Negara-negara Asia Tenggara Sukar Bendung Penularan Varian Delta

Nontarat Phaicharoen, S. Adie Zul & Jason Gutierrez
Bangkok, Kuala Lumpur & Manila
2021-09-09
Share
Negara-negara Asia Tenggara Sukar Bendung Penularan Varian Delta Seorang wanita sedang menerima dos vaksin Sinovac COVID-19 keluaran China di perkarangan Hospital Narathiwat di wilayah selatan Narathiwat, Thailand, 5 Ogos 2021.
[AFP]

Varian Delta COVID-19, yang mudah berjangkit, menular pantas di sebahagian besar Asia Tenggara dengan beberapa negara di rantau itu melaporkan kes jangkitan baru harian yang hampir mencecah tahap tertinggi setelah keadaan reda pada akhir tahun lalu dan awal 2021.

Indonesia, yang menyaksikan penurunan kes baru di bawah 10,000 setiap hari selepas gelombang kedua menggerunkan pada Jun dan Julai sehingga menyebabkan kes melonjak sehingga 56,757 dalam masa sehari, adalah antara negara yang semakin baik dalam membendung penularan virus itu di rantau ini.

Di Malaysia, dengan 70.5 peratus dewasa telah diberi vaksin lengkap bagi mencegah jangkitan COVID-19, kes baru masih tinggi berikutan varian Delta dan tiga faktor lain, kata Dr Kris See yang merupakan pengarah perubatan Osel Group iaitu sebuah syarikat penjagaan kesihatan.

“Pertamanya, langkah pencegahan yang substandard - misalnya, pelitup separuh muka yang kurang berkualiti; kedua, kekurangan atau kegagalan melakukan pengesanan kontak dan tiada ujian asimptomatik terhadap orang dijangkiti sebelum mereka dikeluarkan daripada kuarantin; dan ketiga, kadar berbeza dalam pemberian vaksinasi di negeri-negeri,”kata Dr. See kepada BenarNews.

Dalam masa 28 hari sehingga Rabu, jumlah kes baru di Malaysia meningkat kira-kira 580,000 dan hampir mencecah 2 juta, menurut data kerajaan negara itu.

Lebih buruk lagi, pada Rabu, kira-kira 35 peratus jangkitan baru dilaporkan dalam kalangan mereka yang sudah menerima vaksin lengkap – yang disebut sebagai jangkitan kejayaan - dan hampir 23 peratus pesakit yang dimasukkan ke hospital telah pun menerima vaksin, menurut data itu.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Noor Hisham Abdullah berkata, mereka yang telah menerima vaksin lengkap perlulah mematuhi semua langkah-langkah keselamatan.

"Walaupun sudah menerima vaksin lengkap, kita perlu mematuhi SOP kerana kita masih boleh dijangkiti tetapi dengan tahap lebih rendah," kata Noor Hisham kepada BenarNews, yang merujuk kepada prosedur operasi standard yang dilaksanakan Malaysia semasa pandemik itu.

"Jika ada 80 hingga 90 peratus orang yang telah diberi vaksin, oleh itu, sebab bagi jangkitan kejayaan ialah tiadanya pematuhan - lebih-lebih lagi bagi warga emas dan mereka yang mempunyai komorbiditi."

Thailand akan menghentikan suntikan Sinovac keluaran China

Sementara itu, di Thailand, kes baru harian kekal melebihi 14,000 - walaupun ia menurun sedikit selepas melonjak pada pertengahan Ogos – dengan program vaksinasi bermula lewat di negara itu.

Para penunjuk perasaan pro-demokrasi turut bersuara mengenai perkara ini dengan mendakwa adanya salah urus dalam pemerolehan vaksin.

Di tengah-tengah kegelisahan umum mengenai perkara itu, perang mulut meletus mengenai vaksin Sinovac keluaran China, dengan Thailand akan segera menghentikan pengimportannya, kata pengarah Jabatan Kawalan Penyakit, Sophon Iamsirithaworn, pada minggu lalu.

Pengumuman itu menyusuli langkah Malaysia, yang pada Julai lalu menyatakan bahawa ia akan menghentikan pemberian vaksin Sinovac.

Sophon tidak memberikan alasan mengenai rancangan Thailand untuk menghentikan pengimportan vaksin Sinovac tetapi pengumumannya itu dibuat selepas perbahasan hangat di Parlimen minggu lalu mengenai kos dan keberkesanan vaksin tersebut.

Hampir dua bulan lalu, kerajaan Thailand menyatakan bahawa petugas barisan hadapan yang menerima vaksin keluaran China itu sebagai suntikan pertama mereka, akan diberi suntikan vaksin AstraZeneca sebagai dos kedua. Pada Julai lalu, seorang doktor terkemuka menyatakan bahawa vaksin Sinovac tidak cukup berkesan untuk melawan varian Delta yang mudah berjangkit, lapor Bangkok Post.

Pada lewat Rabu, jurucakap Kementerian Luar Negeri, Tanee Sangrat, mempertahankan keberkesanan vaksin Sinovac dengan berkata ada fakta yang telah "diputarbelitkan" mengenai vaksin itu sehingga "menjejaskan hubungan Thailand dengan rakan rapat dan baiknya”.

"Orang dan kumpulan tertentu telah memandang rendah vaksin Sinovac tanpa mengira fakta dan ketepatan, sedangkan China telah lama menjadi rakan baik Thailand ... dan Sinovac telah diluluskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia," kata Tanee.

Kedutaan Besar China di Thailand pada 3 September mengecam "fitnah mengenai vaksin [Sinovac] oleh beberapa orang dan organisasi di Thailand tanpa sebarang alasan."

Di negara lain Asia Tenggara, Filipina mencatatkan lebih 2 juta kes jangkitan pada 1 September sebelum melaporkan sejumlah kes baru - 22,820 - pada Khamis. Dengan 61 kematian baru berkaitan virus itu, angka kematian akibat pandemik tersebut telah meningkat kepada 34,733.

Hanya 13.8 juta daripada 109.6 juta rakyat Filipina yang telah menerima vaksin lengkap, menurut Agensi Berita Filipina yang dikendalikan kerajaan.

Berikutan keadaan yang semakin buruk itu, kerajaan pada awal minggu ini menangguhkan rancangannya untuk melonggarkan sekatan pergerakan, yang menyebabkan Metro Manila dan kawasan pinggir bandar berdekatan kekal dalam sekatan pergerakan.

Sementara itu, Indonesia pada Isnin melonggarkan sekatan pergerakan akibat koronavirus, dengan membenarkan sebahagian besar Pulau Jawa membuka pusat beli-belah, kilang dan restoran secara bersyarat, lapor agensi berita.

Kadar positif koronavirus harian negara itu – bagi penduduk yang saringan ujiannya positif – buat pertama kalinya menurun di bawah 5 peratus minggu ini sejak Mac 2020, lapor The Jakarta Post.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia menyatakan bahawa kadar positif di atas 5 peratus adalah petunjuk bahawa COVID-19 masih di luar kawalan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh