Malaysia Buka Sempadan Negara Sepenuhnya Mulai 1 April

Mereka yang telah menerima vaksinasi lengkap, tidak perlu menjalani sebarang tempoh kuarantin, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
Iskandar Zulkarnain & Suganya Lingan
2022.03.08
Kuala Lumpur
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Malaysia Buka Sempadan Negara Sepenuhnya Mulai 1 April Penumpang pesawat AirAsia menunjukkan keputusan ujian saringan COVID-19 kendiri yang dilakukan sebelum menaiki pesawat ke Langkawi melalui inisiatif Gelembung Pelancongan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2, Sepang, 16 September 2021.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob pada Selasa mengumumkan sempadan negara itu akan kembali dibuka sepenuhnya kepada pelawat antarabangsa bermula 1 April ini, iaitu dua tahun selepas pelaksanaan langkah kawalan ketat di sempadan bertujuan mengekang penularan pandemik COVID-19.

Para pengembara yang telah melengkapkan vaksinasi akan dibenarkan untuk masuk ke negara itu tanpa perlu menjalani tempoh kuarantin, namun mereka disyaratkan mengambil ujian COVID-19 sebaik tiba dan juga 24 jam selepas ketibaan.

“Kerajaan telah memutuskan supaya sempadan negara dibuka semula pada 1 April ini,” kata Ismail Sabri semasa satu sidang media khas di bangunan Parlimen di Kuala Lumpur.

Beliau berkata kerajaan membuat keputusan membuka sempadan itu berikutan status negara yang akan memasuki fasa ‘Peralihan Ke Endemik’ pada April, iaitu satu fasa ‘exit strategy’ yang akan membolehkan rakyat kembali semula kepada kehidupan hampir normal selepas lebih dua tahun hidup mengikut norma-norma COVID-19.

“Saya percaya, ini antara pengumuman besar yang paling dinantikan oleh rakyat yang boleh merancakkan semula ekonomi negara secara keseluruhan khususnya industri pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik,” tambah Perdana Menteri itu lagi.

Bagaimanapun menurut Ismail Sabri fasa tersebut merupakan fasa sementara, sebelum peralihan ke Fasa Endemik yang tertakluk kepada pengumuman oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

Perdana Menteri itu berkata pembukaan semula sempadan dibuat bersandarkan kepada tiga perkara asas iaitu berpandukan sains dan fakta terkini berkaitan COVID-19; membandingkan keperluan pembukaan sempadan di negara-negara lain dan memberi keselesaan kepada pengembara serta tidak merumitkan perjalanan mereka.

“Rakyat Malaysia yang mempunyai dokumen perjalanan yang sah kini boleh keluar masuk negara seperti biasa serta dibenarkan untuk pergi ke mana-mana negara yang turut membuka pintu sempadannya kepada pengembara luar.

“Rakyat negara luar dengan dokumen perjalanan yang sah pula boleh melakukan pergerakan keluar masuk ke Malaysia tanpa perlu lagi memohon MyTravelPass yang akan dimansuhkan. Sebaliknya, hanya perlu muat turun dan mengaktifkan aplikasi MySejahtera serta melengkapkan Pre-Departure Form [Borang Sebelum Perlepasan] melalui fungsi “Traveller” dalam MySejahtera,” tambah.

“Paling penting, Malaysia sekarang adalah destinasi terbuka dan boleh dikunjungi semua,” kata Perdana Menteri itu lagi.

Walaubagaimanapun beliau memaklumkan yang kerajaan turut mengambil kira situasi penularan COVID-19 terutama gelombang Omicron yang masih melanda negara dan kebanyakkan negara di seluruh dunia, maka beberapa prosedur masih lagi wajib dipatuhi rakyat Malaysia dan juga pengembara luar yang ingin memasuki negara itu.

“Bagi yang telah menerima vaksinasi lengkap, tiada keperluan untuk menjalani sebarang tempoh kuarantin dan hanya perlu melalui ujian pengesanan COVID-19 RT-PCR dua hari sebelum berlepas serta ujian RTK-Ag (profesional) dalam tempoh 24 jam selepas ketibaan,” kata Ismail Sabri.

Menurutnya, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin akan memperincikan prosedur bagi pengembara dari luar negara yang tidak menerima vaksin atas sebab perubatan dan tidak menerima sebarang vaksinasi pada Rabu ini.

Rakyat rasa lega

Tambahnya, Kementerian berkaitan juga akan mengumumkan senarai Prosedur Operasi Standard (SOP) pembukaan sempadan negara itu khususnya prosedur di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) di darat dan laut dalam masa terdekat.

Bagi negara-negara yang masih menutup pintu sempadannya, Ismail Sabri berkata rakyat Malaysia masih boleh memanfaatkan kaedah Vaccinated Travel Lane (VTL) yang telah dipersetujui dengan negara-negara berkenaan.

“…. buat masa ini VTL telah dimanfaatkan dengan Singapura sejak tahun lalu. Dalam masa terdekat pula, seperti saya umumkan baru-baru ini, VTL turut dimanfaatkan untuk melaksanakan pergerakan keluar masuk antara Malaysia-Thailand, Malaysia-Brunei dan Malaysia-Indonesia,” jelasnya.

Pengumunan berkenaan mendapat reaksi positif daripada rakyat Malaysia khususnya mereka yang telah lama terpisah daripada anggota keluarga susulan penutupan sempadan negara dua tahun lalu.

“Sangat gembira #MyTravelPass” dimansuhkan bermula April kerana masih ramai keluarga dan pasangan yang terpisah disebabkan gagal mendapat MTP untuk memasuki Malaysia. Mereka akan kembali bersatu akhirnya,” ciap pengguna Twitter Aysha Ridzuan dalam reaksinya kepada pengumuman berkenaan.

Crystal Au pula memuatnaik ciapan: “Terima kasih terutamanya kepada YB @SyedSaddiq & @saifuddinabd atas bantuan, kami telah melalui banyak perkara sejak dua tahun lepas… Ini adalah berita yang sangat dinantikan kepada pasangan dan keluarga dwi-kerakyatan!”

Kelonggaran protokol

Pada sidang media yang sama, Ismail Sabri turut mengumumkan pelbagai kelonggaran protokol kesihatan bermula 1 April.

Antaranya adalah had waktu beroperasi bagi premis perniagaan dimansuhkan, sekaligus membolehkan premis makanan beroperasi selepas jam 12 tengah malam.

“Had kapasiti pekerja yang sebelum ini bergantung kepada liputan vaksinasi dimansuhkan dan semua individu dibenarkan merentas negeri tanpa mengira status vaksinasi mereka.

“…Had kapasiti 50 peratus untuk aktiviti yang melibatkan perkumpulan ramai akan dimansuhkan secara menyeluruh. Namun, penjarakan fizikal sangat penting dan masih digalakkan,” katanya.

Selain itu, aktiviti solat jemaah di masjid atau surau atau upacara sembahyang di rumah ibadat selain Islam juga boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal, termaktub kepada ketepatan pihak berkuasa agama negeri dan Kementerian Perpaduan Malaysia atau Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain.

Walaubagaimanapun, Ismail Sabri berkata pemakaian pelitup muka di tempat-tempat awam dan pendaftaran kemasukan menggunakan MySejahtera masih diwajibkan, kecuali bagi kawasan terbuka, tidak sesak dan tiada perhimpunan orang ramai.

Pengumuman itu hadir tatkala Malaysia masih bergelut dengan peningkatan mendadak jumlah kes harian COVID-19 yang meningkat secara mendadak akibat gelombang Omicron sejak awal tahun ini.

Pada Selasa, Malaysia mencatatkan 26,856 kes harian dengan 77 kes kematian, menjadikan jumlah kematian keseluruhan 33,305 kes sejak penularan COVID-19 awal 2020.

Negara itu juga mencatatkan lonjakan kes jangkitan harian melebihi 10,000 kes bermula 6 Feb lalu dengan kemuncak kes harian tertinggi direkodkan sehingga lebih 33,400 pada 5 Mac.

Begitupun, menurut Ismail Sabri jumlah yang dikategorikan sebagai pesakit Kategori 3, 4 dan 5 amat rendah iaitu 0.7 peratus manakala jumlah pesakit COVID-19 yang perlu mendapatkan rawatan serta pemantauan di Unit Rawatan Rapi (ICU) juga terkawal pada kadar 42 peratus penggunaan.

Keadaan ini dibantu oleh kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa yang tinggi di Malaysia – antara yang tertinggi di dunia.

“Sehingga 7 Mac 2022, kadar vaksinasi lengkap bagi populasi dewasa di dalam negara ialah 98.7 peratus; manakala kadar vaksinasi dos penggalak bagi populasi dewasa ialah 64 peratus,” ujar Ismail Sabri.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh