Hanya 3 Negara ASEAN Diundang ke Sidang Kemuncak bagi Demokrasi AS

Washington ingin menghantar mesej yang jelas apabila hanya mengundang negara yang tidak mengamalkan prinsip pemerintahan autoritarian.
Shailaja Neelakantan
2021.12.08
Washington
Hanya 3 Negara ASEAN Diundang ke Sidang Kemuncak bagi Demokrasi AS Perarakan Burma yang diadakan sebagai membantah hukuman 4 tahun penjara kerana menghasut yang dijatuhkan ke atas Aung San Suu Kyi di Yangon, Myanmar dapat dilihat dalam gambar yang diperoleh daripada sebuah video di media sosial, 6 Dis 2021.
[Pihak ketiga melalui AFP]

Meskipun Amerika Syarikat mengutamakan Asia Tenggara dari segi hubungan diplomatik, ia hanya mengundang tiga negara ASEAN ke sidang kemuncak demokrasi yang berlangsung minggu ini namun penganalisis di rantau itu pada Selasa berkata strategi Washington berbuat demikian dapat dilihat sebagai menghantar isyarat yang begitu jelas.

Indonesia, Malaysia dan Filipina adalah negara anggota Persatuan Negara Asia Tenggara (ASEAN) yang diundang menghadiri sidang kemuncak itu.

Tindakan mengundang Filipina, meskipun negara itu mempunyai isu melakukan beribu-ribu pembunuhan di luar bidang kehakiman sejak 2016, bukanlah sesuatu yang membingungkan seperti yang terzahir, kata seorang penganalisis. Yang lain pula berkata langkah membabitkan Manila itu menyaksikan AS mengutamakan matlamat keselamatan strategiknya.

Sidang Kemuncak bagi Demokrasi, yang akan berlangsung dari 9 hingga 10 Disember, adalah sebahagian daripada strategi Presiden AS Joe Biden untuk menentang pengaruh negara-negara autokratik seperti Rusia dan China, kata Gilang Kembara, seorang penyelidik dalam hubungan antarabangsa di Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS) di Indonesia.

Dan “menerusi forum demokrasi itu, AS mencari jalan untuk meningkatkan pengaruhnya dari segi ideologi tambahan,” kata Gilang kepada BenarNews.

“Pada masa yang sama, AS akan terus mengejar kepentingan keselamatan dan ekonominya, ia juga turut mempromosi nilai-nilai demokratik seperti kesaksamaan jantina, peluang untuk wanita dalam pelbagai bidang dan sebagainya.”

Menyentuh senarai undangan itu, Etta Rosales, bekas pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Filipina berkata “kebanyakan negara Asia Tenggara ditadbir oleh kerajaan autoritarian.”

Beliau merujuk negara anggota ASEAN iaitu Brunei, yang merupakan monarki mutlak; Laos dan Vietnam yang ditadbir oleh parti komunis; Kemboja yang secara nominalnya adalah sebuah negara demokrasi namun parti pemerintah menguasai semua kerusi di Parlimen; Myanmar, yang menyaksikan junta tentera menggulingkan kerajaan yang dipilih pada Februari lepas; Thailand, yang mempunyai kerajaan yang berpaksikan kudeta oleh tentera dan Singapura, yang didominasi oleh parti tunggal sejak negara itu mencapai kemerdekaan.

Justeru, beliau memaklumkan BenarNews, “tujuan persidangan itu ialah menggabungkan negara-negara demokrasi dalam rantau dan subrantau tertentu berbanding menggunakan dasar persuasif serta membuka pintu kepada negara yang sudah lama terjerumus dalam kancah autoritarian.

“Filipina sebaliknya mempunyai tradisi pemerintahan demokratik berkaitan pemisahan kuasa serta prinsip semak dan imbang. Ini merupakan asas negara itu diundang.”

Seorang jurucakap Jabatan Negara AS memberitahu BenarNews bahawa matlamat senarai undangan itu “adalah bagi memastikan sidang kemuncak tersebut mencerminkan kepelbagaian demokrasi.”

“Amerika Syarikat mendekati pelbagai bentuk demokratik serantau yang menyaksikan progres dan komitmen ke arah dunia yang lebih adil serta aman. Matlamat kita ialah menjadi seinklusif mungkin dalam kekangan logistikal,” kata jurucakap itu yang enggan dikenali.

211208-SEA-Inside2-MY-Democracy.jpeg

Aktivis mengambil bahagian dengan menyertai perhimpunan membantah tindakan Presiden Rodrigo Duterte mengisytiharkan perang terhadap dadah di Quezon City, Metro Manila, 18 Ogos 2017. [Reuters]

‘Filipina adalah penimbal premium bagi AS’

Presiden Biden pada Disember lepas mengumumkan hasrat beliau untuk mengadakan “Sidang Kemuncak bagi Demokrasi” pada tahun pertama memegang jawatan.

Setahun kemudian, sidang kemuncak itu akan diadakan pada 9 hingga 10 Dis secara maya susulan pandemik COVID-19. Kira-Kira 100 negara telah diundang untuk mengambil bahagian.

Tiga tema utama seperti diumumkan oleh Rumah Putih ialah: mempertahankan diri daripada autoritarianisme, menangani serta memerangi rasuah, dan mempromosi rasa hormat terhadap hak asasi manusi.

