IS Tingkatkan Rekrut Ahli di Indonesia, Malaysia, Filipina, Kata Penganalisis Asia Tenggara

Noah Lee, Tia Asmara, Ronna Nirmala, Mark Navales & Shailaja Neelakantan
2020.09.23
Kuala Lumpur, Jakarta, Manila & Washington
200923-SEA-Terrorism620.jpeg Anggota tentera Filipina berada di lokasi dua pengeboman bunuh diri di pulau Jolo, Sulu, Filipina, 24 Ogos 2020.
[Reuters]

Kumpulan ekstremis Negara Islam (IS) sedang giat merekrut ahli di Indonesia dan Malaysia yang mempunyai majoriti penduduk Islam serta di Filipina, di tengah-tengah penularan pandemik global, kata penganalisis keselamatan di negara-negara berkenaan kepada BeritaBenar.

Terdapat petunjuk bahawa Negara Islam berusaha untuk berkumpul semula setelah tewas di kubunya di Syria pada tahun lalu melalui peningkatan usaha untuk menarik ahli baru di Malaysia, bahagian lain di Asia Tenggara, Timur Tengah serta Afrika Utara, kata Mizan Aslam, pakar anti-keganasan di Universiti Perlis Malaysia.

"ISIS tidak pernah mati," kata Aslam, yang menggunakan singkatan lain bagi IS. "Cuma kita yang kata mereka sudah mati, tetapi mereka sendiri tidak pernah menyatakannya. Rakyat Malaysia masih ada di sana [Syria dan Iraq]. Ribuan pejuang jihad dunia masih ada di sana. ”

"Dengan semua negara kini memberi tumpuan kepada keselamatan kesihatan dan jaminan makanan, ini memberikan ruang kepada ISIS untuk menyusup masuk. Ini boleh menjadi masalah besar bagi Malaysia dalam waktu terdekat," katanya kepada BeritaBenar.

Menurutnya kumpulan itu aktif merekrut dan memberi dakyah kepada para penyokongnya melalui platform dalam talian seperti Facebook.

"Perekrutan dilakukan melalui media sosial dan bukan hanya di Malaysia tetapi dalam komuniti global yang terjejas akibat perintah kawalan pergerakan [COVID-19]," kata Aslam, sambil memberitahu bahawa "orang ramai kini duduk lebih lama di rumah dan mengikuti media sosial tanpa henti, jadi, terdapat kemungkinan untuk terpengaruh. Negara Islam juga dilihat telah melipatgandakan usaha mereka dalam menyebarkan bahan propaganda di media sosial."

Di negara jiran, Indonesia, yang mempunyai penduduk Islam paling ramai di dunia, militan pro-Negara Islam berusaha untuk memperluaskan barisan mereka dan merancang melakukan serangan, kata ketua anti-keganasan negara itu pada Jun.

Polis di wilayah Sulawesi Tengah -pusat kegiatan puak ekstremis- memberitahu BeritaBenar pada April bahawa militan Indonesia "sememangnya menganggap pandemik itu sebagai peluang."

Kumpulan-kumpulan yang bergabung dengan IS Indonesia telah berikrar untuk memberi sokongan dan bersekutu dengan ketua IS yang baru, Abu Ibrahim al-Hashemi al-Qurashi, yang disebut oleh kerajaan AS sebagai Amir Muhammad Sa’id ‘Abd-al-Rahman al-Mawla, kata penganalisis.

Sementara itu, seorang pegawai kanan tentera Filipina memberitahu BeritaBenar bahawa mereka yang terlibat dalam merancang dan melakukan dua serangan pengebom bunuh diri wanita yang mengorbankan sekurang-kurangnya 15 orang dan mencederakan lebih 70 orang di selatan Pulau Jolo bulan lalu, merupakan ahli Daulah Islamiya, iaitu nama tempatan bagi IS, atau kumpulan Filipina yang bergabung dengannya termasuk Kumpulan Abu Sayyaf.

Terdapat bukti mengenai penyertaan lebih ramai wanita dalam tindakan mogok baru-baru ini, serta adanya penempatan pengebom bunuh diri yang lebih teratur dan tepat, kata seorang penganalisis.

