AS Sekat Import Minyak Sawit Syarikat Kedua Malaysia Berhubung Dakwaan Buruh Paksa

Siasatan ke atas Sime Darby Plantation mendapati adanya 11 petunjuk penggunaan buruh paksa, kata Jabatan Kastam Amerika Syarikat.
Shailaja Neelakantan, Noah Lee & Hadi Azmi
Washington & Kuala Lumpur
2020-12-30
Share
AS Sekat Import Minyak Sawit Syarikat Kedua Malaysia Berhubung Dakwaan Buruh Paksa Seorang pekerja memunggah kelapa sawit di pusat pengumpulan komoditi itu di Batu Pahat, Johor, Malaysia, 1 Jun 2017.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Amerika Syarikat (AS) mengumumkan sekatan segera terhadap import minyak sawit dan produk berkaitan dari syarikat Malaysia, Sime Darby, pada Rabu, dengan menyatakan bahawa siasatan berbulan-bulan lamanya mendapati adanya petunjuk penggunaan buruh paksa dalam proses pengeluaran produk berkenaan.

Sime Darby, firma minyak sawit terbesar di Malaysia, adalah pengeluar minyak sawit kedua dan syarikat ketiga negara itu yang produknya dikenakan sekatan oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP) berikutan dakwaan penggunaan buruh paksa.

"Berkuat kuasa pada 30 Disember 2020, CBP mengumumkan Perintah Menahan Pelepasan terhadap minyak sawit dan produk mengandungi minyak sawit buatan Sime Darby Plantation Berhad [SDP] di Malaysia," kata Ana Hinojosa, pengarah eksekutif Direktorat Penguatkuasaan Undang-Undang Penyelesaian Perdagangan jabatan kastam itu pada sidang media di Washington.

"CBP mengeluarkan perintah ini selepas berbulan-bulan melakukan penyiasatan terhadap proses pengeluaran SDP. Siasatan ini secara wajarnya mendapati adanya kesemua 11 petunjuk berhubung buruh paksa."

Hinojosa merujuk kepada senarai Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), yang menyatakan bahawa penggunaan kekerasan fizikal dan seksual serta intimidasi dan ancaman adalah antara amalan yang menunjukkan penggunaan buruh paksa.

Undang-undang persekutuan AS melarang pengimportan barang-barang yang dihasilkan oleh buruh paksa dan buruh tanpa jaminan termasuk buruh kanak-kanak. Hinojosa berkata buruh paksa adalah satu "bentuk perhambaan zaman moden" dan "tidak adil kepada pengguna yang mungkin tanpa sengaja membeli barang-barang tersebut."

Sebagai contoh, minyak sawit adalah bahan biasa yang terdapat dalam produk yang mudah dibeli oleh pengguna Amerika di kedai runcit. Minyak sawit boleh didapati di dalam makanan yang diproses, kosmetik, farmasi, sabun dan biodiesel, menurut laporan oleh Jabatan Pertanian AS.

"Perintah Menahan Pelepasan ini menunjukkan betapa pentingnya bagi rakyat Amerika untuk meneliti asal-usul produk harian yang dibeli mereka," kata Pemangku Pesuruhjaya CBP Mark A. Morgan dalam satu kenyataan pada Rabu.

"Pengguna Amerika dapat membantu menamatkan perhambaan zaman moden dengan memilih untuk membeli produk yang mereka tahu dihasilkan secara beretika dan berperikemanusiaan."

Malaysia dan negara jirannya, Indonesia, menghasilkan kira-kira 85 peratus minyak sawit dunia sebagai sebahagian daripada industri global bernilai AS $65 bilion.

Amerika Syarikat mengimport produk minyak sawit mentah bernilai $410 juta pada tahun fiskal 2020 dari Malaysia, kata CBP. Ini merupakan 30 peratus minyak sawit mentah yang diimport ke AS.

Sime Darby adalah pengeluar minyak sawit terbesar di Malaysia berdasarkan kawasan perladangan. Pada November, syarikat itu adalah antara yang disebut dalam laporan penyiasatan oleh agensi berita Associated Press yang memberi butiran terperinci berhubung dakwaan rogol dan penganiayaan lain terhadap pekerja di ladang kelapa sawit.

CBP menyatakan ia mula menyiasat amalan buruh Sime Darby setelah mendapat maklumat daripada beberapa sumber yang mendakwa adanya penggunaan buruh paksa.

Syarikat yang disiasat itu tidak dihubungi semasa siasatan CBP, kata Hinojosa.

“Secara umumnya, kami menerima maklumat bahawa mungkin ada penggunaan buruh paksa dan kami melakukan penyiasatan. Penyiasatan ini adalah berkaitan penguatkuasaan undang-undang dan kami tidak melibatkan subjek dalam penyiasatan ini,” katanya.

BeritaBenar menghubungi pegawai Sime Darby pada Rabu untuk mengulas mengenai perintah CBP itu tetapi mereka enggan mengulasnya segera dan menyatakan bahawa firma itu akan mengeluarkan kenyataan kemudian.

'Bukan sahaja masalah industri kelapa sawit dan sarung tangan'

CBP menyekat import produk pengeluar minyak sawit Malaysia FGV Holdings Berhad dan pengeluar sarung tangan getah terbesar dunia, Top Glove, masing-masing pada September dan Julai, dengan menyatakan bahawa syarikat-syarikat tersebut menggunakan buruh paksa di ladang mereka.

Industri perladangan berintensifkan buruh di Malaysia amat bergantung kepada pekerja migran terutamanya dari Bangladesh, India, Indonesia, Myanmar dan Nepal. Industri minyak sawit di Malaysia menggunakan lebih 300,000 pekerja migran, menurut agensi berita Reuters.

