Kajian Dapati Beberapa Negara Dibebani Hutang Tersembunyi AS$385 Bilion Dengan China

Laporan menyatakan bahawa beberapa projek di Malaysia dan Filipina dilanda masalah kewangan.
Staf BenarNews
2021-10-02
Share
Kajian Dapati Beberapa Negara Dibebani Hutang Tersembunyi AS$385 Bilion Dengan China Masyarakat pribumi dan pelajar Filipina di Manila mengadakan demonstrasi bantahan projek empangan disokong China yang, menurut pengkritik, akan memusnahkan persekitaran di kawasan sekitar Gunung Sierra di Pulau Luzon, Filipina, 9 April 2019.
[Jason Gutierrez/BenarNews]

Satu kajian baru mendapati beberapa negara mempunyai hutang yang tidak dilaporkan dengan jumlahnya mencecah sekurang-kurangnya AS$385 bilion dengan China sejak dua dekad lalu, dan satu per tiga projek di bawah Inisiatif Jalur dan Jalan sedang mengalami masalah pelaksanaan yang besar.

Hutang tersembunyi itu, yang terlepas daripada semakan peminjam antarabangsa seperti Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) serta agensi penarafan kredit, bermaksud bahawa negara-negara peminjam itu mungkin perlu membayar lebih daripada yang mereka jangkakan.

Penemuan ini didedahkan dalam kajian empat tahun yang dijalankan oleh AidData iaitu makmal penyelidikan pembangunan antarabangsa yang berpejabat di Institut Penyelidikan Global William & Mary di Amerika Syarikat.

"Beban hutang kepada China adalah jauh lebih besar daripada apa yang difahami oleh institusi penyelidikan, agensi penarafan kredit, atau organisasi antara kerajaan yang mempunyai tanggungjawab pengawasan sebelum ini," menurut kajian itu.

Ini berikutan terdapatnya peningkatan dari segi jumlah urus niaga yang dilakukan bukan antara kerajaan menerusi bank pusat tetapi melalui urus niaga kabur dengan pelbagai institusi pembiayaan, yang, oleh itu "beban hutang tersebut tidak ditunjukkan dalam kunci kira-kira awam."

Kajian itu menyatakan bahawa hampir 70 peratus pinjaman luar negara China “kini ditujukan kepada perniagaan milik negara, bank milik negara, kenderaan dengan tujuan khusus, usaha sama, dan institusi sektor swasta di negara-negara penerima” berbanding dengan peminjam negara yang merupakan institusi kerajaan pusat.

Pengarah eksekutif AidData dan pengarang bersama laporan itu, Brad Parks, berkata: "Masalah hutang tersembunyi ini semakin buruk dari semasa ke semasa."

Kebanyakan daripada hutang tersembunyi ini didapati berlaku untuk projek-projek di bawah Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI), yang merupakan program pembangunan antarabangsa bercita-cita tinggi China dan digagaskan oleh Presiden Xi Jinping. Ia dilancarkan pada 2013 di bawah nama asalnya Satu Jalur, Satu Jalan.

Kajian itu juga mendapati bahawa 35 peratus daripada portfolio projek infrastruktur BRI telah menghadapi masalah pelaksanaan yang besar - seperti skandal rasuah, pelanggaran peraturan tenaga buruh, bahaya alam sekitar serta bantahan orang ramai.

‘Amalan Lintah Darat’

AidData mengkaji 13,427 projek yang bernilai AS$843 bilion yang dibiayai oleh China di 165 negara bagi tempoh 18 tahun dan mendapati bahawa rata-rata kerajaan terbabit "tidak melaporkan tanggungjawab pembayaran sebenar dan potensi pembayaran balik kepada China dengan jumlah yang bersamaan dengan 5.8 peratus daripada KDNK negara berkenaan. "

Secara keseluruhannya, hutang yang tidak dilaporkan itu adalah sebanyak AS$385 bilion.

Empat puluh dua negara membangun termasuk Laos, Papua New Guinea, Maldives, Brunei, Kemboja dan Myanmar kini mempunyai tahap pendedahan hutang awam kepada China melebihi 10 peratus daripada KDNK, menurut kajian itu.

Penulis kajian itu menyatakan bahawa Beijing menggunakan hutang berbanding bantuan “untuk mewujudkan kedudukan dominan dalam pasar kewangan pembangunan antarabangsa. Sejak BRI diperkenalkan pada 2013, China telah mengekalkan nisbah pinjaman kepada geran iaitu 31 kepada 1. "

Pinjaman Beijing kepada negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana diberikan dengan syarat-syarat yang ketat berbanding dengan pinjaman oleh pemberi pinjaman dan pemiutang multinasional yang lain.

“Pinjaman biasa dari China mempunyai kadar faedah sebanyak 4.2 peratus dan tempoh pembayaran balik kurang daripada 10 tahun," dibandingkan dengan pinjaman biasa dengan kadar faedah 1.1 peratus dan jangka pembayaran selama 28 tahun daripada negara-negara seperti Jerman, Perancis atau Jepun .

"Ini boleh disamakan dengan amalan lintah darat di peringkat global," kata Soumya Bhowmick, felow sekutu di Observer Research Foundation di Kolkata, India, yang tidak terlibat dalam kajian itu.

