PENJELASAN: Ada apa dengan 'taman penipuan'?
2025.01.29

Kewujudan taman penipuan siber menarik perhatian antarabangsa pada Disember lalu apabila seorang pelakon China diselamatkan dari KK Park yang terkenal di Myanmar.
Wang Xing pada mulanya terbang ke Mae Sot, Thailand setelah dijanjikan tawaran kerja dalam bidang lakonan.
Namun keadaan bertukar 180 darjah apabila sebaik tiba di Thailand, dia telah diculik dan dilarikan menyeberangi sempadan sebelum dibawa ke sebuah kompleks yang menempatkan ramai lagi mangsa sepertinya.
Mereka dipaksa bekerja dengan sindiket penipuan bagi memperdayakan orang ramai agar memindahkan wang simpanan mereka.
Sekiranya gagal melakukan tugas tersebut, mereka sering dikenakan hukuman dengan cara kekerasan.
Apa yang luar biasa tentang kes Wang ialah bukan tentang iklan pekerjaan palsu, penculikan atau penyeludupan merentas sempadan ke dalam kompleks yang dipenuhi dengan ribuan mangsa dari seluruh dunia.
Sebaliknya, operasi menyelamatkan beliau itu yang luar biasa apabila ia melibatkan kerjasama kerajaan China dan pihak berkuasa Thailand.
Pelakon China, Wang Xing (kiri) bersalam dengan pegawai polis Thailand selepas dia dibebaskan daripada pusat penipuan di Myanmar di sempadan daerah Mae Sot, Thailand, 7 Januari 2025 [Polis Diraja Thailand/Reuters]
Di seluruh rantau ini, ratusan ribu mangsa dipercayai terperangkap dalam keadaan yang serupa.
Sejak kebelakangan ini, jumlah pusat penipuan di Kemboja, Laos dan Myanmar dilaporkan meningkat.
Dikendalikan oleh pelbagai kumpulan jenayah terancang, pusat-pusat tersebut sering dikaitkan dengan individu berpengaruh tempatan dan dibenarkan beroperasi tanpa dikenakan tindakan undang-undang.
Bagaimana pusat penipuan ini muncul?
Lebih sedekad yang lalu, perkhidmatan Internet yang murah menjadikan Kemboja sebagai lokasi tumpuan awal bagi penipu dari China dan Taiwan.
Dengan menggunakan taktik menyamar sebagai pegawai kerajaan, syarikat insurans atau perniagaan lain, sindiket menggunakan mesej suara melalui protokol Internet (VoIP) untuk menghubungi mangsa di negara asal mereka kebanyakannya di China dengan menipu atau mengugut supaya mereka membuat pindahan wang dari akaun bank.
Operasi penipuan yang pada awalnya dijalankan dari Kemboja, Kenya, Malaysia dan beberapa tempat lain telah menyebabkan ramai individu mengalami kerugian atau muflis mencecah berbilion yuan.
Meskipun ribuan anggota sindiket telah ditangkap dan diusir, operasi penipuan itu tidak berjaya dibanteras sepenuhnya.
Sebaliknya ia berkembang lebih luas dengan menggunakan kaedah dan peralatan lebih canggih.
Di Kemboja, larangan perjudian dalam talian pada 2019 dengan disusuli tindakan pengusiran secara besar-besaran ke atas ekspatriat dan pelancong China ketika pandemik menyebabkan kasino diubah suai menjadi pusat penipuan.
Zon Ekonomi Khas yang diwujudkan di Laos dan beberapa negara lain untuk membangunkan perniagaan baharu menjadi pusat kegiatan jenayah ekoran peraturan yang longgar.
Sementara itu, di Myanmar, rampasan kuasa dan perang saudara telah menyebabkan kumpulan penjenayah mengambil kesempatan membuka lebih banyak perniagaan penipuan kerana mereka mudah terlepas daripada penguatkuasaan undang-undang.
Peluang melakukan jenayah tersebut terbuka ekoran gejala rasuah yang berleluasa selain terdapat ramai golongan pencari kerja terpelajar tetapi miskin di seluruh dunia.
Anggaran wang yang dicuri oleh kumpulan jenayah yang beroperasi dari negara-negara yang berada di lembah Mekong kini dianggarkan sekitar AS$18 bilion hingga lebih AS$40 bilion setahun.
Bagaimana penipuan ini berfungsi?
Helah meyakinkan mangsa bahawa akaun mereka telah digodam kekal menjadi salah cara penipuan merupakan penipuan yang biasa berlaku di serata dunia.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pusat-pusat penipuan di Asia Tenggara telah memberi tumpuan kepada kaedah "pig butchering".
