Follow us

Malaysia-Singapura Berbalas Kenyataan Pertikai Ruang Udara, Laut

Hadi Azmi & Ali Nufael
Kuala Lumpur, Malaysia
2018-12-04
E-mel
Komen
Share
Sebuah kapal Tentera Laut Republik Singapura berlayar menyusuri perairan Tuas di Singapura, 24 Ogos 2017.
Sebuah kapal Tentera Laut Republik Singapura berlayar menyusuri perairan Tuas di Singapura, 24 Ogos 2017.
[AP]

Malaysia dan negara jirannya Singapura pada Selasa kelihatan berbalas kenyataan mengenai pertikaian ruang udara dan lautnya di sempadan kedua-dua negara dengan Malaysia mahu menghantar nota bantahan kepada republik itu.

Menteri Pengangkutan Malaysia Anthoney Loke Siew Fook berkata, pentadbiran Putrajaya akan menghantar nota bantahan berhubung tindakan republik itu menguatkuasakan tatacara Sistem Pendaratan Instrumen [ILS] bagi Lapangan Terbang Seletar di Singapura, yang baru dinaikkan taraf dan mengganggu ruang udara selatan Johor.

Katanya lagi, kerajaan membantah keputusan Singapura itu kerana dibuat tanpa berunding dengan Malaysia terlebih dahulu.

"Kami hanya membantah arah ILS di ruang udara di Pasir Gudang," kata Loke, sambil menambah ia juga memberi kesan terhadap pembangunan Pasir Gudang pada masa depan.

Menteri berkenaan juga berkata "Pembangunan kawasan Pasir Gudang akan terjejas kerana kini semua bangunan perlu mematuhi had tinggi bangunan mengikut standard antarabangsa dan pesawat juga terpaksa terbang rendah di ruang udara Pasir Gudang, akibat tatacara tersebut.”

Loke berkata demikian semasa menjawab soalan Anggota Parlimen Pasir Gudang pada persidangan Dewang Rakyat di bangunan Parlimen dan juga pada sidang media di kementeriannya di Putrajaya.

ILS adalah sistem bimbingan navigasi yang memberi panduan keselamatan dan pendaratan yang tepat untuk mendarat di sesebuah lapangan terbang.

Loke menambah bahawa tindakan Singapura menyiarkan tatacara ILS itu bertentangan dengan prinsip hak kedaulatan negara seperti yang ditetapkan di bawah Konvensyen Penerbangan Awam Antarabangsa (Konvensyen Chicago) 1944.

Putrajaya telah memutuskan untuk tidak membenarkan Singapura menyiarkan ILS dan keputusan berkenaan telah dimaklumkan kepada Singapura pada 28 dan 29 Nov lalu, namun negara itu tetap akan meneruskan penyiaran ILS melalui Penerbitan Maklumat Aeronautik (AIP) Singapura pada 1 Dis lepas yang dijangka akan dikuat kuasakan pada 3 Jan depan.

Sehubungan itu, Kementerian Luar Malaysia akan menghantar nota bantahan kepada Singapura berhubung tindakan negara itu yang menyiar dan menguatkuasa tatacara ILS berkenaan.

"Kerajaan komited dalam mempertahankan kedaulatan negara serta memastikan kepentingan negara dikekalkan," katanya.

Malaysia dan Singapura dipisahkan oleh Selat Tebrau sepanjang 3/4 batu yang bersempadan dengan Tambak Johor dan Laluan Kedua Johor-Singapura yang menghubungkannya.

Menteri Pengangkutan itu juga berkata Malaysia tidak menentang sebarang pembangunan di Lapangan Terbang Seletar kerana ia adalah hak Singapura sebagai negara berdaulat.

Loke juga memberitahu bahawa pentadbiran Putrajaya telah memaklumkan kepada Singapura mengenai usaha mengambil balik ruang udara di selatan Johor secara berperingkat yang diwakilkan, daripada Singapura pada 29 Nov lalu.

Sejak 1974, ruang udara di selatan Johor telah diwakilkan kepada Singapura untuk tujuan menyediakan perkhidmatan kawalan trafik udara melalui surat operasi perjanjian di antara pusat kawalan Kuala Lumpur dan Singapura mengenai ketibaan, keberangkatan, dan penerbangan di kawasan kedua negara (Operational Letter of Agreement between Kuala Lumpur and Singapore Area Control Centres Concerning Singapore Arrivals, Departure and Overflight).

“Rancangan mengambil balik kawasan udara yang diwakilkan (delegated airspace) Malaysia di selatan Johor akan dilakukan secara berperingkat bagi penyelarasan tatacara perkhidmatan kawalan trafik udara di antara pihak penyedia perkhidmatan pengemudian udara di kedua-dua negara demi menjamin keselamatan pesawat," tambah Loke.

Laluan penerbangan sedia ada

Sementara itu di Singapura, rakan sejawat Loke menolak kegusaran Malaysia dengan mengatakan bahawa Lapangan Terbang Seletar bukan sebuah lapangan terbang baru dan laluan penerbangannya telah wujud selama beberapa dekad.

"Lapangan terbang Seletar lebih tua dari Changi. Laluan penerbangan itu sudah ada sekian lamanya, berdekad, dan prosedur ini bukan sesuatu yang baru, " kata Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan di Singapura.

Lapangan Terbang Seletar, yang ditubuhkan sebagai lapangan terbang Tentara Udara DiRaja Britain pada tahun 1928, kini menjalankan kerja menyelenggara pesawat kecil persendirian di negara itu sebelum dinaik taraf pada 2018 bagi membenarkan pesawat komersil Firefly ATR-72 beroperasi dari dan ke lapangan terbang itu, selain daripada Lapangan Terbang Changi yang mempunyai kepadatan penerbangan tinggi di sebelah timur pulau berkenaan.

Dalam pada itu, Kementerian Pengangkutan Singapura dalam satu kenyataan turut memberi komen mengenai kenyataan Loke di Parlimen Malaysia mengenai tuntutan semula ruang udara di selatan Johor yang diwakilkan, dari Singapura.

“Peraturan ruang udara semasa berjalan lancar. Oleh itu sebarang perubahan yang dicadangkan akan memberi kesan kepada banyak pihak yang berkepentingan. Oleh itu, rundingan perlu diadakan bagi mengurangkan kesan terhadap syarikat penerbangan dan penumpang, " kata kementerian itu seperti yang dilaporkan oleh Channel News Asia Singapura.

Bercakap kepada BeritaBenar, pakar penerbangan Abdul Rahmat Omar berkata Malaysia telah meminta kepada ICAO pada tahun 1973 untuk mengambil alih kawalan ruang udara yang berada di bawah kawalan trafik udara Singapura sejak tahun 1945.

"Malaysia sebenarnya mahu menguasai Infomasi Penerbangan Wilayah (FIR) yang akan memperbaharui peraturan lalu lintas udara, dan menangani beberapa isu keselamatan termasuk mendarat pesawat, " kata Abdul Rahmat.

Beliau juga menolak kegusaran Malaysia mengenai ruang udara Pasir Gudang dengan mengatakan bahawa pendaratan pesawat boleh dilakukan dengan selamat.

"Apa yang perlu dibuat oleh Lapangan Terbang Seletar adalah menubuhkan koridor udara untuk berlepas di mana pesawat boleh bertukar ke timur dan menyertai koridor Changi berhampiran Kong Kong untuk mengelak daripada terbang di ruang udara Pasir Gudang," kata Abdul Rahmat .

Dalam satu isu yang berasingan, Singapura membantah mengenai tindakan untuk meluaskan pelabuhan Johor Bahru yang dikatakan menceroboh perairan berhampiran Tuas, di bahagian barat republik itu.

Kementerian Pengangkutan Singapura dalam kenyataannya berkata bahawa sejak Malaysia mengeluarkan dan membuat gazet perubahan had pelabuhan pada 25 Oktober lepas, kapal-kapal Malaysia dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (MMEA) dan Jabatan Laut Malaysia telah berulang kali menceroboh perairan Singapura di luar Tuas sejak dua minggu yang lalu.

"Singapura telah membantah pergerakan yang tidak dibenarkan, dan kapal-kapal ini didakwa telah menjejas kedaulatan negara, yang tidak konsisten dengan undang-undang antarabangsa," menurut kenyataan kementerian .

“Pihak berkuasa maritim Singapura tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap pencerobohan di perairan wilayah kami, kementerian itu berkata bahawa republik berkenaan juga bersedia untuk berbincang dengan Malaysia "bagi menyelesaikan perkara berbangkit dengan baik, mengikut undang-undang antarabangsa".


Lihat Laman Penuh