Singapura Dakwa Malaysia Cerobohi Perairan Negaranya

Ali Nufael & Noah Lee
2018.12.05
Kuala Lumpur, Malaysia
181205-MY-Singapore1000.jpg Menteri Luar Singapura Vivian Balakrishnan menyampaikan ucapannya semasa sesi pleno Mesyuarat Menteri Luar Negeri ASEAN ke-51 di Singapura, 2 Ogos 2018.
[AP]

Singapura mahu Malaysia segera menghentikan projek perluasan Had Pelabuhan Johor Bahru (JPL) yang didakwa menyebabkan pencerobohan dan aktiviti yang melanggar peraturan di perairan republik itu, tetapi Perdana Menteri Malaysia menafikan perkara itu.

Menteri Luar Singapura Vivian Balakrishnan berkata, perluasan JPL telah memasuki ruang perairan Singapura walaupun negaranya telah menghantar bantahan berhubung projek berkenaan.

"Sudah beberapa kali kapal Malaysia didapati memasuki perairan Singapura di sebelah Tuas. Justeru itu, Menteri Balakrishnan menegaskan bahawa projek itu perlu segera dihentikan bagi mengelak ketegangan antara kedua dua negara," menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Singapura pada Rabu.

Kenyataan sama juga memaklumkan bahawa Menteri Luar Singapura itu telah menyatakan pendirian republik itu melalui perbualan telefon dengan rakan sejawatannya di Malaysia, Saifuddin Abdullah.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad menafikan dakwaan negara jiran itu dengan menegaskan bahawa Malaysia tidak menceroboh perairan Singapura.

Pemimpin berusia 93 tahun itu juga menolak dakwaan Singapura bahawa Malaysia menjalankan "aktiviti tidak sah mengikut undang-undang antarabangsa".

Mahathir berkata, Malaysia boleh mengukur garisan sempadan berkenaan jika Singapura masih tidak berpuas hati.

"Kita boleh ukur betul ataupun tidak (Malaysia menceroboh), garisan mereka itu tidak kena (perairan Malaysia), kita masih ada di dalam 'our own waters' (perairan kita)," kata Mahathir di Shah Alam, Selangor pada  Rabu.

Kementerian Pengangkutan Singapura sebelum ini menyuarakan kebimbangan mengenai projek JPL dengan mendakwa berlakunya pencerobohan di sekitar perairan Tuas di republik itu.

Pertikaian ruang udara dua negara

Kenyataan Kementerian Luar Singapura itu menyatakan bahawa Balakrishnan turut mengulas mengenai isu ruang udara antara Malaysia dan Singapura yang dibangkitkan Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke Siew Fook serta jawapan balas daripada rakan sejawatnya di negara itu, Khaw Boon Wan.

"Balakrishnan menegaskan bahawa Singapura amat menghormati kedaulatan Malaysia dan adalah menjadi tanggungjawab kedua-dua negara berjiran itu untuk memastikan keselamatan di ruang udara masing-masing.

"Balakrishnan turut berkata bahawa isu sensitif seperti ruang udara perlu dibawa ke meja rundingan agar hubungan diplomatik Malaysia dan Singapura dapat diperkukuhkan," menurut kenyataan itu.

Pada Selasa, Loke berkata bahawa Malaysia akan menghantar notis bantahan kepada Singapura berhubung tindakan republik itu yang mahu menguatkuasakan tatacara Sistem Pendaratan Instrumen [ILS] di Lapangan Terbang Seletar mulai 3 Jan ini, yang dilihat mengganggu ruang udara selatan Johor.

ILS adalah sistem navigasi yang memberi panduan keselamatan dan pendaratan tepat untuk mendarat di sesebuah lapangan terbang.

Lapangan terbang komersial Seletar yang baru dinaik taraf itu terletak di timur laut Singapura, yang jaraknya hanya 2 kilometer dari sempadan Johor.

