Laut China Selatan: Lima perkara jadi perhatian pada 2025

Perairan yang berdepan tuntutan bertindih itu dijangka terus bergolak dengan beberapa isu panas.
Staf RFA
2025.01.03
Taipei dan Manila
Laut China Selatan: Lima perkara jadi perhatian pada 2025 Pos Vietnam di Kepulauan Spratly, Mei 2024.
[RFA]

Laut China Selatan menjadi salah satu kawasan geopolitik yang paling berbahaya di dunia sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan China memperkukuh tuntutannya yang luas dan negara-negara di luar rantau itu meningkatkan penglibatan mereka.

Berikut lima perkara penting untuk diamati pada 2025:

Selat Taiwan

Keadaan di Selat Taiwan semakin tegang, dengan hampir 3,000 pencerobohan ke dalam zon pertahanan udara Taiwan antara Januari dan November 2024, serta dua latihan ketenteraan utama – Joint Sword A dan B – yang bertepatan dengan peristiwa politik penting di pulau yang diperintah sendiri itu.

Pemimpin China, Xi Jinping dalam mesej Tahun Barunya sekali lagi menekankan bahawa penyatuan Taiwan adalah suatu perkara yang "tidak dapat dielakkan."

“China akan terus mengadakan latihan ketenteraan pada 2025 sekiranya pegawai kanan Taiwan melawat Amerika Syarikat atau pegawai tertinggi AS melawat Taiwan,” kata Shen Ming-Shih, seorang felo penyelidik di Institut Penyelidikan Keselamatan Pertahanan Kebangsaan Taiwan (INDSR).

Latihan ketenteraan China seperti serangan dan sekatan bersama serta larangan akses kawasan dijangka berterusan meskipun keberkesanannya berkurangan kerana Taiwan terus membangunkan langkah balas yang berkesan, kata Shen.

Bagaimanapun, menurut Ou Si-Fu, felo penyelidik lain di INDSR, China belum bersedia untuk menghadapi perang sepenuhnya dengan Taiwan.

“Xi tidak yakin dengan bala tenteranya,” katanya dengan merujuk kepada siri pemecatan dalam kepimpinan tertinggi Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) baru-baru ini.

“PLA sudah lama tidak terlibat dengan perang sebenar, jadi sebarang kemungkinan penaklukan terhadap Taiwan adalah sesuatu yang tidak dijangka,” kata penganalisis itu. “Mereka mungkin mempersiapkan pasukan ketenteraan tetapi kita juga melakukan persediaan.”

RFA-SCS-5-things-2.png

Presiden Taiwan Lai Ching-te (tengah) menghadiri upacara menaikkan bendera di Taipei, 1 Januari 2025. [Pejabat Presiden Taiwan/AP]

Presiden Taiwan, Lai Ching-te, dalam mesej Tahun Baru pula menegaskan bahawa kerajaannya akan meningkatkan bajet pertahanan dan memperkuat kemampuan ketenteraan.

Terumbu Scarborough

Perkembangan terbaru di kawasan Terumbu Scarborough dalam zon ekonomi eksklusif Filipina yang secara de-facto di bawah kawalan China amat membimbangkan.

Sebelum Tahun Baru, Komando Teater Selatan PLA - organisasi ketenteraan yang mengawal kawasan selatan China, Laut China Selatan dan kawasan berhampiran Asia Tenggara mengadakan latihan persediaan tempur besar-besaran di terumbu tersebut yang melibatkan pasukan laut dan udara.

Pengawal pantai China juga terus mengekalkan kehadirannya di kawasan itu, sebagaimana militia maritimnya.

Sebulan sebelumnya, Beijing mengumumkan satu set garis asas di sekitar Terumbu Scarborough untuk menentukan perairan wilayah dan ruang udara – satu langkah yang dilihat sebagai tidak sah oleh banyak pihak tetapi dijadikan alasan oleh China untuk membenarkan tindakannya terhadap Filipina dan sekutunya, Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, Filipina tetap bertekad untuk mempertahankan hak mereka di kawasan tersebut.

Pengawal pantai China tembak meriam air

Pada awal Disember lalu, kapal pengawal pantai China melepaskan tembakan meriam air ke arah sebuah bot Biro Perikanan dan Sumber Akuatik Filipina yang sedang menghantar bekalan kepada nelayan di beting Scarborough, dengan alasan bot itu "mendekati secara berbahaya" perairan yang didakwa sebagai wilayah China.

“Anda tidak boleh melukis garis dasar jika anda tidak memiliki ciri-ciri tersebut,” kata bekas hakim Mahkamah Agung Filipina, Antonio Carpio.

Lantas beliau mencadangkan agar Filipina mencabar kenyataan China itu di tribunal antarabangsa.

Beting Scarborough tidak mempunyai penghuni dan tiada struktur di atasnya, tetapi keadaan itu mungkin berubah pada 2025 ekoran sikap keras Beijing.