Berdasarkan kepada ungkapan China, "sha zhu pan", 'pig butchering' merujuk kepada kaedah memujuk mangsa sebelum mereka diheret ke pusat 'penyembelihan'.
Walaupun penipuan cara itu memerlukan lebih banyak masa dan tenaga, ia dapat mengaut keuntungan berlipat kali ganda.
Modus operasi mereka ialah menghantar mesej kepada berjuta-juta individu yang pada awalnya mangsa akan menganggap mesej itu sekadar tersilap nombor telefon.
Bagaimanapun, anggota sindiket mula 'mengumpul' tenaga untuk menjerat individu yang memberikan respon kepada mesej mereka dan secara tanpa disedari mula membina perhubungan persahabatan atau percintaan dengan mangsa.
Dalam tempoh itu, mangsa dipujuk untuk melabur dalam mata wang kripto atau peluang perniagaan lain, dengan keuntungan kecil yang sering dikongsi kepada mereka.
Setelah melihat "bukti" kejayaan perniagaan yang dijalankan oleh 'pasangan' mereka, mangsa kemudian diyakinkan agar membuat "pelaburan" yang lebih besar.
Tanpa disedari, mangsa yang terjebak dengan kaedah itu akhirnya mengalami kerugian mencecah beratus ribu dolar malah berjuta-juta dolar.
Seorang lelaki Vietnam yang telah ditahan di KK Park di negeri Kayin, Myanmar membekalkan gambar yang tidak bertarikh menunjukkan suasana di dalam pusat panggilan penipuan itu. [Nguyen]
Siapakah penipu ini?
Dalam sindiket penipuan ini, sebenarnya mangsa sering kali bertindak sebagai penipu.
Walaupun jelas segelintir mangsa penipuan bekerja secara sukarela kerana tertarik dengan janji gaji yang besar di negara-negara yang dilanda kemiskinan, banyak pusat penipuan masih bergantung pada tenaga kerja yang diperdagangkan.
Sebagaimana kes Wang, mangsa sering dipikat dengan janji pekerjaan bergaji tinggi yang memanfaatkan kemahiran bahasa dan komputer dimiliki oleh ramai golongan muda yang menganggur di rantau ini.
Mengikut pendedahan yang dibuat bekas anggota sindiket penipuan itu, mereka telah berjaya menipu ramai mangsa dan memperoleh wang yang banyak dan tidak kesemuanya bekerja secara paksa.
Namun lebih banyak laporan dikemukakan tentang bagaimana mangsa terpaksa mengendalikan panggilan telefon setelah dikenakan tindakan kekerasan seperti dipukul, dikenakan renjatan elektrik, dicatu makanan dan mengalami pelbagai bentuk penyeksaan.
Perbuatan itu merupakan kisah biasa yang dikongsi mangsa-mangsa setelah mereka berjaya meloloskan diri dari pusat penipuan tersebut.
Seorang mangsa di pusat penipuan KK Park di negeri Kayin, Myanmar dirantai kedua-dua belah kakinya pada katil dalam gambar tidak bertarikh. [Nguyen]
Anggota sindiket yang mengendalikan pusat penipuan juga dapat mengaut keuntungan secara lebih mudah dengan membuat tuntutan wang tebusan daripada rakan atau keluarga mereka sebagai syarat untuk melepaskan mangsa.
Seorang penari api Taiwan yang diculik di Thailand dan dibawa ke taman penipuan pada bulan lalu dipaksa dilatih sebagai penipu dan diberitahu bahawa dia akan dibebaskan dengan syarat keluarganya membayar AS$30,000.
Meskipun dia dibebaskan susulan operasi bersama polis Taiwan dan Thailand, ramai mangsa yang dapat keluar dari pusat-pusat penipuan itu hanya selepas keluarga mereka membayar wang tebusan.
Sangat sukar untuk mengetahui berapa ramai orang yang ditahan secara paksa di pusat-pusat penipuan itu.
Namun jumlahnya mungkin mencapai ratusan ribu, dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan lebih 100,000 individu telah diperdagangkan ke Kemboja dan 120,000 lagi di Myanmar.
Walaupun pengendali sindiket itu kebiasaannya dikaitkan dengan kumpulan jenayah China, pekerja yang diperdagangkan dibawa dari seluruh dunia.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, negara seperti China, Taiwan, Hong Kong, Jepun, Nepal, Kenya, India, Indonesia, Pakistan, Uganda dan banyak lagi telah menyelamatkan warganegara mereka atau mendapati mereka melarikan diri dari pusat-pusat penipuan di Myanmar, Laos dan Kemboja.
Radio Free Asia (RFA) merupakan perkhidmatan berita dalam talian yang bersekutu dengan BenarNews.