CBP mendapati adanya ruang penggunaan buruh paksa yang lebih tinggi dalam industri dan negara yang mempunyai sejumlah besar pekerja migran, kata Hinojosa.

“Sudah tentu kami mendapati adanya risiko penggunaan buruh paksa yang lebih tinggi di kawasan dan negara di mana terdapatnya pergantungan tinggi terhadap tenaga kerja migran. CBP meminta kerajaan-kerajaan terbabit supaya memberi perhatian sama ada hak-hak pekerja ini dilindungi. Mereka merupakan kumpulan yang berisiko tinggi,” katanya.

Sementara itu, larangan produk daripada FGV Holdings dan Top Glove masih diteruskan. CBP menyatakan bahawa sejak ia mengenakan sekatan produk syarikat berkenaan, ia telah mengadakan perbincangan dengan kedua-dua syarikat itu mengenai masalah buruh.

"Tetapi Perintah Menahan Pelepasan itu masih dikuatkuasakan sehingga entiti ini mengambil langkah proaktif untuk menyelesaikan isu berbangkit daripada petunjuk buruh paksa yang dikenal pasti. Dalam usaha memastikan perintah ini dapat diubah, mana-mana syarikat yang dinamakan di dalamnya perlulah menyelesaikan semua petunjuk yang berkaitan buruh paksa,” kata Hinojosa.

Pada Oktober, FGV Holdings memberitahu BeritaBenar bahawa masalah berkaitan pekerja yang dinyatakan agensi AS itu adalah pada 2015 dan ia telah pun diatasi.

Syarikat itu menyatakan bahawa antara langkah yang diambil adalah ia melabur kira-kira RM350 juta (AS$84.3 juta) sejak tiga tahun lalu untuk menaik taraf kemudahan perumahan dan membina kediaman baru di lading-ladangnya di seluruh negara.

Setelah AS menyekat kemasukan produk FGV Berhad, kerajaan Malaysia berkata pada Oktober bahawa pihaknya akan bertindak terhadap syarikat yang melanggar undang-undang buruh. Ia juga menyatakan akan menghantar laporan komprehensif mengenai keadaan dalam sektor minyak sawit Malaysia ke Amerika Syarikat untuk mengelak lebih banyak sekatan negara itu terhadap komoditi tersebut.

Menteri Sumber Manusia M. Saravanan berkata bahawa beliau akan meminta para pegawainya melihat keadaan di FGV Holdings yang menyebabkan CPB mengenakan sekatan produk minyak sawit syarikat itu.

"[Tindakan] ini sudah lama tertangguh, tindakan akan diambil," kata Saravanan, sambil memberitahu bahawa sekatan yang dikenakan ke atas FGV amat membimbangkan kerajaan.

"Pada masa ini, negara sangat bergantung kepada eksport [produk] terutamanya minyak sawit untuk pendapatan kami dan [sekatan] itu bukan petanda baik untuk negara."

Pada Ogos, Top Glove menyatakan bahawa pihaknya mula membayar pampasan kepada pekerja migran berikutan sekatan import AS terhadap produk keluarannya.

Pampasan itu adalah bayaran yang terpaksa dibayar oleh pekerja migran kepada ejen merekrut pekerja. Oleh kerana bayaran tinggi itu, pekerja sering terikat kepada majikan dan dalam kes yang melampau, pekerja ditahan berikutan hutang.

Pegawai kastam AS berkata mereka mempunyai bukti tentang adanya ikatan hutang, kerja lebih masa yang melampau, penahanan dokumen pengenalan diri serta keadaan kerja dan tempat tinggal yang buruk di Top Glove.

Syarikat pengeluar sarung tangan itu menyatakan bahawa ia telah membayar RM4.4 juta (AS $1 juta dolar) daripada RM53 juta ($12.6 juta) dalam bentuk "yuran pemulihan" sebagai sebahagian daripada usaha untuk menyelesaikan masalah itu.

Andy Hall, seorang aktivis hak buruh yang terkenal, berkata CBP berharap yuran perekrutan pekerja itu dikembalikan kepada pekerja migran dalam industri kelapa sawit dan getah kerana ikatan hutang merupakan faktor utama dalam keputusan yang dibuat agensi itu.

"Setakat ini, saya dapati tidak ada komitmen yang dibuat oleh industri minyak sawit Malaysia dan pelaku utamanya seperti FGV / SDP bagi mengatasi isu bayaran pengambilan pekerja migran yang terlalu tinggi. Malangnya, industri ini tidak memandang serius terhadap sekatan industri sarung tangan atau sekatan terhadap FGV,” kata Hall kepada BeritaBenar.

Persatuan Minyak Sawit Malaysia berkata ia telah menjelaskan pada masa lalu bahawa negara-negara barat mendiskriminasikan syarikat pengeluar minyak sawit.

Dalam kenyataannya pada September, persatuan itu menyalahkan pesaing minyak sawit seperti pengeluar canola dan rapeseed serta "kekuatan kewangan" mereka untuk melakukan "serangan berterusan terhadap industri tersebut walaupun pada hakikatnya ladang kelapa sawit dikendalikan secara lebih lestari pada masa kini."

Ketika diminta mengulas mengenai dakwaan ini, Hinojosa menafikan berlakunya sebarang diskriminasi terhadap pengeluar minyak sawit.

"Kami menyiasat dakwaan buruh paksa bagi pelbagai produk seperti yang dinyatakan oleh 13 Perintah Menahan Pelepasan yang kami keluarkan pada tahun fiskal terakhir bagi barangan seperti pakaian, produk rambut dan produk kapas," kata Hinojosa.

Komen (0)

Lihat semua komen.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh