Singapura Belanja AS$205 Juta Untuk Projek HSR Yang Dibatalkan Bersama Malaysia

Bagaimanapun di bawah perjanjian dua hala, kedua-dua pihak tidak boleh mendedahkan jumlah pampasan yang akan dibayar kepada Singapura.
Hadi Azmi
Kuala Lumpur
2021-01-04
Share
Singapura Belanja AS$205 Juta Untuk Projek HSR Yang Dibatalkan Bersama Malaysia Orang ramai menunggu kereta api di platform sebuah stesen di Kuala Lumpur, 1 Okt 2020.
[Reuters]

Singapura telah membelanjakan kira-kira AS$204 juta untuk projek kereta api berkelajuan tinggi yang kini dibatalkan bersama dengan Malaysia, kata Menteri Pengangkutan Singapura pada Isnin manakala pegawai Malaysia berkata mereka tidak boleh mendedahkan jumlah pampasan yang perlu dibayar Kuala Lumpur kepada jirannya itu.

Selepas projek kereta api bagi laluan Singapura ke Kuala Lumpur bernilai $25 bilion itu ditamatkan oleh kedua-dua pihak pada 31 Dis, Malaysia berkata ia akan mengkaji pilihan kereta api berkelajuan tinggi domestik sebagai pengganti. Namun usaha itu hanya sia-sia dan tidak berdaya maju, kata seorang pakar pengangkutan kepada BeritaBenar pada Isnin.

"Singapura telah membelanjakan 270 juta dolar (AS $204.5 juta) bagi projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura atau HSR,” kata Menteri Pengangkutan Singapura Ong Ye Kung semasa menjawab soalan mengenai HSR di Parlimen pada Isnin.

"Singapura memberi komitmen penuh dalam melaksanakan kewajipan kami berdasarkan HSR BA (perjanjian dua hala) tetapi Malaysia berpendapat keadaan telah berubah, termasuk susulan pandemik COVID-19 dan mencadangkan beberapa perubahan terhadap projek HSR," kata Ong merujuk kepada perjanjian yang ditandatangani negara itu dengan Malaysia pada 2016.

Di bawah perjanjian itu, Malaysia perlu membayar pampasan kepada Singapura bagi kos yang telah ditanggung oleh jirannya dalam projek berkenaan namun kedua-dua pihak tidak boleh mendedahkan jumlah pampasan tersebut, kata Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia, dalam satu kenyataan yang disiarkan di Facebook.

“Saya dan pasukan akan berbincang dengan pihak Singapura untuk mendapatkan persetujuan bagi berkongsi maklumat mengenai jumlah pampasan setelah dimuktamadkan. Justeru, sebarang angka mengenai pampasan yang disebutkan oleh mana-mana pihak merupakan spekulasi semata-mata,” kata Mustapa sambil menambah pampasan itu tidak bersifat punitif.

“Ia adalah untuk membayar semula kos tertentu projek yang telah dibelanjakan oleh Singapura,” katanya.

Ong juga berkata jumlah pampasan yang akan diterima oleh Singapura tidak boleh diumumkan.

Pembinaan jajaran berkelajuan tinggi sejauh 217 batu (349.2 kilometer) itu pada mulanya dijadualkan bermula pada akhir 2018 yang dijangka mampu mengurangkan tempoh perjalanan kepada 99 minit berbanding 7 jam oleh perkhidmatan kereta api konvensional.

Pada 2018, semasa pemerintahan 22 bulan kerajaan Pakatan Harapan, Putrajaya telah menandatangani perjanjian untuk membayar AS$10.9 juta kepada Singapura untuk menangguhkan projek itu selama dua tahun kerana Malaysia sedang bergelut dengan hutang negara sebanyak RM1 trilion (AS$249.6 bilion).

Projek itu ditangguhkan lagi pada Jun 2020 - kali ini di bawah pemerintahan Perikatan Nasional – dan kedua-dua negara telah berbincang mengenai perubahan yang dicadangkan Malaysia dalam projek tersebut. Tempoh penangguhan itu berakhir pada malam tahun baharu dan ditamatkan setelah kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan berhubung cadangan perubahan oleh Putrajaya.

Alternatif domestik

Setelah mengumumkan penamatan projek itu, Malaysia berkata kerajaan merancang untuk mengkaji pilihan lain termasuk kereta api berkelajuan tinggi yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Johor, negeri paling selatan di Semenanjung Malaysia dan bersempadan dengan Singapura.

Malaysia bagaimanapun perlu mengkaji alternatif lain yang lebih baik kerana laluan Kuala Lumpur-Johor sudah memiliki landasan kereta api yang perlu dinaik taraf untuk membolehkan jajaran kelajuan lebih tinggi, kata pakar pengangkutan SM Sabri SM Ismail kepada BeritaBenar.

"Tidak ada banyak kelebihan jika jajaran kereta api berkelajuan tinggi hanya dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru," kata penganalisis itu.

Bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak, semasa pemerintahannya telah menandatangani perjanjian berhubung jajaran kereta api berkelajuan tinggi dengan Singapura dan berkata bahawa tanpa Singapura, landasan kereta api berkelajuan tinggi itu tidak akan dapat mengekalkan kelestariannya.

Najib berkata beliau telah mendapat maklumat bahawa jajaran kereta api Kuala Lumpur-Johor telah pun dirancang dengan kos unjuran hampir sama dengan projek yang dibatalkan.

Beliau juga mendakwa pentadbiran Muhyiddin Yassin turut merancang untuk membayar pampasan tahunan kepada syarikat pengendali memandangkan jajaran landasan itu akan menyebabkan jumlah penumpang berkurangan kerana tidak sampai ke Singapura.

Jutaan peluang pekerjaan dan potensi pulangan pelancongan juga telah disia-siakan akibat penamatan projek kereta api berkelajuan tinggi KL-Singapura, kata Najib.

Apa yang Malaysia mahukan

Sementara itu, Mustapa pada Isnin berkata pembatalan projek kereta api berkelajuan tinggi tersebut adalah "penyelesaian terbaik bagi Malaysia" walaupun negara itu berhasrat mencontohi kejayaan projek serupa di Taiwan dan Jepun.

"Kemunculan COVID-19 telah memaksa kerajaan untuk mencari jalan bagi mengurangkan kos beberapa projek mega serta mengenal pasti strategi bagi memulihkan ekonomi negara pasca COVID-19," kata Mustapa dalam hantaran di laman Facebook rasminya.

Beliau berkata Malaysia telah mencadangkan beberapa perubahan terhadap projek itu yang mampu mengurangkan kos pembiayaannya namun kedua-dua negara gagal mencapai kata sepakat berhubung perubahan tersebut.

Menteri pengangkutan Singapura berkata perkara pokok yang membawa kepada kegagalan mencapai kata sepakat antara kedua-dua negara ialah cadangan Malaysia untuk menyingkirkan syarikat aset projek itu, iaitu syarikat yang pada dasarnya akan mengendalikan projek tersebut.

“Memandangkan kedua-dua negara tidak mempunyai kepakaran dalam mengendalikan HSR, kami telah bersetuju di bawah HSR BA untuk melantik pemain industri terbaik menerusi tender terbuka dan telus di peringkat antarabangsa bagi menggalas tanggungjawab sebagai syarikat aset,” kata Ong.

“Singapura telah memaklumkan Malaysia bahawa penyingkiran syarikat aset adalah terjumlah kepada penyimpangan asas daripada HSR BA dan perkara itu tidak boleh diterima.”

Komen (0)

Lihat semua komen.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh