dan mengumumkan hasrat untuk menyediakan sehingga $102 juta dalam bentuk inisiatif baharu bagi memperluaskan Perkongsian Strategik AS-ASEAN. Wang itu akan digunakan untuk menyokong pemulihan Asia Tenggara berikutan COVID-19, menangani krisis iklim, menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan membangunkan modal insan, kata White House.

Rantau Indo-Pasifik, Laut China Selatan

Isu serantau lain yang dibincangkan oleh negara-negara anggota ASEAN termasuklah mengenai tinjauan Indo-Pasifik oleh badan serantau itu dan situasi di Laut China Selatan yang menjadi pertikaian dengan negara yang menuntutnya ialah Filipina, Malaysia, Vietnam dan Brunei yang menganggotai ASEAN.

Kenyataan pengerusi ASEAN menyatakan bahawa beberapa negara anggota menyuarakan kebimbangan mengenai aktiviti penambakan tanah dan kerosakan kepada persekitaran marin di Laut China Selatan sehingga “menghakis kepercayaan dan keyakinan, meningkatkan ketegangan dan boleh menjejaskan keamanan, keselamatan dan kestabilan di rantau itu."

Kenyataan itu tidak menyatakan negara mana yang bertanggungjawab terhadap aktiviti tersebut, walaupun imej satelit dan pemerhati serantau menunjuk ke arah China.

Selain itu, sejak beberapa minggu lalu, dua kapal peninjau China belayar berasingan ke perairan Indonesia dan Malaysia di Laut China Selatan. Walaupun Indonesia tidak mengutarakan tentang pencerobohan itu, Malaysia sebaliknya memanggil utusan China bagi menyuarakan bantahannya.

Pada sidang kemuncak Selasa, Presiden Filipina Rodrigo Duterte berkata ASEAN perlu "kekal kuat" di tengah-tengah cabaran China.

Beliau menyatakan bahawa tuntutan meluas Beijing terhadap Laut China Selatan adalah tidak sah susulan keputusan Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa di The Hague pada 2016. Mahkamah memutuskan bahawa tuntutan tersebut tidak sah di bawah Konvensyen Undang-undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1982 atau UNCLOS.

Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob pada Selasa juga menyuarakan perkara sama dengan berkata "perkara berkaitan dengan Laut China Selatan mestilah diselesaikan secara aman dan konstruktif mengikut prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf sejagat termasuk UNCLOS 1982."

China tidak pernah menerima keputusan tribunal antarabangsa itu.

Biden, dalam ucapannya, berkata bagaimanapun Washington komited untuk "bekerjasama dengan sekutu dan rakan kongsi kami bagi mempertahankan diri daripada ancaman perintah berasaskan peraturan antarabangsa serta menggalakkan Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka."

Marielle Lucenio di Manila, Ahmad Syamsudin di Jakarta, Muzliza Mustafa di Kuala Lumpur, Shailaja Neelakantan di Washington dan perkhidmatan berita Myanmar Radio Free Asia turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh