Pegawai Imigresen Dan Rakyat Asing Ditahan Terlibat Pemerdagangan Manusia

Staf BeritaBenar
2016.05.09
160509-my-imigresen-620 Penumpang yang akan berlepas dengan penerbangan masing-masing beratur di pusat pemeriksaan Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, 9 Mac, 2014.
AFP

Pihak berkuasa Malaysia menahan 19 individu termasuk pegawai Imigresen dan warga asing kerana dipercayai terlibat dalam sindiket pemalsuan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA), kata Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar pada Isnin.

Beliau berkata, mereka yang ditahan itu ialah sepuluh rakyat Sri Lanka, tiga warga India dan enam rakyat tempatan yang melibatkan dua pegawai Imigresen, tujuh ejen, tiga fasilitator, lima pendatang asing dan dua ‘runner’, disyaki terlibat dalam penyeludupan manusia untuk perjalanan ke negara ketiga.

“Bayaran sebanyak RM60,000 (diterima) bagi setiap seorang warga Sri Lanka yang cuba diseludup ke Geneva, Switzerland,” kata Khalid dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan di Kuala Lumpur, lewat petang Isnin

Beliau berkata, siasatan mendapati mereka membeli PMA tulen pada harga antara RM1,000 dan RM2,5000 bagi setiap pasport yang kemudiannya mencari warga tempatan yang mempunyai wajah seiras atau hampir sama dengan pendatang asing Sri Lanka untuk dipalsukan.

“Sindiket itu juga seterusnya menguruskan laluan mudah kepada pendatang terlibat, dengan mendapat bantuan pegawai Imigresen yang bertugas di kaunter Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, dengan bayaran antara RM150 dan RM 350 dikenakan bagi setiap seorang melepasi pemeriksaan di kaunter imigresen,” tambah Khalid lagi.

Beliau berkata, selepas itu, warga Sri Lanka yang ingin diseludup keluar akan menggunakan pasport tulen Sri Lanka dan ‘boarding pass’ yang menunjukkan mereka akan pulang ke negara asal.

“Apabila tiba di kawasan satelit, sindiket itu akan menyerahkan PMA palsu dan pas pelepasan bagi penerbangan ke Belanda dan seterusnya ke Switzerland,” kata beliau.

Kesemua tangkapan itu dibuat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan kes disiasat di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM), katanya.

Khalid dalam ucaptama pada Perbincangan Meja Bulat dan Bengkel Jenayah dan Permasalahan Sempadan seperti dilaporkan media tempatan pada bulan lepas berkata, dua pegawai imigresen ditahan baru-baru ini selepas Polis mendapati sindiket penyeludupan warga China dari Malaysia ke negara ketiga menggunakan pasport palsu Malaysia atau tulen, dikesan aktif kembali.

Pada majlis yang sama Khalid turut menyangkal dakwaan yang  menyatakan Malaysia menyembunyikan kes jenayah rentas sempadan terutamanya isu melibatkan pemerdagangan manusia daripada pengetahuan dunia, sebaliknya berkata bahawa pihak polis sentiasa telus serta tidak menyembunyikan sesuatu kes yang berlaku.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.