Follow us

Gabungan Kumpulan Hak Asasi Malaysia Kutuk Hukuman Sebat Kes Homoseksual

Ali Nufael
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-11-08
E-mel
Komen
Share
Lima lelaki yang didapati bersalah atas cubaan melakukan perbuatan homoseksual dibawa ke Mahkamah Syariah Shah Alam, di Selangor, 7 November, 2019.
Lima lelaki yang didapati bersalah atas cubaan melakukan perbuatan homoseksual dibawa ke Mahkamah Syariah Shah Alam, di Selangor, 7 November, 2019.
[BeritaBenar]

Lebih dua puluh lima kumpulan di Malaysia pada Jumaat mengkritik keputusan sebuah Mahkamah Syariah memerintahkan lima lelaki supaya menjalani hukuman penjara, sebatan dan denda selepas didapati bersalah atas cubaan melakukan perbuatan homoseksual, dengan menyifatkan hukuman tersebut sebagai tidak adil, kejam serta melanggar hak-hak tertuduh seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

Mahkamah Tinggi Syariah Selangor memerintahkan seorang daripada tertuduh iaitu lelaki berusia 42 tahun yang sudah berkahwin, supaya menjalani hukuman penjara tujuh bulan, denda RM4,900 (AS$1,185) dan enam sebatan setelah disabitkan kesalahan cuba melakukan perbuatan homoseksual.

Hakim Syarie Mohd Asri Mohd Tahir, yang membuat keputusan itu, turut menjatuhkan hukuman penjara enam bulan terhadap empat tertuduh lain yang berumur di antara 27 dan 37 tahun dengan memerintahkan mereka masing-masing membayar denda sebanyak RM4,800 (AS$1,161) serta menjalai enam sebatan atas kesalahan yang sama, demikian menurut media Malaysia.

Mohd Asri menjatuhkan hukuman penjara tambahan jika mereka gagal membayar denda. Beliau tidak menetapkan tarikh untuk sebatan, yang akan diselaraskan oleh pihak penjara.

Undang-undang yang mensabitkan dan menghukum kesemua lelaki itu adalah bersifat diskriminasi dan melanggar hak asasi manusia, terutamanya hak untuk hidup dengan bermaruah, kata kenyataan yang dikeluarkan oleh 28 organisasi itu – yang kebanyakannya badan bukan kerajaan di Malaysia - pada Jumaat.

"Undang-undang syariah negeri itu juga melanggar hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu Perkara 8 berhubung hak kesamarataan di sisi undang-undang, Perkara 5 berhubung hidup dengan bermaruah dan dihakimi decara adil serta Perkara 9 berhubung kebebasan bergerak," kata gabungan berkenaan.

"Memandangkan kesan buruk dan jangka panjang terhadap kehidupan rakyat, undang-undang ini mestilah dimansuhkan dengan segera," kata mereka.

Hakim Mohd Asri memutuskan bahawa kesalahan yang dilakukan mereka adalah perbuatan serius yang melanggar Kanun Syariah.

“Fakta menunjukkan adanya persiapan untuk melakukan seks di luar tabii dan ia bukanlah percubaan,” kata hakim itu dalam penghakimannya seperti dilaporkan media tempatan.

Menurut kertas pendakwaan, kesemua lima lelaki Islam itu dituduh cuba melakukan perhubungan seks di dalam sebuah pangsapuri di luar Kuala Lumpur pada 9 Nov 2018.

Kumpulan yang mengkritik penghakiman itu berkata terdapat kekurangan pemahaman tentang golongan LGBTQ dan pandangan sempit berhubung orientasi seksual yang menjurus kepada ketidakadilan dan pemangsaan.

“Keputusan mahkamah seperti semalam (Khamis) telah memperluaskan lagi persepsi terhadap golongan LGBT sebagai penjenayah yang kemudiannya menyebabkan mereka terus ditindas dan dipinggirkan masyarakat serta terdedah kepada bahaya - bukan sahaja oleh negara tetapi di tempat kerja, oleh masyarakat sekeliling serta ahli keluarga,” kata kenyataan itu.

Sistem dwi undang-undang


Sebanyak 60 peratus penduduk di Malaysia adalah beragama Islam. Melibatkan diri atau cuba melakukan hubungan seks sejenis di Malaysia dianggap sebagai jenayah berdasarkan sistem mahkamah Persekutuan dan sistem mahkamah Islam yang berfungsi secara berasingan.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menganggarkan terdapat kira-kira 310,000 orang dalam golongan LGBT di negara itu, walaupun ia kemudian mengakui bahawa angka berkenaan tidak disahkan oleh Kementerian Kesihatan, menurut akhbar Straits Times Singapura.

Perkara berkaitan agama di negeri-negeri di Malaysia dikawal oleh badan agama yang mempunyai kuasa untuk melaksanakan undang-undang yang mereka anggap wajar melalui sistem mahkamah syariah.

Pada Ogos 2018, Mahkamah Syariah di negeri Terengganu menjatuhkan hukuman sebat ke atas dua wanita selepas ditangkap ketika cuba melakukan hubungan seks di dalam sebuah kereta di dataran awam di negeri itu.

Pada masa itu, Perdana Menteri Mahathir Mohamad menolak hukuman tersebut dengan menyatakan ia tidak mencerminkan keadilan atau belas kasihan Islam.

Anwar Ibrahim, pemimpin Parti Keadilan Rakyat yang dijangka menggantikan Mahathir sebagai perdana menteri, turut mengkritik hukuman itu.

Lihat Laman Penuh