Gilang dari CSIS Indonesia berkata begitupun Washington masih mengekalkan hubungan dengan kerajaan tidak demokratik seperti yang terdapat di Filipina ketika ini, Thailand dan Vietnam, yang mempunyai hanya sedikit rasa hormat terhadap hak asasi manusia, atau amalan demokrasi, atau kerajaan yang bersih.

Dalam kes Filipina, yang mempunyai tuntutan bertindih dengan Beijing di kawasan perairan Laut China Selatan yang menjadi pertikaian, kepentingan keselamatan AS tidak syak lagi telah memainkan peranan, kata Naing Lin, seorang pensyarah sains politik di Universiti Chiang Mai, Thailand.

“Dari segi strategi, tidak dapat dinafikan bahawa Filipina adalah penimbal premium bagi AS untuk mengimbangkan kuasanya terhadap China terutama di Laut China Selatan,” kata Naing kepada BenarNews.

Washington dan negara demokrasi maritim lain seperti United Kingdom dan Australia berkata mereka sedang cuba mengekalkan kebebasan di rantau Indo-Pasifik yang terbuka susulan peningkatan pencerobohan serta peluasan China di kawasan itu.

Bagaimanapun, “atas dasar peradaban yang lebih molek, [AS] tidak sepatutnya mengundang Filipina. Dari segi pentadbiran negara, Filipina cenderung untuk melakukan lebih banyak pencabulan hak asasi manusia berbanding Thailand,” kata Naing.

Naing merujuk kepada beribu-ribu pembunuhan di luar kawasan kehakiman di Filipina, peperangan Presiden Rodrigo Duterte terhadap dadah serta penahanan beratus-ratus penunjuk perasaan pro-demokrasi sejak Julai 2020 di Thailand dan berpuluh-puluh orang yang didakwa melanggar undang-undang fitnah anti keluarga diraja kerajaan negara itu.

211208-SEA-Inside1-MY-Democracy.jpg

Penunjuk perasaan menunjukkan isyarat tangan semasa polis menggunakan meriam air dalam satu demonstrasi di Bangkok bagi menuntut peletakan jawatan Perdana Menteri Prayuth Chan-O-Cha susulan cara beliau menangani krisis COVID-19,25 Sept 2021. [AFP]

‘Tiga daripada 10 boleh tahan’

Washington, di bawah pentadbiran Biden, telah berusaha memperbaiki hubungannya di Asia Tenggara. Setiausaha Negara Antony Blinken dijadual melakukan lawatan sulung ke Asia Tenggara minggu lepas di tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat dengan China.

Naib Presiden Kamala Harris dan Setiausaha Pertahanan Lloyd Austin telah turut melakukan lawatan ke rantau itu selain dua pegawai kanan Jabatan Negara dan yang terbaharu Pembantu Setiausaha Negara Daniel Kritenbrink.

Kebanyakan negara di Asia Tenggara kini berada di bawah pengaruh ekonomi Beijing dengan China sebagai pelabur utama atau rakan perdagangan. Meskipun begitu, Washington dilihat amat memilih dalam menganjurkan sidang kemuncak ini, kata Rosales.

“Di bawah Pentadbiran Joe Biden, terdapat sikap berhati-hati dan kedekut dalam menyenaraikan negara yang bakal diundang ke sidang kemuncak demokrasi itu,” katanya.

Mohd. Azizuddin Mohd Sani, seorang profesor di Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata undangan kepada Malaysia mempunyai merit.

“Meskipun kita masih memerlukan reformasi institusi di Malaysia, tiada keraguan bahawa Malaysia adalah sebuah negara demokrasi,” katanya kepada BenarNews.

Malaysia telah diperintah oleh dua kerajaan yang tidak dipilih sejak Februari 2020 apabila kerajaan sebelum itu tumbang akibat pertikaian dalaman. Kedua-dua pentadbiran menghalang kebebasan bersuara dan cuba memanipulasi institusi demokrasi untuk memihak kepada mereka, kata pengkritik.

Seorang lagi penganalisis Malaysia, Azmi Hasan, berkata meskipun terdapat begitu sedikit wakil negara Asia Tenggara di sidang kemuncak demokrasi itu, ASEAN masih menjadi blok serantau yang penting bagi Washington.

“Tiga daripada 10 sebenarnya boleh tahan berbanding apa yang dilakukan oleh AS yang mengundang Taiwan namun tidak menghiraukan China. Matlamatnya bukanlah demokrasi sebaliknya adalah geopolitik,” kata Hasan, seorang pakar hubungan antarabangsa dan bekas profesor di Universiti Teknologi Malaysia kepada BenarNews.

Undangan kepada Taiwan telah menyebabkan China berang kerana Beijing menganggap Taiwan sebagai sebahagian daripada Republik Rakyat China.

Azizuddin dan Naing percaya Washington tidak akan menyesal dengan keputusannya untuk tidak melibatkan kebanyakan negara anggota ASEAN dalam sidang kemuncak itu minggu ini.

Bagi Azizudin, “ini hanyalah satu sidang kemuncak.”

“Tidak memanjangkan undangan kepada mereka tidak bermakna AS meminggirkan negara-negara Asia Tenggara.”

Naing pula berkata “Ia mungkin bermakna AS telah secara tidak langsung menekan kesemua negara itu yang mempunyai kelemahann dalam sistem demokrasi.”

Kunnawut Boonreak di Bangkok, Ahmad Syamsudin di Jakarta, Nisha David di Kuala Lumpur dan Camille Elemia di Manila turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.