Follow us

Konglomerat Sawit Malaysia Pertahan Syarikat Daripada Aduan Buruh

Hadi Azmi
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-07-08
E-mel
Komen
Share
Pengurus ladang Suzaidee Rajan mengisi sebuah trak dengan buah kelapa sawit dari sebuah ladang di Selangor, 22 Okt 2019.
Pengurus ladang Suzaidee Rajan mengisi sebuah trak dengan buah kelapa sawit dari sebuah ladang di Selangor, 22 Okt 2019.
(S.Mahfuz/BeritaBenar)

Konglomerat pengeluar minyak sawit Malaysia pada Rabu mempertahankan diri daripada dakwaan bahawa syarikat itu menggunakan kanak-kanak dan buruh paksa sebagai pekerja di ladangnya, dengan mengatakan bahawa ia telah mencapai kemajuan dalam meningkatkan amalan di tempat kerja setelah kumpulan antipemerdagangan manusia mendesak pihak berkuasa Amerika mengharamkan import produk syarikat tersebut.

Sime Darby Plantation (SDP) berkata ia tidak diberi kesempatan untuk menjawab dakwaan yang dibangkitkan oleh Liberty Shared dalam petisyen yang dikemukakan kepada agensi Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat.

Badan bukan kerajaan antipemerdagangan manusia yang berpusat di Hong Kong itu telah memfailkan petisyen tersebut pada 20 April lalu dan menyiarkan kemas kini ringkasan petisyen 17 halaman berkenaan di laman sesawangnya awal minggu ini.

"Kami percaya sejak beberapa tahun kebelakangan ini kami mencapai kemajuan dalam menambah baik amalan membabitkan pekerja kami di lapangan melalui pelbagai inisiatif dan kerjasama dengan pelbagai rakan kongsi serta NGO,” menurut SDP dalam satu kenyataan media pada Rabu.

"Kami ingin menyatakan bahawa petisyen itu telah dikemukakan tanpa mendapat maklum balas daripada syarikat kami," tambahnya. "Pada masa ini, SDP hanya memiliki akses kepada kenyataan ringkas petisyen berkaitan isu yang dibangkitkan tanpa sebarang butiran mengenai temu bual yang dijalankan.”

Liberty Shared berkata petisyen itu, yang tidak disebarkan kepada awam, "adalah setebal 50 halaman dengan lebih 60 dokumen sokongan." NGO itu mendakwa telah menemu bual pekerja sejak "beberapa tahun lalu" termasuk beberapa orang yang ditemu bual berkali-kali sepanjang tahun lepas. Liberty Shared juga berkata ia telah menghubungi "pakar masyarakat sivil" dan mengkaji sumber awam sedia ada serta laporan audit.

Dalam permintaannya agar Amerika Syarikat mengharamkan import produk kelapa sawit yang dikeluarkan oleh Sime Darby, Liberty Shared mendakwa bahawa pekerja syarikat itu menjadi mangsa penderaan dan penyalahgunaan kuasa.

"Sebagai contoh, para pekerja menceritakan mengenai hukuman yang dikenakan sewenang-wenangnya, ugutan dan gangguan seksual, ancaman fizikal dan penderaan, pemotongan gaji yang pelbagai serta tidak konsisten, pelbagai syarat bagi tempat penginapan dan bayaran yang dikenakan untuk kemudahan asas," katanya dalam ringkasan petisyen itu.

Liberty Shared turut mendakwa bahawa kanak-kanak adalah antara golongan yang menderita dalam insiden itu.

"Pekerja tempatan melaporkan bahawa sekurang-kurangnya sejak empat tahun kebelakangan ini, anak-anak pekerja ladang tempatan digunakan oleh pengurus ladang dan (mandur) untuk meletakkan racun tikus di kaki pokok kelapa sawit," kata NGO itu.

“Pekerja menjelaskan bahawa (mandur) telah menyokong penggunaan kanak-kanak untuk tugas itu namun pengurus yang bersertuju dengan aktiviti tersebut tidak lagi bertugas. Pengurus baharu tidak bersetuju dengan amalan itu dan telah menghentikannya."

NGO itu berkata pengurus baharu telah meninggalkan ladang tersebut dan para pekerja bimbang anak-anak mereka akan dilibatkan lagi dalam amalan berbahaya berkenaan.

Merujuk kepada undang-undang AS, Liberty Shared berhujah bahawa produk SDP boleh dirampas dan pengimport perlu bertanggungjawab di bawah siasatan jenayah.

Seksyen 307 Undang-Undang Tarif 1930 "melarang pengimportan barang dagangan yang ditambang, dihasilkan atau dikeluarkan, sepenuhnya atau sebahagian, di mana-mana negara asing oleh buruh paksa atau pekerja kanak-kanak yang dilindungi - termasuk pekerja kanak-kanak paksa. Barang niaga tersebut dikenakan pengecualian dan /atau penyitaan, dan dapat menyebabkan penyiasatan jenayah terhadap pengimport,” katanya.

Sebagai respons, SDP berkata para pegawainya sedia berhubung dengan NGO itu.

"Dalam semangat keterbukaan, ketelusan dan kerjasama SDP, kami berhasrat untuk berhubung dengan Liberty Shared untuk lebih memahami dakwaan tersebut secara terperinci untuk membolehkan kami melakukan penyiasatan menyeluruh dengan segera dan mengambil tindakan sewajarnya,” kata konglomerat itu.

Jurucakap agensi Kastam AS belum memberikan maklum balas kepada permintaan BeritaBenar untuk mendapatkan komen pada Rabu.

Sokongan Tenaganita

NGO Malaysia, Tenaganita, yang terlibat dalam aktiviti pencegahan buruh paksa menyambut baik petisyen itu, menurut seorang jurucakapnya.

"Ya, kami tahu mengenainya, ada bukti mengenai perkara itu sejak bertahun-tahun. Kami gembira kerana mereka meneruskan perjuangan untuk membuktikan perkara ini,” kata jurucakap yang tidak mahu dikenali kepada BeritaBenar.

Pada Ogos 2019, Tenaganita mendesak pengeluar minyak sawit Malaysia, FGV Holdings, untuk mengkaji semula tindakannya selepas satu lagi kumpulan NGO iaitu International Labor Rights Forum, Rainforest Action Network dan SumOfUs mengemukakan petisyen serupa kepada Kastam AS.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi negara itu memberitahu BeritaBenar bahawa para pegawainya sedang berbincang mengenai maklum balas mereka dan satu kenyataan akan dikeluarkan.

Minggu lepas, kementerian itu mengumumkan bahawa pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang bersama Pertubuhan Perdagangan Dunia untuk mencabar sekatan yang dikenakan Kesatuan Eropah terhadap biofuel minyak sawit atas alasan bahawa "kempen anti-sawit" adalah satu polisi yang diskriminatif.

Pada Mac 2019, blok 28 negara Eropah itu mendakwa minyak sawit perlu disingkirkan daripada bahan bakar pengangkutan boleh diperbaharui pada 2030 berdasarkan kebimbangan bahawa ladang-ladang terbabit menyumbang kepada penebangan hutan.

Lihat Laman Penuh