Singapura Tolak Rayuan Akhir, Rakyat Malaysia Kurang Upaya Intelek Ke Tali Gantung

Singapura "langsung tidak mengendahkan" obligasi Konvensyen Hak Orang Kurang Upaya, kata Lawyers For Liberty.
Noah Lee
2022.03.29
Kuala Lumpur
Singapura Tolak Rayuan Akhir, Rakyat Malaysia Kurang Upaya Intelek Ke Tali Gantung Poster gambar Nagaenthran Dharmalingam dipegang oleh seorang aktivis yang menyertai sekumpulan rakannya menghantar petisyen pengampunan kepada pejabat Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura di Kuala Lumpur, 9 Mac, 2022.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Sebuah mahkamah Singapura pada Selasa menolak rayuan terakhir oleh pengedar dadah rakyat Malaysia Nagaentharan Dharmalingam untuk mengenepikan hukuman mati terhadapnya atas alasan kurang upaya intelek, satu keputusan yang disifatkan sebagai bertentangan dengan Konvensyen Hak Orang Kurang Upaya oleh peguam dan penyelaras badan hak asasi manusia Lawyers For Liberty, Zaid Malek.

Susulan itu, Nagaentharan yang kini berusia 33 tahun berkemungkinan akan dikenakan hukuman mati dalam tempoh terdekat, walaupun banyak rayuan telah dibuat untuk menyelamatkan beliau termasuk dari Perdana Menteri Malaysia, kumpulan pejuang hak asasi manusia dan hartawan Richard Branson.

Hanya satu cara dapat menyelamatkan lelaki tersebut daripada tali gantung adalah dengan mendapat pengampunan daripada Presiden Singapura.

"Di atas sebab-sebab yang telah dinyatakan, mahkamah dengan ini menolak rayuan yang dibuat," kata Ketua Hakim Singapura, Sundarash Menon dalam penghakiman bertulis Mahkamah Rayuan negarai itu yang dilihat BenarNews.

Menon berkata bahawa perayu telah pun diberikan peluang membela dirinya mengikut proses undang-undang, dan tidak berhak mencabar hasil daripada proses tersebut kerana tidak menunjukkan apa-apa untuk menyokong rayuannya.

Selain itu, mahkamah juga mendapati bahawa dakwaan yang Nagaentharan mempunyai daya intelek rendah hanyalah sesuatu yang "tidak lebih daripada kenyataan kosong" dibuat peguamnya M Ravi.

Dokumen mahkamah turut menyatakan yang hakim telah mendapati rayuan saat akhir yang dibuat Dharmalingam sebagai satu penyalahgunaan proses perundangan yang dilihat lebih kepada cubaan "melambatkan" hukuman terhadap pesalah daripada dilaksanakan.

"Ditambah dengan fakta bahawa rayuan hanya difailkan pada saat-saat akhir, mahkamah membuat kesimpulan bahawa ia bukan dibuat dengan hasrat jujur untuk mendapatkan pembebasan, tetapi lebih kepada satu usaha 'stopgap' yang dibuat perayu dan peguamnya dalam cubaan untuk melambatkan penjalanan hukuman yang telah dijatuhkan terhadap perayu.

"Disebabkan perkara ini dilakukan oleh perayu dan peguamnya dengan cara yang menyalahgunakan proses, ia menjadi satu lagi sebab untuk menolak rayuan," kata hakim tersebut.

Keengganan hakim

Badan bukan kerajaan Malaysia, Lawyers For Liberty menyelar keputusan oleh mahkamah Singapura itu, setelah menolak rayuan seorang pesalah yang mempunyai kekurangan upaya mental, serta keengganan hakim membenarkan Nagaentharan diperiksa oleh pakar psikiatrik bebas.

Ketua penyelarasnya Zaid Malek berkata keputusan itu "langsung tidak mengendahkan" obligasi Singapura terhadap Konvensyen Hak Orang Kurang Upaya yang menetapkan bahawa tiada individu yang kurang upaya mental dikenakan hukuman mati.

"Bukan sahaja mahkamah membenarkan pelanggaran terhadap undang-undang antarabangsa, ia bahkan menyerang para peguam kerana membawa kes rayuan Nagaentharan. Mahkamah juga mengarahkan supaya Pejabat Peguam Negara Singapura menuntut gantirugi kos daripada peguam Nagaentharan kerana memfailkan cabaran dalam kes tersebut.

"Ini adalah satu perbuatan memualkan yang bertentangan dengan prinsip perundangan mana-mana negara bertamadun apabila peguam dihukum kerana berani bersuara dalam isu yang membabitkan hidup dan mati," kata Zaid.

Lawyers for Liberty juga meminta Malaysia untuk campur tangan dalam kes Nagaentharan dan membawa perkara tersebut ke Mahkamah Antarabangsa kerana Singapura dikatakan telah mencabuli kewajipan mereka terhadap perjanjian yang dibuat di bawah undang-undang antarabangsa.

Nada serupa turut disuarakan oleh peguam M Ravi dalam satu kenyataan yang menggesa supaya kerajaan Malaysia membawa kes Nagaentharan ke Mahkamah Antarabangsa.

Menyatakan rasa terkejutnya terhadap keputusan mahkamah, peguam itu mempersoalkan tindakan mahkamah yang tidak memberikan peluang kepada Nagaentharan untuk diperiksa oleh pakar psikiatri untuk menentukan keadaan kesihatannya.

"Tanpa diberikan peluang untuk dinilai dengan betul, dan menghukumnya dengan kematian, ia adalah satu pembaziran kepada keseluruhan proses undang-undang ini.

"Ia adalah menyedihkan untuk melihat Nagaentharan berada di dalam mahkamah dalam keadaan terpinga-pinga dan tidak memahami bahawa dia akan dihukum mati," kata Ravi.

Sementara itu, kakak Nagaentharan, Sarmila menyuarakan kekecewaan terhadap keputusan mahkamah tersebut.

"Kami amat kecewa, dan dalam masa sama berasa marah serta takut untuk dia (Nagaentharan).

"Kenapa kerajaan Singapura tidak boleh memberikan peluang kedua kepada adik saya? Kini hanya tuhan dan orang ramai menjadi harapan terakhir kami. Dan kami berharap akan berlaku keajaiban sekali lagi seperti sebelum ini apabila dia disahkan positif COVID-19," kata Sarmila.

Nagaentharan ditahan pihak berkuasa Singapura pada 22 April 2009 - ketika berusia 21 tahun, atas kesalahan menyeludup dadah jenis heroin seberat 42.72 gram.

Pada 22 November 2010, Nagaenthran, yang didakwa peguamnya merupakan orang kurang upaya mental, dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Singapura di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah 1973.

Akta itu memperuntukkan hukuman mati terhadap mana-mana individu.

Nagaentharan telah dijadualkan menjalani hukuman gantung sampai mati pada pagi 10 November tahun lepas, namun hukuman itu ditangguhkan selepas didapati dijangkiti COVID-19.

Nisha David di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.