Follow us

Asia Tenggara Dibelenggui Masalah Sisa Plastik Ditolak China

Muzliza Mustafa, Pimuk Rakkanam, Nontarat Phaicharoen, Tia Asmara & Ami Afriatni
Kuala Lumpur, Bangkok & Jakarta
2019-05-21
E-mel
Komen
Share
Beberapa penduduk Tamanmekar, sebuah perkampungan di wilayah Jawa Barat, mencari sampah yang boleh dikitar semula di tengah–tengah gunung sampah plastik import, 17 Mei.
Beberapa penduduk Tamanmekar, sebuah perkampungan di wilayah Jawa Barat, mencari sampah yang boleh dikitar semula di tengah–tengah gunung sampah plastik import, 17 Mei.
[Ahmad Syamsudin/BeritaBenar]

Negara-negara Asia Tenggara sedang berdepan dengan peningkatan lambakan sisa dari negara-negara perindustrian, dengan Malaysia dan Filipina memberi amaran untuk memulangkan semua sisa berkenaan ke negara asalnya.

Manila telah memanggil pulang duta dan diplomat kanan lainnya dari Kanada selepas Ottawa gagal menepati tarikh akhir yang ditetapkan untuk menarik balik bertan-tan sisa yang dihantarnya ke Filipina enam tahun lalu.

Rantau itu menyaksikan peningkatan import sisa terutamanya bahan buangan plastik selepas China, pada tahun lalu, berhenti mengimport sampah yang boleh dikitar semula untuk mengurangkan pencemaran.

Pada 2018, Malaysia, Thailand, Filipina, Indonesia dan Vietnam menerima sisa import dari Amerika Syarikat, Jepun, Jerman, Britain, Belgium dan Kanada.

"Kami tidak mahu digelar sebagai tempat lambakan sampah dunia. Kami akan menghantar pulang sisa buangan itu ke negara asalnya," kata Menteri Alam Sekitar Malaysia, Yeo Bee Yin, dalam sidang berita pada Jumaat.

Negara-negara perindustrian, yang menghantar sisa kepada perniagaan kitar semula tempatan yang pesat berkembang, perlu menanggung kos untuk mengeluarkan dan mengambil semula sisa berkenaan, kata menteri wanita itu.

Yeo mengeluarkan kenyataan itu seminggu selepas 187 negara menerima pakai pindaan Konvensyen Basel, iaitu perjanjian yang dimeterai pada 1989 bagi mengurangkan pergerakan sisa plastik dan  berbahaya merentasi sempadan negara.

Pindaan itu, yang diluluskan dalam satu persidangan di Geneva pada Mei, akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2021 dan memerlukan negara-negara yang mengeksport sisa plastik supaya mendapatkan kebenaran terlebih dahulu daripada negara-negara yang mahu menerima sampah berkenaan.

Sebelum perdagangan global kitar semula dibelenggui masalah itu, China mengimport kira-kira 45 peratus plastik sekerap dunia, menurut laporan Science Advances pada 2018.

Tetapi, Beijing telah menggubal dasar nasional dengan mengenakan sekatan ke atas import kertas dan plastik boleh dikitar semula pada Januari 2018 yang menyebabkan harga sekerap merudum dan menjadiakn negara-negara Asia Tenggara sebagai negara pengimport utama sisa plastik.

Selepas larangan China itu berkuat kuasa, Malaysia menerima lebih banyak sisa import berbanding negara-negara lain dengan kemasukan sebanyak 750,000 tan metrik plastik pada 2018 yang bernilai lebih RM483 juta (AS$116 juta), menurut Institut Industri Kitar Semula Sekerap (ISRI ) iaitu persatuan perdagangan yang berpejabat di Washington DC.

Import China pula menurun daripada lebih 600,000 tan sebulan pada 2016 kepada 30,000 tan sebulan sejak Januari 2018, kata ISRI.

"Berikutan larangan sisa plastik yang dikenakan oleh China, negara-negara lain menjadikan Malaysia sebagai lokasi utama untuk mengeksport sisa plastik haram," kata Yeo.

Dalam pertikaian dengan negara-negara berkenaan supaya mengambil semula sisa masing-masing, banyak negara Asia Tenggara turut mengambil tindakan dengan mula mengenakan sekatan import sisa pada pertengahan 2018.

Malaysia keluarkan larangan tetap

Pada Julai 2018, kerajaan Malaysia membatalkan permit import bagi sisa plastik. Tiga bulan kemudian, pihak berkuasa mengeluarkan larangan tetap berhubung perkara itu.

Pihak berkuasa Malaysia juga melancarkan tindakan tegas terhadap para pengitar semula plastik yang tidak berlesen serta menahan berpuluh-puluh pekerja dalam serbuan polis di kilang-kilang haram yang cuba meraih keuntungan daripada perdagangan sisa plastik global – yang bernilai lebih daripada $ 5 bilion setahun.

Kuala Lumpur mula mengambil langkah-langkah agresif untuk membanteras sisa plastik selepas para pegawai sebelum ini menyatakan bahawa sebanyak 24 kontena mengandungi sisa plastik dari Sepanyol diseludup masuk ke negara itu di Pelabuhan Klang, Selangor dengan perisytiharan kastam yang dipalsukan.

Sejak 2017, Malaysia membeli plastik buangan dari Britain, Australia dan Amerika Syarikat dengan puluhan kilang haram mengendalikan sekerap tidak boleh dikitar semula yang akhirnya dibakar dan mengeluarkan kimia seperti dioksin yang boleh merosakkan sistem saraf.

Peralihan perdagangan plastik memberi impak besar kepada negara-negara Asia Tenggara, dengan adanya laporan meluas mengenai penduduk yang mengadu mengenai bekalan air tercemar, penyakit berkaitan pernafasan akibat terdedah kepada pembakaran plastik dan pencemaran sungai.

"Sisa plastik dari negara-negara perindustrian telah membelenggui kehidupan komuniti di Asia Tenggara, dengan merubah apa yang pernah menjadi tempat yang bersih dan berkembang menjadi tempat lambakan toksik," kata Penyelaras gerakan global Break Free From Plastic, sebuah gabungan pertubuhan bukan kerajaan, Von Hernandez satu kenyataan pada April.

"Adalah amat tidak adil bagi negara-negara dan komuniti-komuniti yang kurang kapasiti dan sumber untuk menangani pencemaran plastik selepas disasarkan menjadi saluran pembuangan plastik yang dihasilkan oleh negara-negara perindustrian," katanya.

Indonesia: Ia ‘tiada kaitan’ dengan keputusan China


Indonesia, negara terbesar Asia, mengimport 35,000 tan sisa plastik sebulan dari Jerman, Australia dan Amerika Syarikat pada akhir 2018 - peningkatan mendadak daripada 10,000 tan sebulan pada akhir 2017, menurut angka yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan.

Tiga negara itu adalah pengeksport utama sisa plastik di Asia Tenggara yang menerima lebih daripada 705 juta paun sisa plastik tahun lalu, kata Rosa Vivien Ratnawati, direktur jeneral pengelolaan sampah di Kementerian Alam Sekitar di Jakarta.

"Plastik yang diimport adalah sisa tidak berbahaya dan bukan toksik dalam bentuk plastik sekerap dan bersih," katanya kepada BeritaBenar.

Di bawah peraturan Kementerian Perdagangan 2016, bahan-bahan tersebut boleh diimport dan dikategorikan sebagai sisa untuk dikitar semula, katanya. "Ia tidak ada kaitan dengan keputusan China untuk berhenti mengimport sisa plastik," kata Ratnawati.

Ratnawati adalah antara pegawai Indonesia yang mendukung perdagangan global bagi sisa plastik.

Pada November tahun lalu, Menteri Perindustrian Airlangga Hartarto menghantar surat kepada Kementerian Alam Sekitar bagi menggesanya supaya menarik balik larangan import sedia ada, yang didakwa sebagai tidak dikuatkuasakan oleh ramai pejuang alam sekitar. Beliau berkata Jakarta menikmati lebihan perdagangan sebanyak $40 juta dengan mengeksport plastik kitar semula.

Kumpulan-kumpulan pejuang alam sekitar telah menyuarakan kebimbangan bahawa syarikat-syarikat tempatan mengambil keuntungan daripada timbunan sampah sarap yang diimport secara haram. Mereka menuduh kilang-kilang haram membakar sisa plastik yang tidak boleh dikitar semula dengan sewenang-wenangnya.

"Sesetengah orang mendapat keuntungan daripada import tersebut tetapi sebenarnya mereka juga terjejas kerana sisa itu akan mengancam kesihatan masyarakat," kata Prigi Arisandi, pengasas Pemantauan Ekologi dan Pemuliharaan Tanah Lembap (Ecoton) kepada BeritaBenar.

Akibat daripada krisis kitar semula, para pejuang alam sekitar Indonesia mendakwa bahawa kertas terpakai yang diimport oleh kilang-kilang juga dibawa masuk bersama-sama sisa plastik.

"Indonesia mempunyai 55 syarikat kertas dengan 22 daripadanya terletak di Jawa Timur dan kami mendapati ia mengimport kertas terpakai dan apa yang menjadi kebimbangan adalah adanya sisa plastik dalam bahan-bahan yang diimport itu," kata Prigi.

"Kami mendapati negara-negara lain seperti Amerika Syarikat, Britain, Kanada, New Zealand dan Australia membuang sisa isi rumah mereka dengan mengeksportnya bersama-sama dengan kertas terpakai," katanya.

Ekoton menganggarkan bahawa sebanyak 70 peratus daripada kertas terpakai untuk dikitar semula itu telah dicemari dengan sisa plastik.