Pasukan Filipina telah mengalihkan penghalang terapung milik China di sekitar terumbu tersebut, namun akses nelayan Filipina ke kawasan menangkap ikan tradisional mereka itu masih terhad.

Dalam menangani konflik tersebut, Filipina dipercayai sedang mempertimbang untuk memfailkan kes tindakan undang-undang baharu terhadap China atas pelanggaran Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS).

Bagaimanapun, memandangkan China enggan mengambil bahagian dan menolak keputusan tribunal timbang tara PBB pada 2016, kemungkinan besar negara itu tidak akan turut serta dalam tribunal berkenaan.

RFA-SCS-5-things-3.png

Lt. Komander Lee Omaweng, pegawai pemerintah kapal pengawal pantai Filipina BRP Sindangan, yang bertugas di Scarborough dan Beting Kedua Thomas, bercakap kepada wartawan di atas kapalnya, 8 Disember 2024. [RFA]

Beting Kedua Thomas

Sepanjang 2024, China dan Filipina terlibat dalam pertikaian di Terumbu Kedua Thomas, yang terletak dalam zon ekonomi eksklusif Filipina.

Manila telah sengaja menenggelamkan kapal perang lama di situ untuk dijadikan sebagai pos kawalan tentera sejak 1999.

Beberapa tahun lalu, pengawal pantai China telah menghalang dan mengganggu misi Filipina bagi menghantar bekalan kepada anggota tenteranya di kapal BRP Sierra Madre itu.

Pada 17 Jun lalu, dalam konfrontasi yang belum pernah berlaku, pengawal pantai China merempuh bot Filipina dan merampas senjata mereka semasa misi menghantar bekalan hingga menyebabkan seorang kelasi Filipina mengalami kecederaan.

Kejadian tersebut menunjukkan risiko peningkatan konflik di kawasan tersebut, yang terletak berdekatan dengan pangkalan tentera laut China di Terumbu Mischief.

Kurangkan ketegangan

Kedua-dua pihak kemudian menyeru agar ketegangan dikendurkan. Pada 12 Disember, China mengeluarkan kenyataan bahawa ia telah memberikan kebenaran kepada Filipina untuk menghantar bekalan ke kapal perang yang "tersadai secara haram" di Beting Kedua Thomas atas dasar kemanusiaan.

Namun, insiden pada 17 Jun itu menunjukkan bahawa situasi tersebut berpotensi meningkatkan konflik dengan mudah apatah lagi faktor kedudukan Beting Kedua Thomas yang hampir dengan pangkalan tentera laut China di Terumbu Mischief, sebuah pulau buatan yang telah dibina dan dilengkapi keperluan ketenteraan oleh China.

Manila dan Washington menandatangani Perjanjian Pertahanan Bersama pada 1951, di mana kedua-dua negara diwajibkan untuk saling menyokong sekiranya berlaku serangan bersenjata.

Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin, pada November lalu mendedahkan bahawa tentera AS telah menubuhkan Pasukan Petugas Ayungin, nama yang dirujuk Filipina bagi Beting Kedua Thomas.

Panglima Angkatan Tentera Filipina, Jeneral Romeo Brawner Jr., memberitahu wartawan RFA di Manila bahawa negaranya sedang melaksanakan strategi tiga serampang berkaitan pertahanan maritim: kehadiran yang berkesan; pencegahan yang efektif dan memodenkan peralatan ketenteraan serta memanfaatkan kerjasama dengan negara-negara yang sealiran.

Namun, Beijing dijangka tidak melepaskan tuntutannya agar Manila mengalih kapal BRP Sierra Madre keluar dan meninggalkan beting yang dipertikaikan itu.

Bagi pihak Filipina, mereka tetap bertekad untuk mempertahankan kawasan itu.

“Kami tidak sesekali akan meninggalkan wilayah kami di Ayungin,” tegas Kolonel Xerxes Trinidad, jurucakap Angkatan Tentera Filipina.

Pembinaan Pulau Vietnam

Pembinaan pulau di Laut China Selatan yang dijalankan oleh Vietnam telah mencatatkan rekod baharu iaitu keluasan kawasan yang berjaya diwujudkan dalam tempoh enam bulan pertama tahun lalu menyamai tempoh keseluruhan pada 2022 dan 2023, menurut Inisiatif Ketelusan Maritim Asia (AMTI), badan penyelidik berpangkalam di Washington.

Antara November 2023 dan Jun 2024, Hanoi menambak kawasan seluas 692 ekar (280 hektar) meliputi 10 kawasan di Kepulauan Spratly.

Jumlah kerja penambakan yang dilaksanakan Vietnam mencapai sekitar 2,360 ekar (955 hektar) iaitu kira-kira separuh daripada 4,650 ekar (1,881.7 hektar) kawasan tambakan yang dilakukan oleh China.

