COVID-19: Sifar Kes Jangkitan Domestik, Pertama Dalam Tempoh Tiga Bulan

Hadi Azmi
2020.07.01
Kuala Lumpur, Malaysia
200701-MY-C19-1000.jpg Guru tadika di sebuah sekolah tadika sedang melakukan kerja-kerja persediaan sebelum bermulanya sesi persekolahan pra-sekolah selepas ditutup apabila kerajaan memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan bagi memutuskan penularan pandemik COVID-19 pada 18 Mac lepas, di Sekolah Tadika Tunas Bistari IT, di Kajang, Selangor, 30 Jun 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Malaysia pada Rabu mencatatkan sifar kes tempatan penularan wabak COVID-19 buat kali pertama dalam masa lebih tiga bulan sejak Putrajaya mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu dalam usaha membendung penyebaran wabak tersebut.

Perkembangan itu diumumkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Noor Hisham Abdullah yang berkata satu-satunya kes positif yang direkodkan pada Rabu adalah melibatkan seorang rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara.

“Buat pertama kalinya, pada hari ini, Malaysia mencatatkan kes harian COVID-19 yang terendah sepanjang gelombang kedua pandemik COVID-19.

“Lebih penting lagi, tiada kes COVID-19 yang dilaporkan melibatkan jangkitan daripada dalam negara, sama ada di kalangan warganegara Malaysia mahupun bukan warganegara,” kata Noor Hisham pada sidang media harian Kementerian Kesihatan Malaysia di Putrajaya pada Rabu.

Sehingga kini, terdapat hanya 144 kes aktif di Malaysia daripada keseluruhan kes kumulatif sebanyak 8,640 dengan kekal 121 kes kematian sejak 14 Jun lalu.

Menurut Noor Hisham lagi, kes harian yang direkodkan di kalangan rakyat Malaysia kini didapati sejajar dengan unjuran kes harian dalam pemodelan dan ramalan pada 21 Mei lalu oleh Institut Kesihatan Negara.

“Kes baharu yang dilaporkan hari ini pula adalah hanya satu kes iaitu kes import yang mendapat jangkitan di luar negara,” kata beliau.

Sehubungan itu pihak KKM mengucapkan tahniah kepada rakyat Malaysia kerana memainkan peranan dalam membasmi penyebaran wabak pandemik yang telah meragut lebih 500,000 nyawa di seluruh dunia ini.

“Pencapaian ini sememangnya hasil kerjasama setiap peringkat dan lapisan masyarakat dalam memainkan peranan masing-masing selain menggambarkan kesedaran masyarakat terhadap kawalan kendiri dan tanggungjawab sosial,” kata Noor Hisham lagi.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media harian beliau juga di Putrajaya berkata seramai 7,611 rakyat Malaysia yang pulang atau masuk melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di antara 10 sehingga 30 Jun dan seramai 7,575 telah diperintahkan untuk menjalani kuarantin di rumah manakala 36 orang dibawa ke hospital.

Kagum cara Malaysia


Seorang rakyat Malaysia yang bertugas sebagai doktor di Liverpool, United Kingdom dan pulang ke Kuala Lumpur, Ainna Abdul Razif, 32, semasa ditemui BeritaBenar memberitahu yang beliau sangat kagum dengan cara Malaysia menangani penularan wabak berkenaan melalui pengalamannya ketika melalui proses saringan di KLIA pada Selasa.

“Sebaik sahaja turun dari kapal terbang, saya sekeluarga ditemui pihak polis dan diiringi ke kawasan saringan. Ia agak menggetirkan namun pegawai-pegawai barisan hadapan melayan kami secara sopan dan santun,” kata Ainna sambil menambah yang proses saringan mengambil masa lebih lima jam dengan beliau diberikan layanan ekspres kerana membawa bayinya.

“Ia mungkin kelihatan teliti dan mungkin melecehkan bagi sesetengah pihak, tetapi bagi sebuah negara membangun seperti Malaysia, saya amat bangga dan kagum dengan sistem ujian dan jejak yang telah digunapakai sejak berbulan lalu,” katanya lagi.

Pada masa yang sama, Kementerian Pendidikan Malaysia mengumumkan bahawa sekolah di seluruh Malaysia akan mula dibuka secara berperingkat bagi murid bukan kelas peperiksaan awam mulai 15 Julai iaitu melibatkan pelajar sekolah rendah darjah 5 dan 6 serta pelajar sekolah menengah tingkatan 1 hingga 4 serta tingkatan 6.

Manakala bagi pelajar darjah 1 hingga 4 pula, mereka akan memulakan pembelajaran semula pada 22 Julai.

Perkara itu diumumkan Menteri Pendidikan Radzi Jidin di Putrajaya pada Rabu.

Menurut beliau, sekolah perlu dibuka semula memandangkan kementerian mendapati bahawa proses pengajaran dan pembelajaran yang digunapakai sepanjang penutupan sekolah akibat wabak COVID-19 kurang berkesan berbanding secara bersemuka.

“Kita sedar terdapat kelemahan dalam pelaksanaan pembelajaran secara dalam talian. Jika situasi ini berterusan, murid akan menghadapi kesukaran untuk mencapai tahap penguasaan minimum dalam setiap mata pelajaran yang diikuti,” kata Radzi.

Menurut beliau lagi, seramai 5.7 juta orang pelajar sekolah telah terkesan akibat penutupan sekolah selama lebih empat bulan akibat penularan COVID-19.

Pada 24 Jun lalu kerajaan membenarkan sekolah-sekolah menengah di seluruh negara dibuka untuk pelajar kelas peperiksaan awam iaitu Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Vokasional Malaysia, Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Agama Malaysia serta peperiksaan antarabangsa yang setara.

Antara langkah-langkah yang telah diambil dan disyaratkan Kementerian Pendidikan untuk sesi persekolahan adalah saringan untuk semua pelajar sebelum memasuki sekolah dan mereka yang suhu badan melebih 37.5 Celcius atau bergejala tidak akan dibenarkan masuk.

Kedudukan kerusi dan meja di dalam kelas juga disusun bagi mematuhi penjarakan sosial sekurang-kurangnya 1 meter, manakala makanan di kantin hanya dijual secara dalam bungkusan dan pelajar hanya boleh makan di dalam kelas masing-masing semasa waktu rehat dengan pengawasan guru.

Putrajaya juga membenarkan prasekolah dan taska dibuka mulai 1 Julai.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.