Dalam tempoh 70 tahun yang lalu, secara kumulatifnya dunia menghasilkan 7.8 bilion tan plastik - lebih daripada satu tan plastik bagi setiap manusia yang hidup hari ini, menurut Our World in Data iaitu  penerbitan dalam talian yang mendakwa menerima dana pembiayaan daripada Yayasan Bill dan Melinda Gates.

Lebih separuh daripadanya terus dibawa ke tempat pembuangan sampah dan hanya 9 peratus sahaja yang dikitar semula, katanya.

190520-ID-trash-620-INSIDE.jpg
Seorang lelaki berdiri di atas timbunan sisa plastik yang diimport di tempat pembuangan sampah di Bekasi, sebuah bandar di Jawa Barat, Indonesia, 16 Mei 2018. [Ahmad Syamsudin / BeritaBenar]

Thailand kurangkan kuota import

Di Thailand, pihak berkuasa berusaha menangani import sisa plastik dengan mengurangkan kuota "daripada beberapa beratus ribu tan kepada 70,000 tan dan hanya membenarkan plastik boleh dikitar semula," kata Pralong Damrongthai, ketua pengarah Jabatan Kawalan Pencemaran kepada BeritaBenar.

Import Thailand meningkat kepada 75,000 tan sebulan pada awal 2018 dengan sisa plastik adalah dari pengeksport utama iaitu Jepun, Amerika Syarikat dan Hong Kong, menurut laporan Mitos Kitar Semula Greenpeace 2018.

Apabila kesan alam sekitar semakin meluas di kawasan luar bandar Thailand, kerajaan junta yang diketuai oleh tentera melakukan serbuan di kilang-kilang kitar semula plastik.

Pada pertengahan 2018, Jabatan Sumber Asli dan Alam Sekitar Thailand mengeluarkan larangan sementara bagi import sisa plastik dan mengumumkan rancangan untuk melarang sepenuhnya import sisa plastik boleh dikitar semula menjelang 2020.

"Kami akan mengharamkan 422 jenis sisa dalam masa dua tahun," kata Pralong.

Sisa buangan yang termasuk beg-beg plastik sampah juga memberi kesan besar terhadap hubungan diplomatik antara Filipina dan Kanada.

Sejak beberapa minggu lalu, Manila mempersoalkan reputasi menyokong alam sekitar Ottawa selepas Kanada terlepas tarikh akhir untuk mengambil balik bertan-tan sampah dalam kontena yang dilabelkan sebagai plastik, yang telah dihantar ke Filipina untuk dikitar semula oleh sebuah syarikat Kanada pada 2013.

Konflik berlarutan itu diburukkan lagi dengan tindakan Manila memanggil pulang duta dan konsulatnya di Kanada pada Khamis.

Setiausaha Luar Teodoro Locsin Jr berkata dalam satu catatan tweet bahawa selagi sisa berkenaan tidak diambil balik oleh Ottawa, Filipina akan "mengekalkan langkah mengurangkan kehadiran diplomatik" di Kanada.

Kilang membakar plastik secara terbuka


Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Februari tahun ini, Malaysia berkata kerajaannya telah bertindak menutup 139 kilang plastik kitar semula sejak Julai 2018. Namun, menurut laporan siasatan, kilang-kilang haram itu masih dapat beroperasi walaupun dikenakan larangan dengan berpindah keluar dari kawasan di mana adanya tumpuan penguatkuasaan undang-undang pihak berkuasa.

Di Jenjarom, Malaysia, lebih 30 kilang kitar semula haram telah ditutup, kata laporan itu. Tetapi bertan-tan sisa plastik tidak boleh dikitar semula - kebanyakannya sampah sarap seperti seperti beg plastik runcit - telah merubah bandar dengan 30,000 penduduk itu menjadi tapak pelupusan gergasi.

Kebanyakan kilang kitar semula termasuk yang dikendalikan oleh warganegara China nampaknya tidak mempunyai permit untuk mengendalikan sisa, menurut pejuang alam sekitar seperti Lay Peng Pua.

Sejumlah besar beg plastik sampah dan pembungkusan makanan - bahan yang tidak boleh dikitar semula kerana mengandungi bahan cemar yang mahal untuk diasingkan - telah dibakar secara terbuka di beberapa kawasan bandar itu, kata Pua yang juga ahli kimia berusia 44 tahun kepada BeritaBenar.

Para penduduk menyangka pencemaran udara itu berpunca daripada pembakaran kawasan pertanian di negara jiran, Indonesia, tetapi Pua memberitahu bahawa banyak kilang kitar semula telah memilih kaedah kitar semula berkos rendah – dengan melakukan pembakaran secara terbuka.

Pua menyalahkan penguatkuasaan undang-undang yang lemah sebagai punca bertambahnya kilang-kilang haram dan penyeludupan masuk sisa plastik yang serius.

"Kilang memilih kaedah kos rendah dengan menggunakan teknologi tahap rendah tetapi menyebabkan pencemaran berleluasa," katanya.


Hadi Azmi di Kuala Lumpur menyumbang kepada laporan ini.

Lihat Laman Penuh