Malaysia, Singapura Setuju Pendekkan Tempoh Penggantungan Isu Ruang Udara

Hadi Azmi
2019.01.25
Kuala Lumpur, Malaysia
190125-MY-SIN-airspace1000.jpg Menteri Pengangkutan Singapura Khaw Boon Wan semasa bercakap pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali dan Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, Malaysia, 5 September, 2018.
[AP]

Malaysia dan Singapura pada Jumaat bersetuju untuk memendekkan tempoh lanjutan penggantungan Kawasan Larangan Kekal (RA) di ruang udara Pasir Gudang, dan pelaksanaan Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) di Lapangan Terbang Seletar.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke pada Jumaat memberitahu yang beliau telah menghubungi Pesuruhjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur mengenai permintaan Malaysia supaya tempoh penggantungan lanjutan itu berakhir pada 31 Mac dan bukan pada 31 Mei seperti yang dicadangkan oleh Singapura.

Terdahulu itu, Loke telah memaklumkan Perdana Menteri Mahathir Mohamad mengenai tarikh 31 Mei yang dicadangkan oleh Singapura semasa mesyuarat Kabinet di Putrajaya pada Khamis.

“Perdana Menteri (Mahathir) mengatakan bahawa tempoh itu agak panjang dan meminta supaya tempoh itu dipendekkan dua bulan supaya berakhir pada 31 Mac,” kata Loke ketika menjawab pertanyaan media di Kuala Lumpur.

Selepas beberapa jam kenyataan Loke disiarkan, Menteri Pengangkutan Singapura Khaw Boon Wan menyambut baik kenyataan Loke dalam laman Facebook sambil berkata ia merupakan cadangan baik dan pegawai daripada kementerian kedua-dua negara boleh menjalankan tindakan susulan dengan lebih pantas.

"Saya telah menerima maklumbalas Menteri Anthony Loke untuk memendekkan tempoh penggantungan bersama kami berhubung ILS Seletar dan RA Pasir Gudang.

"Saya amat gembira melihat pengawal selia bekerjasama demi kepentingan bersama dalam menjaga keselamatan penerbangan awam dan kecekapan memantau ruang udara yang sesak,” kata Menteri Singapura itu.

Pada 23 Januari, menteri pengangkutan kedua-dua negara telah mengadakan pertemuan empat mata di republik itu dengan Khaw mencadangkan supaya penggantungan satu bulan yang dipersetujui bersama sebelum ini dilanjutkan lagi dalam mencari keputusan terbaik.

Lanjut tempoh hingga Mei

“Saya mencadangkan kita (Malaysia-Singapura) setujui bersama untuk melanjutkan tempoh penggantungan di Kawasan Larangan Kekal di Pasir Gudang dan tatacara ILS di Lapangan Terbang Seletar bagi memberi lebih banyak masa untuk perbincangan dalam mencari penyelesaian yang menguntungkan kedua belah pihak.

“Beliau (Loke) akan membawa cadangan saya (lanjutan penggantungan) kepada rakan kabinetnya,” kata Menteri Pengangkutan Singapura itu di laman Facebook rasminya.

Pada hari yang sama Loke turut memuat naik sekeping gambar bersama Khaw dengan berkata beliau telah mengadakan pertemuan yang sangat membina dengan rakan sejawatannya itu.

“Kami bersetuju untuk menyelesaikan isu Lapangan Terbang Seletar, dan pihak berkuasa penerbangan awam kedua-dua negara akan meneruskan perbincangan dari sudut teknikal,” kata Loke pada Rabu lalu.

Pada 8 Januari, Malaysia dan Singapura telah bersetuju untuk menggantung dengan serta merta implimentasi zon larangan kekal di ruang udara Pasir Gudang, dan penguatkuasaan tatacara ILS di Lapangan Terbang Seletar, untuk tempoh satu bulan selepas kedua-dua negara berbalas kenyataan berhubung isu berkenaan pada awal Disember lepas.

Malaysia membantah penguatkuasaan tatacara ILS iaitu sistem bimbingan navigasi yang memberi panduan keselamatan dan pendaratan yang tepat untuk mendarat di lapangan terbang Seletar oleh Singapura yang didakwa dibuat tanpa berunding dengan Malaysia terlebih dahulu.

Pertelingkahan itu turut melibatkan usaha Malaysia untuk mengambil semula pengurusan ruang udara di selatan Johor yang sebelum ini diberikan kepada Singapura melalui satu perjanjian pada tahun 1974.

Menurut perjanjian itu, ruang udara di selatan Johor telah diwakilkan kepada Singapura untuk tujuan menyediakan perkhidmatan kawalan trafik udara melalui surat operasi perjanjian di antara pusat kawalan Kuala Lumpur dan Singapura mengenai ketibaan, keberangkatan, dan penerbangan di kawasan kedua negara.

Kedua-dua negara juga turut bertikai dalam isu sempadan maritim selepas Malaysia membuat keputusan untuk memperluaskan pelabuhan Johor Bahru pada Oktober lepas, diikuti dengan bantahan Singapura terhadap pencerobohan kapal Malaysia dalam perairan yang didakwa milik Singapura.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.