“Sepanjang tempoh tiga tahun memulakan kerja-kerja pengorekan, tindakan Vietnam itu mengejutkan pemerhati apabila skala tambakan semakin meningkat di Kepulauan Spratly, kata AMTI.

Vietnam kini menguasai 27 kawasan dan menjalankan projek tambakan berskala besar sepanjang tahun lalu.

RFA-SCS-5-things-4.png

Imej satelit Terumbu Barque Canada, 11 Mei 2024. [AMTI/Maxar Technologies]

Sebuah landasan kapal terbang baharu sepanjang 3,000 meter hampir siap dibina di terumbu Barque Canada, di mana kawasan tambakan keseluruhan meningkat lebih dua kali ganda dalam tempoh setahun, menjadi hampir 2.5 kilometer persegi, atau 617.7 ekar, menjelang Oktober lalu.

Vietnam sebelum ini hanya mempunyai satu landasan udara di sebuah pulau bernama Spratly yang berukuran 1,300 meter, tetapi selain Barque Canada, AMTI menyatakan bahawa "tidak mengejutkan" jika Hanoi juga mempertimbangkan landasan udara di terumbu Pearson dan Ladd.

Pangkalan dan landasan baharu ini akan mengukuhkan kedudukan Vietnam di kawasan "tiga pulau besar" milik China," kata Tom Shugart, felo kanan adjung di Pusat Bagi Keselamatan Amerika Baharu.

Beliau merujuk kepada Fiery Cross, Subi, dan Mischief iaitu terumbu buatan terbesar di Laut China Selatan yang dibangunkan oleh China.

Terumbu keempat terbesar pula ialah melibatkan kawasan yang cuba diperluaskan oleh Vietnam.

“Dalam tempoh lima bulan, Hanoi telah menunjukkan tekad untuk memaksimumkan potensi strategik ke atas kawasan yang didudukinya” kata AMTI.

Tambahnya, setakat ini sukar untuk dinyatakan bilakah proses perluasan kawasan itu akan berakhir dan apakah keupayaan baharu yang dimiliki oleh Vietnam.

Kod Tatakelakuan di Laut China Selatan

Malaysia telah mengambil alih jawatan pengerusi Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) daripada Laos pada bulan ini dan setiap kali teraju pertubuhan serantau itu bertukar, persoalan mengenai kod etika (COC) yang mengikat secara sah untuk semua pihak yang mempunyai tuntutan di Laut China Selatan timbul.

China dan negara-negara ASEAN telah berunding mengenai COC setelah mencapai Deklarasi Tatakelakuan Pihak-Pihak di Laut China Selatan pada 2002.

Namun lebih dua dekad kemudian, banyak halangan masih wujud meskipun China kerap menyatakan bahawa proses perundingan berjalan dengan baik dan persetujuan hampir dicapai.

Perdana Menteri Li Qiang memberitahu sidang kemuncak ASEAN di Laos pada Oktober bahawa China dan blok itu sedang “berusaha untuk penyelesaian awal” kod etika tersebut.

China dan lima pihak lain termasuk empat negara ASEAN – Brunei, Malaysia, Filipina dan Vietnam – mempunyai tuntutan bertindih di Laut China Selatan, tetapi tuntutan China adalah yang paling luas, meliputi hampir 90 peratus kawasan perairan itu.

China dengan tegas menentang apa yang dianggapnya sebagai “mempolitikkan” COC, serta sebarang “campur tangan luar” dalam isu ini.

Namun, ketegasan China telah mendorong beberapa negara untuk mencari keseimbangan daripada pihak luar ASEAN.

“Perundingan mengenai COC berjalan sangat perlahan,” kata bekas Menteri Luar Thailand, Kantathi Suphamongkhon kepada agensi berita Reuters pada Oktober.

“Persetujuan nampaknya mustahil,” kata pakar undang-undang Filipina, bekas hakim Mahkamah Agung Antonio Carpio.

“China tidak akan pernah bersetuju dengan beberapa peruntukan, Vietnam dengan beberapa negara lagi, dan seterusnya.”

“Oleh itu, sasaran untuk memuktamadkan COC menjelang 2026 dianggap tidak realistik,” ujarnya.

Salah satu halangan utamanya ialah perpecahan dan kelemahan dalam kalangan anggota ASEAN sendiri.

“ASEAN boleh mengukuhkan kuasa tawar menawar kolektifnya dengan menyelaraskan kepentingan negara-negara anggota dan bercakap dengan satu suara dalam rundingan dengan kuasa luar seperti China,” kata Isha Gharti, seorang profesor dasar awam di Universiti Chiang Mai, Thailand.

Setakat ini, masih belum jelas bagaimana pengerusi baharu, Malaysia, akan berusaha meningkatkan suara kolektif ASEAN.

Radio Free Asia merupakan perkhidmatan berita dalam talian yang bersekutu dengan BenarNews.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.