Pergolakan Dalaman Tidak Jejaskan Rundingan Damai

Hata Wahari
2015.10.14
151014-MY-TH-KASTURI620 Jurucakap Majlis Syura Patani (MARA Patani) Kasturi Mahkota, yang juga Presiden Patani Liberation Organisation (PULO) MKPP pada sidang media selepas mesyuarat rundingan damai dengan kerajaan Thailand di Kuala Lumpur. 28 Ogos 2015.
BeritaBenar

Pergolakan dalam Barisan Revolusi Nasional (BRN) tidak akan menjejaskan proses rundingan damai dengan kerajaan Thailand, jurucakap Majlis Syura Patani (MARA Patani) Kasturi Mahkota memberitahu BeritaBenar pada Rabu.

Malah, anggota MARA Patani komited dalam usaha untuk mencapai kedamaian di selatan negara itu, walaupun munculnya kenyataan yang menyenaraikan bantahan terhadap proses damai semasa itu, dari BRN.

“Apa yang terjadi diantara BRN yang pro dan yang kontra dalam proses rundingan adalah perkara biasa sahaja, InsyaAllah akan dapat diselesaikan di masa terdekat dan tidak akan menjejaskan sedikitpun proses rundingan yang sedang berjalan,

“Malah saya lihat komponen di dalam MARA Patani masing masing mempunyai komitment yang tinggi,” katanya dalam maklumbalas melalui emel kepada BeritaBenar pada Rabu.

Pegawai kerajaan Thailand yang terlibat dalam rundingan damai itu turut menolak kenyataan BRN semasa bercakap kepada BeritaBenar pada Isnin.

"Rundingan damai tetap diadakan dan saya berharap untuk mengadakan rundingan rasmi pada pertengahan November," kata Leftenan Jeneral Nakrob Boonbuathong.

Kasturi yang juga Presiden Patani Liberation Organisation (PULO) MKPP, bagaimanapun berkata, MARA Patani masih belum mendapat maklumat secara rasmi mengenai rancangan untuk mengadakan rundingan damai pada pertengahan November daripada kerajaan Thailand.

‘Kenyataan empat muka’

Pada Isnin lepas, satu kenyataan empat muka telah muncul dan kelihatan seperti dikeluarkan oleh satu daripada puak dalam BRN yang tidak bersetuju untuk menjadi sebahagian daripada MARA Patani, badan induk yang mewakili pelbagai kumpulan pemberontak dari wilayah Selatan Thailand.

Sekurang-kurangnya tiga daripada tujuh anggota rundingan MARA merupakan anggota BRN, termasuk pengerusi badan induk itu, Awang Jabat.

"BRN bersedia untuk mencapai keamanan secara damai, namun apa-apa proses damai mestilah dihormati dan ikhlas dalam usaha untuk mencapai keamanan.

"Tiada satu pun proses damai digunakan sebagai satu bentuk helah politik untuk menipu dan melemahkan strategi kemajuan rakyat Patani-Melayu ..." kata kenyataan itu.

Kenyataan itu seterusnya menuntut supaya pengantara antarabangsa dibawa masuk untuk menggerakkan proses damai bersama-sama, dan ia juga kelihatan menyentuh mengenai permintaan lain yang membawa kepada pusingan terakhir rundingan damai rasmi yang tertangguh pada Disember 2013: supaya Thailand mengiktiraf kedaulatan " Patani".

"Rundingan perlu dijalankan secara rasmi mengikut standard dan norma antarabangsa, termasuk penglibatan orang tengah dan pemerhati dari negara-negara lain," kata kenyataan itu.

"Oleh kerana masalah Patani berkaitan dengan penjajahan satu negara terhadap negara lain, kedudukan dan kewujudan negara Patani-Melayu mesti diiktiraf."

‘Pujuk ke meja rundingan’

Nakrob merupakan setiausaha kepada rundingan damai bagi kerajaan Thailand yang telah bertemu secara tidak rasmi dengan wakil-wakil pejuang kumpulan pemberontak melalui majlis syura itu, di Kuala Lumpur pada Ogos lepas.

Pertemuan itu adalah antara pendekataan yang diambil kerajaan Thailand untuk memujuk pemberontak supaya mengadakan semula runding damai secara rasmi.

Wilayah Selatan adalah kawasan yang majoriti penduduknya berbahasa Melayu dan beragama Islam yang merangkumi Narathiwat, Pattani, Yala dan empat daerah di Songkhla. Sejak 2004, sekurang-kurangnya 6,000 orang terbunuh dalam keganasan yang berkaitan dengan pemberontakan pemisah.

Malaysia yang menjadi tuan rumah dan fasilitator rundingan pada 28 Ogos lepas, turut menganjur beberapa lagi siri rundingan damai tidak rasmi antara kedua-dua pihak sebelum ini.

MARA Patani dalam sidang media pertama pada 28 Ogos lalu, selepas mengadakan rundingan tidak rasmi dengan kerajaan Thailand di Kuala Lumpur memberitahu, tuntutan untuk sebuah negara merdeka bagi warga Islam Melayu selatan Thailand tidak pernah digugurkan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.