Malaysia Yakin Rundingan Bawa Hasil Positif
2015.08.26

Malaysia melihat rundingan damai secara tertutup selama dua hari di antara kerajaan Thailand dan wakil MARA Patani telah berjaya mencapai kesepakatan bagi meneruskan rundingan pada masa depan.
Seorang perunding kanan dari Sekretariat Proses Dialog Damai Selatan Thailand memberitahu BeritaBenar, rundingan dialog pada Selasa dan Rabu telah membuka jalan ke arah penyelesaian konflik di selatan negara itu.
Para pegawai Thailand pula memberi gambaran bahawa rundingan tertutup itu telah berjaya membina asas bagi rundingan yang akan diadakan pada akhir tahun ini atau pada awal 2016.
Timbalan Pengarah Pusat Penyelaras Operasi Ke-5 Perintah Operasi Keselamatan Dalam Negeri Thailand, Mej. Jen. Nakrob Boonbuathong pada Selasa berkata, "terdapat banyak maklumat yang dibincangkan secara umum, dan pada dasarnya kami bersetuju dengan tiga cadangan."
Nakrob yang juga merupakan ahli sekretariat rundingan damai itu berkata kerajaan Thailand membuat tiga cadangan pada Selasa: kedua-dua pihak perlu mewujudkan "zon keselamatan" dan berhenti bermusuhan di selatan Thailand; pembangunan ekonomi yang didorong oleh penduduk majoriti Islam dibenarkan berkembang; dan 'keadilan untuk semua’ dengan menghentikan pembunuhan di luar undang-undang,” katanya selepas sesi dialog tertutup di Kuala Lumpur.
Menurutnya lagi, pihak MARA Patani pula menuntut kerajaan Thailand memberi keutamaan kepada Deep South sebagai agenda kebangsaan; mengiktiraf MARA Patani sebagai sebuah organisasi yang sah; dan memastikan keadilan yang saksama bagi penduduk yang tinggal di wilayah bergolak itu.
"Kami menerima MARA Patani sebagaimana yang telah dibincangkan dengan mereka," kata Maj. Jen. Nakrob kepada BeritaBenar pada Selasa.
MARA Patani yang menggabungkan pejuang, aktivitis dan pertubuhan dari selatan Thailand yang terlibat dalam rundingan damai itu, buat pertama kalinya, akan mengadakan satu sidang media khas di Kuala Lumpur bagi memperkenalkan diri mereka.
“Persidangan media esok bertujuan untuk memaklumkan penubuhan Majlis Syura Patani [MARA Patani] sebagai gerakan yang mewakili pejuang-pejuang aktivis, pertubuhan yang melibatkan diri dalam proses damai di Selatan Thailand,” kata perunding kanan dari Malaysia semasa dihubungi BeritaBenar pada Rabu.
"Kesudian dan keikhlasan para pemimpin MARA Patani untuk menampilkan diri mereka merupakan satu risiko besar kepada mereka tetapi ia membawa kesan positif dalam usaha ke arah menggerakkan proses damai di selatan Thailand," menurut perunding kanan itu.
MARA Patani ditubuhkan pada 25 Okt 2014 oleh Barisan Revolusi Nasional (BRN). Pada Mac lalu ia membuka peluang kepada organisasi perjuangan Patani yang lain untuk menyertainya supaya ada satu organisasi yang utama menentukan hala tuju perjuangan mereka. Ini termasuk menetapkan tuntutan bersama dalam rundingan damai dengan pihak kerajaan Thai.
Menurut sumber, rundingan pada Selasa di Kuala Lumpur dihadiri oleh lima daripada enam kumpulan pemberontak; Barisan Islam Pembebasan Patani (BIPP), Barisan Revolusi Nasional (BRN), Gerakan Mujahideen Islam Patani (GMIP) dan dua kumpulan dalam Patani United Liberation Organization (PULO).
PULO P4, lebih dikenali di Thailand sebagai "PULO lama," yang diketuai oleh Samsuding Khan, telah menarik diri daripada perbincangan selepas dua rundingan awal pada Jun lepas, tambah sumber itu.
Menurut pemerhati, kumpulan itu juga dipercayai sudah tidak aktif sejak beberapa tahun lepas.
Ikut perkembangan terkini
Dalam pada itu, Pengerusi Yayasan Wanita FO, sebuah badan bukan kerajaan di Selatan Thailand, Roshida Pusu,38, berkata, beliau dan rakan-rakannya di Patani sedang mengikuti perkembangan di Kuala Lumpur itu, dan yakin proses mencari damai akan beroleh kejayaan.
Ini sesuatu yang menakjubkan kerana mereka (pemberontak) akan menampilkan diri mereka kepada orang ramai selepas 11 tahun, katanya.
"Saya percaya semua rakyat juga ingin tahu siapa mereka. Saya berharap proses damai ini akan mencapai keamanan di Deep South,” Roshida memberitahu BeritaBenar pada Rabu.
Kerajaan Thailand telah memberi mandat kepada Malaysia untuk menjadi fasilitator berdasarkan persetujuan yang ditandatangani pada 28 Februari 2013.
Sekretariat proses damai telah membantu membawa kedua-dua pihak, kerajaan Thailand dan pemimpin-pemimpin Islam selatan Thailand ke meja rundingan sejak tahun lepas.
Sehingga kini, sebanyak tujuh rundingan telah dijalankan, iaitu empat di bawah kerajaan lama manakala tiga lagi melibatkan kerajaan tentera junta sejak April lepas.
Kawasan selatan Thailand meliputi wilayah Patani, Narathiwat dan Yala, serta empat daerah di wilayah Songkhla.
Konflik berdarah selama sedekad ini telah menyebabkan lebih 6,000 nyawa terkorban dan lebih 10,000 yang lain tercedera, kebanyakannya melibatkan orang awam.
Nasureoh turut menyumbang kepada laporan ini.