Malaysia Minta Penangguhan Kedua Projek Kereta api Laju ke Singapura

Noah Lee & Nisha David
2020.06.01
Kuala Lumpur, Malaysia
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
200601-MY-SIN-HRS1000.jpg Kereta api Transit Aliran Ringan berada diparkir di sebuah stesen di Gombak, pinggir Kuala Lumpur, 5 Mei 2020. [AFP]
[AFP]

Pembinaan projek landasan kereta api berkelajuan tinggi yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura telah ditangguhkan buat kali kedua dengan pakar ekonomi melihatnya sebagai sesuatu yang sukar dijangka, sama ada projek berkenaan dapat atau tidak diteruskan, kerana masalah ekonomi yang ditanggung Putrajaya.

Malaysia pada Ahad telah mengeluarkan kenyataan memaklumkan yang negara itu telah mencapai persetujuan dengan negara jirannya Singapura untuk perlanjutan tempoh penangguhan projek landasan tersebut yang berakhir pada 31 Mei kepada tujuh bulan lagi dan tamat pada 31 Dis ini.

Menteri Kanan Malaysia yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mohamed Azmin Ali berkata perkara tersebut telah diputuskan dengan kedua-dua pihak yang bersetuju untuk menyambung semula perbincangan dalam masa terdekat yang akan merangkumi perubahan cadangan terhadap aspek komersial dan teknikal.

"Kedua-dua belah pihak bersetuju untuk melanjutkan tempoh penangguhan keputusan mengenai projek kereta api laju Kuala Lumpur-Singapura sehingga 31 Disember 2020.... Kerajaan Malaysia dan Singapura telah bersetuju untuk menyambung semula perbincangan mengenai projek infrastruktur kereta api laju Kuala Lumpur-Singapura dalam masa terdekat. Perbincangan ini akan merangkumi beberapa cadangan perubahan dalam aspek komersial dan teknikal," kata Menteri itu dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan di Putrajaya pada Ahad.

Projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR) bernilai AS$12.3 bilion itu meliputi laluan kira-kira 217 batu (350 kilometer) antara Kuala Lumpur dan Singapura, telah ditangguhkan buat pertama kalinya pada 2018 semasa pentadbiran Pakatan Harapan pimpinan Perdana Menteri Mahathir Mohamad, yang mengambil langkah untuk menyemak semula projek-projek infrastruktur yang berkos tinggi bertujuan menjimat perbelanjaan negara.

Pada 2013, Malaysia yang berada dibawah pentadbiran Najib Razak dan kerajaan Barisan Nasional telah mengumumkan mengenai cadangan pembinaan projek landasan kereta api berkelajuan tinggi yang dikatakan mampu mengurangkan masa perjalanan dari Kuala Lumpur ke kota Singa itu kepada kira-kira 90 minit berbanding 7 jam dengan perkhidmatan kereta api sedia ada.

Selain itu, para pegawai juga mengunjurkan bahawa projek berkenaan akan menyumbang AS$5 bilion (RM20.7 bilion) dalam keluaran negara kasar kepada Malaysia dan Singapura selain mewujudkan lebih 111,000 pekerjaan menjelang 2060.

Kesukaran ekonomi


Dalam pada itu, Pakar Ekonomi tempatan, Mohd Nazari Ismail, yang merupakan pensyarah Fakulti Perniagaan dan Perakaunan di Universiti Malaya berkata keadaan ekonomi pada masa kini amat menyukarkan pentadbiran Putrajaya untuk meneruskan projek HSR.

“Saya rasa adalah sukar bagi kerajaan untuk meneruskan projek berkenaan kerana keadaan ekonomi yang buruk pada masa ini, tetapi kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin Yassin memerlukan projek-projek seperti itu untuk meneruskan kelangsungan politik mereka.

"Kontraktor-kontraktor tempatan memerlukan projek kerajaan, dan ini adalah peluang untuk  memberikan projek kepada mereka dan adalah sukar untuk diramalkan sama ada kerajaan Perikatan Nasional akan membatalkan HSR atau berkemungkinan tetap meneruskannya," kata Nazari.

