Singapura Usir Lelaki Malaysia Didakwa Rancang Sertai IS di Syria

Malaysia telah mendakwa lelaki tersebut di mahkamah kerana memiliki bahan berkaitan keganasan, kata ketua anti-keganasan.
Muzliza Mustafa
Kuala Lumpur
2021-02-09
Share
Singapura Usir Lelaki Malaysia Didakwa Rancang Sertai IS di Syria Pegawai Polis berjalan membuat rondaan di sepanjang Persiaran Marina Bay di Singapura, 27 Dis, 2020.
[AFP]

Singapura mengusir seorang lelaki rakyat Malaysia yang berhasrat ke Syria bersama-sama isterinya untuk berjuang dengan kumpulan ektremis Negara Islam, kata pihak berkuasa negara itu pada Selasa.

Setelah diusir pulang pada Ogos, Malaysia mendakwa lelaki tersebut di mahkamah atas pertuduhan memiliki bahan berkaitan keganasan, dengan hakim berkenaan dijadual memeriksa bahan bukti kes itu pada 1 Mac, kata Ketua Bahagian Anti-keganasan Polis DiRaja Malaysia [PDRM] kepada BeritaBenar.

“Mohd Firdaus bin Kamal Intdzam (Firdaus), 33 tahun, seorang rakyat Malaysia, ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada Julai 2020. Siasatan menunjukkan bahawa Mohd Firdaus, yang bekerja sebagai pekerja pembersihan di Singapura, adalah penyokong kumpulan pengganas Negara Islam,” demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) Singapura.

"ISD bekerjasama rapat dengan Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan terhadap Mohd Firdaus. Pas kerjanya telah dibatalkan dan dia dihantar pulang ke Malaysia serta diserahkan kepada PDRM pada Ogos tahun lalu, selepas siasatan ISD terhadapnya selesai."

Adalah tidak jelas mengapa pihak berkuasa Singapura menunggu hingga Isnin untuk mengumumkan pengusiran pulang rakyat Malaysia itu. Di Kuala Lumpur, Ketua Bahagian Anti-keganasan Polis Diraja Malaysia Normah Ishak mengesahkan bahawa Mohd Firdaus telah dihantar pulang pada Ogos lalu.

"Dia telah didakwa pada Ogos 2020 di Mahkamah Sesyen Johor Bahru di Johor dengan lima pertuduhan memiliki bahan yang berkaitan dengan tindakan pengganas di bawah Seksyen 130JB (1) (a) Kanun Keseksaan," kata Normah kepada BeritaBenar.

Mengikut Kanun Keseksaan, sekiranya disabitkan kesalahan, Mohd Firdaus boleh dijatuhkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda.

"Pihak Pendakwaan masih menunggu laporan pakar dan laporan forensik yang lengkap [berhubung kes ini],” kata Normah melalui pesanan teks. Beliau berkata hakim telah menetapkan 1 Mac depan sebagai tarikh untuk memeriksa bahan bukti kes.

"Pihak pendakwaan juga dijangka memohon kepada mahkamah untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur," kata Normah.

‘Berhasrat ke Syria’

Menurut siasatan pihak berkuasa Singapura, Mohd Firdaus mula terpengaruh dengan ideologi radikal pada 2016 semasa dia mahu mendalami pengetahuan agamanya dan mula mengenali propaganda IS menerusi dalam talian, kata pegawai negara jiran, Singapura.

Dua tahun kemudian, dia mempunyai keyakinan bahawa kumpulan tersebut masih memperjuangkan Islam dan adalah wajar bagi mereka untuk menggunakan keganasan bagi mewujudkan Negara Islam, kata ISD.

Mohd Firdaus juga menganggap ketua IS yang mengisytihar dirinya khalifah, Abu Bakar al-Baghdadi, adalah pemimpin Islam sebenar. Pemimpin tertinggi IS itu terbunuh dalam satu terowong rahsia dengan meletupkan dirinya sendiri semasa serbuan oleh Pasukan Khas AS di Syria pada Oktober 2019.