Pegawai tentera itu berkata kira-kira 24 kumpulan pro-IS bergiat aktif di wilayah selatan yang menempatkan penduduk beragama Islam di Jolo, Basilan dan Wilayah Autonomi Bangsamoro di Mindanao Muslim.

"Mereka adalah dua puak IS yang paling dikenali," kata pegawai itu yang merujuk kepada Kumpulan Abu Sayyaf dan Pejuang Kebebasan Islam Bangsamoro (BIFF).

"Walaupun semuanya berada di bawah Daulah Islamiya dalam beberapa cara atau bentuk, mungkin ia bagi mendapatkan sokongan, dan melipatgandakan bilangannya untuk menggagalkan pergerakan tentera di lapangan. Kumpulan Maute, yang mencipta nama di Marawi, juga termasuk dalam senarai ini,” katanya.

Beliau juga merujuk kepada insiden pejuang Filipina dan asing yang pro-IS yang menawan Marawi pada 2017 hingga menyebabkan  pertempuran berlarutan selama lima bulan dan memusnahkan bandar selatan itu.

Keterangan ketua anti-keganasan AS


Analisis Aslam dan pakar keselamatan lain adalah selari dengan risikan yang diterima oleh pegawai anti-keganasan Amerika Syarikat yang menyatakan bahawa walaupun AS dan negara sekutunya melakukan pelbagai usaha, Negara Islam dan kumpulan gabungannya masih meneruskan strategi global yang agresif.

Kubu terakhir IS di Syria kecundang pada Mac 2019, dan pemimpinnya ketika itu, Abu Bakar al-Baghdadi, terbunuh dalam serbuan Pasukan Khas AS pada Oktober lalu.

Sejak itu, AS dan negara-negara sekutunya berjaya menyasarkan pemimpin-pemimpin lain IS tetapi kumpulan itu masih dapat bertahan, kata Christopher Miller, pengarah Pusat Anti-Keganasan Nasional AS minggu lalu.

"Di sebalik kejayaan ini, ISIS berulang kali menunjukkan kemampuannya untuk bangkit daripada kekalahan parah sejak enam tahun lalu dengan bergantung kepada kader komander pertengahan veteran, jaringan sulit yang meluas, dan pengurangan tekanan CT [anti-keganasan] yang membolehkannya bertahan," kata Miller pada sesi pendengaran Jawatankuasa Keselamatan Dalam Negeri AS.

Beliau berkata pada Mei, kumpulan pengganas melakukan serangan di Syria dan Iraq di bawah kerahan pemimpin baru al-Mawla dengan kumpulan itu turut berikrar untuk melakukan lebih banyak operasi sedemikian di seluruh dunia.

Di luar negara-negara Timur Tengah yang saling berdekatan, IS "terus mengutamakan langkah memperluaskan dan memperteguhkan kumpulan globalnya yang kini merangkumi kira-kira 20 cawangan dan jaringan," kata Miller.

Sejak tahun lalu, cawangan itu melancarkan lima kempen global dengan mendakwa melakukan serangan keganasan dan mengedarkan video propaganda, katanya.

200922-SEA-IS-threat-squad.jpg
Seorang anggota polis berkawal semasa skuad bom dengan anjing pengesan melakukan pemeriksaan keselamatan menjelang cuti Krismas di Gereja Katolik The Good Shepard di Surabaya, Indonesia, Isnin, 23 Disember 2019.

‘Ancaman IS berterusan di Indonesia’

Pada Jun, ketua anti-keganasan yang baru di Indonesia, Boy Rafli Amar, meminta sokongan kongres bagi menambah sebanyak 65 peratus dalam peruntukan agensinya, dengan menyatakan bahawa agensi itu memerlukan lebih banyak wang dan sumber, dengan pada masa yang sama, beliau mengingatkan bahawa pihak militan merancang untuk meningkatkan perekrutan ahli semasa pandemik koronavirus.

"Kumpulan radikal masih aktif melakukan propaganda perekrutan  secara dalam talian dan luar talian semasa pandemik COVID-19," kata ketua Badan Nasional Penanggulangan Terorisme (BNPT) itu. "Kami melihat penyalahgunaan ruang siber kini berleluasa bagi menyebarkan ideologi keganasan."

Penganalisis di negara itu bersetuju dengan kenyataan tersebut.

Ancaman Negara Islam masih berterusan di Indonesia, kata Sidney Jones, pengarah Institut Analisis Dasar Konflik atau IPAC yang berpejabat di Jakarta kepada BeritaBenar.

Beberapa sel pro-IS masih aktif di Jawa, Sumatera dan Sulawesi seperti Mujahidin Indonesia Timur atau MIT di rimba Poso, sebuah kabupaten atau daerah di Sulawesi Tengah, katanya.

MIT melakukan siri serangan pada awal tahun ini yang merupakan "kesan langsung daripada pelampau tempatan yang melihat COVID-19 sebagai sekutu dalam memerangi musuh-musuh Islam," kata IPAC dalam satu laporan.

"Kemunculan virus ini memberi Mujahidin Indonesia Timur (MIT) harapan baru bahawa kemenangan semakin hampir, dan dengan sokongan dan penambahan ahli baru, ia melakukan siri serangan."

Kematian al-Baghdadi dan berakhirnya kekhalifahan yang diisytiharkan oleh IS, kata Jones, tidak mengurangkan sokongan terhadap IS di Indonesia seperti yang diharapkan oleh beberapa pihak.

"Beberapa kumpulan pro-IS di Indonesia telah memperbaharui bai'at [ikrar setia] mereka kepada al-Quraishi [pemimpin IS baru yang juga dikenali sebagai al-Mawla]," kata Jones mengenai MIT dan kumpulan  pro-IS tegar lain, Jamaah Ansharut Daulah.

"Mereka memahami bahawa kepemimpinan boleh berubah dalam perang, memandangkan kebanyakan mereka tergolong dalam kumpulan yang telah melalui perubahan kepemimpinan."

Sementara itu, kumpulan yang perlu diperhatikan adalah Jamaah Ansyaarut Khalifah (JAK) yang aktif di bandar-bandar Jawa Solo dan Bekasi, serta Palembang, sebuah bandar di selatan Sumatera, kata penyelidik kanan di Pusat Kajian Radikalisme dan Deradikalisasi (PAKAR) kepada BeritaBenar.

"Kumpulan sederhana ini hampir tidak pernah terlibat dalam keganasan atau merancang serangan tetapi itu tidak bermakna yang mereka tidak berbahaya," kata Muhammad Taufiqurrohman dari PAKAR.

“Mereka memberi tumpuan kepada dakwah dan perekrutan, tetapi sekarang mereka mengatur rancangan untuk menghantar pejuang jihad ke Filipina. Dalam jangka masa panjang, JAK adalah lebih berbahaya kerana ia sangat teratur dan mempunyai rangkaian yang lebih meluas. "

Pegawai BNPT dan Kementerian Luar Negeri Indonesia enggan menjawab pertanyaan bagi laporan ini. Sementara itu, BeritaBenar cuba menghubungi Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara dan ketua anti-keganasan Malaysia namun tiada maklum balas.

Perekrutan menerusi media sosial di Malaysia

Di Malaysia, tiada petunjuk bahawa ancaman keganasan meningkat di negara itu tetapi penganalisis lain bersetuju bahawa Negara Islam berusaha untuk merekrut lebih ramai ahli melalui media sosial.

“Ketiadaan aktiviti dan penangkapan tidak bermaksud usaha perekrutan IS sudah terhenti. Perekrutan berprofil rendah di Malaysia tetap menjadi masalah besar bagi polis kami,”kata Ahmed El Muhammady, pakar anti-keganasan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia kepada BeritaBenar.

"Mungkin tiada peningkatan ancaman keganasan tetapi cubaan merekrut dengan menyebarkan propaganda dalam media sosial semasa perintah kawalan pergerakan akibat COVID-19 masih berlaku. IS menanam benih ideologinya secara global melalui propaganda yang meluas melalui media sosial, dan dengan melakukannya, ia mempunyai jangkauan global yang kemudian menjadi pengikut global,” katanya.