Tambah beliau, kos projek berkenaan juga mungkin boleh diturunkan lagi sekiranya kedua-dua negara bersetuju mengurangkan nilai projek pembangunan di sekitar landasan kereta api termasuk pembinaan stesen.

Mohamed Azmin dalam kenyataan itu juga memberitahu yang beliau telah diminta oleh Kabinet Malaysia untuk mengetuai perbincangan dengan Singapura itu, sama seperti yang dilakukan ketika pentadbiran Pakatan Harapan.

Menteri Kanan itu bagaimanapun tidak menyatakan jika ada perjanjian pembayaran antara kedua-dua buah negara terhadap perlanjutan tarikh terbaru seperti sebelum ini, dan usaha BeritaBenar untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenainya daripada Mohamed Azmin, gagal.

Semasa perjanjian penangguhan dua tahun lepas, ianya telah menetapkan jika projek tersebut gagal diteruskan selepas tempoh 2020 seperti yang dipersetujui, projek tersebut akan dianggap sebagai dibatalkan dan Malaysia boleh dikenakan penalti kira-kira AS$120 juta, menurut satu sumber rapat kepada menteri itu, yang meminta tidak dinamakan.

Singapura setuju


Sementara itu, Menteri Pengangkutan Singapura, Khaw Boon Wan dalam satu kenyataan yang disiarkan melalui laman media sosial Facebooknya menyatakan bahawa republik berkenaan bersetuju dengan lanjutan penangguhan HSR berasaskan semangat hubungan dua-hala dengan Malaysia.

Khaw memberitahu, Azmin telah menulis kepadanya meminta tambahan penangguhan tujuh bulan lagi bagi projek berkenaan termasuk usaha Malaysia meneruskan perbincangan terhadap cadangan perubahan melibatkan projek itu.

"Oleh kerana sebarang perubahan keatas perjanjian ini memerlukan persetujuan kami (Singapura), lanjutan penangguhan ini akan memberi peluang kepada kedua-dua negara untuk meneliti perubahan yang dicadangkan Malaysia.

"Dalam semangat kerjasama dua-hala, kami telah bersetuju untuk memberikan lanjutan terakhir keatas tempoh penangguhan ini sehingga 31 Disember 2020," kata Khaw pada Ahad.

Beliau menambah bahawa HSR bagaimanapun adalah satu projek yang kompleks, dan kedua-dua pihak mesti diyakinkan terlebih dahulu bahawa sebarang perubahan tidak akan mengagalkan tujuan asalnya.

Semasa projek dimeterai pada 2016, Menteri Kewangan Kedua pada masa itu, Johari Abdul Ghani memberitahu sidang media bahawa kos projek itu bakal menelan perbelanjaan sekitar RM60 bilion dan dijadualkan bermula pada 2018 dan dijangka siap termasuk ujian teknikal dan pentauliahan selama setahun sebelum beroperasi sepenuhnya pada 2026.

Menurut laman web projek itu, idea pelaksanaan HSR dicetuskan melalui Program Transformasi Ekonomi yang bertujuan mentransformasikan Malaysia ke arah menjadi negara berpendapatan tinggi yang melibatkan pembinaan sebanyak tujuh buah stesen di Malaysia iaitu Bandar Malaysia, Sepang-Putrajaya, Seremban, Melaka, Muar, Batu Pahat dan Iskandar Puteri, sebelum tiba ke destinasi terakhir di Jurong Timur, Singapura.

"Projek HSR bukan hanya sekadar projek pengangkutan tetapi merupakan impetus ke arah pembangunan sosio ekonomi di Kuala Lumpur dan bandar-bandar perantara sepanjang laluannya, bermula dengan kluster ekonomi di sekitar setiap stesen yang akan mengubah corak kehidupan, pekerjaan dan perjalanan secara keseluruhan," kata laman web berkenaan.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.