Malaysia Tahan Tiga Warga Sri Lanka Terlibat Sindiket Penyeludupan Manusia

Ali Nufael & Zam Yusa
2019.01.11
Kuala Lumpur, Malaysia
190111-MY-SriLanka620.jpg Warga asing tanpa izin ditahan pihak berkuasa Malaysia dalam operasi yang dibuat di sekitar Klang, Selangor, 1 Sept 2013.
[AFP]

Pihak berkuasa Malaysia berjaya melumpuhkan satu sindiket permerdagangan manusia peringkat antarabangsa, melibatkan negara India, New Zealand dan Australia, dengan tertangkapnya tiga lelaki yang bertindak sebagai dalang dalam sindiket berkenaan.

Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun pada Jumaat berkata tiga warga Sri Lanka yang dipercayai anggota sindiket berkenaan ditahan dalam satu operasi khas di Klang, Selangor, minggu lepas.

“Polis menahan tiga orang lelaki dari Sri Lanka yang merupakan anggota sindiket antarabangsa itu bersama 34 pendatang haram yang terdiri daripada 24 warga Sri Lanka (12 lelaki, lapan wanita, dua kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan) serta 10 warga India (empat lelaki, tiga wanita dan tiga kanak-kanak perempuan),” kata Fuzi dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Beliau berkata, sindiket penyeludupan antarabangsa itu juga dikesan menggunakan laluan laut di Klang untuk menyeludup pendatang haram ke New Zealand dan Australia.

“Siasatan mendapati mereka membeli bot pelancong (persiaran) dan dalam proses untuk  membeli tiga buah enjin bot bagi tujuan penyeludupan manusia  ke Australia dan New Zealand.

"Dengan tangkapan ini, Polis DiRaja Malaysia [PDRM] berjaya melumpuhkan satu sindiket rangkaian penyeludupan manusia di Malaysia yang beroperasi sejak pertengahan tahun lalu yang mempunyai hubungan antarabangsa merentasi Sri Lanka, India, Australia dan New Zealand,” kata Fuzi.

Tambah beliau lagi, pihak Polis sentiasa berusaha mengesan dan membanteras sepenuhnya rangkaian penyeludupan manusia.

Kes itu katanya disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63 kerana penjenayah masuk dan cuba keluar dari Malaysia melalui jalan yang tidak sah atau jalan yang tidak  diwartakan.

Mereka yang didapati bersalah boleh didakwa mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Difahamkan, sindiket yang ditumpaskan itu berada dalam pemerhatian pihak berkuasa sejak November tahun lepas.

Bercakap kepada BeritaBenar, sumber yang juga pegawai berpangkat tinggi dalam PDRM berkata, berpandukan kepada maklumat, sindiket terbabit sedang dalam proses untuk membeli lebih banyak bot untuk meningkatkan jumlah penyeludupan manusia.

Beliau turut berkata siasatan mendapati sindiket berkenaan dikawal sepenuhnya oleh warga asing dan tiada pembabitan warga Malaysia. Warga asing yang ditahan dalam operasi itu datang ke Malaysia secara berperingkat dengan menggunakan jalan laut.

“Mereka tidak datang serentak.. ada yang datang dengan menaiki bot dan kami masih lagi menyiasat selain bot, pengangkutan apa lagi yang digunakan mereka untuk transit ke Malaysia sebelum berlepas ke New Zealand dan Australia dan berapa jumlah bayaran yang dikenakan terhadap setiap seorang,” tambah sumber itu lagi.

Malaysia sebagai transit penyeludupan


Malaysia menjadi transit penyeludupan manusia akibat amalan rasuah yang sudah sebati dalam sistem imigresen dakwa Aegile Fernandez, aktivis kumpulan hak asasi manusia Tenaganita yang beribupejabat di Kuala Lumpur itu.

“Ada sesuatu yang tidak kena dalam sistem kita dan penguatkuasaan. Inilah sebabnya Malaysia sentiasa menjadi sasaran sebagai sebuah transit atau pusat kepada sindiket seperti ini. Ia tidak akan berlaku jika tiada rasuah dan perasaan tamak haloba,” kata Fernandez kepada BeritaBenar.

Beliau turut berkata kes terbaru itu menjadi satu penanda aras bagaimana penyeludupan dan sindiket berganding bahu untuk menyeludup manusia dengan tujuan membeli dan menjual mereka sebagai satu komoditi tenaga buruh atau untuk kegunaan lain.

“Mereka yang asalnya dari zon perang dan negara berkonflik seperti Sri Lanka sentiasa terdedah dan senang diumpan oleh penyeludup dan sindiket,” kata beliau.

Dalam mengkritik, Fernandez turut mengambil maklum atas usaha polis termasuk operasi  terkini yang dijalankan dalam membanteras penyeludupan manusia.

“Saya mesti mengucapkan tahniah kepada pihak polis. Saya berasa gembira kerana mereka berjaya melumpuhkan sindiket ini. Ia sesuatu yang positif buat kami sebagai aktivis,” kata beliau.

Lai Yew Ming, pakar keselamatan serantau dari Universiti Malaysia Sabah, memberitahu BeritaBenar bahawa lokasi strategik Malaysia yang berada di tengah-tengah Asia Tenggara membuatkan ia suatu tempat yang menarik untuk digunakan sebagai pusat kegiatan penyeludup.

Malaysia dikelilingi negara-negara yang mempunyai sempadan yang luas, membuatkan aktiviti seperti ini susah untuk dibendung.

“Selain dari menguatkuasakan, undang-undang pekerja perlu dinaik taraf supaya pekerja asing yang sah, yang tidak sah, tidak akan dieksploitasikan oleh sindiket penyeludupan manusia,” katanya.

Pada 2018, Malaysia telah jatuh ke Tahap 2 dalam Senarai Pemerhatian dalam laporan tahunan Pemerdagangan Manusia (TIP) yang dikeluarkan Jabatan Negara Amerika Syarikat.

Menurut laporan tersebut, jumlah mangsa pemerdagangan manusia telah meningkat, dan Malaysia telah gagal membuktikan bahawa usaha sedang dilakukan untuk membanteras penyeludupan manusia berbanding tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, negara-negara yang berada dalam Tahap 2 senarai tersebut menunjukkan azam mereka untuk mengambil langkah tambahan pada tahun akan datang.

Malaysia pernah berada dalam Tahap 3, tahap paling rendah dalam laporan TIP sehingga 2015 apabila negara dinaikkan kepada Tahap 2 Senarai tersebut.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.