Malaysia, Indonesia Tuntut Tindakan Segera Lindungi Rakyat Palestin

Perhimpunan Agung PBB akan mengadakan sesi tergempar bagi membincangkan keganasan Israel-Palestin pada hujung minggu ini.
Hadi Azmi & Tria Dianti
Kuala Lumpur & Jakarta
2021-05-17
Share
Malaysia, Indonesia Tuntut Tindakan Segera Lindungi Rakyat Palestin Seorang wanita Indonesia memakai pelitup muka yang menampilkan warna bendera Palestin, bagi mengekang penularan COVID-19, ketika berdoa selepas solat Aidilfitri di Masjid Besar Al Azhar, Jakarta, 13 Mei 2021.
[Reuters]

Negara-negara majoriti Muslim di Asia Tenggara mendesak masyarakat antarabangsa supaya campur tangan untuk membantu usaha mengakhiri keganasan terhadap orang awam Palestin di Gaza dan Tebing Barat, dengan meningkatnya bilangan mangsa yang terbunuh akibat serangan udara Israel dan serangan roket Hamas selepas pertempuran lebih seminggu.

Malaysia, Indonesia dan Brunei menghadiri mesyuarat krisis yang diadakan oleh Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada Ahad dan, secara berasingan, mengeluarkan pernyataan bersama bagi mendesak Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) "supaya bertindak segera dan mengambil semua langkah yang boleh" untuk menjamin keselamatan orang awam Palestin.

Ketiga-tiga negara berjiran itu juga mendesak Perhimpunan Agung PBB supaya mengadakan sesi tergempar mengenai krisis Timur Tengah itu, yang menyaksikan sekurang-kurangnya 201 rakyat Palestin dan 10 rakyat Israel terbunuh sejak keganasan itu meletus pada 10 Mei, menurut laporan Reuters.

Badan yang dianggotai 193 negara itu akan mengadakan mesyuarat berkenaan pada Khamis, kata para pegawai pada Isnin.

"Kami dengan tegas mengutuk pelanggaran undang-undang antarabangsa termasuk undang-undang kemanusiaan dan hak asasi manusia yang dilakukan oleh Israel, Kuasa Menduduki, melalui dasarnya yang tidak berperikemanusiaan, penjajahan dan apartheid terhadap rakyat Palestin... dan kerana itu, kami menggesa supaya diambil tindakan segera dan bertanggungjawab secara menyeluruh," menurut pernyataan itu pada Ahad, yang ditandatangani oleh Presiden Indonesia Joko “Jokowi” Widodo, Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin dan Sultan Brunei Hassanal Bolkiah.

Sementara itu, di Bangladesh - negara majoriti Muslim Asia Selatan yang ratusan penduduknya mengadakan demonstrasi menyokong rakyat Palestin selepas solat Jumaat di Dhaka - Menteri Luar Negeri Md Shahriar Alam membangkitkan tentang perkara itu dalam perbincangannya dengan Duta Besar AS Earl Miller pada Isnin.

Md Shahriar "mengulangi pendirian Bangladesh bahawa Majlis Keselamatan PBB perlu menangani masalah ini," kata kenyataan Kementerian Luar Negeri Bangladesh. "Beliau mendesak AS untuk mengambil peranan proaktif bagi menghentikan pertumpahan darah itu dengan segera."

Diplomasi AS

Amerika Syarikat (AS), sekutu kuat Israel, setakat ini menyekat sebarang kenyataan Majlis Keselamatan PBB mengenai permusuhan Israel-Palestin.

Para pegawai kerajaan AS menyatakan mereka berusaha membincangkan langkah bagi mengakhiri keganasan itu, dengan melakukan banyak panggilan kepada pemimpin negara berjiran tersebut dan menghantar utusan khas yang telah pun bertemu dengan para pegawai Israel dan Palestin.

Keganasan terus berleluasa pada Isnin, dengan pengeboman oleh tentera Israel ke atas apa yang didakwanya sebagai terowong bawah tanah yang digunakan oleh Hamas dan sembilan kediaman komander kanan kumpulan Palestin itu. Hamas dan kumpulan yang berkaitan, Jihad Islam, telah menembak roket ke Ashdod, bandar pinggir laut Israel, menurut laporan media.

Indonesia dan Malaysia - antara negara yang tidak mengiktiraf negara Yahudi itu - tidak menyebut tentang serangan roket Palestin dalam pernyataan mereka.

Dengan Amerika Syarikat menyenaraikan Hamas sebagai pertubuhan pengganas asing, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia Saifuddin Abdullah pada minggu lalu menegur wartawan di jabatan penyiaran negara, RTM, kerana menggambarkan pejuang Palestin sebagai "militan," menurut laporan The Malay Mail, sebuah media tempatan.

Pada Sabtu, Menteri Dalam Negeri Malaysia Hamzah Zainudin berkata polis dan agensi lain telah meningkatkan tahap keselamatan "untuk melihara ketenteraman awam dan keselamatan rakyat Malaysia serta warga Palestin yang berada di negara itu."

Dan, CyberSecurity Malaysia, sebuah agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia, pada Isnin menasihati netizen "supaya mengamalkan tata laku positif, beretika dan bertanggungjawab" – selepas apa yang disifatkan oleh seorang penganalisis sebagai "serangan troll" ke atas akaun Israel termasuk milik Angkatan Pertahanan Israel.

Rakyat Malaysia menjadi berang susulan video tular dari "saluran konspirasi YouTube" yang menyatakan bahawa Israel akan menyerang negara-negara yang mesra dengan Hamas termasuk Malaysia, kata Hoo Chiew-Ping yang merupakan pensyarah kanan hubungan antarabangsa di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

"Oleh kerana itu, setiap orang daripada pejabat tertinggi - Pejabat Perdana Menteri - hinggalah pasukan keselamatan, institusi akademik dan orang awam di Malaysia - perlu mengambil langkah melaksanakan pertahanan siber dan keselamatan siber mereka," katanya.

"Maklum balas saya kepada perkara ini adalah Malaysia perlu membaca berita dengan lebih teliti dan hanya menggunakan sumber yang boleh dipercayai," kata Hoo kepada BenarNews.

Undi Perhimpunan Agung PBB ‘tidak boleh diveto’

Pada Januari 2020, Mahathir Mohamad, perdana menteri Malaysia ketika itu, menerima kunjungan ketua Hamas, Ismail Haniyeh - yang dianggap sebagai pengganas oleh Amerika Syarikat dan Israel - di Putrajaya, yang merupakan pusat pentadbiran Malaysia.

Pada April 2018, seorang jurutera Palestin bernama Fadi Mohamad Al Batsh, yang didakwa mempunyai kaitan dengan Hamas, telah ditembak mati di Kuala Lumpur. Menurut laporan akhbar Israel, beliau dibunuh oleh Mossad iaitu badan perisikan nasional Israel.

"Adanya risiko nyata bagi rakyat Palestin di Malaysia dan di tempat lain, tetapi ia tidak mengikut cara seperti yang dipaparkan dalam video tular itu," kata Hoo.

Kamal Affendy, ahli kriminologi di Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, juga bersetuju dengan pendapat itu.

"Kita membincangkan mengenai kesan khusus dan disasarkan, bukan untuk 33 juta rakyat Malaysia secara umumnya," kata beliau. "Mana-mana negara boleh menggunakan agen tidur, yang banyak terdapat di mana-mana negara. Mereka tidak perlu membawa bahan operasi sendiri untuk menyelesaikan sesuatu tugasan. "

Di Indonesia, seorang pakar mengenai Timur Tengah mengulas mengenai kesan dalam negara akibat konflik Israel-Palestin itu.

"Kesan ketara adalah demonstrasi di depan kedutaan negara yang menyokong Israel, serangan siber, saling berbalas komen di media sosial serta memboikot produk [Israel]," kata Reza Widyarsa dari Universiti Maritim Raja Ali Haji di wilayah Kepulauan Riau, kepada BenarNews.

Beliau menggesa Indonesia - negara yang mempunyai penduduk Muslim paling ramai di dunia - supaya memberi tekanan kepada Israel pada Perhimpunan Agung PBB.

"Dalam Majlis Keselamatan, akan ada veto oleh negara-negara yang menyokong Israel. Isu itu mesti dibawa ke Perhimpunan Agung kerana undi tersebut tidak boleh diveto,” katanya.

Pulack Ghatak di Dhaka turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh