Ibu bapa Melayu tetap hantar anak ke sekolah Cina di sebalik isu perkauman

Sumbangan syarikat minuman keras kepada kutipan dana sekolah Cina bertukar menjadi kontroversi agama dan perang mulut parti politik.
Iman Muttaqin Yusof dan Noah Lee
2024.07.29
Kuala Lumpur
Ibu bapa Melayu tetap hantar anak ke sekolah Cina di sebalik isu perkauman Gelagat murid-murid Darjah 1 memulakan hari pertama sesi persekolahan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Khai Chee, Segambut, Kuala Lumpur, 1 Mac 2021.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Lebih satu dekad lalu, De Nur Dini merupakan salah seorang daripada hanya 10 murid Melayu yang belajar di sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina di Klang, kira-kira 40 kilometer dari Kuala Lumpur.

Masih segar dalam ingatan wanita itu tentang jerih perih yang dilaluinya dalam menimba ilmu di sekolah tersebut yang menetapkan aras pencapaian yang tinggi, dengan banyak kerja sekolah perlu dilakukan setiap pelajar selepas menghadiri kelas tambahan yang wajib mereka hadiri.

“Meskipun saya belajar di sekolah Cina, mereka tetap menyediakan pendidikan Islam kepada para pelajar Muslim, walaupun ketika itu bilangan kami sangat kecil,” kata Dini yang kini berusia 24 tahun dan bekerja dalam sektor korporat kepada BenarNews.

“Sekarang saya sekurang-kurangnya boleh memahami dan bertutur dalam bahasa Mandarin dan saya lihat semakin ramai ibu bapa Melayu menghantar anak-anak mereka ke sekolah jenis kebangsaan atas sebab yang serupa.”

Sejak 10 tahun lalu, kerajaan Malaysia telah melihat peningkatan yang signifikan bilangan murid bukan dari kaum Cina mendaftar masuk ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di seluruh negara dengan kebanyakannya dari kalangan murid Melayu.

Di Malaysia, pendidikan rendah dijalankan di sekolah kebangsaan (SK) yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar manakala SKJC menggunakan bahasa Mandarin dan Tamil masing-masing digunakan di SJKC dan SJK Tamil.

Semua sekolah vernakular berkenaan menggunakan silibus yang sama dengan sekolah kebangsaan kecuali bagi subjek bahasa.

Data Kementerian Pendidikan menunjukkan pertambahan peratusan pelajar bumiputera Melayu dan etnik Orang Asli yang menyertai SJKC daripada 11.67 peratus pada 2014 kepada 18.52 peratus pada 2024.

Tan Yew Sing, Pengerusi Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia atau lebih dikenalikan sebagai Dong Zong berkata sekolah-sekolah Cina di Malaysia memang dilengkapi fasiliti mencukupi untuk upacara agama dan kebudayaan yang berlainan.

“Kita mempunyai bilik solat dan fasiliti lain yang berkaitan untuk para pelajar dan kakitangan beragama Islam," kata Tan kepada BenarNews.

“Kita juga memasukkan masa untuk solat bagi pelajar dan guru beragama Islam dalam jadual harian sekolah.”

Tambah Tan, makanan dan minuman yang halal juga memang disediakan di kantin sekolah Cina sejak dahulu.

“Ini bagi membolehkan para guru dan pelajar dari pelbagai latar belakang untuk menikmati makanan halal bersama-sama di sekolah,” kata beliau.

Pada minggu lepas, isu sumbangan sebuah syarikat minuman keras kepada kutipan dana untuk sebuah sekolah Cina di Selangor bertukar menjadi kontroversi apabila ia mendapat kritikan keras Parti Islam SeMalaysia (PAS) yang menyatakan bahawa sumbangan sedemikian akan menggalakkan pelajar untuk mengambil minuman keras.  

Pengambilan minuman keras merupakan satu perbuatan yang haram bagi penganut Islam yang merupakan penduduk majoriti di negara yang mempunyai populasi seramai 34 juta orang.  

Kaum Melayu yang beragama Islam membentuk 70 peratus daripada keseluruhan jumlah penduduk Malaysia diikuti Cina (22.8 peratus) manakala keturunan India sebanyak 6.6 peratus.

Kontroversi itu bermula apabila tular gambar Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Aiman Athirah Sabu di atas pentas bersama replika cek sumbangan RM3.1 juta [AS$666,336] yang tertera logo jenama Tiger Beer dari Singapura pada satu majlis makan malam untuk meraih dana bagi sekolah Cina di Sepang, Selangor.

Aiman Athirah yang juga ketua wanita Parti Amanah Negara (Amanah), serpihan PAS yang kini menganggotai kerajaan menerima kritikan keras daripada parti Islam itu yang mendakwa perbuatannya sebagai satu bentuk normalisasi minuman keras.

Malah beliau juga menjadi sasaran serangan oleh pemimpin parti kerajaan, Maszlee Malik yang juga bekas Menteri Pendidikan apabila mendesak timbalan menteri itu agar melepaskan jawatannya.  

“Islam Rahmah yang dibawa oleh Amanah tidak pernah sekali-kali bermaksud menghalalkan arak dalam acara sekolah.

“Sewajarnya jika beliau mempunyai maruah dan integriti, beliau meletakkan jawatan secara sukarela sebagai ahli parlimen secara terhormat dan meletakkan jawatan sebagai Ketua Wanita Amanah," kata Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu di Facebook pada Sabtu lalu.

Bagaimanapun, syarikat Tiger Beer dalam satu kenyataan pada 25 Julai menjelaskan bahawa ia tidak memberikan sebarang dana kepada sekolah Cina di Malaysia sebaliknya hanya terlibat menaja artis tempatan yang membuat persembahan dalam konsert-konsert yang diadakan bagi meraih dana.

Menurut syarikat arak tersebut, konsert sedemikian telah dianjurkan mereka sejak 30 tahun lepas.

Pada Jumaat, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dalam kenyataan berkata Kabinet bersetuju kementerian mengekalkan garis panduan sedia ada yang melarang sebarang bentuk promosi minuman keras di premis sekolah yang diwujudkan sejak 2018.

“Mesyuarat Jemaah Menteri mengambil pendirian untuk memberi pertimbangan kepada sekolah vernakular menerima sumbangan dana melalui Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) dan yayasan, seperti mana yang sudah diamalkan sejak beberapa pentadbiran terdahulu dan tidak pernah dipertikaikan mana-mana pihak," kata kenyataan itu.

Bagaimanapun kata Fadhlina, sebarang aktiviti membabitkan jenama minuman keras tidak boleh membabitkan pelajar Muslim.

Sekolah masih bergelut isu perkauman

Bagi penganalisis politik pula, isu perkauman berkenaan telah dieksploitasi oleh pihak pembangkang.

“Ia merupakan strategi paling mudah dalam politik Malaysia. Sistem persekolahan kita memang selalu bergelut dengan isu politik perkauman terutamanya apabila melibatkan isu bahasa vernakular,” kata Syaza Shukri, profesor madya di Jabatan Sains Politik, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

"Jika kita faham bagaimana politik Malaysia berjalan, sekolah itu boleh mengelakkan masalah ini dengan mudah iaitu dengan tidak meletakkan logo syarikat arak pada replika cek atau memastikan tiada orang Islam terbabit dalam penerimaan cek tersebut. Ini semua adalah isu persepsi,” kata beliau kepada BenarNews.

Meskipun bergelut dengan masalah politik dan perkauman, ibu bapa dan pakar pendidikan percaya ibu bapa Melayu akan terus menghantar anak mereka ke sekolah Cina bagi tujuan menguasai bahasa Mandarin serta subjek lain selagi mana anak mereka tidak dilibatkan dalam aktiviti membabitkan minuman keras.

“Sekolah Cina lebih mementingkan pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik berbanding sekolah kebangsaan yang memberikan tumpuan kepada subjek agama,” kata Noor Azimah Abdul Rahim, pengerusi Kumpulan Bertindak Ibubapa Mengenai Pendidikan (PAGE), kepada BenarNews.

“Sesetengah ibu bapa Muslim berasakan bahawa sekolah kebangsaan menggunakan banyak masa untuk pelajaran agama, jadi mereka memilih untuk menghantar anak ke sekolah yang lebih seimbang dari segi kurikulum dan amalan pengajarannya,” tambah beliau.

Bagi Asilah Fatanah Zulkifli, seorang Melayu Muslim, dia telah menghantar anak lelaki bongsunya ke sekolah Cina sejak usia enam tahun.

Menurut Asilah, kanak-kanak itu kini boleh bertutur Mandarin dengan lancar dan menunjukkan prestasi yang bagus di sekolah.

“Terdapat 12 murid Melayu dari keseluruhan 30 pelajar dalam kelas anak saya. Silibus pelajaran mereka termasuk subjek Pendidikan Islam serupa dengan sekolah kebangsaan tetapi lebih banyak fokus diberikan kepada mata pelajaran Sains dan Matematik,” kata Asilah kepada BenarNews sambil menambah kebolehan berbahasa tambahan merupakan satu kelebihan.

Berkenaan isu sumbangan dana membabitkan Tiger Beer, beliau berkata: “Selagi mana duit itu digunakan bagi keperluan sekolah seperti bangunan dan bukannya digunakan untuk makanan, sepatutnya tiada masalah."

Tan dari Dong Zong berkata kerajaan perlu menyelesaikan isu kekurangan dana yang dihadapi sekolah-sekolah vernakular dan bukannya melayan kerenah ahli politik yang berpandangan sempit dan ekstrem.

"Kerajaan mesti mengakui keperluan pembangunan semua sekolah dan menyediakan dana yang mencukupi,” kata Tan. “Ini akan membolehkan sekolah memberikan fokus kepada pendidikan berbanding terpaksa mengalih perhatian mereka kepada niat tersembunyi dalam aktiviti meraih dana.”

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.