Malah, sebelum berlakunya pandemik itu, media sosial digunakan sebagai alat perekrutan IS di Malaysia, kata polis negara itu pada tahun lalu.

Enam belas suspek militan yang ditangkap polis Malaysia pada September tahun lalu telah aktif mempromosikan IS dan merekrut ahli baru melalui media sosial, kata Ayob Khan Mydin Pitchay, ketua anti-keganasan polis ketika itu.

200922-SEA-IS-threat-patrol.jpg
Anggota Pasukan Khas menunjukkan kemahiran semasa latihan  memerangi keganasan selepas pelancaran rondaan bersama antara Malaysia, Indonesia dan Filipina di pangkalan tentera udara Malaysia di Subang, Petaling Jaya, Malaysia, 12 Oktober 2017. [AP]

IS masih tetap berbahaya

Di Filipina, militan pro-IS mengambil peluang pandemik COVID-19 untuk memperkukuhkan barisan mereka, manakala pasukan keselamatan ditugaskan membantu kerajaan memerangi penyakit koronavirus  yang mudah menular dan membawa maut, kata International Alert yang berpusat di London, sebuah NGO yang menyokong penyelesaian konflik, dalam satu laporan pada April.

Namun, sebelum pandemik itu melanda, laporan dari wilayah autonomi Bangsamoro di selatan menunjukkan kehadiran semula kumpulan yang bergabung dengan IS dan adanya keganasan yang dilakukan oleh mereka, kata Nikki C. de la Rosa, Pengurus Negara bagi kumpulan pembentukan keamanan International Alert Philippines kepada BeritaBenar.

Dua pengeboman bunuh diri Kumpulan Abu Sayyaf di Jolo pada  Ogos adalah petunjuk bahawa lebih banyak serangan maut akan dilakukan, katanya.

"Apa yang pasti kini adalah serangan pengganas [terbaru] ini adalah isyarat jelas bahawa ISIS masih aktif, komited, dan berbahaya sejak ia bergerak bawah tanah [selepas pengepungan Marawi pada 2017] dan pasukan pengebom bunuh dirinya masih ada,” kata de la Rosa mengenai serangan itu yang dilakukan oleh dua pengebom bunuh diri wanita.

"Serangan [di wilayah Sulu] mempunyai ciri-ciri serangan pengganas yang dilakukan oleh kumpulan yang mendapat inspirasi ISIS dan dikaitkan dengan Kumpulan Abu Sayyaf," kata de la Rosa.

Beliau merujuk kepada dua serangan serupa pada Januari dan Jun tahun lalu di wilayah Sulu, dengan kedua-duanya melibatkan dua pengebom bunuh diri yang bekerjasama.

"Melakukan serangan bom tak serentak yang berkesan seperti yang kita lihat di Sulu mungkin merupakan ramalan bahawa perkara yang lebih buruk lagi bakal berlaku," kata de la Rosa.

Lebih-lebih lagi, ASG nampaknya telah memperluas operasinya dengan meradikalisasi wanita dan penglibatan pengebom bunuh diri wanita adalah "sebab untuk merasa lebih bimbang," katanya.

"Beberapa penjelasan menggambarkan ini sebagai bukti tentang peningkatan radikalisasi wanita dan kemampuan lebih tinggi  kumpulan [ekstremis melampau] tempatan untuk mempersiapkan, menyediakan logistik, dan mengerahkan pengebom bunuh diri."

Walaupun ini mungkin benar, de la Rosa mengingatkan bahawa penglibatan wanita tidak boleh dipandang remeh.

"Analisis ini tidak boleh dibuat tanpa konteks - atau peranan yang dimainkan oleh kemiskinan, ketidaksamaan, ketidakadilan dan diskriminasi yang lebih dirasakan oleh wanita, dan merupakan inti pati tesis kepada potensi hubungan gender yang signifikan dengan konflik ganas khususnya dalam kalangan keluarga miskin yang diketuai wanita di Mindanao Muslim."

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.