Malaysia Sekat Pengerusi BERSIH Keluar Negara Terima Anugerah

Haireez Azeem Azizi
2016.05.16
Kuala Lumpur
160516-my-mariachin-620 Maria Chin Abdullah, Pengerusi Bersih - gabungan badan bukan kerajaan dan kumpulan aktivis Malaysia - semasa ditemui media di luar Ibupejabat Polis Kuala Lumpur, 2 September 2015.
AFP

Malaysia telah menyekat perjalanan keluar negara Pengerusi BERSIH 2.0,  Maria Chin Abdullah ke Korea Selatan untuk menerima Hadiah Hak Asasi Gwangju 2016, dengan kerajaan berkata tindakan yang dibuat itu tidak perlu diberikan sebarang sebab.

Maria semasa dihubungi BeritaBenar berkata, tiada penjelasan jelas yang diberikan kepada beliau oleh pegawai Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur semasa mahu berlepas ke Seoul pada petang Ahad lalu.

“Sebaliknya, pegawai Imigresen hanya berkata ini adalah arahan Putrajaya,” katanya pada Isnin.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri Nur Jazlan Mohamad semasa ditanya media tempatan di Parlimen pada Isnin mengesahkan perkara itu tetapi tidak menjelaskan punca Maria Chin dihalang, sebaliknya berkata ia dibawah kuasa Akta Imigresen.

“Kementerian Dalam Negeri tidak perlu memberi sebarang sebab menyekat sesiapa sahaja daripada meninggalkan negara ini. Arahannya adalah beliau tidak boleh meninggalkan negara ini. Saya hanya bercakap dari (perspektif) tafsiran undang-undang," katanya seperti dilaporkan media tempatan.

BERSIH, dilancarkan secara rasmi pada 23 November 2006, terdiri daripada gabungan badan bukan kerajaan dan kumpulan masyarakat sivil, ditubuhkan sebagai sebuah platform untuk mendesak Kerajaan Malaysia mengamalkan sistem pemerintahan lebih demokratik, saksama dan tidak berat sebelah, selain menuntut pembaharuan di dalam pilihan raya sebagai agenda nasionalnya.

Perhimpunan jalanan terbaru dan terbesar pernah dianjurkan adalah selama dua hari bermula 29 Ogos tahun lepas di beberapa bandaraya utama seluruh Malaysia, seperti di Kuala Lumpur, Kota Kinabalu dan Kuching.

Maria Chin yang mempersoalkan tindakan kerajaan itu berkata, tindakan itu melanggar hak perlembagaan dan kebebasan untuk bergerak serta mendakwa penyekatan itu berunsur politik.

"Pada Disember 2015, saya sudah bertanyakan sama ada terdapat larangan perjalanan ke atas saya namun saya diberitahu ianya telah ditarik balik sejak 2012. Ini seolah-olah perintah terbaru dan tindakan mengawal pergerakan rakyat sesungguhnya melanggar hak demokrasi,” tambah beliau.

Beliau menyifatkan tindakan itu bermotifkan politik serta membuktikan bahawa kerajaan Malaysia terdesak apabila isu-isu tertentu di dalam negara terlibat.

"Ironinya Najib dibenarkan ke luar negara sedangkan dia sepatutnya berada di sesi Parlimen, Pengarah 1MDB dan termasuk juga Sirul Azhar yang disyaki membunuh dibenarkan meninggalkan negara tetapi saya tidak dibenarkan sedangkan saya hanya seorang aktivis hak asasi manusia," ujar beliau kepada Berita Benar.

Yayasan Peringkatan Mei 18  Korea Selatan telah menganugerahkan Hadiah Gwangju Hak Asasi Manusia kepada BERSIH 2.0 secara bersama dengan aktivis pro-demokrasi Vietnam Dr. Nguyen Dan Que bulan lepas.

Hadiah Gwangju itu adalah anugerah yang diberikan oleh Yayasan Peringkatan Mei 18  Korea Selatan kepada individu, kumpulan atau institusi sama ada di Korea atau di luar negara yang telah menyumbang, mempromosi dan memajukan hak asasi, demokrasi dan keamanan melalui kerja mereka.

Selain menerima anugerah di Korea Selatan itu, Maria Chin juga dijadual menyampaikan ceramah di Seoul dan Busan.

Sementara itu, Nur Jazlan berkata, Maria boleh membuat rayuan kepada Jabatan Imigresen untuk mengetahui sebab apa beliau telah dihalang meninggalkan negara.

Nur Jazlan berkata, undang-undang itu bukan sahaja diperintah ke atas Maria tetapi kepada semua rakyat Malaysia yang diberi hak pasport yang boleh dibatalkan oleh kerajaan.

Cubaan BeritaBenar untuk mendapatkan maklum balas daripada Ketua Pengarah Jabatan Imigresen bagaimanapun gagal, selepas panggilan dan pesanan tidak dijawab.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.