Peguam Najib Berdepan Dakwaan Lakukan Pengubahan Wang Haram

Muzliza Mustafa, Hadi Azmi & Ali Nufael
2018.09.13
Kuala Lumpur, Malaysia
180913-MY-Shafee-1000.jpg Peguambela utama bekas perdana menteri Najib Razak, Muhammad Shafee Abdullah tiba bersama sekumpulan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk didakwa selepas ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang, Selangor, 13 Sept 2018.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

KEMASKINI pada 6.45 pm waktu tempatan pada 2018-09-13

Peguambela utama bekas perdana menteri Najib Razak, Muhammad Shafee Abdullah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis, dengan empat pertuduhan iaitu dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM9.5 juta dan dua lagi pertuduhan membuat penyata yang tidak betul di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.

Shafee sebelum itu, yang mahu mengambil penerbangan ke Pulau Pinang, untuk mewakili satu kes kendalian syarikat guamannya telah ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang, dekat Kuala Lumpur pada kira-kira pukul 6 pagi, demikian menurut anaknya Muhammad Farhan yang juga seorang peguam kepada media.

Peguam berusia 66 tahun itu, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Muhammad Shafee didakwa terlibat dengan pengubahan wang haram dengan menerima hasil daripada aktiviti haram, masing-masing berjumlah RM4.3 juta dan RM5.2 juta melalui dua keping cek AmIslamic Bank Berhad milik Mohd Najib Abdul Razak yang telah dimasukkan ke dalam dua akaun CIMB Bank Berhad milik tertuduh.

Muhammad Shafee dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, J2 & K1, Taman Tunku, Bukit Tunku dekat sini pada 13 Sept, 2013 dan 17 Feb, 2014.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta dan penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut dua pertuduhan berkaitan Akta Cukai, peguam itu didakwa terlibat secara langsung dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada akitiviti haram iaitu dengan membuat suatu penyata yang tidak betul yang bertentangan dengan Perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi Tahun Kewangan berakhir pada 31 Dis, 2013.

Bagi pertuduhan itu dia didakwa meninggalkan pendapatan yang telah diterima pada 13 Sept, 2013 berjumlah RM4.3 juta dan pendapatan yang diterima pada 17 Feb, 2014 berjumlah RM5.2 juta melalui dua keping cek AmIslamic Bank Berhad milik Mohd Najib Abdul Razak yang dimasukkan ke dalam dua akaun CIMB Bank Berhad milik tertuduh, yang mana tertuduh dikehendaki oleh Akta Cukai Pendapatan 1967 untuk membuat penyata bagi pihak tertuduh.

Peguam itu didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Lembaga Hasil Dalam Negeri, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan Jalan Tuanku Abdul Halim, pada 3 Mac, 2015, dan 29 Jun, 2015.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFAPUA) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Jamin RM1 juta

Muhammad Shafee diwakili peguam Harvinder Singh, Chetan Jethwani,  Hasnal Rezua Merican, Sarah Abishegan, Rahmat Hazlan dan anaknya Muhammad Farhan.

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan dan peguam kanan Gopal Sri Ram mengetuai pasukan pendakwaan yang dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib, Kamal Baharin Omar, dan Afzainizam Abdul Aziz.

Mahkamah menetapkan jaminan tunai sebanyak RM1 juta dengan dua penjamin kepada Muhammad Shafee dan mengarahkan pasport peguam itu diserahkan kepada mahkamah.

Hakim Azura membenarkan permohonan peguambela tertuduh yang meminta pembayaran dibuat sebanyak dua kali, iaitu RM500 ribu pada hari ini manakala selebihnya pada Selasa, 18 Sept dengan menetapkan sebutan kes pada 2 Okt depan.

Pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) Anwar Ibrahim mendakwa Najib membayar wang itu kepada Shafee untuk mendakwa beliau berhubung satu pertuduhan liwat.

“Apa yang mereka lakukan sekarang ini adalah taktik buli,” kata Shafee kepada pemberita selepas membayar separuh daripada wang ikat jamin sebanyak RM1 juta (AS$241,000) yang dikenakan terhadapnya. Bakinya akan dibayar pada Selasa.

Najib berdepan pertuduhan berkaitan dakwaan bahawa RM2.6 bilion (AS$$681 juta) milik SRC International, sebuah anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), telah dimasukkan ke dalam dua akaun peribadi beliau.

Dalam satu hantaran Facebook pada Khamis, Najib berkata beliau menerima RM2.6 bilion itu sebagai sumbangan daripada Arab Saudi pada Mac 2013 dan kemudian telah memulangkan wang tersebut.

Kerajaan telah mendakwa Najib, yang mengaku tidak bersalah, dengan lapan pertuduhan membabitkan kesalahan melakukan pengubahan wang haram, menyalah guna kuasa dan pecah amanah jenayah.

Dalam kertas pertuduhan, pihak pendakwaan mendakwa Shafee menerima dana daripada akaun bank AmIslamic Najib.

Peguam itu menyifatkan pertuduhan tersebut sebagai tidak berasas dan bermotifkan politik.

“Jika anda melihat manifesto politik mereka, Pakatan Harapan (PH) berkata mereka akan mendakwa sesiapa sahaja yang ada kaitan dengan 1MDB.

Perkara terbaik yang mereka boleh buat setakat ini kepada Najib ialah mendakwa beliau dalam kes SRC International,” kata Shafee sambil menambah pihak pendakwaan kini bertungkus-lumus untuk mewujudkan kes membabitkan 1MDB.

Beliau juga berkata kakitangan Pejabat Peguam Negara kini bimbang dengan kekuatan pasukan pembelaan Najib dan cuba melemahkannya dengan menyingkirkan beliau.

Beliau berkata pertuduhan itu tidak akan menghalangnya daripada mewakili Najib kerana beliau tidak pernah disabitkan dengan mana-mana jenayah.

Jabatan Keadilan Amerika Syarikat menyifatkan 1MDB sebagai “skandal kleptokrasi terburuk sejak kebelakangan ini.

”Pihak pendakwaan mendakwa bahawa sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion telah dicuri dan dialih menerusi pemerolehan hartanah, karya seni serta aset mewah oleh Najib dan sekutunya.

Tuduhan terikat dengan pembayaran

Tahun lepas, sebuah mahkamah telah menolak permohonan Anwar untuk mengenepikan satu sabitan berkaitan kesalahan liwat.

Anwar mendakwa Najib melakukan perkara yang bertentangan dengan amalan biasa kerajaan dalam melantik pendakwa dari Pejabat Peguam Negara (AGC) apabila melantik dan membayar Shafee, seorang peguam swasta.

Shafee, yang hadir ke mahkamah pada 8 Nov 2017 untuk mendengar keputusan itu, telah menyifatkan dakwaan Anwar sebagai mengarut.

“Saya tidak pernah dibayar sebanyak RM9.5 juta untuk mengendalikan kes pendakwaan terhadap Anwar,” katanya ketika itu.

 

Pada 6 Sept, Anwar mencabar kenyataan itu dan mendedahkan satu afidavit daripada seorang kakitangan AGC yang mendakwa Shafee telah dibayar oleh Najib untuk mendakwa Anwar “dan oleh itu tidak bertindak secara bebas sebaliknya mempunyai kepentingan kewangan dalam mengendalikan rayuan bagi pihak pendakwaan.

”Afidavit itu menyebut bahawa Anwar dan mahhkamah tidak tahu tentang pembayaran itu ketika keputusan tersebut dibuat.

“Saya masih menyatakan bahawa Shafee tidak seharusnya dibenarkan untuk mengendalikan rayuan bagi pihak pendakwaan sedari awal lagi,” kata Anwar minggu lepas.

“Melantik seorang pendakwa dari luar bukanlah amalan biasa oleh peguam negara, dan apa yang lebih luar biasa dalam kes ini ialah apabila individu yang dilantik itu diketahui ramai adalah kenalaan rapat Najib, yang turut terlibat dalam kes itu pada masa yang material.”

Anwar, yang membantu pemimpin Pakatan Harapan [PH] mengalahkan Barisan Nasional untuk merampas pertadbiran kerajaan pada Mei lepas, telah menerima pengampunan DiRaja atas dua kesalahan liwat.  Mahathir Mohamad, 93 dijangka melepaskan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar dalam tempoh dua tahun.

Facebook

Najib telah melakukan beberapa hantaran di laman Facebook sejak beberapa hari kebelakangan ini yang membabitkan surat, penyata bank dan kenyataan beliau sendiri untuk menjelaskan bahawa beliau menerima jutaan ringgit daripada seorang putera Arab Saudi yang kagum dengan usahanya untuk mentadbir negara Malaysia menggunakan prinsip-prinsip Islam.

Pada Isnin, beliau memuat naik sepucuk surat bertarikh Februari 2011 yang menyaksikan putera itu berjanji untuk memberi “sumbangan” sebanyak AS$100juta (RM415 juta). Sepucuk lagi surat dihantar dalam bulan Mac 2013 yang memberikan sumbangan sebanyak AS$800 juta (RM3.3 bilion) kepada Najib.

“Ini merupakan satu sumbangan peribadi sebagai penghargaan dan beta berharap sumbangan ini akan menggalakkan kamu untuk meneruskan usaha-usaha mulia kamu dalam mempromosi Islam di seluruh dunia,” menurut pengakhiran surat pada 2013 itu.

Dalam satu lagi hantaran, Najib berkata beliau menerima AS$681 juta (RM2.6 bilion) seperti yang dijanjikan sebagai sebahagian daripada sumbangan itu menerusi dua deposit pada Mac 2013.

Beliau berkata beliau bercadang untuk menggunakan wang itu bagi membantu kempen BN pada pilihan raya umum tahun itu namun apabila beliau menyedari bahawa wang itu tidak diperlukan, beliau telah memulangkannya.

Mengulas pertuduhan terhadap Shafee, Najib menyifatkannya sebagai usaha kerajaan baharu untuk mengugut peguamnya dan menidakkan satu perbicaraan yang adil.

Beliau berkata pembayaran sebanyak RM9.5 juta adalah untuk perkhidmatan firma guaman Shafee sejak beberapa tahun termasuk kes-kes petisyen pilihan rayabagi dua pilihan raya umum.

“Dengan mendakwa Tan Sri Shafee kerana menerima pembayaran bagi perkhidmatan perundangan yang telah diberikan mewujudkan satu duluan undang-undang yang amat bahaya kepada semua peguam, golongan profesional dan perniagaan,” kata Najib.

“Tiada siapa akan selamat jika kerajaan memilih untuk menjadikan anda sebagai mangsa atau menganiaya anda secara politik.”

Kemas kini 1MDB

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara Noor Rashid Ibrahim pada Khamis memberitahu pemberita bahawa sejumlah RM2.973 bilion (AS$972 juta berdasarkan kadar pertukaran mata wang ketika itu) telah dipindahkan ke dalam akaun bank Najib antara 2011 dan 2013.

“Sehingga tahap ini, sejumlah 132 urus niaga membabitkan hasil aktiviti-aktiviti haram telah dikenal pasti dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” kata Noor Rashid.

Sejak kerajaan baharu menyambung semula siasatan berhubung isu 1MDB susulan keputusan mengejut dalam pilihan raya Mei lepas, polis telah mengambil keterangan daripada 64 individu.

“Terdapat beberapa kenalan rapat Najib yang telah kita temu bual … dan anggota keluarga beliau. Kami menjangkakan untuk menyoal siasat lebih ramai lagi dalam tempoh seminggu,” kata Noor Rashid.

“Kami berharap untuk mendapatkan keterangan dalam bentuk dokumen daripada mereka.”

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.