Negara-Negara Asia Siap Siaga Hadiri Sidang Kemuncak COP26
2021.10.28
Kathmandu
KEMASKINI pada 4.30 petang waktu tempatan ETS - 2021-10-29
Para pemimpin dunia kini dalam perjalanan ke Scotland di mana COP26, sidang kemuncak dunia paling penting iaitu berkaitan perubahan iklim selepas persidangan serupa menghasilkan Perjanjian Paris 2015 bermula pada hujung minggu ini selepas ditangguhkan tahun lepas susulan pandemik koronavirus.
Negara-negara Asia di bahagian selatan dan tenggara adalah antara yang berada di barisan hadapan dalam krisis perubahan iklim. Banjir dan ribut yang sering melanda kawasan rendah selain kejadian cuaca buruk seperti kemarau dan suhu tinggi yang melampau, turut menjejaskan mereka. Pemimpin Bangladesh, Indonesia, Malaysia dan Thailand bersedia untuk menghadiri sindang kemuncak di Glasgow itu.
Di bawah Perjanjian Paris, lebih 190 negara bersetuju mengekalkan tahap pemanasan global “di bawah” 2 darjah Celsius (3.6 darjah Fahrenheit), melalui usaha mengehadkannya kepada 1.5 darjah Celsius, yang disifatkan oleh saintis akan membantu mengelakkan kesan paling buruk perubahan iklim.
“Pada tahap pemanasan 1.5 darjah Celsius, 700 juta orang berdepan risiko gelombang kepanasan melampau. Pada tahap 2 darjah pula, jumlah mereka yang berdepan risiko itu ialah 2 bilion,” kata Alok Sharma, Presiden Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP26) di Glasgow, semasa berucap di ibu pejabat UNESCO di Paris baru-baru ini.
“Itulah sebabnya negara di barisan hadapan perubahan iklim berjuang bermati-matian... Bagi mereka, 1.5 darjah Celsius bermakna mereka akan dapat meneruskan kehidupan dan ia bukan slogan kosong. Ia membabitkan isu kelangsungan hidup,” katanya.
Filipina, Thailand dan Bangladesh adalah antara sepuluh negara paling kerap dilanda kejadian cuaca buruk dalam tempoh dua dekad kebelakangan ini, demikian menurut satu analisis oleh Germanwatch, NGO alam sekitar yang berpangkalan di Bonn, Jerman.
Semasa persidangan selama dua minggu yang bermula pada Ahad, negara-negara yang menandantangi Perjanjian Paris akan menilai semula komitmen mereka dan mengemas kini pelan tindakan nasional untuk mengurangkan pelepasan.
Di bawah Perjanjian Paris, negara kaya bersetuju menyalurkan dana sebanyak $100 bilion setiap tahun kepada negara yang lebih miskin untuk menyokong tindakan dan adaptasi berkaitan perubahan iklim bermula pada 2020 – satu komitmen yang tidak pernah dipenuhi.
Negara-negara yang menandatangani perjanjian itu juga bersetuju mengurangkan pelepasan gas rumah kaca kepada sifar bersih menjelang 2050. Ini bermakna mengehadkan pelepasan melalui aktiviti manusia kepada tahap yang boleh diserap oleh pokok, tanah dan lautan.
Negara-negara yang membentuk 80 peratus ekonomi global kini komited mencapai sasaran sifar bersih, yang merupakan agenda utama COP26, kata Sharma.
Menghentikan penggunaan arang batu – sumber utama pelepasan gas rumah kaca – merupakan “satu keutamaan peribadi” buat Sharma namun ia mampu menjadi penghalang di persidangan itu kerana negara seperti China dan India enggan menghentikan pengeluaran dan penggunaan arang batu.
Asia menyumbang 75 peratus daripada permintaan arang batu di peringkat antarabangsa, kata Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA).
China, India, Indonesia, Bangladesh, Vietnam dan Turki menyumbang lebih empat perlima daripada baki saluran paip loji janakuasa arang batu setakat Julai 2021, menurut laporan badan pemikir E3G yang dikeluarkan pada September.
Pada 2019, Indonesia merupakan pengeksport utama arang batu bagi penjanaan kuasa, membekalkan 40 peratus daripada pasaran dunia manakala Malaysia dan Filipina adalah antara lima pengimport utama arang batu, menurut Observatory of Economic Complexity.
Pada persidangan selama dua minggu yang bermula di Glasgow pada Ahad, negara penandatangan Perjanjian Paris akan menilai semula komitmen mereka dan mengemas kini pelan tindakan negara masing-masing bagi mengurangkan pelepasan.
Kelihatan barisan kayu arang menunggu untuk ditarik di sepanjang Sungai Mahakam di wilayah Kalimantan Timur, Indonesia, 31 Ogos 2019. [Reuters]
Indonesia
Negara terbesar dan paling padat penduduk di Asia Tenggara merupakan negara kelapan paling tinggi melakukan pencemaran di dunia dengan tahap pelepasan gas rumah kaca sebanyak 2 peratus, menurut World Resources Institute (WRI). Ketika ini, Indonesia mendapat 60 peratus bekalan tenaganya daripada arang batu namun berhasrat menukarkannya kepada sumber boleh diperbaharui yang membekalkan 85 peratus daripada keperluan tenaganya menjelang 2060, kata WRI.
Semasa menghadiri COP26, Presiden Joko “Jokowi” Widodo dijangka menzahirkan komitmen Indonesia kepada pelepasan bersih sifar, kata para pegawai kerajaan.
“Kerajaan juga kini dalam proses memuktamadkan draf Peraturan Kepresidenan mengenai Nilai Karbon dari segi Ekonomi. Semua liputan mengenai nilai ekonomi karbon adalah diarahkan untuk menyokong usaha mencapai sasaran (di Paris),” kata Laksmi Dewanti, Ketua Pengarah Perubahan Iklim di Kementerian Alam Sekitar Indonesia semasa perbincangan secara dalam talian minggu lepas.
Indonesia telah menetapkan sasaran pada 2030 untuk mengurangkan pelepasan gas rumah kaca sebanyak 29 peratus. Kementerian Perindustriannya berkata sektor tenaga kini menyumbang hampir separuh daripada pelepasan di negara itu manakala pelepasan automotif menyumbag kira-kira satu perlima daripada jumlah keseluruhan pelepasan.
Bermula April 2022, orang ramai secara individu dan industri akan tertakluk kepada cukai karbon sebanyak 30 rupiah (US$2.1) bagi satu tan metrik CO2e (karbon dioksida). Bagaimanapun, tarif itu terlalu rendah dan mungkin tidak efektif dalam mengubah tingkah laku orang ramai untuk bertukar kepada tenaga bersih, kata Fabby Tumiwa, pengarah eksekutif IESR, sebuah badan pemikir di Indonesia.
“Dalam jangka panjang, persaingan antara kita akan terus terhakis,” kata Fabby kepada BenarNews.
Sementara itu, kadar penebangan hutan jatuh kepada tahap paling rendah dalam tempoh 20 tahun pada tahun lepas – susulan moratorium tiga tahun bagi ladang kelapa sawit baharu yang telah ditarik balik. Bagaimanapun, negara itu masih kehilangan 115,459 hektar hutan pada 2020, kata Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan.
Menurut Greenpeace, pembakaran terbuka hutan untuk membuka jalan bagi ladang telah menjana hampir 104 juta tan metrik pelepasan karbon sejak 19 tahun lepas. Ini adalah bersamaan dengan 33 kali ganda pelepasan tahunan daripada pembekalan kuasa kepada semua kediaman di ibu negara Indonesia.
Filipina
Filipina adalah antara negara yang terjejas teruk akibat cuaca melampau yang melanda negara itu antara 2000 dan 2019, menduduki ranking keempat di dunia, menurut Indeks Risiko Iklim Global bagi 2021 Germanwatch.
Filipina tidak mempunyai rancangan ke arah mencapai bersih sifar setakat ini namun telah mengumumkan moratorium bagi pembinaan loji janakuasa arang batu yang baharu. Delegasi COP26 Filipina akan diketuai oleh setiausaha kewangan dan hal ehwal luar.
Nancy Manalaysay, seorang penjaga bangunan, menyelamatkan diri daripada gereja yang separa tenggelam susulan kenaikan air laut di Sitio Pariahan, sebuah perkampungan di kawasan pantai di Bulacan, Filipina, 26 Nov 2019. [Reuters]
Selepas menyifatkan rundingan perubahan iklim antarabangsa sebagai “mengarut” pada 2016 dan mengugut untuk menarik diri daripada Perjanjian Paris, Presiden Rodrigo Duterte menukar pendiriannya tahun ini.
“Filipina sedia memikul tanggungjawabnya dan akan memainkan peranan bagi mengelakkan bencana kolektif ini. Kami telah menyerahkan Sumbangan Nasional yang Ditentukan (NDC) pertama kami dengan sasaran mengurangkan pelepasa gas rumah kaca sebanyak 75 peratus menjelang 2030,” kata Duterte ketika berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada September.
“Bagaimanapun, sumbangan ini akan menjadi sia-sia jika pencemar terbesar – pada masa lalu dan ketika ini – memilih ‘untuk meneruskan aktiviti seperti biasa.’ Oleh itu, kami merayu agar tindakan segera berkaitan perubahan iklim diambil, terutama terhadap mereka yang mampu mendatangkan kesan yang nyata,” katanya.
Beliau turut menggesa negara maju agar memenuhi “komitmen sekian lama mereka berkaitan pembiayaan iklim, pemindahan teknologi dan pembinaan kapasiti di negara membangun.”
“Kewajipan moral ini tidak boleh dielakkan. Peralihan dunia kita kepada ekonomi hijau tidak seharusnya dilakukan dengan tindakan yang mampu menjejaskan ketahanan ekonomi negara membangun,” katanya.
Bangladesh
Perdana Menteri Sheikh Hasina akan mengetuai delegasi 100 anggota Bangladesh ke COP26, kata Mirza Shawkat Ali, yang merupakan pengarah bahagian perubahan iklim di Kementerian Alam Sekitar negara itu.
“Mesej utama yang Bangladesh ingin sampaikan di Glasgow ialah peningkatan suhu global perlu dikekalkan dalam 1.5 darjah Celsius sebagaimana yang dipersetujui dalam Perjanjian Paris,” kata M. Ziaul Haque, seorang anggota delegasi itu kepada BenarNews.
“Kami menggesa negara-negara G20, yang melakukan hampir 80 peratus pelepasan global, agar mengurangkannya sebanyak 45 peratus sebelum 2030 berbanding paras pelepasan pada 2010,” katanya sambil menambah bahawa Bangladesh telah “mengalami kesan yang tidak mampu dipulihkan selain kerugian dan kemusnahan.”
Bangladesh, dengan satu pertiga daripada penduduknya berdepan risiko kehilangan tempat tinggal susulan peningkatan paras laut, menduduki ranking ketujuh dalam senarai negara paling teruk terjejas akibat kejadian cuaca melampau Germanwatch antara 2000 dan 2019.
“Kami bukan hanya menggesa negara maju mengurangkan pelepasan malah kami sendiri telah mengambil tindakan untuk berbuat demikian di Bangladesh dengan membatalkan projek membabitkan arang batu,” katanya.
Negara maju perlu mengagihkan dana sebagai tambahan kepada bantuan pembangunan di luar negara dan bukan sebagai sebahagian daripadanya, kata Ali kepada BenarNews. Beliau juga berkata Bangladesh membantah penglibatan sektor swasta dalam inisiatif adaptasi sebagaimana yang dicadangkan oleh negara maju berbanding agensi kerajaan.
Seorang lelaki berjalan di kawasan di mana rumahnya terletak sebelum ini di Bhola, sebuah daerah pulau di Bangladesh di mana Sungai Meghna mengalir ke Teluk Benggala, 17 Nov 2015. [AP]
Thailand
Varawut Silpa-archa, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, minggu lepas berkata Thailand akan mengesyorkan satu strategi bagi mencapai tahap pelepasan rendah dalam jangka panjang dengan sasaran pelepasan bersih sifar menjelang 2065.
Kerajaan Thailand juga merancang untuk meningkatkan perkongsian kenderaan elektrik kepada satu nisbah tiga menjelang 2030 dan memiliki separuuh loji janakuasa baharu yang menghasilkan elektrik daripada sumber tenaga diperbaharui.
Ketika ini, Thailand berikrar dan merancang untuk mengurangkan pelepasan gas rumah kacanya sebanyak 20 peratus menjelang 2030 berbanding tahap pada 2005, demikian menurut pakar alam sekitar Dominic Chakrabongse dalam tulisannya di akhbar Thai Inquirer baru-baru ini.
Kebanyakan perkara ini bergantung kepada sektor pembuatan dan pengangkutan yang melakukan pengurangan itu secara drastik – 74 peratus daripada keseluruhan sasaran, katanya sambil menambah “Sementara itu, pelepas paling besar – yang menghasilkan tenaga– hanya dikehendaki mengurangkan pelepasan sebanyak 20 peratus.”
Thailand menduduki ranking kesembilan dalam indeks risiko iklim jangka panjang Germanwatch.
“Kerajaan Thailand telah melaksanakan beberapa dasar bagi menangani isu perubahan iklim … Bagaimanapun, kesemua dasar ini gagal mendukung “keadilan iklim,” kata Tara Buakamsri, pengarah negara bagi Greenpeace Thailand.
“Kesemua dasar ini, jika dilaksanakan tanpa menghiraukan hak asasi manusia, akan memburukkakn lagi konflik sosial, kemiskinan dan pandemik pada masa akan datang.”
Malaysia
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bulan lepas berikrar bahawa Malaysia, antara 25 negara yang melepaskan gas rumah kaca tertinggi, akan menjadi negara neutral karbon seawal-awalnya pada 2050.
“Saya ingin menegaskan bahawa agenda perubahan iklim dan teknologi hijau akan menjadi keutamaan negara di bawah pentadbiran semasa,” katanya.
Malaysia berhasrat mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah kaca merentasi ekonomi sebanyak 45 peratus menjelang 2030 dan meningkatkan penjanaan tenaga boleh diperbaharui, demikian menurut pelan kerajaan.
Ia turut merancang untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada litupan hutan negara.
Malaysia berada di tangga kelapan dari segi pelepasan tertinggi per kapita terkumpul dari tahun 1850 hingga 2021, kebanyakannya “adalah disebabkan pelepasan akibat penebangan hutan,” menurut Carbon Brief, sebuah institut dasar yang berpangkalan di UK.
Shariffa Sabrina Syed Akil, pengasas kumpulan aktivis alam sekitar tempatan PEKA, meluahkan keraguan bahawa Malaysia mampu merealisasi ikrar untuk menjadi negara neutral karbon menjelang 2050.
“Malaysia akan terlepas sasaran itu berdasarkan keseriusan semasa yang ditunjukkan oleh kerajaan… Kita masih berada di tahap pemikiran yang sering kali menyalahkan takdir bagi setiap bencana,” kata Shariffa Sabrina kepada BenarNews.
Jason Gutierrez di Manila, Ahmad Pathoni di Jakarta, Kamran Reza Chowdhury di Dhaka, Kunnawut Boonreak di Chiang Mai, Thailand, dan Hadi Azmi serta Muzliza Mustafa di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.