Menteri Pengangkutan Malaysia itu juga berkata tindakan Singapura menyiarkan tatacara ILS adalah bertentangan dengan prinsip hak kedaulatan negara seperti yang ditetapkan di bawah Konvensyen Penerbangan Awam Antarabangsa (Konvensyen Chicago) 1944.

“Untuk menjaga kedaulatan wilayah ruang udara dan pembangunan Pasir Gudang, Malaysia memutuskan untuk tidak membenarkan Singapura meneruskan ILS yang baharu itu. Keputusan ini sudah disampaikan kepada Singapura pada 28 dan 29 Nov," katanya.

Kementerian Luar Malaysia, dalam kenyataan yang dikeluarkan pada lewat Rabu, pula mengesahkan bahawa Putrajaya telah berkomunikasi dengan  Singapura.

“Kerajaan Malaysia hari ini berkomunikasi dengan kerajaan Singapura melalui Pesuruhjaya Tinggi republik itu ke Malaysia mengenai dua nota bantahan. Nota pertama mengenai  penyiaran ILS dan Prosedur Merapati ILS bagi Lapangan Terbang Seletar yang dikeluarkan  Singapura pada 1 Dis lalu. Nota kedua berkaitan isu had perluasan sempadan antara kedua-dua negara termasuk had Pelabuhan Johor Bahru.”

Kementerian Luar berkata, Malaysia membantah penyiaran ILS dan Prosedur Merapati ILS bagi Lapangan Terbang Seletar oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) tanpa persetujuan Putrajaya.

"Akta unilateral oleh kerajaan Singapura melanggar kedaulatan Malaysia dan menceroboh kedaulatan ruang udara Malaysia.

"Ini bertentangan dengan prinsip bahawa setiap negara mempunyai kedaulatan eksklusif terhadap ruang udaranya, dan tanggungjawab negara itu terhadap perkhidmatan ruang udara di wilayahnya tidak akan menjejaskan kedaulatan berkenaan.

"Oleh itu, Kementerian Luar mengulangi pendirian kerajaan Malaysia untuk membantah penyiaran prosedur ILS dan Prosedur Merapati ILS bagi Lapangan Terbang Seletar oleh kerajaan Singapura," menurut kenyataan itu.

Pada masa sama, Malaysia menafikan ia melanggar kedaulatan Singapura dan undang-undang antarabangsa dengan melaksanakan perluasan JPL.

"Kerajaan Malaysia menegaskan bahawa Had Pelabuhan Johor Bahru berada dalam wilayah laut Malaysia. Jadi, kerajaan Malaysia berhak memeta sebarang had pelabuhan dalam wilayahnya mengikut undang-undangnya sendiri.

"Oleh itu, kerajaan Malaysia menepis pandangan bahawa kapal-kapal Malaysia menceroboh perairan Singapura di Tuas," kata kenyataa itu.

Pertikaian boleh satukan rakyat Malaysia

Mengulas mengenai pertikaian Malaysia dan Singapura itu, ahli akademik Awang Azman Awang Pawi berpendapat Perdana Menteri Mahathir sedang cuba mendapatkan perhatian rakyat yang kini menilai prestasi pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Pensyarah kanan Universiti Malaya itu berkata, isu Malaysia-Singapura adalah isu yang akan diguna pakai oleh Mahathir untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa PH tidak mudah tunduk kepada negara luar.

"Kita perlu tahu sentimen Mahathir terhadap Singapura. Beliau agak alergi apabila mendengar nama Singapura iaitu sejak dari zaman Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yew lagi.

“Bukan sahaja isu ruang udara atau laut malah isu jambatan bengkok juga, misalnya, Mahathir tidak mahu tunduk kepada Singapura.

"Boleh dikatakan bahawa PM (Mahathir) mahu menggunakan isu ini untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa Malaysia tidak akan tunduk kepada Singapura selain mahu mendapatkan sokongan rakyat lebih-lebih lagi ketika PH dilihat lemah dalam mengendalikan isu seperti ICERD, janji manifesto pilihan raya dan isu kuil," katanya.

Pada 23 Nov, Mahathir menarik balik janji yang dibuat semasa kempen pilihan raya untuk menyokong Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.