"Ini sangat membimbangkan kerana negara-negara itu, yang sedang bergelut dengan hutang awam luar negara yang tinggi serta jumlah hutang yang tinggi kepada China, menunjukkan keadaan kewangan awam mereka yang tidak menentu," katanya.

Namun, dengan negara-negara membangun terdesak mencari sumber kewangan untuk membiayai projek-projek infrastruktur mereka, ia nampaknya tidak mempunyai pilihan selain meminta pinjaman daripada peminjam China yang gemar menggunakan alat mitigasi risiko iaitu jaminan atau menggunakan aset atau sumber semulajadi berharga dari negara-negara peminjam berkenaan.

Laos, misalnya, terpaksa menjual sebahagian daripada grid elektrik nasionalnya ke China pada 2020 sebagai pertukaran untuk membebaskan diri daripada pemberi pinjaman China.

Tahap keseluruhan pendedahan hutang Laos kepada China adalah bersamaan dengan 64.8 peratus daripada KDNK negaranya termasuk 35.4 peratus hutang tersembunyi KDNK yang disertai dengan projek mega landasan kereta api China-Laos, menurut kajian itu. Landasan kereta api bernilai AS$6 bilion itu akan dibuka pada Disember ini.

211001-sea-obor-inside.jpg
Landasan keretapi Laos-China yang merentangi Sungai Mekong di Luang Prabang, Laos, Jun 2019. [RFA]

'Masalah pelaksanaan'

Filipina juga perlu menjadikan aset nasionalnya sebagai jaminan dalam perjanjian pinjaman dengan China pada 2018 untuk membiayai projek saliran besar yang dinamakan sebagai projek Sungai Chico.

"Beijing ternyata lebih bersedia untuk membiayai projek-projek di negara-negara berisiko berbanding dengan peminjam rasmi yang lain, malah juga lebih agresif daripada rakan-rakannya dalam meletakkan kedudukannya di baris hadapan pembayaran (melalui jaminan cagaran)," menurut AidData.

Sebanyak 40 daripada 50 pinjaman terbesar yang diberikan China mempunyai jaminan, dan China dengan pantas meningkatkan peruntukan pinjamam kepada negara-negara yang kaya sumber tetapi mengalami masalah rasuah tahap tinggi.

Skandal rasuah, pelanggaran peraturan tenaga buruh, bahaya alam sekitar dan bantahan masyarakat telah menjejaskan projek BRI, menurut kajian itu.

Sebahagian daripada projek membina Laluan Rel Pantai Timur yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Kota Bharu di Malaysia, yang dibiayai oleh China Eximbank, telah dibatalkan pada 2018 setelah danya dakwaan inflasi kos palsu dan rasuah. Projek ini disambung setahun kemudian setelah rundingan semula yang membawa kepada persetujuan mengurangkan hampir satu per tiga kos pembinaan.

Projek infrastruktur BRI juga memerlukan masa yang lebih lama untuk dilaksanakan. Projek pembinaan landasan kereta api yang pertama di Hanoi, Vietnam mengalami kelewatan bertahun-tahun lamanya selain belanjawan melonjak sebanyak 60 peratus.

"Penggubal dasar negara tuan rumah sedang berusaha mengurangkan projek berprofil tinggi BRI berikutan masalah rasuah dan harga yang terlalu tinggi serta perubahan besar dalam sentimen masyarakat yang menyukarkan usaha mengekalkan hubungan erat dengan China," kata Brooke Russell yang merupakan pengarah bersekutu di AidData dan seorang daripada pengarang bersama laporan kajian ini.

Kementerian Luar China menyatakan dalam satu kenyataan yang dipetik oleh Reuters bahawa sejak dilancarkan, BRI telah "secara konsisten mendukung prinsip perundingan bersama, sumbangan bersama dan manfaat bersama."

Pada masa ini, China membelanjakan lebih banyak daripada AS dan kuasa besar lain dengan lebih daripada 2 ke 1 untuk pembangunan luar negara. Bagi purata tahun dalam era BRI, China membelanjakan $85 bilion untuk program pembangunan luar negaranya berbanding dengan AS yang membelanjakan $37 bilion.

Namun, penulis kajian itu memberi peringatan bahawa China akan menghadapi persaingan yang lebih tinggi dalam pasaran kewangan infrastruktur global.

Pada pertemuan negara-negara perindustrian G7 pada Jun lalu, AS dan sekutunya mengumumkan rancangan perbelanjaan untuk menyaingi pengaruh China yang dikenali sebagai Build Back Better World (B3W), yang menjanjikan pembiayaan projek infrastruktur global yang mampan dari aspek kewangan dan lestari dari segi alam sekitar.

Baru-baru ini, EU juga mengumumkan Gateway Global Iniciative, yang menurut para penganalisis, berkemungkinan bertembung dengan BRI.

"Perlu diperhatikan sama ada 'penyesalan pembeli' dalam kalangan negara-negara yang menyertai BRI akan menjejaskan kebertahanan jangka panjang inisiatif infrastruktur global China itu, tetapi ia jelas menunjukkan Beijing perlu menangani kebimbangan negara-negara berkenaan bagi mengekalkan sokongan terhadap BRI," kata Russell dari AidData.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh