Malaysia-Singapura Perluas Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin

Perjalanan udara bebas kuarantin melalui inisiatif VTL yang kedua adalah antara Singapura dan Pulau Pinang bermula 16 Mac ini.
Noah Lee & Nisha David
2022.03.04
Kuala Lumpur
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Malaysia-Singapura Perluas Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin Penumpang pesawat Singapore Airlines SQ108 dari Singapura sedang melalui proses pendaftaran sebelum menjalani ujian saringan COVID-19 sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur menerusi inisiatif Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) udara, 29 November 2021.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Malaysia dan Singapura bersetuju untuk memperluaskan inisiatif Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) dengan memilih Pulau Pinang sebagai destinasi kedua bagi perjalanan udara bebas kuarantin yang akan bermula 16 Mac ini, demikian menurut Menteri Pengangkutan Malaysia Wee Ka Siong pada Jumaat.

Keputusan terkini itu dibuat susulan kejayaan pembukaan laluan udara antara Lapangan Antarabangsa Changi dan Lapangan Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada November lepas.

Dalam pada itu, Malaysia telah merekodkan jumlah kes jangkitan harian COVID-19 tertinggi itu sebanyak 32,467 kes dalam tempoh 24 jam.

"Kerajaan Malaysia dan Singapura telah bersetuju untuk memperluaskan inisiatif Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) melalui pengangkutan udara dengan membuka satu lagi laluan baharu iaitu Pulau Pinang-Singapura yang akan bermula pada 16 Mac 2022.

"Inisiatif VTL udara ini membolehkan pengembara yang telah divaksin sepenuhnya untuk melakukan perjalanan ulang-alik bagi laluan Pulau Pinang-Singapura menggunakan perkhidmatan syarikat-syarikat penerbangan yang telah ditetapkan sebagai penerbangan VTL tanpa perlu menjalani kuarantin semasa ketibaan," kata Wee dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Jumaat.

Menurut beliau, inisiatif VTL dapat membantu dalam memulihkan semula jaringan ekonomi dan perniagaan di antara kedua negara terutamanya sektor perlancongan yang terkesan teruk akibat pandemik COVID-19.

Inisiatif VTL di antara dua negara jiran berkenaan telah dimulakan pada 29 November lepas dan sehingga 28 Februari lalu, seramai 82,906 pengembara telah membuat penerbangan dari Lapangan Terbang Changi ke KLIA.

Menteri Pengangkutan Malaysia itu berkata, sebagai permulaan bagi perjalanan antara Changi dan Bayan Lepas atau sebaliknya, hanya empat penerbangan sehari sahaja yang akan dibenarkan dengan penjualan tiket akan dibuka dalam tempoh terdekat.

Sementara itu Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menerusi akaun Twitternya berkata Malaysia akan turut memulakan VTL dengan Thailand dan Kemboja, dengan pengumuman mengenainya akan dibuat Menteri Pengangkutan tidak lama lagi.

"Seperti yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri di Thailand dan Kemboja, kita akan memulakan penerbangan VTL pergi dan balik ke Bangkok, Phuket dan Phnom Penh tidak lama lagi. @weekasiong akan memberikan maklumat lanjut,” katanya melalui satu ciapan di Twitter.

Kes harian tertinggi

Pengumuman peluasan inisiatif laluan VTL itu dibuat ketika Malaysia terus merekodkan jumlah kes harian COVID-19 yang tinggi.

Negara itu mencatatkan 32,467 kes positif COVID-19 yang baru pada Khamis, sekaligus menjadikannya jumlah yang tertinggi pernah direkodkan sejak dilanda pandemik pada awal 2020.

Walaubagaimanapun, berdasarkan maklumat dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia, peningkatan kes aktif dilihat semakin perlahan sejak akhir Februari.

Pada hari yang sama, pihak berkuasa kesihatan melaporkan bahawa penggunaan katil hospital untuk kes kritikal COVID-19 di Unit Rawatan Rapi mencecah lebih 50 peratus di lima buah negeri dan Wilayah Persekutuan, iaitu di Putrajaya, Kelantan, Kuala Lumpur, Selangor, Johor, dan Pulau Pinang.

Penggunaan katil hospital bagi pesakit COVID-19 bukan kritikal pula menyaksikan 12 negeri melebihi kapasiti 50 peratus, dengan dua daripadanya sudah melebihi 100 peratus iaitu di Selangor (111 peratus) dan Perak (105 peratus).

Pada Rabu, KKM melaporkan 115 kematian baharu akibat COVID-19 direkodkan menjadikan bilangan tersebut sebagai yang tertinggi sejak negara berkenaan dilanda varian Omicron, manakala bagi sepanjang tempoh dua bulan bermula 1 Januari, sebanyak 1,149 kematian akibat COVID-19 telah dicatatkan.

Menurut Khairy, data menunjukkan bahawa 91 peratus daripada kes kematian COVID-19 membabitkan mereka yang belum mendapat dos penggalak vaksin COVID-19, dengan kebanyakan hanya dikesan positif virus selepas meninggal dunia.

"Sangat penting bagi golongan yang berisiko tinggi (warga emas dan mereka yang ada komorbid serius) untuk mendapatkan booster dengan segera.

"Keluarga serta komuniti juga diminta memantau keadaan kesihatan warga emas. Kalau demam atau batuk sikit pun, bawa jumpa doktor. Please [tolonglah]," kata Khairy melalui ciapan di Twitter pada Khamis.

Belajar hidup dengan virus

Langkah kerajaan memperluaskan laluan VTL itu mendapat pujian daripada Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia Kuljit Singh, yang menyatakan bahawa sudah tiba masa bagi rakyat Malaysia belajar hidup dengan virus.

"Kita perlu mencontohi negara-negara jiran. Di sana, bilangan kes juga meningkat, tetapi mereka sudah membuka sempadan dan menyambung aktiviti seperti biasa.

"Kita mesti belajar hidup dengan virus. Hanya masa akan menentukan bila pandemik ini akan berakhir," kata beliau kepada BenarNews.

Gerard Lawrence, pakar penjagaan utama di Global Doctors Hospital di Kuala Lumpur pula berkata, bilangan kes yang meningkat adalah disebabkan sikap orang ramai yang kurang berhati-hati kerana menganggap diri mereka selamat selepas divaksinasi.

"Ada yang merasakan bahawa mereka boleh menjalani kehidupan biasa seperti sebelum ini kerana percaya diri telah dilindungi, dan mereka mula tidak mengikut SOP," kata beliau kepada BenarNews.

Lawrence menjangkakan bahawa bilangan kes akan terus meningkat, berkemungkinan sehingga mencecah 50,000 kes positif COVID-19 sehari.

"Kes yang tinggi ini membimbangkan kerana walaupun kebanyakannya tidak serius, tetapi ia mempunyai impak apabila seseorang dijangkiti, mengganggu pendapatan mereka, produktiviti, serta impak sosial dan keluarga akan terus mempunyai kesan kepada ekonomi.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.