“Walaupun dengan kematian khalifah ISIS di Syria dan Iraq, Mohd Firdaus masih menjadi penyokong kuat ISIS. Dia aktif memuat naik bahan yang mempromosikan ISIS dan jihad bersenjata dalam akaun media sosialnya…Dia menyimpan hasrat untuk pergi ke Syria bersama-sama isterinya untuk berjuang dengan ISIS,” kata kenyataan Singapura itu, yang merujuk kepada Negara Islam dengan singkatan lain.

Kubu terakhir IS di Syria kecundang pada Mac 2019.

Sementara itu, pada Ogos lalu, Singapura telah mengenakan sekatan ketat terhadap isteri Mohd Firdaus. Ruqayyah Ramli, yang merupakan rakyat negara itu, menjadi radikal sejak berkahwin dengan Mohd Firdaus pada 2018, menurut ISD.

“Wanita itu telah dikenakan Arahan Sekatan (RO) di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk tempoh dua tahun pada Ogos 2020 selepas siasatan mendapati dia terpengaruh dengan ideologi radikal suaminya,” menurut kenyataan ISD.

Seseorang yang dikenakan perintah tersebut tidak dibenarkan menukar tempat kediaman atau pekerjaannya, atau melancong luar Singapura tanpa persetujuan ISD terlebih dahulu. Individu itu juga tidak boleh mengeluarkan kenyataan awam, menghadiri perjumpaan awam, mencetak atau menyebarkan sebarang bahan.

Ruqayyah, 34, seorang suri rumah dan guru agama sambilan, menyokong impian suaminya Mohd Firdaus untuk ke Syria, menurut agensi keselamatan Singapura itu.

"Dia menyokong hasrat Mohd Firdaus untuk menganggotai ISIS dan berjuang di Syria, dan sanggup menemani suaminya serta membawa dua anak mereka sekali.

"Dia percaya bahawa peranannya di zon konflik adalah untuk menjaga keluarga (dengan memasak dan melakukan kerja-kerja rumah) serta membantu ahli ISIS yang cedera,” kata ISD.

Siasatan tidak menemui bukti bahawa Ruqayyah berusaha untuk menyebarkan ideologi radikal pro-IS kepada orang lain.

“Pengiktirafan ARS [kebenaran mengajar agama] yang diberikan kepada Ruqayyah, yang diluluskan pada September 2017, sudah ditarik balik dan dia tidak lagi dibenarkan untuk mengadakan sebarang kelas agama sebagai sebahagian daripada syarat-syarat sekatan dua tahun di bawah RO. Dia kini menjalani kaunseling untuk menjauhkannya daripada fahaman radikal,” kata jabatan itu.

Tujuh ditahan tahun lepas

Pada 24 November 2020, Singapura mengumumkan bahawa seorang rakyat Malaysia telah diusir pulang setelah didapati mempunyai ideologi radikal. Singapura tidak menyatakan bila ia mengusir pulang individu tersebut.

Malaysia bagaimanpun tidak mengambil sebarang tindakan terhadap individu berkenaan, kata Normah kepada BeritaBenar pada Selasa.

Malaysia membuat tujuh tangkapan berkaitan kesalahan keganasan sepanjang tahun lepas, kata beliau.

"Pada Januari [2020], enam ditangkap di mana tiga daripada mereka telah didakwa dan tiga lagi dibebaskan kerana tidak mempunyai cukup bukti. Pada Ogos 2020, kami menangkap seorang individu dan berjaya mendakwanya di mahkamah,” kata Normah.

Sebagai perbandingan, Malaysia menangkap 72 suspek yang mempunyai kaitan dengan IS pada 2019 dan 119 pada tahun sebelumnya.

"Berikutan langkah keselamatan kesihatan dan tindakan membendung penularan pandemik ini, pergerakan dan kegiatan harian telah diperketatkan.

Oleh itu, ini secara tidak langsung dapat mengurangkan risiko dan melandaikan lekuk keganasan di Malaysia,” kata Normah yang merupakan penolong ketua pengarah Bahagian Anti-Keganasan Cawangan Khas Bukit Aman.

Pada September lalu, penganalisis keselamatan memberitahu BeritaBenar bahawa IS giat mempertingkatkan usaha untuk merekrut ahli baru di negara yang mempunyai majoriti penduduk Islam seperti Indonesia dan Malaysia serta Filipina, di tengah-tengah penularan pandemik global.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh