Follow us

Warga Singapura Mengaku Tidak Bersalah Cemar Sungai Kim Kim

Hadi Azmi & Nat Shu
Kuala Lumpur & Johor Bahru
2019-04-25
E-mel
Komen
Share
Pengarah syarikat pemprosesan tayar terpakai Sim Wei Der dengan tangan bergari, diiringi pegawai polis di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor, 25 April, 2019.
Pengarah syarikat pemprosesan tayar terpakai Sim Wei Der dengan tangan bergari, diiringi pegawai polis di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor, 25 April, 2019.
[NatShu/BeritaBenar]

Seorang warga Singapura yang dikehendaki dalam kes pencemaran Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor pada Mac lalu akhirnya menyerahkan diri kepada pihak berkuasa Malaysia dan didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Khamis setelah diburu lebih sebulan.

Sim Wei Der, 49 tahun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Jailani Rahman setelah pertuduhan dibacakan terhadapnya mengikut Seksyen 34B(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang dibacakan bersama Seksyen 42 akta yang sama yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga 500,000 ringgit jika sabit kesalahan.

Menurut kertas pertuduhan yang dibacakan terhadap Sim, beliau didakwa bersubahat bersama-sama seorang lagi warga Singapura, Wang Jing Chao serta dua rakyat Malaysia Maridass a/l Nallappan dan Yap Yoke Liang menggunakan sebuah lori dan semi treller untuk melupuskan ‘enap cemar berminyak’ ke dalam sungai tersebut pada 7 Mac lalu, tanpa mendapat sebarang kebenaran bertulis daripada pihak Ketua Pengarah Alam Sekeliling.

Tindakan mereka berempat itu mengakibatkan satu bencana kimia di sekitar kawasan Pasir Gudang yang menyebabkan 111 buah sekolah ditutup dan lebih 2,700 individu di kawasan tersebut terpaksa mendapatkan rawatan kesihatan akibat terkena bahan kimia beracun.

Menurut satu kenyataan daripada Timbalan Ketua Polis Johor, Mohd Kamarudin Md Din, Sim yang merupakan pengarah syarikat pemprosesan tayar terpakai menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah [IPD] Seri Alam, Johor pada 24 April.

“Tangkapan telah dibuat terhadap seorang lelaki Cina warganegara Singapura, berusia 49 tahun. Suspek ditahan di lokap IPD Seri Alam,” kata Mohd Kamarudin berhubung penyerahan diri tersebut pada Khamis.

Mahkamah membenarkan Sim dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak 250,000 ringgit (AS$60,381) dengan dua saksi warganegara Malaysia.

Bercakap kepada BeritaBenar, pegawai penyiasat kes tersebut, Nurul Bazilah Jaafar mengesahkan bahawa pihak pendakwaan yang diwakili Pengarah Jabatan Pendakwaan Johor Amir Nasruddin pada mulanya enggan menawarkan ikat jamin kepada Sim namun dibantah oleh peguam tertuduh Joshua Tay.

Berhujah di hadapan Hakim Jailani, Tey berkata Wang Jing Chao yang juga pengarah syarikat dan warga Singapura yang didakwa di bawah akta yang sama bagi kes yang sama sebelum ini telah dibenarkan ikat jamin.

Wang dan Yap yang juga merupakan pengarah syarikat tersebut bersama kakitangan mereka, Maridass sebelum ini telah didakwa di bawah akta yang sama pada 24 Mac lalu dan turut mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Hakim menetapkan 23 Mei depan untuk sebutan kes.

Masalah pencemaran Sungai Kim Kim di Pasir Gudang itu mendapat perhatian Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong yang membangkitkan isu berkenaan kepada Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad ketika pertemuan pemukiman pemimpin kedua-dua negara di Putrajaya pada 9 April lalu.

Mengulas mengenai perjanjian bekalan air mentah dari Malaysia ke republik itu, Lee berkata beliau risau dengan tahap kebersihan sungai-sungai di Johor khususnya Sungai Johor yang menjadi punca bekalan air mentah ke Singapura.

“Jika Sungai Johor mengalami kejadian yang sama seperti di Sungai Kim Kim tempoh hari, kesannya boleh membawa malapetaka kepada kedua-dua negara. Ini menjadi satu kerisauan kami,” kata Lee.

Mengikut kenyataan hasil analisis Jabatan Alam Sekitar (JAS) ke atas sampel yang diambil dari Sungai Kim Kim menunjukkan sungai itu mengandungi pelarut organik Benzene, Toulene, Xylene, Ethylbenzene dan D-Limonene.

Menteri Alam Sekitar, Sains, Teknologi dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin dalam sidang media pada 21 Mac berkata sebanyak 6.4 juta ringgit perlu dibelanjakan untuk membersihkan sisa-sisa kimia tersebut di kawasan sepanjang 1.5km dari tempat pelupusan asal.

“Sebanyak 6.4 juta ringgit cuma untuk pembersihan dan ianya tidak termasuk pergerakkan anggota dan lain-lain,” katanya pada sidang media itu.

Selain pihak kementerian, pasukan tentera dan syarikat minyak dan gas negara Petronas turut menghantar jentera, alat dan pakar mereka untuk membantu menangani krisis tersebut.

Sungai Kim Kim diisytiharkan selamat pada 19 April.

Situasi itu telah merisau dan mendatangkan murka kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sehingga baginda memberi titah supaya siasatan lengkap dijalankan bagi membawa mereka yang terbabit kemuka pengadilan.

Lihat Laman Penuh