Penyokong Global Ikhwan hidupkan ajaran sesat al-Arqam secara rahsia
2024.09.23
Kuala Lumpur
Polis Malaysia pada Isnin berkata hampir 10,000 penyokong sebuah konglomerat telah menghidupkan ajaran sesat kumpulan yang diharamkan sejak tiga dekad lalu secara rahsia dengan pihak berkuasa menyelamatkan 187 lagi kanak-kanak dari rumah amal syarikat itu pada minggu lalu.
Polis berkuasa negara itu juga berkata hasil siasatan mendapati ajaran kumpulan al-Arqam telah disebarkan secara bawah tanah selepas menemui ratusan teks agama yang diharamkan semasa serbuan pada hujung minggu di pelbagai lokasi premis syarikat Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) di mana hampir 400 kanak-kanak telah diselamatkan pada 11 September lalu.
Selain itu, polis turut memberitahu seramai 327 individu telah ditahan sejak serbuan pada 11 September lepas ke atas rumah amal GISBH, di mana mereka mendapati ratusan kanak-kanak tinggal dalam keadaan yang daif.
“Kita percaya, daripada hasil risikan dan keterangan yang kita dapat, GISBH masih mengamalkan tarekat Aurad Muhammadiah kerana ada buku Abuya (Ashaari Muhammad) serta zikir.
“Bagaimanapun, saya tidak boleh mengulas lanjut berkaitan perkara ini kerana ia bawah bidang kuasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),” kata Ketua Polis Negara Razarudin Husain merujuk kepada doktrin kumpulan yang diharamkan itu pada sidang media di Kuala Lumpur pada Isnin.
Buku-buku karya tulisan pemimpin al-Arqam, Ashaari Muhammad yang ditanam serta peninggalan helaian janggut dilabel dengan nama ketua pemimpin mereka yang telah meninggal dunia ditemui berhampiran kediaman pemimpin kanan GISBH di negeri pantai timur Kelantan pada hujung minggu, kata pihak berkuasa negara itu.
Kumpulan al-Arqam telah diharamkan pada 1994 kerana membawa fahaman yang bercanggah dengan akidah Islam termasuk dakwaan membabitkan persoalan Imam Mahdi oleh Ashaari dan dianggap berpotensi mengancam keselamatan negara di Malaysia, sebuah negara majoriti Muslim.
Pihak polis juga sedang mempertimbang untuk menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) untuk menyiasat pemimpin GISBH, yang didakwa menghidupkan semula ajaran kumpulan al-Arqam dan mengeksploitasi kanak-kanak, kata Razarudin.
“Memang kita ke arah itu (gunakan SOSMA). Bagi polis, kita akan siasat di bawah undang-undang yang sedia ada di Malaysia manakala untuk akidah, Jakim dan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) akan uruskan.
“Kita tidak mahu ambil tindakan sekerat jalan, (kemudian) dia akan tubuh pertubuhan lain," ujarnya.
Polis Malaysia berjaya membongkar buku-buku tulisan pemimpin al-Arqam, kumpulan yang diharamkan kerajaan ditanam di tebing Sungai Pengkalan Datu, Kota Bharu, Kelantan, 22 September 2024. [K. Ahmad/BenarNews]
Pada masa ini, polis Malaysia telah menyelamatkan 570 kanak-kanak, kebanyakannya dari 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan.
Pemeriksaan perubatan mendedahkan bahawa sekurang-kurangnya 13 daripada kanak-kanak itu telah mengalami penderaan seksual, katanya.
Siasatan setakat ini menyebabkan 327 individu ditahan termasuk Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Nasiruddin Ali, yang dalam satu kenyataan video pada 14 September lalu mengakui berlaku "satu atau dua kes liwat" di rumah amal kendaliannya tetapi menafikan dakwaan penderaan yang meluas.
Seramai lima individu dikaitkan dengan GISHB termasuk seorang wanita telah didakwa atas pelbagai kesalahan di mahkamah Malaysia termasuk amang seksual, penderaan kanak-kanak dan ugutan jenayah pada minggu lalu.
Polis telah menyifatkan kes itu sebagai contoh penderaan dan eksploitasi kanak-kanak sistemik yang paling teruk dan "menjijikkan" pernah ditemui di negara ini.
Pihak berkuasa juga telah membekukan 153 akaun bank yang dikaitkan dengan GISBH dengan nilai keseluruhan RM1.3 juta (AS $309,000) sebagai sebahagian daripada siasatan mereka terhadap penderaan seksual, pemerdagangan manusia dan pengubahan wang haram.
Polis sedang menyiasat kes berkenaan GISBH di bawah Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, Akta Kanak-Kanak 2001, Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Anggota polis memeriksa buku-buku tulisan pemimpin al-Arqam Ashaari Muhammad yang dijumpai ditanam di tebing Sungai Pengkalan Datu, Kota Bharu, Kelantan, 22 September 2024. [K. Ahmad/BenarNews]
Bukti baharu
Perlis, sebuah negeri di utara, menjadi yang pertama mengisytiharkan secara rasmi ajaran Global Ikhwan menyeleweng dalam fatwa agama Jumaat lalu manakala mufti negeri lain sedang menunggu bukti baharu sebelum mereka mengisytiharkan kumpulan itu sebagai sesat.
“Laporan mengenai GISBH akan dibentangkan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 24 hingga 26 September ini,” kata Sirajuddin Suhaime, Timbalan Ketua Pengarah Jakim kepada BenarNews, merujuk kepada mesyuarat yang akan dihadiri oleh setiap mufti negeri.
Keputusan muktamad mengenai status akidah kumpulan itu mungkin dibuat selepas Majlis Raja-Raja bersidang pada Oktober, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam) Mohd Na’im Mokhtar, lapor agensi berita nasional, Bernama.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam kenyataan pada Sabtu menitahkan semua rumah amal dan sekolah Islam di Bawah kawalan GISBH dan rangkaiannya yang tidak berdaftar agar diarahkan tutup dengan segera dan tidak dibenarkan beroperasi di negeri itu.
“Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor juga digesa untuk mengkaji dan meneliti bagi memutuskan persoalan berkaitan amalan GISBH sama ada ia menyeleweng atau bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar,” titah baginda.
Kementerian Pendidikan pula berkata ia akan mengambil alih pendidikan kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah berkaitan GISBH mulai Oktober ini.
“Proses pendidikan akan dijalankan di pusat perlindungan mereka sekarang, di mana kanak-kanak itu dijaga dan dilindungi.
“Ketika ini mereka sedang melalui beberapa penilaian termasuk aspek 3M (membaca, menulis dan mengira) dan psikososial,” kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek pada Isnin.